Mari kita hayati persoalan tentang belanja kahwin yang disiarkan di Harian Metro ini.
SAYA gadis berusia 24 tahun dan bertunang hampir setahun lalu. Tunang saya berusia 26 tahun. Kami ingin mendirikan rumah tangga secepat mungkin bagi mengelak perkara mungkar.
Namun masalah kewangan membelenggu kami. Status kewangan masing-masing tidak stabil, menyebabkan kami tidak yakin akan berkahwin dalam tempoh terdekat.
Setiap kali merancang menyimpan bagi tujuan itu, pasti ada masalah timbul. Antaranya duit yang diperuntukkan untuk belanja kahwin terpaksa dibelanjakan bagi tujuan lain. Malah lebih membebankan kami ialah keluarga kami merancang melangsungkan majlis pernikahan kami tahun depan. Sesungguhnya ini memberi tekanan lagi kepada kami kerana tempoh setahun adalah terlalu singkat.
Lebih tertekan, saya dan tunang terpaksa berdepan konflik keluarga tunang. Keluarganya kini bergolak gara-gara ayahnya mahu berkahwin lagi. Saya simpati dengan tunang yang kelihatan tertekan dan dia masih mencari pekerjaan yang lebih menjamin masa depan.
Manakala keluarga saya pula tidak memahami kedudukan kewangan saya. Adik beradik mengatakan saya terlalu bergantung kepada ibu (ibu tunggal). Ibu pula mengharap saya balik kampung setiap minggu, sedangkan perbelanjaan berulang alik memakan belanja besar.
Saya pun tidak mahu menyusahkan ibu, kadangkala kami terfikir adakah rezeki yang kami dapat ini tidak diberkati Allah SWT.
Saya bukan terdesak untuk berkahwin tetapi yang menjadi kebimbangan ialah saya khuatir gagal mengawal nafsu duniawi.
Jalan penyelesaian adalah mengambil pinjaman peribadi. Perlukah saya mengambil pinjaman peribadi untuk majlis perkahwinan?
AZWA
Mersing, Johor
Terus terang, Dang Setia kurang setuju jika adik mengambil pinjaman peribadi bagi mendirikan perkahwinan. Pada mulanya mungkin adik berasa masalah akan selesai tetapi Dang Setia bimbangkan kesannya kelak.
Keutamaan perkahwinan adalah pada rukunnya dalam mengesahkan ikatan halal antara perempuan dan lelaki. Majlis kenduri serta belanja kahwin hanya sunat dan tuntutan adat.
Ikatan perkahwinan perlu suci daripada segala anasir yang boleh dikatakan tidak baik kerana ia boleh memberi kesan kepada ikatan itu sama ada bahagia atau cacamerba. Bagi Dang Setia, hutang itu bukan perkara baik kerana ia boleh memberi kesan dan bebanan kepada adik dan tunang.
Kebimbangan Dang Setia berasas kerana Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut turut meluahkan kebimbangan sama dengan mengatakan trend kahwin hutang dikhuatiri menyebabkan sesebuah perkahwinan menjadi tidak berkat yang akhirnya membawa kepada perceraian.
Dalam melangsungkan perkahwinan, lebih memadai belanja mengikut kemampuan dan jangan melampaui batasan. Sebagai contoh, adik boleh renung pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah (kenduri kahwin) yang dilakukan beliau di mana Rasulullah menghadirinya, Abu Usaid menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya.
Ia bermakna, majlis kenduri kahwin hanya sebagai tanda hebahan kepada masyarakat satu ikatan pernikahan sudah berlangsung dalam keluarga dan biarlah ia dalam kesederhanaan dan bukan menjadi bebanan.
Adik tidak perlu bimbang jika sedia melangsungkan perkahwinan tanpa memerlukan belanja besar.
Paling penting, adik perlu memikirkan kehidupan selepas berkahwin berbanding majlis perkahwinan. Dengan berfikir demikian, adik sekurang-kurangnya tidak tertekan dan boleh merancang dengan baik.(Sumber:bharian-online.com, 24/7/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan