11 Januari 2012

INSTITUSI KEKELUARGAAN DAN KEJIRANAN MASIH BELUM UTUH

KETIKA 2011 melabuhkan tirainya, kita dikejutkan dengan kejadian malang menimpa dua beradik yang kaki mereka diikat dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga selain dikurung dalam tandas kotor selama lebih lima jam dalam kelaparan.

Dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Mawar, Taman Dahlia, Butterworth 28 Disember lalu, kanak-kanak berusia dua dan enam tahun itu didakwa ditinggalkan bapa mereka ketika hendak bekerja kira-kira jam 3 petang.
Dua kanak-kanak itu bernasib baik kerana jeritan mereka untuk meminta pertolongan didengar jirannya yang terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
Jika cara didikan salah, maka hasrat untuk lahir modal insan berkualiti tidak kesampaian
Ketika diselamatkan kira-kira jam 8.40 malam, dua beradik itu yang hanya berbaju dan berseluar dalam, berada dalam keadaan amat menyedihkan.
Kerana tindakannya itu, bapa kepada kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan merantai kaki dua anaknya dan mengurung mereka.

Bapa terbabit didakwa atas dua pertuduhan mendedahkan anaknya yang berusia dua dan enam tahun kepada kecederaan fizikal dan emosi dengan merantai serta mengurung mereka dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketika 2012 menjengah pula, kita dikejutkan lagi dengan kejadian bapa mengurung anak dan kali ini ia berlaku di sebuah pangsapuri di Jalan Perak, Jelutong, Georgetown, 2 Januari lalu.
Kali ini ia membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang disyaki mangsa dera berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan.

Dia dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula jam jam 3 petang sehinggalah diselamatkan pada jam 1 pagi.

Sebaik diselamatkan oleh anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), budak itu yang ketakutan, tetapi tidak mengalami kecederaan fizikal, dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.

Siasatan awal mendapati mangsa menangis kerana dipukul oleh bapanya yang berusia 49 tahun selepas budak itu dikatakan bermain dompet bapanya. Ibu mangsa yang berusia 40 tahun tiada di rumah kerana bekerja kilang.

Dua kejadian itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat yang melihat tindakan pelakunya sebagai amat keterlaluan kerana anak sepatutnya dijaga dengan baik serta diberikan layanan sempurna.

Anak yang dikurniakan Tuhan tidak harus menjadi tempat melepaskan geram bagi ibu bapa walaupun senakal mana mereka atau dibiarkan tanpa sebarang jagaan yang rapi.

Penulis juga bersetuju dengan saranan itu kerana sedar bahawa kanak-kanak adalah generasi penyambung kepada kemajuan negara kerana merekalah yang akan mewarisinya pada masa depan.

Jika cara didikan baik serta betul, maka bakal pemimpin yang dilahirkan bagi menguruskan hal ehwal pentadbiran negara serta rakyat biasa menyokongnya juga sudah tentu baik.

Tetapi jika cara didikan salah, maka hasrat untuk melahirkan modal insan berkualiti tidak kesampaian.

Dalam kes pertama membabitkan dua beradik, ia sebenarnya mendedahkan bahawa institusi kekeluargaan atau kejiranan di negara ini masih mempunyai kelemahan walaupun secara umumnya ia cukup mantap.

Timbul persoalan kenapa bapa terbabit tidak menghantar anaknya untuk dijaga ahli keluarga terdekat atau jirannya sepanjang dia keluar bekerja? Sepatutnya itulah langkah terbaik sekiranya dia tidak mempunyai berkemampuan menghantar anaknya ke pusat jagaan berbayar.

Ia menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan atau kejiranan masih belum mantap sehingga menyebabkan masalah untuk menjaga anak yang dihadapi bapa terbabit tidak dapat diatasi dan kanak-kanak kecil pula menjadi mangsa.

Pergaulan mesra, saling menjaga kebajikan satu sama lain dan tolong-menolong mungkin sudah pudar di kalangan masyarakat kini terutama yang tinggal di bandar besar, berbeza dengan pada masa dulu serta di luar bandar.

Semangat serta sikap seperti ini harus dikembalikan semula untuk memantapkan semula institusi kekeluargaan dan kejiranan sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi sesebuah keluarga.

Jika ini dapat dilakukan, bukan saja masalah kanak-kanak dikurung serta ‘terseksa’ dapat diatasi, tetapi lebih penting adalah ia dapat melahirkan modal insan berkualiti bagi memastikan pembangunan terus berjalan lancar.

Apa yang diharapkan adalah tiada lagi kejadian kanak-kanak tidak berdosa dikurung walau dengan apa jua alasan kerana mereka mempunyai hak untuk hidup selesa serta membesar dalam keadaan selesa.(sumber: BH, 11/1/12)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan