22 Julai 2011

RAMADAN OH RAMADAN

BIASANYA umat Islam akan menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran kerana akan tibanya Hari Raya. Belum pun tiba Ramadan telah banyak promosi pakaian , jualan murah konon-kononnya  , iklan berbuka puasa dan penginapan hotel yang menjanjikan ketenangan.  Tetapi terfikirkah kita, perkara-perkara yang wajib dan sunat dilakukan sebelum Ramadan?  Disini saya ingin berkongsi beberapa perkara :

1.  Tanya pada diri adakah kita telah selesai menqadakkan puasa tahun lalu?
2.  Adakah kita telah membayar zakat pendapatan atau zakat harta?
3.  Usahlah  memikirkan hal-hal yang membazir seperti mengantikan lansir, permaidani , sofa, cadar dan sebagainya sedangkan ianya  masih boleh digunakan.
4.  Berhati-hati ketika berbelanja khususnya potongan harga , yang menyajikan pajek pelancongan dan
kereta.
5.  Mempersiapkan diri dengan amalan  dan kurangkan perbualan kosong dan boleh mengurangkan pahala.

UmmI nESSA mengucapan selamat menyambut kedatangan Ramadan  dengan penuh tawaduk dan memperbanyakkan amalan pahal.


PERKAHWINAN: ISTERI DERHAKA


ANAK-ANAKKU SAYANG : PERMATA HATI BONDA


(HARLINA FATIHA)
(ALEEYA FARHANA)


(KANAN: NUR QISTINA , AQILA AUNI DAN NUR QAIRUN NISSA)




NEGARA BERKEBAJIKAN: DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT KERANA RAKYAT

BUKU  negara berkebajikan ditulis Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awangakan dilancarkan pertengahan bulan depan ( Ogos 2011) dan ia akan menekan tiga aspek penting bagi menjawab kritikan pesaing politik parti itu.


Setiausaha Akhbar Hadi, Nasaie Ismail berkata, buku setebal 50 muka surat itu menekankan soal pentadbiran negara yang gagal dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sepanjang memerintah negara.
Jelas beliau, buku negara berkebajikan yang akan dilancarkan serentak dengan dokumen negara berkebajikan menekankan tiga aspek utama yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.
Jelas beliau, buku negara berkebajikan itu tidak mempunyai sebarang percanggahan dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Buku Jingga antara lain menggariskan program 100 hari pertama, yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.
“Kandungan buku (negara berkebajikan) lebih kepada untuk memahami konsep negara berkebajikan kerana ada dua persoalan yang orang tanya sekarang ini, yang pertama adakah negara berkebajikan ini sama dengan ‘welfare state’ dan yang kedua Umno kata dah buat negara itu tapi yang kita jawab dalam buku itu tidak sama dengan apa yang Umno buat dan yang ketiga yang menjadi persoalan bagaimana dengan Buku Jingga.
“Negara berkebajikan ini bukan satu tawaran sehala bagaimana Buku Jingga, Buku Jingga adalah perkara-perkara yang ada dalam negara berkebajikan tetapi negara berkebajikan adalah konsep bernegara yang kita nak tunjukkan sebab yang kita hendak betulkan ini bukan satu bab sahaja.

“Kalau dalam Buku Jingga adalah janji 100 hari (pertama) Pakatan Rakyat tapi negara berkebajikan ini, kita nak tunjukkan konsep bernegara sebab yang rosak bukan aspek ekonomi sahaja, negara ini dirosakkan BN dalam semua aspek. Jadi kita nak gantikan negara yang BN bina sekarang ini dengan negara apa, negara berkebajikan,” kata Nasaie kepada The Malaysian Insider.

“Negara berkebajikan ini ada tiga ciri yang pertama negara berkebajikan ini mesti dipimpin oleh pemimpin dan rakyat yang berintegriti, berwibawa kalau dalam Islam kita sebut yang beriman.
“Pemimpin kalau dalam sudut agamanya dia jaga kemudian amalan-amalan yang diterima oleh semua pemimpin yang tidak rasuah, pemimpin yang tidak jadikan negara ini kepunyaan dirinya dan sebagainya.
“Yang penting pemimpin mesti berintegriti, kalau rakyat berintegriti tapi pemimpin tidak, tidak ada gunanya... kalau pemimpin berintegriti tapi rakyat porak-peranda tak guna juga,” katanya.

Panel pelaksana konsep negara berkebajikan dipengerusikan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.
Difahamkan dokumen negara berkebajikan sudah berada di peringkat akhir perincian.
Panel khas itu akan mengadakan mesyuarat pertama hari ini untuk memperincikan konsep negara berkebajikan, yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS pada 3 Jun lalu.
Ucapan dasar itu bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nasaie yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan berkata, konsep negara berkebajikan turut memberi penekanan terhadap pengagihan ekonomi yang adil kepada keseluruhan rakyat.
“Yang kedua agihan ekonomi yang adil, di situ termasuk Buku Jingga tapi Buku Jingga untuk 100 hari jadi tiada pencanggahan di situ. Keadilan ekonomi yang kita nak beri bukan bermakna ada satu pihak didahulukan dan ada satu pihak di kemudiankan, maknanya sama rata.

“Yang ketiga, negara yang berakhlak, negara yang berakhlak ini dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai ciri seperti tepati janji terutamanya dengan orang bukan Islam dan golongan minoriti, bersikap adil kepada semua, kalau mengenai ‘welfare state’, kita lihat pada hari ini, banyak yang sudah jatuh dari segi ekonomi tapi konsep yang kita nak bawa ini adalah konsep bernegara daripada pemimpin, rakyat dan agihan ekonomi,” katanya.


Selain itu, beliau berkata kandungan buku negara berkebajikan itu turut menyentuh agar pemerintah turut memberi tumpuan kepada hak minoriti dan rakyat kebanyakan yang diketepikan dalam pentadbiran BN.
“Negara berkebajikan juga memberi keutamaan kepada hak-hak minoriti sama ada ia berasaskan kaum atau etnik seperti di Sabah dan Sarawak atau Orang Asli ataupun jantina.

“Yang selama ini diketepikan adalah hak kebanyakan seperti petani, nelayan . . . mereka tiada slip gaji tapi perlukan rumah, nak kahwin dan golongan ini yang kerajaan perlu bagi inisiatif dalam negara berkebajikan.


Kita nak buat lain daripada apa yang Umno dah buat, lawan kepada negara berkebajikan adalah negara keangkuha, ini adalah dalam buku itu,” katanya.
Kata Nasaie, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam tulisannya turut membuat perbandingan antara negara berkebajikan iaitu negara keangkuhan.
“Negara keangkuhan ini contohnya Firaun, Namrud dan sebagainya kalau dalam sejarah tapi zaman sekarang Umno ini kita sebut negara keangkuhan,” katanya. (sumber : TMI,21/7/11)

TB sarankan pembaca budiman menambahkan bacaan lanjut dengan merujuk jurnal PEMIKIR ,Julai-September 1997 tulisan Dr Chandra Muzaffar yang berjudul 'Negara Kebajikan'. 

(sumber: Tiubbocor.blogspot.com)

21 Julai 2011

MAJIS PERKAHWINAN : ANTARA BEBAN DAN TANDA SAYANG


PERIHAL l majlis perkahwinan ini di kalangan umat Islam di Malaysia.

Perkara 1:
Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?

Setelah merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, duit, besi atau sekadar bacaan dari Al Quran.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )
Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulamak tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin.

Hantaran belanja yang kini mencecah belasan ribu RM adalah tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.

Perkara 2:
Adakah bersanding dan berinai merupakan ajaran Islam?

Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini.
Apa yang saya lihat dari majlis bersanding dan berinai ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam Al Quran dikatakan orang yang membazir Tuhan mengatakan mereka itu adalah kawan-kawan syaitan.

Disini kita faham, membazir itu sangat dibenci Tuhan, sehingga Tuhan kata “Siapa yang membazir itu adalah kawan syaitan”. Mari kita belajar apa itu membazir? Erti membazir itu ialah menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana Tuhan. Menggunakan nikmat dari Tuhan iaitu wang ringgit untuk disedekahkan kepada anak yatim bukan membazir kerana ia dilakukan kerana Allah.
Menyewa dan memasang peralatan pelamin lengkap dengan pelbagai lampunya bukan dapat RM400. Sudah pastinya ini adalah satu pembaziran.
Perkara 3:

Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?
Pada zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan sirih junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak tuan rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang zaman dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang, beli sireh, upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan dan akhirnya ke tong sampah! Adalah jauh lebih baik bawa pizza barang 5 keping yang bersaiz besar untuk sama-sama makan iaitu ahli rombongan pengantin lelaki dan pihak tuan rumah. Kalau tak nak makan, tak payahlah bawa pizza.Sirih junjung sah barang membazir dan menyusahkan sahaja.

Perkara 4:
Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan  bermake up di majlis persandingan ini?
Antara jawapannya mungkin ialah:
1.      Supaya aku kelihatan cantik menarik
2.      Supaya orang ramai memuji aku bahawa sesungguhnya aku memanglah cantik
3.      Agar aku dapat menarik perhatian orang ramai dengan kecantikan aku
4.      Mungkin untuk menutup kecacatan  di muka saya seperti jerawat dan jeragat
5.      Engkau ingat aku ni tak cantik ke?
6.      Supaya orang tertawan dengan aku melalui kecantikan wajah aku ni.
Apa yang jelas dari bermake up adalah satu dosa sebagaimana artikel Tabarruj dihttp://emjayjb.multiply.com/journal/item/54 dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan musibah dari Allah. Takutilah azab Allah dan sesungguhnya azab Allah itu perit.
Membuat sesuatu perkara semata-mata untuk mendapat dosa dan azab adalah sesuatu kezaliman dan kebodohan.
Tambahan pada 23 Ogos: Saya ada satu tambahan cerita sebagai iktibar. Ayu seorang anak yang baik dan kelihatan baik. Ayu menjaga auratnya serta bercampur dengan kaum lelaki secara sopan. Ayu belajar di sekolah aliran agama hingga tingkatan 5. Sambung pelajaran di luar negara dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik. Ayu cukup menjaga sentuhan yang tidak perlu sehingga mengelakkan dari bersalam dengan pakcik sebelah suami adek beradek ibu ayahnya. Namun apa yang sangat saya kesalkan ialah demi untuk kelihatan cantik anggun bergaya dengan berbagai solekan make up terkini, sewaktu berinai dan bersanding, seorang jurusolek khas dari kaum lelaki mengandamkan Ayu. Juru andam lelaki inilah yang menghiaskan Ayu. Waktu ini agaknya bersentuhan dengan kaum lelaki sudah berubah hukum dari haram kepada sunat agaknya!! Begitulah seperti diajarkan oleh arwah guru, satu dosa akan menggamit dosa-dosa yang lain.

Perkara 5:
Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?

Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:
Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin sebagaimana mafhum hadis berikut. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.”
Namun kini manusia melakukan majlis kenduri kahwin ini dengan pelbagai tujuan antaranya:
1.      Memberitahu masyarakat bahawa aku mampu membuat majlis kenduri dengan penuh kemewahan dengan belanja melebihi RM20,000.00
2.      Aku ini orang berduit. Lihatlah majlis kenduri kahwin ini.
3.      Orang yang lebih miskin dari aku pun berani belanja lebih RM20,000.00 untuk majlis kenduri kahwin. Tak kan aku dengan gaji lebih besar dari dia tak sanggup belanja lebih RM20,000.00 untuk kenduri kahwin!!!
4.      Majlis mewah seperti ini barulah sesuai dengan status saya sebagai orang berduit di kawasan perumahan ini.
5.      Anak aku bukan janda atau minah kilang, kenalah buat majlis yang grand habis.
6.      Biarlah orang asyik bercerita tentang kehebatan majlis kenduri saya ini. Barulah seronok.
7.      Kalau aku keluar belanja RM20,000.00 tetapi dapat sumbangan RM25,000.00 bolehlah dapat keuntungan dari majlis kenduri kahwin ini.

Perkara 6
Mengapa hantaran belanja perlu dibayar dengan  bayaran yang tinggi?
Bayaran hantaran belanja yang tinggi tidak pernah disarankan oleh Islam. Sebagaimana telah saya jelaskan dalam perkara 1 di atas, Islam menggalakkan mahar yang rendah semoga memudahkan proses perkahwinan.

Antara tujuan mengenakan bayaran hantaran belanja yang tinggi mungkin ialah:
1.      Menilai status keluarga dan pekerjaan anak dara yang ingin dikahwini. Lagi tinggi status keluarga, lagi mahal hantaran belanja. Kalau anak dara yang ingin dikahwini ini sekadar minah kilang, murahlah sikit hantaran belanja. Kalau ada degree apatah lagi kalau berjawatan tinggi seperti doktor atau jurutera atau pensyarah, kenalah letak hantaran belanja yang tinggi. Kalau artis kenalah lagi tinggi.

2.      Boleh bermegah dengan masyarakat sekeliling. Maklumlah kalau hantaran belanja sekadar RM5000.00, macam mana nak bermegah.

3.      Lagi tinggi hantaran belanja, lagi mewah majlis kenduri boleh diadakan. Baru ada kelas!!
4.      Boleh beli set bilik tidur yang ada kelas. Nanti kalau orang masuk bilik pengantin, taklah malu atau koman sangat.

5.      Aku sudah membelanjakan sekian banyak duit untuk membesarkan dan mendidik anak perempuan aku. Siapa nak kahwin dengannya kenalah sanggup keluar duit yang tinggi. Nak beli lembu seekor pun sudah lebih dari RM2000 ini kan pula anak aku!

Sebenarnya dengan meletakkan hantaran belanja yang tinggi, inilah dia tujuan sebenarnya yang tidak disedari atau dengan disedari:

1.      Agar orang Melayu Islam semakin sukar dan melewatkan untuk berkahwin secara sah.
2.      Menggalakkan maksiat, maklumlah nak kahwin tak mampu
3.      Melatih calon menantu satu latihan yang amat penting iaitu BERHUTANG UNTUK KAHWIN.
4.      Agar anak lelaki lupa tanggung jawab kepada ibu bapanya yang telah membesarkan dan mendidik untuk sekian lama. Tiba-tiba bila baru dapat degree nak kahwin, nak beri duit kepada ibu bapa sudah tiada lagi maklumlah kena menabung untuk membayar kos berkahwin yang gila habis. Bukan cukup RM15,000.00 untuk kahwin. Itu belum masuk lagi duit ansuran kereta, sewa rumah dan potongan PTPTN.
5.      Agar belajar untuk AMBIL RASUAH DAN AMBIL KOMISYEN di tempat kerja agar memudahkan urusan untuk berkahwin
6.      Mendidik anak Melayu dengan budaya BIAR PAPA ASAL BERGAYA
7.      Agar selepas kahwin pasangan ini hidup melarat maklumlah hutang keliling pinggang. Bolehlah kelak selalu berperang suami isteri bila dah bengang.

Perkara 7
Bagaimana untuk mempastikan hari kenduri kahwin cuaca adalah baik tanpa hujan.
Bila kos makanan tetamu sahaja sudah mencecah lebih daripada RM15,000.00, tuan rumah mulalah naik risau kelak kalau waktu majlis kenduri kahwin hujan ribut dari pagi sampai petang, orang ramai tak datang, macam mana dengan makanan yang berlebihan dan paling penting tentunya duit sumbangan pun tak masuk, rugi besarlah. Bagi mempastikan hari kenduri kahwin tidak mengalami hujan ribut maka:
1.      Pergi berurusan dengan bomoh atau dukun yang boleh menahan hujan.
2.      Mengamalkan pelbagai petua orang Melayu seperti membuang pakaian dalam pengantin ke atas bumbung, meletakkan payung secara terbalik lalu meletakkan air ke dalam payung terbalik tersebut
3.      Berbagai amalan karut marut lain

Mudahnya orang Melayu untuk sesat. Allah berikan rahmat dengan diberiNya menantu dibalas pula oleh manusia dengan melakukan pekerjaan syirik. Memanggil bomoh tolak hujan adalah sesat dan mengamalkan pelbagai petua seperti di atas juga adalah sesat.

Baru-baru ini saya menghadiri majlis kenduri kahwin saudara saya.  Pada  pukul 11.45, semua keluarga, saudara mara, penanggah dan tuan rumah makan maklumlah tetamu dijangka akan datang pada pukul 12.00 tgh sebagaimana tertera dalam kada jemputan. Saya turut makan bersebelahan tuan rumah. Cuaca ketika itu memang terang benderang. Tuan rumah dalam keseronokan  dapat menantu  berkata "bagus betullah petua  dari kak chik pakai payung diterbalikkan, cuaca hari ini cukup cantik". 
Astagfirullah... saya berkata-kata dalam hati. Nak dihujah, keadaan tidak sesuai.  Saya berkata-kata di dalam hati "kalau macam ini sunnatullahnya tak lama lagi memang hujan nak turun di majlis ini". Perbuatan tuan rumah ini bagi kata bidalan diberikan susu dibalas tuba.

Dengan kuasa Allah, mulai pukul 1.00 tengahari gerimis halus sudah mula turun.  Kira-kira pukul  1.45 tgh hujan lebat turun sehingga pukul 2.30 ptg. Dalam hati saya berkata "Inilah satu pengajaran yang sangat baik kepada orang yang mensyirikkan Allah. Percaya benar payung terbalik ada kuasa untuk mengelakkan hujan turun. Sama sebiji macam orang kafir berharap kepada patung yang dibuat daripada batu, Astagfirullah...". 

Secara mudahnya tetapi sukar untuk dilaksanakan ialah untuk Allah memberikan rahmatNya dengan tidak mengirimkan hujan pada hari kenduri kahwin ialah dengan pelbanyakkanlah solat sunat terutama sekali solat malam. Mintalah kepada Allah secara terus, insya Allah majlis tersebut tidak turun hujan.

Perkara 8
Majlis kenduri kahwin adalah majlis untuk berbuat maksiat, Astagfirullah...

Majlis kenduri kahwin adalah majlis memberi makan kepada orang miskin dan tetamu lain sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Kalau tak mampu buat kenduri besar, buatlah sekadar saranan Islam iaitu sekadar sembelih seekor kambing. Jemputlah orang yang perlu sahaja seperti jiran terdekat dan saudara mara terdekat. Inilah latihan yang baik dari Islam sebagaimana majlis aqiqah apabila dapat anak.
Kini dalam majlis kesyukuran majlis kenduri kahwin sudah menjadi pesta maksiat dan antaranya ialah seperti berikut:
1.      Membayar wang yang banyak kepada DJ, PA system, sistem karaoke, kugiran dan penyanyi. Ini namanya mengeluarkan duit untuk membeli dosa. Sila baca artikel  berkaitan muzik bertajuk Hukum bermain muzik dan nyanyian menurut Islam di http://emjayjb.multiply.com/journal/item/40 . Membazir sudah satu dosa. Bermain muzik dan nyanyian apatah lagi nyanyian oleh orang perempuan adalah juga dosa. Tak takut sungguh manusia dengan dosa.
2.      Bergilir-gilir anak dara belajar buat dosa iaitu menyanyi secara karaoke. Inilah platform yang amat cantik untuk menjadi penyanyi macam Siti Nurhaliza, tok guru buat dosa dengan menyanyi.
3.      Orang lelaki pula seronok mendengar nyanyian secara karaoke oleh anak dara. Redha dengan perbuatan ini adalah dosa dan kelak di akhirat Allah tuang besi cair ke telinga.
4.      Inilah masa bagi anak dara menayang body dengan pasang badan agar dapat menarik perhatian lelaki dan lebih baik lagi kalau dapat boyfriend. Mereka pakai pakaian yang ketat, tidak menutup aurat, bermake up, berminyak wangi dengan lengang lengguk badan dan punggung untuk mendapatkan perhatian. Astagfirullah....
5.      Bagi wanita yang sudah berkahwin, ada yang menjadikan majlis ini untuk menunjukkan bahawa badannya masih cantik walaupun sudah ada anak dengan memakai pakaian pelbagai fesyen yang jauh dari kehendak Islam.
6.      Menjadikan majlis kenduri kahwin sebagai majlis pesta fesyen pakaian. Ada yang terbelah mendedah peha, ada yang low cut mendedahkan buah dada yang membulat dan sebagainya.
7.      Pesta bagi wanita menunjukkan kekayaan dengan memakai pelbagai barang kemas yang mahal-mahal untuk menjadi kayu pengukur kemewahan masing-masing. Allah membenarkan barang kemas tetapi bukan untuk tontonan semua orang!!!! Ada wanita yang sanggup meminjam barang kemas untuk hadir ke majlis kenduri kahwin keran takut dimalukan.
8.      Kalau dikampung dimana masak memasak diadakan secara gotong royong, inilah satu pesta yang amat seronok iaitu PESTA KATA MENGATA DAN MENGUMPAT terutama sekali dikalangan orang perempuan, Astagfirullah....
9.      Tidak cukup dengan muzik dan nyanyian, diadakan pula majlis tari menari joget lambak. Yang muda dan yang tua tak sedar diri berjoget antara lelaki dan wanita, Astagfirullah....
10.  Disetengah tempat, majlis kenduri kahwin adalah majlis mengajar kanak-kanak lelaki untuk merokok kerana tuan rumah memang menyediakan banyak rokok secara percuma untuk semua penanggah. Hisaplah seberapa banyak yang diingini asalkan sanggup menjadi penanggah.
Saya mengalu-alukan pandangan balas lain dari pembaca agar isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya berlandaskan Islam.
Islam menyarankan majlis kenduri kahwin tetapi realitinya majlis kenduri kahwin kini menjadi satu majlis yang mengundang pelbagai dosa, bagaimanalah Allah nak memberikan rahmatNya kepada pengantin yang baru berkahwin ini.
(sumber:emjayjb.multiply.com)

SAIDINA ALI BIN ABI TALIB: PESANANNYA


SAIDINA Ali r.r berkata
  • v  Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyuk.
  • v  Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.
  • v  Tiada kebaikan bagi pembaca Al-Quran tanpa mengambil  pengajaran daripadanya.
  • v  Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat warak.
  • v  Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling saying-menyayangi.
  • v  Nikmat yang paling baik adalah bikmat yang kekal dimiliki.
  • v  Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.
  • v  Barang  sesiapa yang banyak bicara , maka banyak pula salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara’ , sedang orang  yang tidak wara’ itu bererti hatinya mati.(sumber:ILIslam,15-20 /7/11)

WANITA BANYAK BERJASA KEPADA RASULLULAH

Sejarah buktikan kelembutan semula jadi tak halang serikandi Islam tabur bakti 

ISLAM tidak sesekali bersikap diskriminasi antara gender dengan melebihkan dan mengurangkan peranan yang lain walaupun ada pihak menafikan sumbangan wanita dalam sejarah kebangkitan Islam sejak zaman Rasulullah SAW.
Ada beranggapan wanita hanya layak tinggal di rumah bagi menguruskan rumah tangga dan melayan suami saja. Mereka tidak dibenarkan menjenguk keluar dari jendela kehidupan. Alasannya mudah, Islam tidak menggalakkan mereka berbuat begitu demi memelihara kedudukan wanita.


Golongan wanita dijaga dengan baik oleh agama. Islam sama sekali tidak membenarkan sebarang penghinaan dilakukan terhadap mereka sama ada bertujuan menghina atau menzalimi mereka. Islam menuntut supaya wanita dilindungi, diberi pendidikan sehingga menguruskan perkahwinannya. 

Daripada Abu Said Al-Khudri, Baginda Nabi bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang membesarkan tiga anak perempuan, mendidik mereka, mengahwinkan mereka dan berbuat baik terhadap mereka, dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

Yusuf al-Qardhawi, ulama dan tokoh pemikir Islam yang terkemuka, telah menulis mengenai kedudukan wanita dalam Islam dengan menyebut, Islam menghormati wanita, mengiktiraf keinsanan serta keupayaannya memikul tuntutan agama, tanggungjawab, kesaksamaan hukuman dan peluang memasuki syurga. 

Sebenarnya sifat kehalusan, kelembutan dan ketajaman perasaan mereka amat bernilai dan tiada tandingannya hingga ke akhir zaman dengan mengambil contoh peranan dimainkan oleh Ummu Salamah. 
Ummu Salamah dibawa Nabi saat perjanjian Hudaibiyah dibuat. Banyak sahabat tidak berpuas hati dengan perjanjian yang mereka rasa berat sebelah dan merugikan umat Islam. Namun Baginda tetap melaksanakan perjanjian itu. 

Melihat maklum balas sahabat, Rasulullah SAW berasa susah hati. Baginda menemui Ummu Salamah dan memberitahu sikap sahabat yang tidak mahu mencukur rambut dan kembali ke Madinah. Maka jawab Ummu Salamah, masalah itu boleh diatasi dengan mencadangkan Baginda Rasul memulakannya. 

Ummu Salamah yakin dan percaya sahabat Baginda yang lain akan mencontohi Nabi. Benar sekali, sahabat mencontohi Baginda Nabi dengan mencukur kepalanya lalu balik semula ke Madinah. Allah mengurniakan kelebihan terhadap wanita iaitu ketajaman firasatnya. 

Peranan dan sumbangan Siti Khadijah sebagai isteri dan wanita pertama juga tiada bandingannya hingga ke hari ini. Sebagai orang pertama menerima Islam, secara langsung menjadi teras kekuatan semangat kepada Rasulullah SAW. 

Siti Khadijah berperanan besar di sebalik kejayaan Rasulullah SAW menyebarkan Islam kepada puak Quraisy. Sebagai seorang isteri yang patuh dan setia, Siti Khadijah sentiasa di sisi Nabi dalam membantu Baginda hingga ke akhir hayatnya. 

Begitu juga dengan Barakah binti Tsa’labah bin Amru bin Hishan bin Malik bin Salmah bin Amru bin Nu’man al-Habasyiyah yang kemudian dikenali sebagai Ummu Aiman, wanita sentiasa bersama Nabi sejak dilahirkan hingga Baginda wafat. 

Jasa Ummu Aiman sangat besar kepada Baginda. Wanita inilah yang menjadi pengasuh Nabi dan sangat rapat dengan Baginda. Tidak harian Baginda menyebut Ummu Aiman sebagai ibu kedua setelah ibu kandung Baginda, Aminah binti Wahab. 

Walaupun Islam tidak menyamakan antara lelaki dan perempuan namun Islam tetap menghormati wanita dan mengangkatnya kedudukannya. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.” (Surah Ali-Imran, ayat 195) 

Sejarah merakamkan pembabitan wanita dalam melaksanakan tanggung jawab kebajikan, khidmat sewaktu perang, membantu keluarga serta perkhidmatan lain yang bersesuaian dengan imej dan keterampilan wanita Islam itu sendiri.

Pembabitan wanita pada zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai bidang menolak tanggapan bahawa wanita Muslim tidak perlu terbabit dengan aktiviti luar melainkan untuk tetap dan setia bersama keluarga sepenuh masa. Saidina Ali berkata: “Dada orang berakal itu adalah peti rahsianya.” (sumber:UM,21/7/11)

20 Julai 2011

WASIAT LINDUNGI HAK WARIS, PEMBAHAGIAN HARTA LANCAR



Agihan hanya sepertiga daripada harta pusaka 

HIBAH dan wasiat adalah salah satu daripada bentuk pengurusan harta dalam Islam. Hibah bermaksud kontrak tabarru’ yang tidak mempunyai syarat balasan dan dilakukan semasa hidup yang membolehkan seseorang itu melupuskan harta kepada ahli waris atau orang lain.
Wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ ialah menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan seseorang ketika hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia.
Menurut Mazhab Syafie, wasiat adalah pemberian hak yang boleh dilaksanakan selepas berlaku kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Wasiat berdasarkan hukum syarak pada asalnya adalah diwajibkan.

Firman Allah bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara baik (menurut peraturan agama), sebagai kewajipan atas orang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180) 

Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya yang mempunyai harta supaya melakukan wasiat semasa hidupnya berdasarkan sabda Baginda bermaksud: “Seseorang Muslim mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Walau bagaimanapun, kewajipan itu terhapus dengan hadis berkaitan pusaka antaranya yang diriwayatkan at-Tirmizi: “Allah memberikan bahagian setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.” 
Wasiat pada dasarnya mempunyai dua syarat utama, pertama, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris yang berhak menerima pusaka dan kedua, kadarnya adalah tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati. 

Berdasarkan peraturan asas itu, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris seperti anak mahupun ibu bapa pemberi wasiat kerana ahli waris sudah menerima bahagian mereka melalui pusaka. 

Walaupun demikian, diharuskan memberi wasiat kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka dan hukumnya harus mengikut Mazhab Syafie dengan syarat selepas mendapat persetujuan waris lain. 

Syarat kedua, seperti disepakati ulama fiqh, kadar wasiat ditetapkan hanya satu pertiga daripada harta bersih peninggalannya, selepas ditolak belanja pengebumian, pembayaran hutang dan sebagainya. 

Diriwayatkan daripada Saad Abi Waqas: “Aku benar-benar tenat. Lalu Rasulullah SAW menjengukku. Maka aku bertanya: Ya Rasulullah, aku tidak mempunyai waris kecuali anak perempuanku. Adakah aku boleh sedekahkan kesemua hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku bertanya: Dua pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku berkata: Adakah boleh aku sedekahkan satu pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Sepertiga. Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya kamu meninggalkan warismu kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka miskin sambil menadah tangan mereka kepada orang ramai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi) 

Merujuk peruntukan undang-undang di Malaysia berkaitan wasiat seperti Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, memberi tafsiran wasiat dengan memberi maksud iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati. 

Berdasarkan enakmen itu, undang-undang memperuntukkan berkaitan kadar wasiat serta had wasiat dan wasiat kepada waris. 

Seksyen 26(1) memperuntukkan: “Jika sesuatu wasiat dibuat kepada bukan waris atas kadar yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si pewasiat selepas diselesaikan segala hutangnya, wasiat itu hendaklah berkuatkuasa tanpa perlu mendapat apa-apa persetujuan warisnya.” 

Seksyen 26(2) memperuntukkan: “Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris atas dasar melebihi satu pertiga hendaklah tidak berkuat kuasa sehingga diberi persetujuan oleh warisnya selepas kematian pewasiat.” 

Melihat realiti semasa, kita dikejutkan laporan akhbar RM42 bilion harta orang Islam di Malaysia beku membabitkan kes gagal diselesaikan pewaris kerana tiada wasiat. Jumlah yang besar itu memberikan impak buruk kepada perkembangan ekonomi orang Islam. 

Justeru, penting seseorang Muslim mengambil inisiatif menulis wasiat bagi memudahkan urusan pembahagian pusaka selepas berlaku kematian. Penulisan wasiat ketika hayat memastikan kepentingan waris terjamin dan proses pembahagian harta pusaka berjalan lancar. (sumber: disesuaikan daripada Bharian, 20/7/11)

PUISI : WAHAI SUAMI

GOLONGAN MULIA SANGGUP BELAJAR, MENGAJAR AL-QURAN


DARIPADA Aisyah, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk yang diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” (Surah Al-Waaqiah, ayat 77-80)

Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui al-Quran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Dan kerana al-Quran pula Allah mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya. Oleh itu Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran seperti sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi)


Kebaikan membaca al-Quran amat banyak antaranya, bagi orang yang membaca al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah menghafalnya. 

Orang yang membaca al-Quran dengan lisan yang tertatih-tatih dan berat dirasakannya (gagap) maka baginya dua pahala. Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjatnya daripada orang yang tidak membaca al-Quran. 

Ibnu Abbas menceritakan Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.” (sumber: disesuaikan daripada Bharian, 20/7/11))