Islam tidak melarang umatnya bergurau senda kerana perasaan jiwa dan hati perlu ‘direhatkan’ dengan sesuatu yang santai. Namun, bergurau mestilah dalam kerangka batas yang sepatutnya dan tidak terkandung unsur mereka-reka cerita atau menggunakan perkataan bohong, lucah atau fitnah.
Dikisahkan bahawa pada suatu hari ada seorang wanita tua bertemu Rasulullah SAW lalu memohon kepada Baginda supaya dirinya dapat menjadi ahli syurga dan tinggal bersama Rasulullah SAW.
Mendengarkan permohonan wanita tua itu, Rasulullah SAW mengatakan kepadanya: “Wahai hamba Allah. Sesungguhnya syurga itu tidak dimasuki oleh orang tua.”
Mendengarkan yang demikian, maka wanita tua terus pergi dan menangis kerana berasa sangat sedih. Lantas Rasulullah SAW memanggilnya kembali sambil berkata: “Wahai hamba Allah, engkau tidak boleh masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah akan membangkitkan kembali wanita tua dalam usia yang masih muda. Tidakkah kamu membaca firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan mereka bidadari dengan langsung. Dan Kami jadikan mereka gadis perawan. Penuh kecintaan lagi sebaya umurnya.” (Surah al-Waqiah, ayat 35-37)
Apabila mendengar kata-kata Nabi SAW, wanita tua tadi tersenyum sambil ketawa gembira. Diriwayatkan bahawa wanita tua itu sebenarnya ialah ibu saudara Baginda bernama Sofiyah. Gurauan Baginda mengandungi pengajaran, gurau senda dengan sisipan kebenaran dan pengajaran.
Pendekatan bergurau akan menjadi mekanisme berkesan untuk mengeratkan hubungan dalam situasi harmoni. Namun, kita seharusnya berhati-hati supaya segala tutur kata ketika bergurau tidak menyinggung perasaan orang lain atau mengeluarkan kata kurang sopan berunsur caci nista terhadap seseorang lain.
Hal itu untuk mengelak terjadinya titik hubungan yang keruh sekali gus akan melonggarkan hubungan ukhuwah. Jangan ada-adakan sesuatu cerita semata-mata untuk buat orang lain ketawa sedangkan perkara itu ternyata dusta.
Diriwayatkan pada suatu hari seorang seorang wanita datang ke majlis Nabi SAW dengan tujuan mencari suaminya. Apabila melihat wanita itu datang lalu Nabi SAW bertanya:
“Siapakah yang engkau cari? Wanita itu menjawab: Saya mencari suamiku, wahai Rasulullah.
Kemudian Nabi SAW bertanya: “Apakah suamimu yang di matanya ada putih-putih itu? Wanita itu terdiam apabila mendengar pertanyaan Nabi SAW lalu bergegas balik semula ke rumahnya.
Apabila bertemu suaminya, wanita itu memandang wajah suaminya dengan pandangan penuh teliti. Wanita itu juga memeriksa kedua biji mata suaminya. Melihatkan telatah pelik isterinya itu, suaminya terus bertanya untuk mendapatkan kepastian.
Isterinya berkata: “Saya sedang memerhatikan apakah di matamu ada putih-putih atau tidak? Mendengar penerangan isterinya, dia pun berkata: Kau memang bodoh. Bukankah semua mata memang ada putihnya. Kini barulah wanita itu sedar bahawa kata-kata Rasulullah itu semata-mata bergurau saja.
Inilah dikatakan bergurau, tetapi berfakta. Demikian dua kisah boleh kita hayati dan pelajari supaya gurauan kita tidak melencong ke lembah kelalaian dan dusta. Kisah itu juga membuktikan kehidupan Nabi bersama sahabat Baginda juga diwarnai pendekatan gurau senda.
Gurauan Baginda tidak pernah melalaikan atau melampaui batas, sebaliknya tersirat penuh mesej pengajaran berguna. Apa dilakukan Baginda dalam batas yang meninggalkan impak positif.
Mari kita jadikan kisah Baginda untuk membentuk seni bergurau senda yang betul demi mengelakkan diri dari terjerumus berkata yang dusta lagi melalaikan. (sumber: Mohd. Rizal Azman Rifin, 23/7/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan