SETIAP akhir tahun atau awal tahun baru menjelang persekolahan anak-anak, kita dapati dan perhatikan di kedai-kedai, toko-toko atau di pasar-pasar raya dikunjungi ibu bapa atau penjaga yang sibuk bagai menyambut hari raya.
Mereka membeli-belah sakan untuk anak-anak dengan serba baru: kasut baru, uniform sekolah baru, uniform kokurikulum baru, stokin baru dan beraneka macam yang baru-baru belaka.
Situasinya seolah-olah anak-anak didedahkan bahawa budaya ‘baru’ ini bagaikan suatu kemestian. Di kedai-kedai buku sekolah, ibu bapa mengendong berbakul-bakul buku kerja, buku latihan, buku teks tambahan dan peralatan tulis untuk perbekalan sepanjang tahun.
Pada hari pembayaran yuran ibu bapa ke meja guru kelas bagi melunasi segala jenis yuran termasuk derma PIBG yang sepatutnya ikhlas sukarela, tetapi entah siapa yang memeterai menjadikan bagai yuran wajib tahunan atau bulanan. Bayangkan segala-galanya terpaksa dipikul di pundak ibu bapa sekarang agar anak-anak mereka pada masa akan datang tidak merempit, tidak melepak dan menjadi manusia berguna pada suatu hari nanti.
Sebenarnya, ibu bapa tidak usah kalut. Bertenang dan bersabar adalah nilai-nilai murni hasil pembelajaran sepanjang hayat. Mendidik anak-anak bersyukur, reda dan bersederhana adalah juga hasil pembelajaran sepanjang hayat. Mengapa menjelang akhir atau awal tahun, ibu bapa berpusu-pusu ke kedai menggantikan pakaian atau peralatan persekolahan anak-anak serba baru?
lnilah anjakan paradigma yang perlu kita ubah. Agar tidak terkejut atau tersepit dengan perbelanjaan hujung tahun mendadak, ibu bapa boleh melakukan pada pertengahan tahun.
Sekiranya pakaian anak-anak ditukar baru pada bulan Jun atau Julai tahun ini, tidaklah perlu ditukar hujung tahun tetapi diganti pada pertengahan tahun depan. Namun sekiranya pakaian mereka masih boleh dipakai, apakah perlu ditukar? lnilah masanya kita melatih agar anak-anak kita bersederhana, bersyukur dan tahu menilai erti jerih payah ibu bapa mereka.
Begitu juga buku latihan dan peralatan tulis yang kadang kala dibeli tetapi tidak digunakan sepenuhnya sehingga akhir sesi persekolahan. Apakah ini tidak dikatakan membazir? Belilah atas nama keperluan semasa sahaja. Elakkan berlebihan bagi mengelak anak-anak tidak ada nilai rasa menghargai. Buku tambahan termasuk buku kerja pastikan bukan dibeli semberono. Fikirkan siapakah yang bakal mengaut keuntungan di penghujungnya?
Sebenarnya, jika anak-anak kita menumpukan sepenuhnya pembelajaran di bilik darjah dan guru komited melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, tiusyen di luar sekolah tidak diperlukan! Apakah guru kini sudah hilang kebolehpercayaan yang menyebabkan ibu bapa terpaksa beralih arah kepada pusat tiusyen di luar?
Sedarkah ibu bapa bahawa kebanyakan guru-guru tiusyen di luar tidak terlatih sebagai seorang guru bertauliah? Sedarkah ibu bapa banyak pusat tiusyen di luar tidak memperoleh permit dan kelulusan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia? Fikir-fikirkanlah.
Berhubung derma sukarela, PIBG sepatutnya tidak memaksa atau menekan ibu bapa atas alasan keputusan mesyuarat agung tahunan. Mengenakan caj bayaran bulanan sebagai kaedah mengutip derma PIBG bukanlah sesuatu yang bijaksana. Jika derma, katakan derma, jangan ‘disilapmatakan’ dengan istilah yuran.
Sehubungan ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Majlis Permuafakatan PIBG Nasional sewajarnya memantau dari semasa ke semasa agar permasalahan setiap tahun tidak menjadi duri dalam daging yang berpanjangan. (sumber daripada forum : Utusan Malaysia 29/12/2010)
MAHNESSA A. KADIR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan