12 Disember 2010

DR. RAJIEE HADI (PIBG DAN SEKOLAH)

SEMUA pihak khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mahukan hubungan Persatuan lbu Bapa Guru (PIBG) dengan pengurusan sekolah perlu ada pada tahap terbaik dan berkesan.Bahkan semua pihak mendambakan hubungan yang harmonis dan saling memahami antara satu sama lain. Apatah lagi hasrat murni ini selaras dan sesuai dengan penubuhan PIBG yang bertujuan menjadi jambatan penghubung di antara rumah dan sekolah serta ibu bapa dan guru.Tambahan pula, semua pihak berharap PIBG dapat memenuhi hasrat mulia itu sesuai dengan perkembangan pesat yang dialami negara.

Justeru,  kita sedia maklum bahawa fungsi utama penubuhan PIBG di sekolah-sekolah ialah menjaga dan melindungi kebajikan pelajar-pelajar dan guru-guru. PIBG juga berperanan memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah menerusi kegiatan-kegiatan akademik, kebajikan dan sosial seperti mana dalam garis panduan surat pekeliling ikhtisas KPM bilangan 5/2001.

Sehubungan dengan  ini, PIBG adalah gerakan komuniti yang sangat penting dalam sistem pendidikan negara lantaran ia bukan sahaja dianggotai oleh semua lapisan masyarakat, kaum atau keturunan tetapi mencakupi juga pelbagai bidang pekerjaan dan latar profesion. Pelbagai latar dan situasi inilah yang memberi kekuatan kepada PIBG untuk mengorak langkah dan bergerak maju mendukung cita-cita pendidikan bangsa dan negara.

Oleh itu, dalam erti kata lain PIBG  bukan sahaja sekadar  mengadakan mesyuarat agung malah boleh bergerak aktif melalui forum, wacana ilmu, dialog, seminar  dan perundingan yang boleh mengambil langkah perlu bagi membendung salah laku dan pelanggaran disiplin pelajar-pelajar sekolah. Kendatipun telah bertahun-tahun PIBG memainkan peranan sebagai institusi penghubung antara rumah dan sekolah namun belum banyak kajian yang menyentuh keberkesanan fungsinya.

Namun demikian dalam usaha merealisasikan usaha muafakat pendidikan, PIBG yang dilihat sebagai satu-satu institusi yang boleh berperanan secara berkesan maka penubuhan Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN) beberapa tahun yang lalu adalah suatu usaha murni dan positif. Soalnya, sejauh manakah keberkesanan badan induk ini dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab serta boleh dijadikan rujukan oleh PIBG lain boleh diperbincangkan secara sihat.

Setiap awal tahun persekolahan  banyak laporan di akhbar, ramai ibu bapa yang merungut kerana PIBG dilihat lebih cenderung dalam aktiviti pungutan derma yang kini ada sesetengah PIBG yang menggunakan istilah ‘yuran PIBG’ dan turut disenaraikan dalam kertas senarai tahunan pelbagai yuran dan buku-buku rujukan  sekolah. Sebenarnya sebahagian besar ibu bapa tidak  berkira sangat dalam soal menderma kepada tabung PIBG.

Namun apa yang menggusarkan kedapatan sesetengah PIBG yang mengenakan derma/yuran  tahunan PIBG yang kononnya diputuskan tetap atau wajib dalam mesyuarat agung  yang melebihi RM100.00 bagi setiap pelajar. Adakah sudah tiba masanya KPM atau PIBGN menetapkan kadar derma tahunan maksimum PIBG agar tidak timbul elemen penyalahgunaan kuasa?

Sebenarnya pungutan derma daripada ibu bapa, orang kenamaan, syarikat dan firma untuk memperoleh sumber kewangan PIBG untuk membantu pembiayaan projek sekolah bukanlah suatu paksaan. Ada PIBG yang beriltizam tinggi menganjurkan motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah dengan tujuan mengwujudkan kesedaran dan keyakinan kendiri ke arah kecemerlangan akademik,sahsiah dan kokurikulum.

Di samping itu ada PIBG yang bermurah hati memberi sumbangan dalam bentuk peralatan seperti projektor, komputer, mesin fotostat, peralatan kokurikulum, prasarana sekolah, hadiah-hadiah dan sebagainya kepada pihak sekolah. Soalnya adakah sumbangan seperti ini boleh mengabaikan pihak lain yang sepatutnya lebih dipertanggungjawabkan? Adakah adil PIBG memberi sumbangan seperti ini dengan menggalas beban ke pundak ibu bapa?

Sememangnya tidak dinafikan ada PIBG yang amat ghairah memfokuskan tanggungjawab lebih ke arah kegiatan sosial berbanding kegiatan kebajikan dan akademik.Tidak salah jika PIBG lebih mengutamakan menganjurkan kelas pemulihan dan kelas-kelas tambahan  percuma bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa lnggeris.

PIBG juga boleh   membantu pelajar-pelajar terutamanya yang kurang cerdas supaya berupaya mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi di bilik darjah demi meningkatkan prestasi dan pencapaian mereka dalam peperiksaan kelak. Selain daripada itu PIBG juga boleh membantu pelajar-pelajar miskin dan memberi sumbangan buku-buku di perpustakaan dari semasa ke semasa. Bukankah buku-buku dan segala sumber ilmu itu merupakan harta tidak ternilai untuk jangka masa panjang?

Kini sudah tiba masanya PIBG wajar berusaha merapatkan hubungan ibu bapa dan masyarakat sekolah  dalam melicinkan usaha mencapai matlamat pendidikan. Sekiranya ibu bapa dan pihak sekolah  mahu mendidik para pelajar bersikap berjimat cermat dan tidak membazir seperti sering bertukar ganti saban tahun berbagai-bagai pakaian rasmi selain uniform sekolah seperti pakaian seragam kokurikulum, pakaian sukan, tanda nama dan sebagainya maka adalah wajar dirancangkan dengan teliti agar sikap negatif ini boleh diatasi dengan meletakkan kesungguhan dan kesepakatan bersama antara dua pihak.

Dan dengan lebih berkesan PIBG perlu menjurus usaha menyedarkan masyarakat umum khususnya ibu bapa atau penjaga mengenai peranan mereka terhadap pendidikan dan disiplin pelajar. Tegasnya, PIBG wajar bertindak sebagai pemberi dorongan dan ransangan agar ibu bapa atau penjaga berminat dalam menghadapi pelajaran anak-anak. Janganlah dipersalahkan ibu bapa jika ada ibu bapa yang masih berdegil tidak mahu menghadiri mesyuarat agung tahunan kerana mereka juga ada alasan tersendiri.

Sayugia dimaklumi, dengan menganjurkan aktiviti tanpa kutipan bayaran tambahan maka diharapkan hubungan PIBG dan sekolah yang sedia terjalin akan bertambah erat. Aktiviti menganjurkan bengkel keibubapaan, forum/dialog isu-isu pendidikan semasa dan kegiatan bersama pelajar seperti bengkel teknik belajar, motivasi, khemah ibadah, bina semangat  dan sebagainya wajar kerap diadakan secara berkala.

Kesimpulannya dengan usaha sebegini dapatlah  diyakini bahawa matlamat merealisasikan dan mengoperasikan sekolah penyayang dan perkhidmatan penyayang ke arah mengwujudkan budaya ilmu akan melibatkan semua individu dan agensi agar peka dan responsif. Dan yang menarik, diharapkan semua ahli PIBG dan warga pendidik di sekolah akan menyedari bahawa pembentukan generasi cemerlang yang boleh mengisi hasrat dan cita-cita wawasan pendidikan negara adalah menjadi tanggungjawab semua pihak.
 sumber daripada majalah PENDIDIK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan