19 Ogos 2011

FACEBOOK DAN KEMURUNGAN REMAJA

Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Stony Brook di sini mendapati golongan remaja berasa lebih bimbang jika tidak menghabiskan masa di laman rangkaian sosial, Facebook berbanding melakukan kerja sekolah, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut para penyelidik dalam isu terbaru jurnal Pediatrics, keadaan itu digelar kemurungan Facebook.

Ia berpunca selepas remaja menghabiskan banyak masa di laman maya walaupun diberi kerja rumah oleh guru di sekolah.

Penyelidikan itu mendapati, Facebook tidak memaparkan realiti sebenar kerana orang ramai pada kebiasaan akan menghantar status atau gambar tentang diri dengan menunjukkan kehebatan diri masing-masing. Seorang remaja berusia 16 tahun, Abby Abolt bersetuju dengan keputusan hasil kajian tersebut.

"Jika kamu tidak memiliki ramai kawan dan kurang melakukan aktiviti dalam kehidupan seharian sebaliknya melihat status pengguna lain dikemas kini, saya dapat memahami kenapa mereka (pengguna Facebook) berasa sedih.

"Facebook umpama pertandingan popular tentang siapa yang mendapat permintaan kawan paling ramai," jelasnya kepada agensi berita Associated Press.

Kajian itu yang diketuai oleh Dr. Joanne Davila dari Universiti Stony Brook mendapati, penghantaran mesej, e-mel dan waktu yang banyak dihabiskan di Facebook boleh menyebabkan emosi remaja terganggu. - (sumebr: zonfiniti.blogspot.com)


17 Ogos 2011

BERSARA PILIHAN & KE GERBANG PERSARAAN WAJIB


oleh DR RAJIEE HADI
Presiden,
Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.
SAYA ingin menyentuh tentang hakikat,kenyataan dan cerita di sebaliknya berhubung frasa topik 'Bersara Pilihan dan Ke Gerbang Persaraan Wajib' sebagai takah-takah yang akan ditempuhi dan dihadapi oleh para pekerja sama ada di sektor awam dan swasta. Bagi pekerja sektor persendirian istilah ';bersara' agak subjektif dan terserahlah kepada individu itu sendiri tanpa batasan dan sempadan.Sehubungan ini sudah tentulah saya hanya memfokuskan kepada para penjawat awam sahaja.

Penjawat awam baik yang berada di tingkat tertinggi kumpulan khas Jusa A mahupun di gred kumpulan sokongan ke bawah, sudah sedia maklum mereka terikat dan tertakluk dengan Perintah Am Kerajaan (General Order) selagi mereka masih berkhidmat. bahkan mereka yang telah layak bersara dan telah bersara juga masih terikat dengan peraturan kerajaan di bawah Akta Pencen yang kini dikawal selia di bawah Bahagian Pascaperkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA).

Kendatipun ada penjawat awam yang berada di puncak gred Jusa atau Turus yang kita sedia maklum telah melalui beberapa penilaian cemerlang dalam perkhidmatan namun tidak sesiapa pun boleh menduga; seperti mana yang dilaporkan di dada-dada akhbar, ada juga di kalangan mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan kuasa seperti salah laku rasuah, masalah moral dan integreti.lnilah apa yang dikatakan cabaran dan pengkhianatan yang tidak diduga sepanjang tempoh perkhidmatan.Mereka yang berkelakuan 'curang' dalam perkhidmatan terimalah padah dan derita nestapa yang berpanjangan; selagi hayat dikandung badan.

Justeru hasil daripada perjuangan kesatuan-kesatuan sekerja yang di bawah naungan CUEPACS kini persaraan wajib kakitangan kerajaan dilanjutkan daripada usia 55 tahun ke 56 tahun dan kemudian 58 tahun. terpulanglah kepada penjawat selepas usia bersara wajib 55 tahun sama ada mahukan opsyen 56 atau 58.Selepas 58 kakitangan kerajaan masih lagi boleh berkhidmat secara kontrak tahun demi setahun sehingga maksimum 65 tahun bergantung kepada keperluan,kesihatan dan sokongan.

Sehubungan ini, saya mahu meneceritakan serba sedikit apa yang dikatakan bersara pilihan pencen berbayar dan bersara pilihan pencen tidak berbayar. Mengikut Pekeliling Sistem Saraan baru (SSB) dahulu, penjawat awam boleh mohon bersara awal ketika umur 40 tahun dengan kelulusan ketua jabatan atau majikan.

Namun pencen bulanan hanya akan dibayar kepada penjawat lelaki ketika umur 50 tahun, manakala penjawat wanita ketika umur 45 tahun berdasarkan perkiraan gaji akhir semasa permohonan bersara dilluluskan.Namun demikian, saya nasihatkan para pembaca yang berminat membaca topik ini, sila rujuk pekeliling terkini berhubung kes ini.

Walau bagaimana pun warga Kementerian Pelajaran Malaysia  di sektor pengajaran dan pembelajaran /P&P (mungkin ada kementerian lain juga menggariskan klausa dan peraturan tambahan) tidak membenar bersara pilihan tatkala usia 40 tahun atas alasan keperluan kritikal. Mereka hanya dibenarkan bersara pilihan bagi lelaki 50 tahun dan wanita 45 tahun dengan mengajukan permohonan ke Ketua Pengarah Pelajaran/ Ketua Bahagian masing-masing untuk kelulusan.Ingat, bukan semudah itu! Ada syarat-syarat di peringkat sumber manusia dan kelulusan bahagian-bahagian lain terlebih dahulu.

Seorang penjawat awam daripada kumpulan profesional yang terbabit secara langsung dalam sektor pendidikan 5-6 tahun lalu memberitahu bahawa beliau telah mula merancang mahu bersara awal ketika berusia 48 tahun. Borang permohonan dan persiapan telah dikemaskinikan. Beliau berasa kecewa kerana peluang untuk kenaikan pangkat agak tipis kerana amalan kronisme dan ketua jabatan yang tidak amanah!

Bayangkan selama hampir 30 tahun beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi, ketua jabatan atau wakilnya tidak pernah bersemuka menemuinya untuk memberi markah untuk penilaian prestasi.Walhal jika mengikut prosedur JPA, semua penilai WAJIB bersemuka dan berbincang untuk tujuan pemarkahan.lni jelas melanggar etika dan peraturan.Apatah lagi jika kedapatan ketua jabatan atau ketua pejabat dalam set minda telah tersedia memberi gambaran negatif dan prasangka peribadi kepada penjawat awam di bawahnya.

Menurut penjawat awam tersebut beliau amat hilang kepercayaan dan bertegas memegang prinsip kentalnya mahu bersara pilihan kerana 10 faktor berikut:

1.Hilang kepercayaan dan keyakinan kepada majikannya.
2.Kelayakan pada tarikh bermulanya permohonan yang dimahukannya,usianya genap 50 tahun.Beliau mengajukan permohonan ketika berusia 49 tahun.
3. Tindak pernah dan bebas daripada Tindakan Tatatertib.
4. Tidak pernah disabitkan dengan hukuman atau perintah mahkamah yang menyebabkan hilang kelayakan.
5.Tugas yang disandangnya kini bukan kategori perkhidmatan kritikal.
6. Bebas daripada ikatan perjanjian biasiswa/pinjaman pelajaran kerajaan.
7. Bebas daripada Pinjaman Perumahan Kerajaan , Kenderaan Kerajaan dan Cukai Jabatan Hasil Dalam Negeri.
8. Bebas dan melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri yang disabitkan dengan rasuah dan apa jua kesalahan-kesalahan yang melanggari syarat.
9.Mahu berkhidmat dan berjuang di luar sektor kerajaan ataupun menerima tawaran perkhidmatan di agensi lain yang menawarkan ganjaran yang lebih baik dan munasabah.
10.Telah cukup syarat berkhidmat lebih daripada 600 bulan sebagai kakitangan kerajaan terlatih yang telah disahkan dalam perkhidmatan awam.

Berdasarkan 10 perkara di atas maka tepat pada usia tarikh hari lahirnya, beliau 'dianugerahkan' bersara pilihan dengan dibayar kuat kuasa pencen bulanan dan ganjaran imbuhan yang sepatutnya selama tempoh perkhidmatannya.Sebenarnya memperoleh 'anugerah' pesara kerajaan bukanlah mudah pada zaman yang penuh pancaroba ini.

 Di samping menghadapi kesihatan dan maut menjemput, penjawat awam juga tidak terlepas daripada menempuh dugaan dan cubaan kehidupan seperti salah laku rasuah, jenayah, pecah amanah dan sebagainya ketika meniti hari-hari ke gerbang persaraan wajib. Rancanglah pengisian anda ketika menempuh hari-hari pascaperkhidmatan agar diri anda tidak dilanda kemurungan.

Namun mereka  yang telah mendapat ;'title' itu adalah insan-insan terpilih oleh Allah SWT terutama yang Bersara Pilihan Atas Pilihan Sendiri dan Bersara Wajib.Bagi pelepah yang muda di pepohonan, janganlah ketawakan pelepah yang telah jatuh terdampar di permukaan bumi; lambat-laun semua akan merasainya. Selamat berjuang dan usah mengalah dalam kehidupan ini.(sumber:drrajieehadi.blogspot.com)

GERAKAN KRISTIAN: SATU PENDEDAHAN KISAH BENAR


PENDEDAHAN yang mahu dibuat ini diharap tidak akan menyusahkan semua pihak. Bukan semua orang yang sukakan kepada masalah.Dan menjadi kewajipan kita mendedahkannya.

KISAHNYA datang daripada seorang cikgu sekolah rendah, berketurunan lndia ( hindu) (Cikgu S) yang amat prihatin kepada anak-anak muridnya. Satu petang beliau mencari nombor saya dan menghubungi saya di pejabat.Selebihnya biarkan pihak berkuasa yang mengambil tindakan, lagipun itu adalah amanah yang diberikan rakyat kepada mereka.

Cikgu S berkata kepada saya: “Saya terkejut apabila mendapati beberapa anak murid saya berbangsa Melayu dan beragama Islam murid Tahun 1 dan 6 boleh menyanyi dengan semangat lagu memuji kebesaran Nabi Isa.
“‘Mereka menyanyikan lagu Yes, I know Jesus loves me dengan begitu bersemangat lagi. Mereka juga menyanyikan lagi Hari Ini Ku Rasa Bahagia yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib. Saya terkejut bagaimana murid-murid ini boleh menyanyikan lagu-lagu itu?

“Malah mereka juga boleh bercerita kisah-kisah Nabi Isa dengan lancar sekali serta mengenai kisah Nabi Isa disalib.” Itulah antara pendahuluannya kepada saya. Anak-anak murid cikgu ini adalah anak-anak Melayu miskin yang tinggal di kawasan setinggan di Jalan Klang Lama dalam kawasan Parlimen Seputeh.

Setiap hari Ahad, anak-anak miskin Melayu beragama Islam ini akan ke kelas tuisyen yang diberikan percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu. Pemuda-pemudi itu dikatakan pendakwah Kristian yang menjalankan kelas-kelas percuma untuk kanak-kanak itu.

Namun, akhirnya secara kebetulan cikgu sekolah bernama Cikgu S itu dapat mengesan bahawa anak-anak muridnya sudah hafal dengan lagu-lagu berunsur Kristian yang memuji kebesaran Jesus Christ (Nabi Isa). Memanglah lagu-lagu itu dilagukan dalam bahasa Inggeris.Asal matlamatnya ialah untuk mengajar bahasa Inggeris. Maka, ibu bapa yang melepaskan anak-akan mereka itu yakin itulah yang diajar oleh pemuda-pemudi itu.

Bagi ibu bapa miskin yang tidak faham dengan bahasa orang putih itu, mereka tidak akan sedar bahawa lagu-lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak kecil mereka itu ialah lagu keagamaan yang berlawanan dengan agama asal mereka.

“Saya juga mengambil inisiatif menghubungi pejabat agama Islam untuk memaklumkan mengenai perkara ini. Bagi saya ia adalah serius.”

Cikgu S yang mengajar anak-anak murid di sebuah sekolah kebangsaan di Jalan Kuchai Lama itu tersedar ada anak muridnya yang boleh menyanyikan lagi Inggeris tersebut.

“Saya terkejut kerana murid itu boleh menyanyikan lagu Nabi Isa. Saya mengajukan kepada pihak sekolah mengenai penemuan itu dan kepada cikgu-cikgu agama sekolah.

Cikgu S turut merungut kerana pihak pejabat agama Islam tidak respons cepat kepada aduannya itu. Beliau seterusnya menghubungi ke pejabat-pejabat lain, termasuklah kepada pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Mungkin Cikgu S tidak dilayan kerana mereka mahu cepat ke Bazar Ramadan!
Saya bertanya kepada Cikgu S mengapa cikgu begitu mengambil berat mengenai hal ini, sedangkan beliau bukan orang Islam dan berbangsa Melayu?

“Saya bangkitkan ini atas kesedaran bahawa apa yang dilakukan kepada anak-anak murid saya itu adalah satu kesalahan moral dan ia adalah tidak patut dan tidak adil berlaku kepada mereka.
“Sebagai seorang guru, anak-anak murid saya yang masih mentah ini tidak patut diterapkan dengan unsur-unsur Kristianiti oleh sesiapa pun. Biar orang sedar murid-murid saya menjadi mangsa ini...”

“Saya sedar mengenai perkara ini pada hari Jumaat dua minggu lalu dan dilihat tiada tindakan yang dibuat, walaupun aduan telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Pelajaran Negeri.”
Malah Cikgu S juga turut menelefon sahabat baiknya, Ridhuan Tee Abdullah mengenai perkara ini.

Ridhuan Tee di dalam blognya, http://ridhuantee.blogspot.com menulis: ‘‘Saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh murid tersebut dengan teliti melalui telefon bimbit guru tersebut yang diserahkan kepadanya. Ternyata, anak kecil yang masih mentah dan tidak berdosa ini telah dicorakkan oleh guru Kristian tersebut melalui kelas tuisyen.

“Tindakan guru tuisyen benar-benar keterlaluan dan amat kurang ajar. Saya amat mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas sebelum nasi menjadi bubur. Cukuplah dengan beberapa orang yang telah dimurtadkan secara berani seperti Aishah Bukhari, Azlina Jailani dan sebagainya.”
Namun semasa kolum ini ditulis, saya difahamkan pihak sekolah telah menghantar satu laporan lengkap kepada Jabatan Pelajaran untuk tindakan susulan.

Menurut Cikgu S, hasil siasatannya dengan murid-murid itu, dia diberitahu cara pengajaran yang dilakukan oleh pemuda-pemudi itu cukup menarik malah kanak-kanak itu turut dibawa membeli-belah, berkhemah dan berjalan-jalan. Bagi saya apa yang berlaku di kelas tuisyen di sebuah rumah itu merupakan satu gerakan halus. Ia bukan dilakukan secara suka-suka.

Begitu juga yang berlaku di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya minggu lalu. Ia bukan berlaku secara kebetulan, tapi dirancang dengan begitu tersusun. Matlamatnya ialah untuk menembusi akidah orang Melayu beragama Islam yang selama ini sukar ditembusi. Itulah sebabnya apabila orang Melayu Islam berpecah, maka unsur-unsur ini akan masuk sedikit demi sedikit ke dalam sistem umat Islam.

Persoalannya di mana NGO-NGO Islam kita yang kononnya kuat dan Islamik itu? Malangnya mereka ini lebih kuat berpolitik daripada menjalankan kerja-kerja dakwah yang sebenar.Tahukah anda bahawa gerakan Kristian ini bukan sahaja bergerak secara agresif di negara ini, tapi juga melangkaui sempadan. Gerakan mereka ini tidak kelihatan dengan imej-imej pakaian ala berkopiah putih, tabligh atau purdah, tapi cukup halus.

Mereka juga membuka kelas-kelas bahasa Inggeris dan muzik di beberapa negara lain, termasuk di Vietnam, Kemboja, Indonesia. Namun ia bukan kelas bahasa Inggeris atau muzik yang biasa, niatnya ialah untuk menerapkan agama mereka.
Siapa sebenarnya yang salah dalam hal ini? Mana perginya Persatuan Mahasiswa Islam dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) yang garang itu. Tapi mereka hanya garang kepada pemerintah kerajaan, yang bagi mereka itu tidak kena, ini tidak kena. Mengapa tidak dilakukan kerja-kerja sosial seperti yang dilakukan oleh gerakan Kristian itu?
Jika dulu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat aktif, tapi kini ia nampaknya longlai.

Semasa saya menaip tulisan ini, saya menerima teks SMS daripada Cikgu S. Mesej beliau cukup menyentuh perasaan. Saya berharap dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini ia dapat membuka mata kita semua Melayu Islam: SMSnya berbunyi:

‘‘Terima kasih kerana mengambil serius tentang isu ini. Tahniah saya ucapkan. Saya sebagai Guru dan Anak Malaysia, sangat berharap agar tindakan tegas diambil demi menyelamatkan anak-anak kita yang diibaratkan sebagai ‘KAIN PUTIH’.

“Dengan bukti KUKUH ini, saya berharapan tinggi agar pendedahan ini akan dapat juga membuka mata umat Islam yang berpecah-belah kerana gilakan kuasa politik dengan terlepas pandang anasir di luar sana yang ‘SEDANG’ mengambil kesempatan ini terhadap anak-anak kita yang tidak berdosa.


Benarlah sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan bagai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

"Dengan bukti kukuh ini juga biar dunia tahu tentang kesucian agama ISLAM, agama rasmi negara kita yang kita cintai.  Semoga saudara diberkati.  Salam 1 Malaysia, 
Cikgu S.
Namun dalam hal ini adalah salah ibu bapa yang miskin dan daif itu, atau salah kita semua? ...(sumber diseseuaikan Zaini Hassan: UM, 17/8/11  daripada tiubbocor.blogspot.com))

14 Ogos 2011

MUSLIM MURTAD: BERAPAKAH JUMLAHNYA?


ISU murtad bukan perkara baru, namun gempar semula susulan pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Damansara dan mendapati ada orang Islam menyertai majlis di dalamnya. Wartawan Berita Minggu, ROHANIZA IDRIS dan SYED MOHD RIDZUWAN SYED ISMAIL bertemu Pensyarah Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dan Presiden Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Dr Yusri Mohamed untuk menghuraikan isu ini.Badlihisham Mohd Nasir


PADA pandangan Prof, sejauh mana parahnya isu murtad di negara kita kerana sebelum ini, Tan Sri Dr Harussani Zakaria mendakwa lebih 230,000 Muslim di Malaysia murtad?

Jumlah besar Islam murtad terdiri daripada mereka yang pernah memeluk Islam dan kemudian keluar agama ini termasuk Orang Asli. Ia bukan angka masuk Kristian di kalangan orang Islam secara khusus. Kita tidak mahu ada pihak menggunakan angka tidak dipastikan ini yang akhirnya menimbulkan rasa tidak tenteram sehingga memerlukan penyelamat atau hero tidak diundang. Sedangkan mereka sebelum ini tidak ambil peduli pun. Pihak berkuasa agama mungkin tiada data kemas merujuk isu ini atau mungkin disembunyikan atas alasan tertentu. Ini menyukarkan khususnya bagi kajian objektif dan terperinci dilakukan ahli akademik atau orang luar. Usaha ke arah mendapatkan jumlah tepat atau profiling perlu segera dilakukan. Sebagai umat Islam bertanggungjawab, kita harus berani berdepan situasi sebenar sebelum merangka dan mengambil tindakan sewajarnya.

Benarkah Islam murtad didorong sogokan dan bantuan atas faktor kemiskinan. Apakah selemah itu masyarakat Islam hingga senang sekali murtad?

Pemberian wang dan bantuan ada asasnya kerana dalam konteks gerakan pendakyah Kristian, wujud konsep ‘diakonia’ iaitu khidmat masyarakat kerana ia tuntutan bagi melaksanakan manifestasi Love of God yang menjadi asas agama itu. Namun, tidak semua penganut Kristian mempunyai orientasi itu seperti tidak semua Muslim ada visi dakwah. Dalam Kristian, tidak semua terbabit menyebar agama, begitu juga dalam Yahudi tidak semua jahat kecuali Zionis. Bagi misionari Kristian, tumpuan diberi kepada aspek kebajikan dalam menarik minat penganut. Sudah tentu isu kemiskinan boleh digunakan untuk melaksanakan misi dan visi mereka. 
Kita harus serius terhadap perkara ini kerana Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran.” Pertolongan gerakan ini harus dilihat penuh hati-hati walaupun hasil perbincangan saya dengan pihak Kristian, tidak semestinya mereka mencapai objektif mengkristiankan orang ramai setiap kali memberi bantuan kerana itu sebahagian tanggungjawab. Mereka yang ada masalah ekonomi, ditambah dangkal mengenai Islam memang terdedah kepada proses murtad. Namun, tidak semudah itu umat Islam murtad. Takkanlah dengan hanya membaca Bible atau hadir majlis di gereja menyebabkan mereka menukar agama. Bahkan bagi mereka yang lengkap ilmu agama sendiri, ia berguna bagi melihat perbandingan Islam dengan agama lain dan dapat meningkatkan lagi keimanan. 

Bagaimana dengan konsep perbincangan atau sikap terbuka antara agama?

Seorang aktivis Muslim di United Kingdom yang saya temui berasa Islam sangat sempurna apabila melalui proses inter-religious community, melawat tempat ibadat agama lain di samping mendapat penerangan lanjut tokoh agama itu. Ini tidak termasuk tokoh Kristian sendiri yang memeluk Islam selepas mereka mempelajarinya. Ramai terpesona dengan kaedah perbandingan ini. Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, menyatakan beliau kerap baca al-Quran dan mengaku banyak mendapat perkara baru daripadanya. 

Bagi orang awam, kehadiran di tempat sedemikian (ke gereja) boleh menimbulkan fitnah kerana pihak Kristian yang berniat memurtadkan orang Islam dibekalkan dengan pendekatan kontekstualisasi, cuba membumikan Kristian dengan acuan budaya tempatan. Mereka menggunakan nama Allah, mengekalkan adat dan budaya tempatan bahkan ritual agama juga. Di Indonesia, ada orang Kristian menutup aurat, mengaji Bible dengan nada seperti membaca al-Quran. Kita mungkin boleh tafsirkan bahawa perbuatan menyamakan berbuka puasa dengan thanksgiving adalah satu daripada pendekatan itu. Walaupun penganjur menafikan niat sebenar, mereka harus mengambil kira sensitiviti ini. Walaupun kecenderungan Kristian kini membentuk pendekatan baru yang lebih toleransi dan harmoni melalui inter-religious witness berbanding orientasi misionari, apakah jaminan mereka bebas daripada misi sebenar. Jika ingin menganggap semua agama sama, Islam tetap tidak dapat menerima pluralisme dan liberalisme, Islam bukan sekadar agama ritual tetapi sistem hidup yang lengkap.

Berbalik kepada kemiskinan yang mungkin digunakan misionari memurtadkan orang Islam. Bolehkah ia dikaitkan dengan kelemahan sistem pengagihan wang zakat dalam Islam?

Jika kita ke pusat zakat, orang yang ingin membayar zakat disambut dengan senyuman dan ada juga diberi cenderamata, berbeza dengan layanan terhadap orang yang datang untuk meminta zakat, ditambah dengan pelbagai prosedur menyukarkan golongan yang jahil mengenai hak mereka mendapat pembelaan. Kita kena sedar orang miskin lazimnya datang dari satu pakej latar belakang pendidikan rendah dan ramai tidak tahu prosedur. Ada juga masalah profiling asnaf di agensi berkaitan sehingga sukar menjejak mereka yang layak. Orang yang datang biasanya terdesak memerlukan bantuan sedangkan mereka terpaksa melalui birokrasi rumit. Namun, saya yakin agensi berkenaan sedar dan berusaha memperbaiki masalah ini. Kesalahan juga boleh diletakkan kepada fakir yang sengaja mencari kesempatan membolot bantuan walaupun walaupun menggadai akidah di pusat bantuan agama lain. 

Bagaimana mahu membendung murtad, sedangkan ada dakwaan jika minum air suci atau holy water pun sukar mengucap dua kalimah syahadah, seterusnya melupakan Islam?

Rasionalnya, takkanlah minum air boleh sebabkan seseorang murtad atau lupa. Jika begitu, kerja misionari Kristian sangat mudah. Kita hendaklah adil sekalipun terhadap musuh. Janganlah guna hujah palsu bagi menunjukkan kepalsuan agama lain atau dengan tujuan menunjukkan kita terancam. Hebat sangat nampaknya Kristian sampai menimbulkan rasa takut umat Islam. Namun jika dakwaan itu betul, ia perlu diambil perhatian kerana sihir bukan boleh dinafikan begitu saja. Walaupun isu ini dinafikan pihak gereja, ia perlu dijejaki untuk membuktikan kebenarannya. Jika benar, ia termasuk dalam kategori paksaan secara tidak langsung. 

Dalam kes JAIS, ia menjadi rumit kerana masalah pendekatan, berkait dengan waran dan sebagainya. Kenapa tidak bagi ruang kepada JAIS menjalankan tugas kerana melalui kenyataan jabatan itu, mereka pergi (memeriksa gereja) dalam keadaan baik dan mempunyai bukti. Masyarakat harus bersabar kerana JAIS bertindak mengikut undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita mungkin boleh mempersoalkan cara dan pendekatan, tetapi tidak dalam masalah prinsip. Jika terbukti ada usaha mengkristiankan atau sebaliknya, biar mahkamah memutuskan. Undang-undang yang ada jangan dilihat menceroboh hak penganut agama lain. Sejarah menunjukkan Kristian mengenakan hukuman berat kepada mereka yang tinggalkan agama itu tetapi ia larut dalam arus sekularisme dan liberalisme di Barat. Orang Islam berhak menjaga agama selaras dengan undang-undang murtad dan tidak menceroboh hak agama lain. 

Kita juga perlu memperkasakan lagi fungsi surau dan masjid. Pintu masjid perlu dibuka kepada semua dengan menjaga adab dan aktif aktiviti kemasyarakatan seperti gereja. Gelandangan dan pesakit termasuk penghidap AIDS mendapat tempat di gereja sedangkan orang Islam memandangnya jijik. Versi lama masjid hanya tempat solat perlu diubah seperti diimarah secara meluas pada zaman Rasulullah SAW. Umat Islam perlu tampil memimpin semua agama, harus jadi umat terbaik menyatukan kepelbagaian kepercayaan dalam suatu kuasa yang dihormati. Apa yang berlaku kini Kristian aktif mendominasi sedangkan Islam boleh menjadi payung semua agama. Hidayah adalah kurniaan Allah tetapi kita harus berusaha berdakwah dengan pelbagai cara termasuk memimpin mereka walaupun mereka tetap kekal dalam agama masing-masing. Akhirnya kita harus bijak agar isu ini tidak menenggelamkan isu lain yang lebih penting.

Miskin bukan alasan gadai akidah

Yusri Mohamed 

BAGAIMANA PEMBELA melihat isu murtad yang kembali menggemparkan negara?

Murtad di Malaysia adalah kes serius tanpa perlu mengambil kira berapa jumlah yang sudah murtad. Selama ini, mengikut Perlembagaan, kita berjaya mempertahankan setiap orang yang dilahirkan Islam tidak boleh menukar agamanya. Apa yang sudah dipraktikkan itu sangat berjaya dalam negara majmuk, yang tidak ada di negara lain. Kes murtad walaupun hanya seorang, adalah serius. Cubaan memurtadkan orang Islam semakin bertambah dan dibimbangi terus meningkat jika tiada usaha segera menyekatnya. Dalam kes gereja di Damansara itu, jelas membuktikan ada gerakan memurtadkan umat Islam. Ini ancaman baru yang cuba dilakukan secara tersembunyi, tetapi semakin berani dan agresif.

Adakah ini kerana kelemahan penguatkuasaan dan gerakan dakwah Islam?

Semua perlu muhasabah dalam isu ini. Pemimpin negara peringkat tertinggi ada peranan, perlu tegas dan konsisten. Penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan, undang-undang perlu digunakan sebaiknya. Jangan gentar dengan tindak balas pihak yang diambil tindakan. Kita kena lihat juga cubaan yang mengganggu gugat kes penguatkuasaan seperti laporan media yang berpihak kepada satu kumpulan. Institusi agama termasuk pertubuhan Islam, komuniti dan keluarga perlu ambil serius isu murtad. Keluarga harus ambil berat ahli masing-masing dan memastikan pendidikan agama diberi. Pendidikan dapat menjadi benteng untuk tidak jahil, kufur seterusnya murtad. Sokongan keluarga kunci menyekat diri daripada murtad. Dalam pendedahan kes murtad, tiada sokongan keluarga menyebabkan seseorang terpinggir dan mencari jalan penyelesaian dengan menerima tawaran pihak yang suka mengambil kesempatan.

Faktor tekanan hidup, masalah kewangan dan kemiskinan dijadikan alasan untuk murtad. Adakah isu kemiskinan umat gagal ditangani?

Faktor itu tidak boleh dijadikan alasan untuk murtad. Saya pasti mereka yang miskin dan tertekan sengaja menggadaikan maruah dan agama demi wang. Tidak perlu hanya kerana hidup miskin, sanggup gadaikan akidah. Orang miskin yang beragama, tidak sanggup buat begitu kerana mereka percaya miskin adalah ujian keimanan. Mereka yang tiada ilmu atau kurang didikan agama saja sanggup menggadai akidah. Pihak berwajib dalam bidang pendidikan dan agama perlu menilai pendidikan dan dakwah kepada umat Islam. Begitu juga soal memberi perlindungan kepada mereka yang cetek agama, miskin, pesakit dan mualaf. Memang rumah perlindungan bertambah, malah jabatan agama Islam bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menubuhkan rumah perlindungan yang sebelum ini lebih banyak gereja buat. Diharap banyak lagi rumah seperti itu diwujudkan.

Bagaimana dengan penggunaan media baru untuk menyebarkan agama selain Islam?

Media baru dan kecanggihan teknologi dalam dakwah, sebenarnya ada kebaikan dan keburukan. Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menyebabkan batasan selama ini terbuka luas, malah ramai berani membicarakannya secara terbuka. Pada masa ia memberi kelebihan mendedahkan Islam kepada dunia luar, pintu untuk memurtadkan orang Islam juga terbuka luas. Saya percaya isu murtad lebih kepada kelemahan pegangan agama, bukan kerana kecanggihan ICT.

Apakah pendapat anda terhadap pihak yang menuduh JAIS melanggar Perlembagaan, menyekat kebebasan beragama kerana melakukan pemeriksaan di gereja di Damansara itu?

Kenyataan sedemikian dikeluarkan mereka yang tidak mahu mendengar penjelasan JAIS. Mereka juga menentang dan memesongkan tafsiran Perkara 11 dalam Perlembagaan dan cuba mengelirukan orang lain dengan tuntutan bukan-bukan. Perkara 11 menyebut kebebasan beragama, namun ada batasannya. Golongan itu membawa dakyah untuk memecah belah rakyat asalkan niat mereka tercapai. Usah berkompromi dengan perkara berkaitan akidah dan iman. Ada umat Islam dalam membicarakan isu agama, sering melupakan akidah dan iman, menghalalkan cara dan membelakangkan agama, pentingkan kelangsungan politik serta kedudukan. Kita perlu tegas jika bicara soal akidah, iman dan agama. Sesetengah orang begitu tegas dalam isu demokrasi dan hak asasi pilihan raya tetapi tidak berani bersuara dalam kes agama, akidah dan iman. Jelas berlaku kemungkaran. Yang lantang memberi komen ialah pihak cetek agama serta ada sentimen politik. Ada pihak tidak suka JAIS atau apa saja dilakukan badan itu mahu dipolitikkan. Ini amat menyedihkan untuk umat Islam di negara ini. (sumber: Bharian, 14/8/11)

10 Ogos 2011

FACAEBOOK : WASPADALAH!


POLIS menasihatkan pengguna internet supaya berhati-hati dengan perangkap cinta siber yang semakin aktif di negeri ini, terutama membabitkan hubungan perkenalan melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang akhirnya menyebabkan mangsa kerugian ribuan ringgit.

Perkara itu didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah selepas mengesan 21 kes jenayah siber yang direkodkan sehingga Julai lalu dengan tujuh tangkapan dibuat, berbanding 20 kes tahun lalu.
Ketua JSJK Kedah Superintendan Nasbah Jusoh, berkata pengguna internet perlu lebih peka dengan taktik jenayah siber kerana perbuatan mendedahkan butiran peribadi kepada orang asing selain mempercayai kekasih siber hanya akan menjerat diri sendiri.

"Kita mengesan kes jenayah siber termasuk hubungan cinta menerusi Facebook semakin serius di negeri ini, termasuk menggunakan gambar gadis cantik yang dipaparkan pada profil pemegang akaun untuk menjerat lelaki kemaruk cinta dengan tujuan untuk mendapatkan wang.

"Apa yang peliknya dalam kebanyakan kes, mangsa sanggup menghabiskan wang untuk menawan hati kekasih siber mereka walaupun percintaan mereka hanya di alam maya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Nasbah berkata, polis turut mengesan 26 kes membabitkan sindiket penyamaran sebagai pegawai bank yang mensasarkan penjawat awam dan pekerja swasta sebagai mangsa dengan nilai kerugian mencecah RM324,000 dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Katanya, modus operandi sindiket itu ialah menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai wakil bank sebelum memaksa mereka membayar sejumlah wang kononnya baki kad kredit bagi mengelak tindakan undang-undang diambil. 
Beliau berkata, jumlah jenayah itu meningkat berbanding 23 kes tahun lalu dengan nilai kerugian mencecah RM281,000 dengan dua tangkapan dilakukan.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pihak yang mengaku wakil daripada institusi perbankan yang menuntut bayaran dibuat atas nombor akaun persendirian bagi mengelak menjadi mangsa," katanya. (sumber:BH, 10/8/11)

PUASA: SIA-SIA TANPA SOLAT


BERPUASA tetapi tidak menunaikan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga tetapi tidak sanggup menunaikan solat. Ada yang berpuasa, tetapi meninggalkan solat atau hanya solat ketika Ramadan. 

Kita bimbang nanti puasa dan sedekah tidak bermanfaat kepadanya kerana solat tiang agama. Ada juga kalangan kita menyuruh anak berpuasa tetapi membiarkan mereka tidak solat.
Tidak menjaga batas agama seperti pergaulan lelaki dan wanita serta menutup aurat. Lelaki masih berseluar pendek ketika membeli juadah berbuka puasa dan ada wanitanya pula tidak bertudung malah memakai baju tidur kelawar semasa mencari juadah.

Ada juga wanita tidak berpuasa kerana uzur syarie (haid dan nifas) pula tidak menghormati Ramadan kerana berani makan di khalayak tanpa segan silu. 

Menghabiskan masa menonton televisyen, video cakera padat (VCD), sedangkan hari dan malam yang datang setahun sekali itu patut digunakan bagi memperbaiki amalan serta mengingati kesalahan lalu. 

Sepatutnya pada bulan ini kita gandakan bacaan al-Quran, cuba menghafal beberapa surah pendek dan sentiasa pasangkan niat berkhidmat kepada insan lebih memerlukan. 

Membazir ketika berbuka puasa disebabkan nafsu membeli tinggi. Semua hendak dibeli tetapi apabila tiba masa berbuka, makanan yang dibeli tidak dihabiskan. Membiarkan anak bermain mercun sehingga mengganggu jemaah yang menunaikan solat tarawih di masjid atau surau berdekatan. Sebaiknya galakkan anak solat tarawih dan tilawah al-Quran bersama. 

Hanya puasa makan dan minum, tetapi tidak menjaga pancaindera seperti mata, lidah dan telinga ketika berpuasa. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak mengharapkan puasanya dari makan dan minum.” 
Tidak mahu bersahur mengurangkan berkat dan pahala puasa kerana tidak menurut wasiat Rasulullah yang bersabda maksudnya: “Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” 

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” 

Semoga kita dapat memperbaiki puasa kali ini dan menjadikannya lebih baik dari tahun lalu. (sumber: Bh, 10/8/11)

PENGEMIS DAN ZAKAT SALAH SIAPA


Dr Rajiee Hadi   
DALAM nota pendek ini saya mahu merujuk bicara tentang aspek wang zakat.Dan
 saya  hanya menumpukan sumber zakat fitrah sahaja sebagai sumber ekonomi bagi
 membantu golongan lslam daif.
Walaupun kita ketahui pendapatan daripada zakat terus mengalir saban waktu bagi
meningkatkan ekonomi ummah banyak daripada pelbagai   termasuk dana
 bersumberkan zakat pendapatan, zakat perniagaan,haiwan,wang,harta,barangan
 kemas  dan lain-lain namun ini belum lagi termasuk sumbangan dana dan peruntukan
 kerajaan, derma dan sedekah daripada orang ramai,NGO dan organisasi tertentu.
Hasil pendapatan ini biasanya akan diamanahkan atau diwakafkan ataupun diselenggarakan
 oleh jabatan-jabatan agama negeri masing-masing sama ada di bawah pengurusan
Majlis Agama lslam negeri dan juga Baitulmal.
Sekilas pandang betapa cantiknya susun atur carta organisasi aliran pendapatan dan
dana untuk membantu umat lslam agar tidak hidup merempat yang mana boleh
menghampiri atau menjurus ke arah kekufuran.
Soalnya, jika di Malaysia kita ambil contoh titik tolak bermulanya pada hari kemerdekaan
 negara, 31 0gos 1957 hingga kini; anehnya masih kita 'dihebahhebohkan' dengan sang
pengemis yang berkeliaran di sana sini, sang fakir yang merempat 'Bersamamu' hidup
 dalam kemiskinan, keluarga daif,dan orang kurang upaya (OKU),saudara baru dan
seumpamanya yang miskin lara, mengemis dan mendamba berjurai air mata
hiba hinggakan ironisnya mengharapkan bantuan di pihak gereja katolik atau
mana-mana badan bagi menagih simpati.Apa sudah jadi wang zakat itu?
Kepada para pemegang amanah yang alim warak di jabatan atau majlis-majlis
 agama atau baitulmal apakah sudah jadi dengan wang zakat? Adakah membina
kolej universiti,premis dan wisma yang didirikan atas logo lslam boleh mengeringkan
derita air mata sang peminta?

Amat memalukan  jika yang menjadi keutamaan dikebelakangkan manakala yang
 tidak wajib dimercukan.Biarlah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri
 yang telah sedia ada peruntukan untuk agama lslam selaras dengan Perlembagaan
 Negara membangunkan masjid,sekolah,kolej dan sebagainya melaksanakan
tanggung jawabnya. Dalam erti kata lain usah diusik wang zakat selagi ada
 kemiskinan dan kelaparan umat lslam.
Bayangkan andainya pada tahun 1957 zakat fitrah yang dikenakan setiap individu
 lslam sekitar seringgit. Sekiranya umat lslam ketika itu 12 juta anggarannya kita
mengumpulkan RM12 juta! Masakan sang fakir miskin papa kedana berjumlah
10-15 juta ketika itu/ Tidak mungkin.
Rasa-rasanya sekitar 10% penduduk lslam yang  dalam kategori fakir dalam lingkungan
  1.2 juta pada masa itu. Kerana semiskin-miskin orang Melayu pada zaman itu
ada punya rumah sendiri,tanah dan dusun warisan sendiri yang boleh diusahakan
untuk bercucuk tanam.Saya percaya wang zakat fitrah yang terkumpul dalam satu
tahun sahaja,RM12juta  PADA TAHUN 1957 boleh menyelesaikan isu sang fakir
 dalam negara Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. lngat ini hanya anggaran kasar sahaja.
Justeru bagaimana pada era kini wang zakat fitrah RM6-7 setiap individu manakala
 penduduk lslam berjumlah hampir 20 juta? Dengan kiraan yang mudah anda boleh
 gambarkan berapakah wang yang terkumpul. ltu belum lagi merangkumi hasil mahsul
 zakat dan sumber-sumber yang lain.
Alangkah beruntung dan bertuahnya umat lslam.Nota ini cuma mahu mencetuskan
 minda kritis pembaca secara permukaan dan dasarnya sahaja. Dan alangkah indahnya
 umat lslam daripada semua lapisan masyarakat,latar kepakaran dan kemahiran
 berganding usaha dan memfokuskan kebajikan ummah tanpa tertipu dek
 kebendaan semasa.Dan masa inilah kita memikirkan sebuah negara impian
 yang berkebajikan untuk kesejahteraan rakyatnya!(sumber: HDaily, 10/8/11)
.
Hentikan dakyah penyebaran agama bukan islam kepada orang Islam dengan mengautkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:

  • Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5). 
  • Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6). 
  • Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7). 
  • Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8). 
  • Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).


Sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh ditangkap tanpa waran.
Bertitik tolak dengan peristiwa akhir-akhir ini mengetengahkan isu murtad dan perihatinan pihak  agama lain terhadap orang Islam hendaklah dipandang serius dalam masyarakat dan jabatan agama Islam.




Ramai mualaf yang mendedahkan pengalaman mereka berurusan dengan pihak berwewenang dimajalah atau akhbar  tentang perilaku segelintir pegawai agama yang enggan bekerjasama dengan mereka , sehingga mereka terpaksa menerima herdikan , hinan  dan sebagainya . Seharusnya pegawai tersebut memberi  layanan yang sewajarnya dengan penuh hemah demi menjaga kebajikan 'ahli baru ' tersebut.


Pihak Jabatan Agama perlulah memantau sejauhmana bantuan yang diberikan itu mencukupi kepada mualaf sementara mereka dapat mencari kehidupan secara Islam sebenarnya.  Pengisian berbentuk rohani juga adalah perlu diberikan dengan lebih mendalam. Jangalah menyalahkan mereka kerana meminta bantuan.  Ini kerana mereka  baru memulakan kehidupan  secara Islami yang sebenarnya.  Berikan bimbingan dan panduan kepada mereka adalah jalan yang terbaik. Meraka adalah amanah Allah S.W.T kepada kita untuk menjaganya agar tidak kembali ke jalan sesat semula. 


Kepada penceramah di luar sana, jangalah asyik menjadi  'Ustaz Sampul' berceramah kerana wang bukan kerana memantapkan akidah para mualaf yang dahagakan ilmu agama,  kerana tidak semua mualaf memeluk Islam kerana cinta sesama manusia, tetapi ramai yang mencintai Islam kerana Islam dan Allah S.W.T.


Sama-samalah kita menyahut seruan Allah S.W.T membantu 'ahli baru' ini dengan penuh tawaduk dan ikhlas. 

TUBUH SURUHANJAYA SIASAT ISU MURTAD

BAGAIKAN satu hentaman dan panahan petir dengan isu terbaru yang melibatkan agama Allah yang pastinya akan menjadi topik perbincangan dan perhatian yang serius di kalangan umat Islam ketika ini.
Isu berkaitan serbuan daripada pihak JAIS ke atas sebuah gereja Methodist Damansara Utama. Agak terkeliru dan mendukacitakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam keadaan yang tergesa-gesa meminta ampun dan maaf kepada pihak gereja di atas serbuan yang dilakukan oleh pihak JAIS tanpa mengetahui akan perkara sebenar di sebalik kejadian tersebut.

Ia telah menyerlahkan dan mengesahkan peribadi dirinya yang sebenar, seorang 'boneka' yang sanggup melakukan apa walaupun melibatkan soal akidah dan agama Islam. Di manakah kewarasan fikirannya sehingga sanggup dirinya diperlaku sedemikian rupa.

Masih belum lagi reda isu negara Kristian yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini kini timbul pula isu terbaru yang pastinya meruntun jiwa setiap orang Islam di dalam bulan yang penuh barakah ini.
Jika benarlah ia berlaku, bagaimana dengan kontrak sosial dan perkara-perkara yang berhubung kait dengan Perlembagaan mengenai agama Islam yang telah dipersetujui oleh semua pihak.

Isu ini amat sensitif bagi umat Islam kerana ia melibatkan soal akidah. Umat Melayu dan Islam di Malaysia ini memang terkenal dengan sifat pemurah dan bertolak ansur tapi bukan dalam soal agama.
Ini isu besar yang perlu ditangani oleh semua umat Islam sama ada dari pihak kerajaan juga pembangkang.
Satu Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk bagi mendapat jawapan yang sebenarnya di sebalik isu ini.
Isu ini tidak boleh ditutup begitu sahaja tanpa ada satu jawapan yang pasti seperti isu-isu sebelum ini yang akhirnya dipendam begitu sahaja. Umat Islam tidak seharusnya berada dalam sindrom bisu, buta dan pekak.
Kita tidak seharusnya membiarkan Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dan JAIS tanpa sebarang pembelaan, sokongan dan semangat kepada mereka.

Kita lupakan soal fahaman politik masing-masing kerana ini merupakan satu isu yang perlukan sokongan padu dari semua umat Islam seluruh negara.

Saya pernah terlibat dalam gerakan menangani isu gejala murtad suatu ketika dahulu. Ia kerja yang cukup halus lagi terancang yang dilakukan oleh kumpulan tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam.
Justeru saya merayu dan memohon kepada pihak kerajaan agar dapat menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas iaitu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat secara terperinci tentang isu ini.

Jangan biarkan seluruh umat Islam berada dalam keadaan kebingungan tanpa sebarang jawapan. Jangan dibiarkan 'si kaduk naik junjung' dan akhirnya mengeluarkan tanduknya. Pendedahan mengenai hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum.

Kepada umat Islam,saya menyeru atas nama agama dan bangsa, marilah kita bersama-sama bersatu hati dalam menangani isu ini dan mungkin akan hadirnya lagi isu lain dimasa akan datang yang melibatkan agama Islam.

Kita perkuatkan semula tali persaudaraan sesama kita yang hampir longgar angkara fahaman politik masing-masing. Sedar dan insaflah, ikatan kita adalah di atas kalimah syahadah.(sumber: Jamal Lulkhir Jaludin (Pasir Salak), UM 9/8/11)

08 Ogos 2011

PENDIDIKAN ISLAM WAJAR DIWAJIBKAN


Kebelakangan ini budaya yang tidak sihat dalam kalangan pelajar semakin serius dan seolah-olah sukar dibendung. Amat menghairankankan pula kebanyakkan pelajar terlibat adalah bangsa Melayu beragama Islam.


Budaya video seks, merempit, buang anak, dadah dan sebagainya seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan dalam diri pelajar zaman sekarang. Siapa yang seharusnya dipersalahkan? Sewajarnya Kementerian Pelajaran tidak perlu dipersalahkan kerana sudah terlalu banyak program yang dilakukan bagi membendung kegiatan ini.

Sebagai seorang pendidik yang mengikuti perkembangan ini, saya mencadangkan supaya penekanan agama perlu lebih dipertingkatkan agar kepentingannya dapat digunakan bagi mendidik pelajar yang akan menjadi rakyat dan pemimpin negara ini.

Sistem pendidikan sekarang tidak menampakkan mata pelajaran Agama Islam sebagai mata pelajaran penting. Mata pelajaran ini hanya berkepentingan sekiranya pelajar ingin ke sekolah menengah agama atau ke intitusi yang menjurus ke arah keagamaan. Ini menjadikan mata pelajaran Agama Islam seolah-olah menjadi pelengkap kepada mata pelajaran lain, sedangkan kepentingan untuk masa depan pelajar amat jelas.

Saya mencadangkan subjek Agama Islam dijadikan satu kertas wajib kepada pelajar beragama Islam untuk lulus sekiranya mereka ingin ke sekolah berasrama penuh atau ke intitusi pengajian tinggi. Jangan jadikan ia sebagai mata pelajaran pilihan.

Contohnya, UPSR bagi sekolah rendah, masukkan subjek itu sebagai satu mata pelajaran peperiksaan. Kalau pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan India boleh mengambil sehingga tujuh kertas dalam UPSR, tidak ada sebab kenapa kementerian tidak boleh menambah satu lagi kertas untuk pelajar beragama Islam.

Nampak sangat mata pelajaran agama tidak penting apabila menjelang UPSR. Sesetengah sekolah rendah mula 'membuang' subjek Agama Islam untuk memberi tumpuan kepada subjek teras peperiksaan.
Begitu juga di sekolah menengah yang sepatutnya lebih ditekankan nilai keagamaan. Amat malang sekiranya ada pelajar cemerlang dalam setiap peperiksaan tetapi tidak pandai solat dan mengaji.

Jadikan mata pelajaran Agama Islam sama pentingnya dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Pelajar beragama Islam seharusnya lulus dalam kertas agama sekiranya mereka ingin memiliki sijil peperiksaan.

Apabila agama Islam dijadikan kertas peperiksaan diwajibkan lulus, saya rasa pelajar belajar lebih bersemangat lagi. Walaupun mereka belajar mungkin hanya untuk lulus peperiksaan tetapi suasana belajar akan menjadi lain.
Bagi pelajar lemah dalam agama, mereka akan mengambil kelas tuisyen untuk membaiki kelemahan ini.
Mungkin pelajar lebih kerap mengunjungi masjid dan membaca lebih banyak buku agama sebagai bahan tambahan untuk lulus kertas agama.

Saya amat berharap perkara ini perlu diberi perhatian. Kita mempunyai ramai guru agama tetapi kita hanya nampak tugas mereka sebagai pembaca doa ketika ada sesuatu majlis di sekolah.
Kita perlu ingat dengan adanya budaya agama kukuh dalam diri pelajar, dengan sendirinya mereka berfikir untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama.(sumber: UM, 8/8/11)

OGOS,OGOS,OGOS



 Di tanah lapang ini, Ogos
pernah kuhirup segar udara kali
bait puisi merakam ingatan
desa resah kota gundah
desa riang kota girang
namun tidak sesekali kepalsuan
kerana ada sari yakin merentang
kita bangunkan nusa di laut dalam

Di tanah perbuktian ini, Ogos
pernah kusisipkan sayap kedamaian
memotret keindahan flora alam
ungggas burung saling berkasihan
puput bayu saling bersahutan
pepohon daratan akrab setiakawan
merindui kejora malam mendatang
alangkah, di mana gerangan menghilang

Di tanah daratan ini, Ogos
pernah kuarak kibaran panji-panji
seteguh bersatu mengotakan janji
semerbak harum setanggi baiduri
pada pagi merdeka semenda mentari
di hadapan, sederap melangkah tegap santeri
kasihku tumpah bersemi abadi



RAJIEE HADI
Desa Damai
6/8/2003







07 Ogos 2011

USTAZ: JANGANLAH JADI USTAZ SAMPUL!


TERUS terang, saya tak sangka perkara ini berlaku di kalangan insan beragama digelar ustaz dan ustazah serta mereka yang terbabit dalam urusan dakwah.
Saya ingatkan mereka yang pakar dalam agama, termasuk ramai di kalangan mereka adalah hafiz serta hafizah, mampu menepis dugaan duniawi.

Lainlah macam ini, orang biasa yang rendah ilmu pengetahuan agama, tidaklah sedalam mereka yang hebat itu. Namun, tahu jugalah yang mana betul dan tidak betul. Yang mana boleh dibuat dan tidak boleh dibuat.

Saya bukan hendak komen mengenai cara penyampaian mereka atau pengisian syarahan yang disampaikan kerana semua ahli agama ini hebat belaka. Ada yang berkelulusan agama dari luar negara, termasuk Mesir, Jordan dan Syria.

Cuma saya terperanjat mendengar sikap penceramah zaman sekarang yang mana kalau dijemput memberi ceramah, mereka bertanya berapa jam perlu berceramah dan berapa bayaran diletakkan dalam sampul. Maksudnya, mereka tak akan ‘bekerja lebih masa’.


Paling buat saya tersedak sampai terkeluar air mata, ada di kalangan mereka yang sebaik saja mendapat sampul, terus tarik duit keluar depan penganjur dan merungut, ‘ha, banyak ini aje’. Biru sekejap muka penganjur.

Patutlah saya tengok, walaupun semakin galak rancangan agama dihasilkan dan penceramah aktif menyampaikan ceramah sana sini, masalah sosial semakin berleluasa. Jadi saya rasa, penceramah kena betulkan balik niat mereka.

Saya tak kata penceramah dan juga ustaz ini tak perlukan duit untuk hidup tetapi sebagai insan istimewa yang diberi kelebihan oleh Allah SWT untuk menyebarkan agama-Nya, mereka mestilah berhemah.

Betulkan niat berdakwah kerana Allah SWT dan saya yakin mereka yang bekerja untuk Allah SWT dengan tulus ikhlas, Allah SWT akan berikan ganjaran luar biasa.

Justeru, tak perlu merendahkan martabat diri dengan berkelakuan macam ‘orang tak tahu agama’ pula. Tidak cukup setakat itu saja, ada juga di kalangan mereka yang dengki dan cemburu dengan kejayaan kawan.


Kalau Ustaz AB dapat peluang berceramah di TV, Ustaz EF ‘naik hantu’. Dia cari jalan juga hendak masuk TV kerana bila dah terkenal, banyak undangan di luar. Poket pun kembung. Ada juga yang secara terbuka membodek penerbit rancangan agama seperti belanja makan dan sebagainya.


Dek kerana kerakusan penceramah ini, ada juga mereka yang kurang ilmu, nak berceramah juga. Sudahnya, asyik ulang cerita sama. Agaknya mereka ingat, bila dia berceramah di kawasan utara, mereka yang menetap di selatan tidak mendengar ceramahnya.


Namun, dia tak tahu mereka yang tinggal di selatan mungkin asalnya dari utara dan akan balik kampung melawat keluarga serta saudara-mara di sana. Jadi bila ada ceramah, mereka akan pergi mendengarnya.


Namun begitu, bukan semua penceramah atau ustaz bersikap begitu, sebaliknya segelintir saja. Saya juga bukan hendak memburukkan sesiapa tetapi sekadar peringatan untuk kita semua. Wallahualam!(sumber: MyM: 7/8/11)


KASIH SAYANG: SEBUAH PENGERTIAN


SUDAH hampir seminggu anak-anak kita bersekolah. Pelbagai gelagat kita lihat ketika memulakan alam baru persekolahan; ada yang menangis, ketawa, tak kurang yang ibu ayah terpaksa menunggu di kelas demi ilmu dan kasih sayang.
Tetapi, suasana sebegini semakin kurang kita temui sebab anak sudah matang dengan pendidikan prasekolah yang dilaluinya. 
Penulis sendiri masih teringat kenangan lama ketika ibu dan ayah tersayang memimpin tangan ke sekolah masa kecil dulu. Tingginya harapan mereka dan kini selepas berjaya, ibu ayah pula tiada berdaya, semuanya dalam kenangan hanya titisan air mata dan kesayuan menjadi kenangan. Terima kasih buat ibu ayah. 

'Ya Allah, sayangilah ibu ayah kami sebagaimana mereka berdua menyayangi dan mendidik kami sewaktu kami kecil'.


Doa sebegini sangat perlu dibaca setiap hari supaya Allah mengekalkan kasih sayang kita pada anak-anak.

Mendidik dengan cinta dan sayang berbeza dengan mendidik dengan sumpah seranah serta maki hamun. Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak. 

Bayangkan jika ibu dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak, mereka akan melihat anak itu seperti mereka melihat kayu dan batu. 

Bahkan mereka mungkin akan menganggap anak sebagai beban yang menyusahkan. 

Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang tugas sukar dan meletihkan. Terima kasih dan syukur tidak terhingga kepada-Mu Ya Allah atas nikmat kasih sayang ini. 

Bayangkan bebanan ibu ketika melahirkan anak yang terpaksa berdepan dengan sakit yang tidak terperi, darah yang tumpah dan tidak bermaya. 

Namun, apabila melihat bersih dan suci wajah bayi yang dilahirkannya maka akan hilang segala derita dan bebanan yang ditanggung. 

Itulah ajaibnya kasih sayang yang mampu mencipta semangat dan daya juang yang luar biasa ibu bapa terhadap anak-anak. 

Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina semangat dalam mendidik anak. Setiap anak berbeza gelagat dan kerenahnya. 

Bagi ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. 

Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. 

Allah s.w.t menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya. Mendidik anak tidak selalunya rata dan mendatar saja kerana ada kalanya kita menerima ujian di luar jangkaan. 

Jadi kasih sayang mengukir ketabahan dan kegigihan buat ibu bapa. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. 

Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika berkomunikasi, luahkan rasa sayang dan harapan, teruskan usaha mendidik secara berterusan dengan penuh kesabaran. 

Soalan penulis kepada semua pembaca budiman, pernahkah anda menatap wajah orang yang anda sayangi itu? Contohnya ibu, ayah, suami dan isteri. 

Jika tidak pernah cubalah pandang-pandang dan perhatikan wajah orang yang banyak berbakti kepada kita itu kerana ketika sedang tidur, itulah wajah yang paling jujur. 

Wajah ketika tidur menceritakan segala-galanya. Tanpa kata, tanpa suara seolah dia berkata: "Betapa lelahnya aku hari ini, demi anak-anak dan keluarga aku sanggup melakukan segala-galanya". 

Renung dan tataplah wajah orang yang kita sayang itu ketika dia menutup mata ketika tidur sebelum mereka menutup mata buat selama-lamanya. 

Jangan lupa pesanan kudus daripada langit ketika mendidik anak-anak: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala".(sumber: MyM: 7/8/11)