SURAH ini diturunkan selepas surah ar-Rahman. Keseluruhan ayatnya berjumlah 31 ayat. Ia termasuk di dalam kategori surah Madaniah. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya ialah terdapat di dalam surah terdahulu disebutkan tentang peristiwa ngeri yang akan dihadapi oleh orang yang mengingkari kedatangan hari kiamat.
Manakala dalam surah ini pula disebutkan nikmat abadi yang diperoleh oleh orang yang berbakti di akhirat kelak. Berkenaan dengan surah ini sama ada Makki atau Madani ada tiga pendapat:
* Ia adalah Madaniyah semuanya, inilah pendapat jumhur termasuk Mujahid dan Qatadah.
* Ia adalah Makkiyah, inilah pendapat Ibn Yasar dan Muqatil.
* Sebahagiannya Makkiyah dan sebahagiannya Madaniyah.
Firman Allah SWT: Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? (al-Insan: 1)
Perkataan insan di sini ada dua pendapat:
* Ia adalah Adam dan satu waktu pula bermaksud selama 40 tahun di mana dibentuk dengan lembaga seperti itu tanpa ditiupkan roh, inilah pendapat jumhur ulama.
* Ia adalah semua manusia seperti riwayat Ibnu Abbas dan Ibnu Juraij.
Al-Maraghi berkata: Telah datang kepada jenis manusia ini satu batas waktu yang dia belum ada, sehingga dapat diketahui dan patut disebutkan.
Al-Farra’ dan Tha’lab berkata: Maksudnya ialah jasad yang dibentuk daripada debu dan tanah, tidak disebutkan, tidak dikenal, tidak diketahui apa namanya dan tidak diketahui pula apa maksudnya. Kemudian ditiupkan kepadanya roh sehingga menjadilah ia sesuatu yang patut disebutkan.
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT berfirman mengkhabarkan tentang manusia bahawa Dia telah menciptakannya setelah sebelumnya tidak pernah menjadi sesuatu yang disebut kerana kerendahan dan kelemahannya.
Sayid Qutub berkata: Pertanyaan di permulaan surah ini merupakan pertanyaan untuk penjelasan. Pertanyaan itu dibuat sedemikian rupa seolah-olah supaya manusia bertanya kepada dirinya sendiri: Tidakkah dia tahu bahawa dia telah dilalui suatu ketika di dalam zaman yang di mana dia belum lagi menjadi sesuatu yang dapat disebut?
Tidakkah dia memikirkan hakikat ini dengan sebaik-baiknya? Kemudian tidakkah pemikirannya itu melahirkan di dalam hatinya kesedaran adanya tangan qudrat Ilahi yang menolaknya ke pentas kehidupan dan menyuluhkan cahaya lampu kepadanya dan menjadikannya satu makhluk yang dapat disebut setelah selama ini tidak pernah disebut-sebut.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat. (al-Insan: 2)
Ibnu Jauzi berkata: Kami ciptakan manusia yakni semua anak Adam dan perkataan setitis mani yang bercampur iaitu mani lelaki dan wanita yang akhirnya terbentuk menjadi manusia.
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada nuftah yang di dalamnya ada air lelaki bercampur dengan air perempuan. Kami hendak menguji dan mencubanya dengan tanggungjawab apabila dia telah besar dan dewasa. Dan Kami menjadikannya pula dapat mendengar ayat-ayat dan menyaksikan dalil-dalil, memahami dan berfikir.
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya Kami berikan kepadanya pendengaran dan penglihatan sehingga dengan keduanya dia mampu melakukan ketaatan dan juga kemaksiatan.
Ibnu Abbas berkata: Maksud al-Amsyaj di dalam ayat ini ialah sperma lelaki dan ovum perempuan, sekiranya telah bersatu dan bercampur lalu beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya, dari satu keadaan ke satu keadaan berikutnya dan dari satu warna ke warna berikutnya.
Qatadah berkata: Al-Amsyaj adalah peringkat-peringkat penciptaan, pada satu tahap ia sebagai nuftah, pada tahap yang lain ia sebagai ‘alaqah (seketul darah), pada tahap seterusnya sebagai mudghah (seketul daging) dan pada tahap kemudian ia sebagai ‘izam (tulang-temulang). Kemudian tulang-temulang itu dibungkus daging.
Al-Hasan berkata: Kami hendak menguji kesyukurannya di waktu dia berada dalam kesenangan dan hendak menguji kesabarannya di waktu dia berada dalam kesusahan.
Sayid Qutub antara lainnya berkata: Demikianlah manusia diciptakan oleh tangan qudrat Allah SWT daripada air mani yang bercampur. Manusia bukan diciptakan sia-sia atau main-main sahaja, malahan ia diciptakan untuk diuji dan dicuba.
Allah SWT memang mengetahui siapakah dia manusia? Apakah ujian yang akan dilaluinya? Dan apakah akibat ujian itu? Tetapi iradat Allah mahu menzahirkan insan di atas pentas alam al-Wujud dan melahirkan kesan-kesannya dia alam al-Wujud dan memberi balasan kepadanya mengikut natijah ujian yang dilaluinya.
Dan Allah SWT menjadikannya dengan daya kebolehan mendengar dan melihat yakni membekalkannya dengan daya-daya kefahaman supaya dia dapat menerima dan menyambut dakwah dan supaya dia dapat memahami benda-benda dan nilai-nilai serta dapat membuat keputusan dan pilihan, juga dapat melalui ujian itu mengikut pilihannya.(sumber:UM,26/06/12)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan