13 April 2011

GEJALA SOSIAL REMAJA SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

INDEKS gejala sosial membabitkan remaja dan belia Melayu menunjukkan peningkatan mendadak. Kes jenayah seperti rogol, pembunuhan, sumbang mahram, pergaulan bebas serta pembuangan anak seolah-olah tidak mampu dikawal lagi.

Setiap hari ada saja pendedahan membabitkan golongan remaja Melayu sehingga kita merasakan negara ini bagaikan tiada peraturan dan undang-undang yang mampu menyekat semua perbuatan di luar norma kemanusiaan ini.
Pendidikan agama yang diperkenalkan seawal pendidikan prasekolah hingga ke universiti tidak mampu membendung gejala negatif yang merebak kesan ledakan teknologi maklumat yang tidak ditapis.
Akibatnya, kita dapat menyaksikan bagaimana sekolah yang sepatutnya menjadi terapi merawat jiwa pelajar dengan unsur keagamaan dan kerohanian bertukar menjadi medan melepaskan perasaan dendam dan amarah yang meluap-luap.

Kes pergaduhan kian meningkat hingga pelajar pandai membawa senjata berbahaya ke dalam sekolah demi membalas dendam terhadap rakan akibat sedikit salah faham.

Sudah sampai masa guru, pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan termasuk juga pihak penguat kuasa seperti polis berbincang mencari langkah terbaik menangani gejala yang membarah ini.

Pada peringkat komuniti, program keagamaan seperti usrah, ceramah motivasi serta kelas Fardu Ain untuk remaja perlu diadakan sekerap mungkin termasuk mewajibkan remaja dan belia menyertai apa saja program ilmiah serta agama sebegini. (sumber: Bharian, 13/4/11)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan