SEHELAI demi sehelai majalah itu Amin belek. Bila tiba ke hujung kulit, Amin pergi menonton televisyen, tiada cerita menarik. Bosan! Tiada apa yang hendak dilakukan semasa cuti sekolah ini. Ayah ibunya terlalu sibuk dengan kerja. Kakak dan abangnya masing-masing berada di kolej dan bekerja. Sebagai anak bongsu, dia sangat bosan hanya tinggal dengan pembantu rumah. Lalu dia teringat kawannya, Johan semalam mengajaknya menonton wayang, lantas menghubunginya untuk keluar.
Hari demi hari, begitulah aktiviti Amin. Keluar pun sudah pandai hingga lewat malam. Tiada siapa pun hendak marah dan pantau. Ayah ibu pun pulang lewat malam. Kadang-kadang kedua-duanya terpaksa ke luar daerah, meninggalkan Amin yang disangka mereka sudah besar dan pandai menjaga diri.
Sehinggalah Amin sudah berani mengunjungi tempat-tempat yang tidak sepatutnya dia kunjungi dan terjebak dengan perkara-perkara yang kurang baik. Apa yang nak ditakutkan, tiada siapa yang sedar akan perbuatannya, dan dia merasakan dia bebas melakukan apa sahaja.
SEBAHAGIAN remaja kini amat mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang kurang baik dan cenderung untuk mengikut contoh-contoh yang membawa kepada kerosakan diri dan akhlak.
Kisah seperti Amin di atas yang kekurangan perhatian kedua-dua ibu bapanya menjadikan Amin seorang yang sangat mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sebayanya dan pengaruh sekeliling.
Rakan sebaya dijadikan tempat untuk meluahkan perasaan, meluangkan masa bersama-sama serta secara tidak langsung, menjadi sumber teladan yang paling hampir dengan mereka. Selalunya remaja cenderung untuk melawan tradisi dan persekitaran yang mengongkong mereka. Perkara yang kurang baik dan negatif mudah diikuti, manakala perkara yang baik senang sahaja ditolak mentah-mentah dan dicemuh.
Zaman kanak-kanak dan remaja adalah tempoh yang sangat kritikal dan penting dalam pembentukan tingkah laku dan perangai. Naluri suka meniru, berkawan, ingin tahu yang ada pada mereka menyebabkan anak mudah terikut-ikut dengan apa yang ada di sekitarnya. Jika yang mempengaruhi itu adalah hal baik maka ia akan berguna kepada diri remaja tersebut. Jika anak dibiarkan dalam keadaan kelompangan hati dan kekosongan teladan, pengaruh buruk mudah menjadi ikutan. Jika keadaan ini berterusan, kerapuhan jiwa dan minda mudah terjadi.
Terdapat kini sebahagian anak-anak, terutamanya remaja gagal mengenal dan membezakan sesuatu yang berguna atau sebaliknya kerana bimbingan tidak diberi pada tahap awal kehidupannya. Jiwa dan minda mereka menjadi rapuh kerana banyak faktor.
Ketidakprihatinan ibu bapa terhadap pembesaran rohani dan emosi anak-anak mereka antara lain menyebabkan kepada permasalahan ini. Kebanyakan ibu bapa kini bertungkus lumus untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa, makanan yang mencukupi serta keperluan asas untuk keluarga, tetapi lupa untuk meluangkan masa untuk anak-anak mereka.
Anak-anak muda yang tidak tahu untuk mengurus kesunyian dan kelompongan jiwa akan mudah mencari teman yang lebih memahami jiwa dan perasaan mereka. Peringkat awal pembesaran bayi, mereka diberi suntikan imunisasi sebagai langkah pencegahan daripada penyakit untuk menjamin kesihatan jasmani yang mudah terdedah kepada penyakit cacar, Hepetitis B, dan sebagainya. Apabila kekebalan jasmani sudah ada, maka penyakit dapat dicegah. Begitu juga dengan pendidikan emosi anak-anak terutamanya remaja.
Ibu bapa perlu bukan sahaja menitikberatkan aspek jasmani, tetapi juga perlu mengisi jiwa anak-anak dengan amalan rohaniah dan bimbingan agama. Ini akan menjadi bekalan kepada diri remaja supaya lebih teguh menghadapi cabaran dan anasir-anasir yang kurang baik.
Selain itu, konsep berkeluarga dan kehidupan yang bakal mereka lalui apabila dewasa kadang kala tidak diperjelaskan dengan baik oleh ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa pula tidak memberikan pedoman yang betul kepada anak remaja mereka tentang apa yang bakal mereka tempuhi apabila dewasa dan kepentingan untuk mempunyai cita-cita dan visi hidup. Ada ibu bapa yang menasihatkan anak-anak untuk berjaya, tetapi tidak pernah mengambil berat tentang prestasi akademik dan kemajuan diri anak mereka di sekolah.
Membina Kekebalan Remaja
Islam menganjurkan pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Pada hari ini, pendekatan mengatasi masalah generasi muda lebih banyak kepada pendekatan natijah terakhir (end result). Bila kerosakan sudah banyak berlaku, tidak banyak yang boleh dilakukan. Bila ketagihan dadah, rokok atau minuman keras mula bertapak ia menjadi agak payah untuk diubati.
Pencegahan bermakna memberi asas kekebalan pada hati dan pemikiran menerusi asuhan dan teladan. Kekebalan jiwa dan pemikiran anak perlu dilakukan menerusi semaian kasih sayang, membina keyakinan dengan asas maklumat dan pengetahuan mudah difahami, ajaran mengenai nilai, adab dan kesantunan supaya anak dengan kelaziman dan kebiasaan baik dapat membezakan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.
Pengaruh media cetak dan elektronik memberi kesan kepada generasi muda. Apa ditonton dan dibaca membentuk jalan berfikir dan bertindak, kecuali kesedaran awal membezakan sesuatu itu baik atau buruk diberi.
Lazimnya pengaruh persekitaran berlaku sepanjang masa. Anak yang aktif fizikal dan pemikirannya mudah terpengaruh dengan sesuatu diminati dan disukainya tanpa banyak berfikir akibatnya. Keseronokan sering menjadi faktor yang mendorong perlakuan dan tabiat.
Untuk mengubahnya bukanlah satu hal yang mudah. Jika pendekatan pencegahan dibuat pada peringkat awal ia boleh menjadi benteng dalam menghadapi perlakuan negatif.
Selalunya pendekatan pencegahan dilakukan dengan memberi nasihat keagamaan dan menggalakkan mereka mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Pendekatan ini hanya berkesan dan dapat dijadikan amalan sekiranya ia dilakukan menerusi teladan. Rasional harus diberitahu kepada mereka mengapa amalan baik itu patut berlaku kepada mereka. Interaksi seumpama ini penting dan dilakukan secara fitrah iaitu menerusi kasih sayang, belaian, didikan, tunjuk-ajar dan teladan.
Justeru, kekebalan hati dan pemikiran perlu dipupuk dengan asas teladan, contoh dan maklumat yang sesuai dengan umur dan pengalaman hidup anak. Proses ini harus berlaku berterusan supaya keremajaan dan kedewasaannya nanti memiliki kekebalan yang tinggi serta mampu untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Kesimpulan
Anak-anak, terutamanya remaja perlu dibimbing dengan didikan agama dan pelajaran hidup yang baik. Teladan dan contoh ikutan menjadi asas yang sangat penting kepada remaja supaya dapat meneladani perbuatan dan tingkah laku yang baik dan berakhlak.
Kedatangan maklumat dan pendedahan kepada persekitaran perlu diwaspadai bagi mengelakkan anasir-anasir yang rapuh menjengah ke dalam diri remaja. Namun, pada masa sama, remaja juga harus bertindak bijak serta tidak mengikut perasaan dalam bertindak sebaliknya harus mampu untuk berfikir serta merujuk kepada orang yang lebih tua apabila mengalami kebuntuan atau permasalahan. (ssumber: ipislam.edu.my)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan