24 Februari 2011

ULANGTAHUN PERKAHWINAN: DOA

Tanggal 24 Februari adalah tanggal keramat yang menghiasi sejarah hidup Ummi kerana  hari ini adalah ulang tahun perkahwinan Ummi Nessa bersama suami tercinta.  Doa dari pengunjung blog  Ummi Nessa diharapkan dapat mendoakan kebahagiaan hidup Ummi Nessa bersama suami.  Ummi Nessa bersyukur ditakdirkan dapat melayari bahtera rumah tangga dengan liku-liku kehidupan yang semakin mencabar.  Ummi tahu tidak mudah untuk mengapai bahagia jika tiada kasih dan sayang serta cinta bertolak dari CINTA HAKIKI yang melahirkan CINTA SEJATI.  

Walaupun kehidupan kami sederhana tapi kami cukup bahagia . Itulah amalan kami bersama.  Banyak ranjau yang kami perlu lalui di hari muka.  Ummi berharap kebahagiaan kami mendapat restu dari semua pihak yang mengenali Ummi.

Lagu Endang S. Taurina dan M. Shariff  Rinduku Rindumu adalah lagu yang sering menemani Ummi saat berjauhan dengan suami tersayang. Semoga perkahwinan kami hingga ke penghujung nyawa. 

22 Februari 2011

Berkualitikah ustaz lulusan Mesir?


UNIVERSITI-UNIVERSITI di Mesir banyak melahirkan tokoh-tokoh agama di Malaysia suatu ketika dahulu.
Tidak dinafikan Mesir merupakan salah satu destinasi pilihan dalam pengajian agama di kalangan pelajar Malaysia.
Namun sejak kebelakangan ini, semakin banyak kedengaran suara-suara yang tidak enak didengari mengenai pelajar-pelajar kita di Mesir.

Kualiti pelajar keluaran Mesir terutama dari bidang agama semakin diragui. Umum mengetahui sistem jadual dan pengajaran di Mesir agak longgar dan agak tidak menitikberatkan soal kedatangan. Keadaan ini sebenarnya memerlukan disiplin yang tinggi di kalangan pelajar untuk menimba sebanyak ilmu yang mungkin.
Akan tetapi, bagi pelajar-pelajar yang kurang rajin (malas), keadaan sebegini semestinya membuatkan mereka tidak menghadiri kuliah-kuliah di universiti.

Akhirnya, graduan-graduan yang dilahirkan kurang berilmu apabila pulang ke Malaysia kelak. Padahal, majoriti masyarakat awam Malaysia masih memandang tinggi graduan-graduan yang dilahirkan dari Mesir.
Secara tidak langsung, fenomena ini dapat menimbulkan fitnah kepada 'orang-orang agama' lebih-lebih lagi apabila mereka memegang jawatan-jawatan utama dalam institusi agama di Malaysia.

Sebagai perbandingan secara kasar, sebanyak 1,000 graduan dari Mesir menamatkan pengajian mereka setiap tahun.
Tetapi terlalu sedikit yang kita lihat mereka menjadi suara-suara di barisan hadapan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah. Ke mana perginya graduan-graduan Mesir yang lain?

Apakah mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup untuk memperjuangkan dakwah dengan menerangkan asas-asas Islam yang sahih kepada masyarakat? Persoalan ini bukan untuk merendahkan graduan-graduan Mesir, sebaliknya ambillah sebagai kata semangat dan perangsang untuk mengembangkan pemahaman agama Islam yang tulen di kalangan masyarakat. Percayalah, masyarakat amat memerlukan input- input agama dari anda semua.

Kepada pihak kerajaan, saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya kita menghantar pelajar-pelajar ke Arab Saudi. Dengan keadaan negara Mesir yang masih bergolak, inilah masa yang sesuai untuk kita menghantar lebih banyak ke Arab Saudi. Mereka juga kebelakangan ini mempunyai banyak unverisiti yang berprestij seperti Ummul Qura' dan Universiti Islam Madinah.

Kepada ibu bapa yang berhasrat untuk menghantar anak-anak ke Timur Tengah, didiklah mereka agar ikhlas dan berdisiplin dalam menuntut ilmu. Janganlah apabila pulang ke tanah air nanti, minda mereka kosong. Percayalah apabila seseorang graduan dari Timur Tengah meletakkan kopiah di kepala, masyarakat akan terus mengangkat mereka sebagai 'ustaz' biarpun pengetahuan agama tidak seberapa.

Kepada graduan-graduan Timur Tengah, ikhlaslah dalam menuntut ilmu dan bawalah pulang permata-permata yang berguna untuk masyarakat di Malaysia.
(sumber: UM, 22/2/11)

20 Februari 2011

SJN. A. KADIR SALOT 31183 DAN ISTERI, SANIMAH ARIFFIN KE RAHMATULLAH : AL FATIHAH!

Innalillahi wainalillahi rajuun

Tanggal 18 Februari  2010, adalah tanggal yang  tidak dapat Ummi Nessa  lupakan hingga akhir hayat.  Mak tercinta telah menghembuskan nafasnya yang terkahir jam 6.40 petang di Hospital Besar Melaka kerana masalah fungsi hati. Mak meninggalkan 4 anak Abang Mahzer, Ummi Nessa, Maryantee  dan Mohd. Muhailey serta  4 cucu yang masih kecil Nur Qistina , Nur Qhairul Nisa, Akila Auni dan Aliya Adriana.  Disaat kami  bermanja dengan mak, Allah lebih menyayanginya.  Kami akur dan reda.

Nama mak Ummi Nessa ialah SANIMAH BINTI ARIFFIN  dilahirkan di Tebung , Melaka dan menikah dengan A. Kadir bin Salot (43 tahun yang lalu) mereka dikurniakan 5 cahayamata iaitu Mahzer, Mahnessa, Maszri, Maryantee dan bongsu Mohd. Muhailey.  Kesemua cahayamata mak dan abah  telah mendirikan rumah tangga kecuali adik kami Masri yang meninggalkan kami pada 3.3.2006 yang lalu. Sejak dari itu, kesihatan mak sering terganggu kerana kerinduan pada anak-anaknya khusus pada anaknya yang tidak akan kembali lagi selama-lamanya. Akhirnya  abah ( A. KADIR BIN SALOT ) juga mengikuti mak pada 02.09.2010 lalu jam 4.30 petang di Hospital Univrersiti Kebangsaan Malayisa  ketika umat Islam sibuk menyambut Hari Raya Aidul Fitri. Mak dan abah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sempang Pantai Merlimau Melaka.

Mak seorang yang tegas, garang tetapi penyayang.  Namun, mak banyak menyimpan impian yang tidak kesampaian. Mak pernah menetap di Kedah, Ulu Kinta dan Bakri Kem Muar.  Ummi Nessa merindui leteran mak selama ini.  Leteran mak bagi Ummi Nessa adalah hiburan kerana diakhir leterannya, Ummi Nessa sering membuat mak tertawa.  Ummi Nessa teramat merinduinya.

Tiada terdaya jari ini menaip untuk disiarkan dalam blog.  Namun dengan kekuatan diri dan rasa tanggungjawab Ummi Nessa gagahi juga.  Pesanan mak yang tidak dapat Ummi Nessa lupakan adalah Ikhlas dan bertanggungjawab terhadap suami seta keluarga dan menghidang makanan atau minuman jangan sesekali menggunakan barangan plastik kerana tiada penghormatan katanya.  Mak, Icah rindu mak.

Ummi Nessa selaku anak beliau ingin memohon kemaafan  serta halalkanlah makan minum beliau kepada sesiapa yang mengenalinya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah mak dan abah serta diampunkan Allah segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan selama hayatnya. AL-FATIHAH.

17 Februari 2011

SEBUAH HARAPAN KEPADA PILIHAN RAYA KECIL DUN MERLIMAU


SEORANG anak jati Merlimau di perantauan memberitahu saya bahawa beliau turut merasakan dengung gendang pilihan raya kecil (PRK) kian bergema di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka. Yang menang akan dituntut melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Setiap omong-omong kosong akan dinilai rakyat dari semasa ke semasa.

Sehubungan ini, kita akan menyaksikan beberapa peruntukan dan bajet pembangunan mengejut akan mencurah-curah datang; terutamanya fenomena mahu menambat hati pengundi bukan Melayu, pengundi atas pagar dan pengundi yang pandai bermain silap mata.

Apa yang kita tidak mahu, pihak yang menaburkan projek jangan terpedaya dengan kelicikan pengundi minoriti yang muncul secara tiba-tiba menangguk di air keruh. Keadilan bukanlah bermakna konsep kesamarataan tetapi keadilan hendaklah kena pada tempatnya.

Kita tidak mahu, masjid Kampung Simpang Pantai yang berusia hampir 100 tahun terbiar reput kerana dimamah usia. Kita juga tidak mahu sekolah agama rakyat yang masih berdinding kayu akan rebah menyembah bumi. Dan kita juga tidak mahu sepanjang jalan antara pekan Merlimau ke bandar Jasin, keadaannya bergelap pada malam hari dan membahayakan penggunanya.

lnilah senario yang patut difokuskan dan antara permintaan penduduk DUN Merlimau untuk kesejahteraan mereka. Usahlah mewawarkan berlebih-lebihan bantuan pembinaan dan penyediaan tapak SJK Tamil yang kelak menikam diri sendiri. Walhal anak-anak kaum lndia yang sekitar ratusan sahaja; biarlah dibantu mengikut peruntukan yang sederhana berdasarkan atas keperluan.

Kita tidak mahu projek jutaan ringgit yang ditaburkan akan lebih terarah kronisme dan korupsi. Kita tahu dan sedia akur dalam apa jua PRK usaha menambat hati pengundi menjadi agenda utama. Namun kita tidak mahu umpama 'ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan'.
Justeru adalah lebih baik kempen dan janji diberikan untuk kesejahteraan rakyat yang menghadapi beban kenaikan harga barangan, minyak dan desakan hidup. Dan berusaha memberi jaminan kepada ribuan graduan menganggur mengisi peluang-peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta.
Dan tidak lupa memfokuskan usaha membela nasib anak-anak Melayu/lslam dan bumiputera selaras dengan hak-hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi lebih 60 peratus pengundi Merlimau terdiri pengundi Melayu/lslam.
Seperkara yang harus diingat, dalam sibuk-sibuk projek ditaburkan dan tender-tender mula dirangka, pernahkah para pemimpin Melayu /lslam dan bumiputera memikirkan sejenak betapa anak-anak pribumi di menara ganding terpaksa mengikat perut kerana wang pinjaman PTPTN terpaksa ditolak dengan bayaran yuran dan sewa asrama IPT yang mahal sekarang?

Apakah ini kesan dasar penswastaan yang menolak kebajikan rakyat? Jawapannya ada di tangan rakyat. Ketahuilah bahawa dengan wang pinjaman PTPTN yang berbaki kecil itulah digunakan oleh para pelajar yang tidak berkemampuan untuk perbelanjaan makan minum dan buku-buku yang tidak mencukupi.

Apalah salahnya memberi biasiswa kepada semua pelajar bumiputera IPTA dengan beberapa syarat sebagai dorongan motivasi kerana kejayaan mereka mengangkat maruah agama dan bangsa. Pada mulanya ramai antara kita tidak percaya akan keluhan para pelajar di IPT sekarang dan menuduh mereka tidak mahu berdikari.

Tetapi apabila saya sendiri meneliti bayaran-bayaran caj yang dikenakan oleh lPT sekarang, barulah saya akur akan penderitaan mereka. Harapan mereka walau tanpa biasiswa pun, paling kurang jika bayaran asrama dihapuskan atau diminimumkan cajnya sudah memadai.

Ketahuilah anak-anak bumiputera bakal di kelilingi beban hutang dan tekanan hidup pada masa mendatang. Bahkan mereka juga menghadapi pelbagai cabaran kehidupan era ICT ini sama ada yang terpaksa diterima atau ditolak.
lnilah salah satu bahagian episod kehidupan yang tidak pernah pun disentuh dalam PRK! ltu belum lagi masalah keruntuhan akhlak anak-anak remaja Melayu-lslam. Apakah ini kerana para pemimpin kini terlalu banyak politiking. Sebenarnya banyak masalah besar lagi di hadapan kehidupan kita!
(sumber: DR. RAJIEE HADI,UM (Rencana), 16/2/11)

13 Februari 2011

DISIPLIN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH AGAMA: SATU KAJIAN KES DI NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA.


ABSTRAK


Masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah kerap diperkatakan saban masa.  Namun demikian, masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan. lnstitusi sekolah adalah tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran yang kelak bakal melahirkan modal insan berkualiti .Sampel kajian di sebuah sekolah menengah agama di negeri Selangor dalam menangani disiplin pelajar bermasalah ini bertujuan mengenal pasti peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Faktor yang dikaji ialah profil pelajar, faktor-faktor penyumbang dan persepsi pelajar terhadap peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling . Seramai enam pelajar dipilih secara rawak sebagai responden kajian. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kualitatif .  Soalan protokol telah digunakan  terbahagi kepada tiga persoalan pokok. Data dianalisis dengan  menulis semula perbualan yang dirakam, kemudian dikategorikan mengikut persoalan kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor diri pelajar, keluarga, rakan sebaya dan pembelajaran mempengaruhi masalah disiplin pelajar. Walau bagaimanapun, faktor rakan sebaya adalah faktor utama  yang banyak mempengaruhi . Persepsi responden menunjukan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling  memberi impak baik khususnya terhadap aktiviti pelajar bermasalah disiplin.   Justeru, beberapa cadangan telah dikemukakan dalam usaha mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar; khususnya di sekolah-sekolah menengah agama di Malaysia.

(Baca penuh projek penyelidikan di Pusat Sumber Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia. dan lain-lain)


Oleh MAHNESSA BINTI A. KADIR
PROJEK PENYELIDIKAN SARJANA PENDIDIKAN
(BIMBINGAN DAN KAUNSELING)
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA.

12 Februari 2011

Hari Valentine: Sensasi dan publisiti


Mahnessa A Kadir
Feb 12, 11
10:15am
Penulis terkenang sebuah lagu evergreen 'Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi' ciptaan M Nasir nyanyian Alleycats yang telah dirakamkan lebih 20 tahun lalu yang masih malar segar ke hari ini.

david arumugam alleycatsAntara intisari lagu tersebut ialah 'sekuntum mawar merah, sebuah puisi, untuk gadis pilihan, ooooo...di bulan Februari...' Lagu yang mengasyikkan itu adalah pernyataan kasih sayang antara uda dan dara yang mana perantaranya ialah sekuntum mawar merah dan diberikan pada bulan Februari.

Lagu itu sekadar lagu dan hanya sebagai hiburan. Mujur hanya dinyatakan pada bulan Februari tanpa menyebut tarikhnya,14 Februari yang dikatakan adanya perkaitan dengan hari Valentine.

Oleh kerana lagu tersebut hanya disebut pada bulan Februari sahaja maka idea lagu tersebut tidak menjadi sebarang polemik walau sudah bertahun-tahun berkumandang. Dalam erti kata lain, hadiah kuntuman bunga mawar merah itu boleh dihadiahkan pada bila-bila tarikh pada bulan Februari tanpa mengaitkan hari Valentine.
Tuntutan Islam
Sebenarnya konsep kasih sayang dituntut dalam lslam.

mothers day 120507 mother holding babyNamun kasih sayang itu ada batasan-batasan yang tidak melanggar syariat. Kasih sayang antara suami isteri yang juga boleh dianggap sepasang kekasih, anak-anak dan ibu bapa, saudara mara dan ahli dalam keluarga. Atau dalam skop yang lebih luas kasih sayang sesama insan dan kehidupan.

Sebenarnya kasih sayang itu sepanjang waktu, sepanjang masa bukan pada hari-hari atau bulan tertentu sahaja. Kasih sayang itu adalah semata-mata kerana dan ke jalan Allah SWT.

Apa yang kita tidak mahu seperti mana yang dilaporkan dalam tempoh 9 tahun (2001-2010) kira-kira 260 ribu bayi lslam di negara kita dilahirkan tanpa nikah yang mana puratanya kira-kira 28 ribu setiap tahun.

prostitution, desa mentari, police raidDalam konteks ini adalah wajib kita mengingatkan umat lslam khususnya para remaja lslam bahawa agar tidak terpedaya dengan tipu daya iblis laknatullah dan musuh-musuh lslam dengan kehidupan pergaulan bebas, seks rambang, ICT negatif dan mengambil kesempatan melakukan maksiat berselindung atas jenama hari Valentine dan sebagainya.

Justeru, isu hari Valentine yang menjadi sensasi dan publisiti usahlah difokuskan dengan kepercayaan penganut agama lain.
Penjenamaan semula

Apa yang penting pada penulis suatu penjenamaan semula harus diberikan kepada Hari Kasih Sayang ini seperti mana Hari lbu, Hari Bapa, Hari Wanita dan seumpamanya.

valentine day 130206Walaupun boleh disambut pada bila-bila masa tapi tidak salah dipilih pada bulan Februari tetapi tidak semestinya pada 14 Februari. la boleh ditetapkan pada 18 Februari, 21 Februari atau 28 Februari, terserahlah.

Dengan ini kita tidak memfokuskan Hari Kasih Sayang kepada para remaja sahaja tetapi kepada semua insan. Dengan penjenamaan baru ini lama kelamaan elemen-elemen maksiat boleh terhakis daripada minda dan tidak ada kaitan dengan sebarang kepercayaan dan agama.

Apakah menjadi kerisauan kepada para peniaga bunga dan cenderamata kerana akan terjejas perniagaan mereka itu adalah isu sampingan? Apa yang penting semua pihak harus berpijak di bumi nyata.

plant nursery flowersKesimpulannya isu utama ialah masalah keruntuhan moral, pembuangan bayi, kejahilan konsep kasih sayang dan gejala maksiat.
Ini bukan sahaja menjadi masalah pokok utama umat lslam dan remaja Melayu sahaja tetapi merupakan masalah bersama juga bagi penganut-penganut agama lain dan kaum-kaum lain di bumi Malaysia yang tercinta ini. 

Justeru, suatu langkah membenteras gelaja-gejala negatif menjadi tanggung jawab semua pihak dan individu tanpa mengira fahamanpolitik, agama, budaya dan kaum.
(sumber: Malaysiakini, 12.02.2011)
Penulis ialah setiausaha agung Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia

11 Februari 2011

Sememangnya wujud Profesor Kangkung

Pada mulanya penulis bersangka baik mengenai istilah Profesor Kangkung yang mula dilabelkan dahulu oleh mantan Naib Canselor, Universiti Malaya, Profesor DiRaja Ungku A Aziz.

Penulis menyangkakan tentulah dalam perebutan pangkat dan gelaran di IPTA tentulah ada 'yang memijak, yang dipijak dan yang terpijak'. Adat dunia, fitrah manusia selagi ada seketul hati hitam dalam diri manusia yang tidak beriman dan penuh nafsu-nafsi maka wujudlah fenomena hasad dengki, iri hati dan tindas menindas.

Walaupun penulis diberitahu seorang teman namun kerana gerak hati penulis maka penulis memperoleh pengalaman sebenar yang disaksikan sendiri.

Kisahnya bermula pada suatu majlis ilmu di sebuah dewan bertaraf balai raya kampung. Kebetulan para pesertanya boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik.

Muncul seorang sarjana yang kononnya berasa beliau seorang profesor hebat punya PhD dari luar negara berkhidmat pula di sebuah universiti ternama di Malaysia.

Semasa beliau membentangkan celotehnya (kerana tidak ada kertas kerja rasmi yang sebenarnya bersifat ilmiah) berhubung tentang salah satu cabang seni; cara komunikasi di hadapan audien seolah-olah beliau beranggapan berhadapan dengan para peserta/pendengar yang 'kangkung' juga.

Beliau berlagak seolah-olah beliau serba tahu di hadapan peserta yang tidak pun sampai 35 orang yang berada dalam dewan tersebut.

Bayangkan sebuah IPTA terpaksa membayar segala macam elaun perjalanan, makan minum dan penginapan di luar kawasan selaku seorang penjawat awam dengan wang cukai rakyat semata-mata kepada seseorang yang berstatuskan profesor tetapi hampas belaka dan mengecewakan.

Ada pendengar, penonton merangkap peserta bidan terjun bertanya soalan-soalan spontan bersifat kreatif dan kritis.Tetapi profesor ini cuba mengelak dan memberi beberapa jawapan yang tidak munasabah, tidak akademik, kebudak-budakan dan 'self-fish'.

Beliau asyik mempamerkan biodatanya dengan power point yang kelam-kabut lantaran sudah puas diusungnya ke sana ke mari. 

Seperkara yang membosankan ialah sikapnya mempamerkan satu-satunya buku tulisan beliau yang penulis yakin hanya sebuah sahaja yang menyentuh tentang cabang seni itu yang diterbitkan sebuah penerbitan swasta ternama di Kuala Lumpur (yang mungkin hasil kajian ilmiahnya dahulu) yang entah di kedai mana ada dijual kini atau tersimpan di stor lelong kerana telah diterbitkan pada abad yang lalu.

Yang amat memeranjat ialah apabila ada 'peserta' bertanya tetapi dijawabnya:
“Anda dah baca buku saya? Tak payah saya jawab. Awak baca buku saya. Baca!” katanya sambil menempelak dengan berbagai-bagai cemuhan memalukan (tidak perlu penulis sebutkan) peserta yang bertanya.

Justeru, apakah ini sifat seorang cendekiawan dan akhlak seorang profesor? Sepatutnya dijawab dengan penuh santun, beradab dan berbudaya. 

Kini barulah penulis percaya sememangnya wujud profesor kangkung yang hanya riak, angkuh dan berlagak tin kosong dengan satu atau dua buah bukunya yang diusung ke hulu ke hilir, mendabik dada tetapi tidak mencerminkan mahaguru yang dihormati.

Kepada mana-mana profesor (termasuk profesor madya yang bakal menjawat profesor) ingatlah itu cuma jawatan anda sahaja sebelum anda bersara wajib di IPT.
Ingatlah tidak semudah itu anda boleh digelar profesor selepas bersara (dengan meraih gelaran Profesor Emiritus atau Prof DiRaja) sekiranya akhlak anda tidak menghormati tradisi dan budaya ilmu.

Usahlah fikir sekiranya anda berada di sisi orang politik yang berkuasa dan punya kabel ampuh maka anda lupa diri, lupa daratan. Hidup umpama roda. Contohi para ilmuan tempatan seperti Prof. Emiritus Dr Awang Had Salleh, Prof. Emiritus Dr Abdullah Hassan, Prof. Emiritus Dr Nik Safiah Karim, Prof. Emiritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan lain-lain yang tetap kekal berbudi luhur dan bersantun tutur bicaranya dan kekal kaya sejarah pengalamannya.
(sumber : Malaysiakini, 09/02/2011)
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia

06 Februari 2011

MOHD. SALLEH LEBAR: BAKTI DITABUR DI PENGHUJUNG USIA EMAS


Walaupun telah bersara wajib lebih lima tahun yang lalu namun darah seorang pendidik seperti  Mohd.Salleh Lebar terus mengalir dan membara kental di sanubarinya. Semangatnya yang tidak pernah mengenal jerih lelah dan sanggup berkelana jauh semata-mata menabur  khidmat bakti di rantau orang demi mencurahkan  pengalamannya yang bertahun-tahun dalam bidang pendidikan wajar diteladani oleh para pendidik generasi kini. Wakil Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (pppm/pendidik), DARMA KEMBARA telah mewawancara  Mohd. Salleh Lebar yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan  Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan/ KUPU SB (dahulu dikenali Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan),Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam mengenai komitmen, wawasan dan cetus rasa beliau  berhubung pengalamannya sebagai guru dan pensyarah ilmu pendidikan lebih 35 tahun.

PPPM/PENDIDIK:           Boleh ceritakan tugas dan tanggungjawab cikgu sekarang?

MOHD. SALLEH:  Saya berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan KUPU SB yang dipertanggungjawabkan mengajar dan memberi  kuliah  kursus Psikologi Pendidikan, Sosiologi Pendidikan, Pentadbiran Pendidikan dan Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam.Di samping itu saya juga ditugaskan membuat penyelidikan dari semasa ke semasa untuk Jurnal Perguruan yang mana saya bertindak selaku editornya.  Tugas lain ialah selaku penyelia kepada para guru pelatih yang menjalani praktikum atau latihan mengajar di sekolah-sekolah dalam Negara Brunei Darussalam.

Apakah wawasan cikgu  di Negara Brunei  Darussalam sekarang?.

Secara ringkasnya wawasan saya ialah mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang berhubung kait dengan pengajaran dan pembelajaran antara pensyarah dengan para pelajar  KUPU SB. Saya berhasrat  memberi  sedaya upaya  ilmu  dan pengalaman dalam bidang pendidikan kepada mereka. seberapa Justeru, antara usaha yang mahu saya lakukan  ialah mahu  menghasilkan seberapa banyak bahan  penerbitan  berkala dan buku-buku ilmiah  melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan  KUPU SB. Mudah-mudahan impian saya dan juga cita-cita sebahagian besar pensyarah di sini agar KUPU SB suatu masa kelak  terkenal sebagai pusat menghasilkan produk guru yang berkualiti; bukan sahaja di peringkat dalam negara bahkan serantau menjadi suatu kenyataan dan akan tercapai jua.

Apakah perbezaan cara belajar antara pelajar atau mahasiswa di Brunei  sekarang  dengan pelajar di Malaysia yang mana pernah cikgu bertugas dahulu?

Didapati pelajar Malaysia mula menunjukkan sikap kurang minat berusaha. Mereka mudah berpuas hati dengan daya usaha yang sekadar tahap minimum. lni berbeza dengan pelajar di Brunei  yang rata-ratanya menunjukkan ketekunan dan usaha yang lebih ; terutama dalam membuat tugasan. Tepat waktu masuk kelas. Tidak banyak berdua-duan di dalam kawasan kampus.


Bagaimanakah cikgu merancang untuk mencapai pengajaran berkesan kepada pelajar?

 Bagi saya sesuatu pengajaran yang berkesan itu  ialah  seseorang pensyarah mestilah bersedia membuat banyak rujukan sebelum memberi kuliah. Selain itu bersedia mengikuti perkembangan  dan mengaplikasi teknologi maklumat terkini dalam pengajaran. Pensyarah juga sewajarnya bijak menyesuaikan  stail pengajaran mengikut situasi . Hubungan komunikasi dua hala antara pensyarah-pelajar wajar dipupuk  dari semasa ke semasa.

Bagaimanakah pula dengan program peningkatan akademik pelajar?

Saya dan para tenaga pengajar yang lain kerapkali mendedahkan bahan-bahan rujukan sedia ada dan terbaru  kepada para pelajar. Kami juga sedaya upaya menyedarkan para pelajar akan gejala tidak sihat copy and paste. Pelajar juga digalakkan berbincang berhubung dengan kandungan kursus dan melaksanakan pengisian waktu kuliah yang mencukupi.

Oleh kerana cikgu berkhidmat di sebuah institut  yang melatih bakal-bakal guru, boleh cikgu ceritakan sambutan hari guru  peringkat kebangsaan di Negara Brunei Darussalam?

Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Negara Brunei  Darussalam amat meriah. DYMM Sultan Brunei dan ahli kerabat baginda turut serta mencemar duli bersama  warga para pendidik dan rakyat jelata. Bagi memeriahkan acara tersebut diadakan pameran inovasi pendidikan,forum dan ceramah  yang disertai oleh semua peringkat dan institusi sama ada dari sekolah, maktab, institut mahupun universiti daripada agensi kerajaan  iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta agensi swasta .Ada juga penganugerahan tokoh guru  kebangsaan dan  guru cemerlang sebagaimana di Malaysia.

Ceritakan serba sedikit pengalaman manis sepanjang cikgu berkhidmat di Brunei? Dan bagaimana pula yang pahit?


Buat masa ini tidaklah banyak pengalaman manis yang tempuhi. Namun yang paling tidak dilupakan semasa awal kedatangan saya di Brunei, saya tinggal di hotel. Sebelum mempunyai kenderaan sendiri, pihak hotel telah menghantar pergi kerja setiap hari, selama satu bulan. Yang pahit nampaknya belum saya alami.


Akhir sekali, apakah nasihat kepada bakal guru yang cikgu didik?

Nasihat saya  belajarlah  bersungguh-sungguh walaupun usia kian meningkat. lngatlah bahawa menuntut ilmu tiada had waktu.Bahkan pendidikan itu sepanjang hayat. Saya mengharapkan mereka jika sudah memperoleh ijazah sarjana muda perguruan tetapi mempunyai iltizam kuat untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan hingga ke peringkat doktor falsafah.


PROFIL

MOHD. SALLEH BIN LEBAR
Tarikh Lahir: 14 Januari 1949
Tempat Lahir: Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Isteri: Halimah binti Mohamad



PENDIDIKAN

·         Sekolah Rendah Gong Kapas dan Sekolah Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu.
(1957-1962)
·         Sekolah Menengah Tengku Bariah dan Sekolah Menengah Padang Midin, Kuala Terenggau ( 1963-1967)
·         Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan (1 tahun) dan Maktab Perguruan Sultan Idris
 (1 tahun). Lulus Sijil Perguruan (1971-1972)
·         Sarjana Muda Sastera (Bidang Sejarah) di Universiti Sains Malaysia (1976-1979)
·         Sarjana Pendidikan/M.Ed. di Ohio University,USA (1984-1986)


PERKHIDMATAN

·         Guru  mengajar di Sabah( 1973-1976)
·         Guru  Maktab Adabi Kuala  Terengganu dan di Sekolah Menengah Ugama Atas Sultan Zainal Abidin,Kuala Terengganu (1979-1981)
·         Pengajar  Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin(KUSZA) (kini  UniSZA): (l981-1997)
·         Pensyarah  Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia(KUSTEM),Kuala Terengganu (kini Universiti Malaysia Terengganu/UMT )(l997-2005)
·         Pensyarah Kanan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam (2008-)


ANUGERAH

·        Anugerah  Perkhidmatan  Cemerlang  KUSTEM (1999)
·        Profesor Madya Universiti Malaysia Terengganu (UMT) (2001-2005)

PENERBITAN

·        Asas Psikologi Perkembangan (Utusan Publication & Distributors, 1994)
·        Pengurusan Sekolah di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam (Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei , 2009)









02 Februari 2011

USAH PERALATKAN ANAK YATIM


APABILA media massa melaporkan mengenai anak-anak yatim yang diperalatkan untuk mencari dana dengan cara berniaga secara langsung di khalayak ramai, rata-rata masyarakat terkejut.

Kita sering bertemu dengan kanak-kanak yang memberikan ucapan salam di pintu hadapan bank, meja makan di restoran atau gerai atau di mana-mana tempat tumpuan awam. Dengan senyum syukur kita membalas (bagi umat lslam) semula ucapan tersebut dengan senyum dan berlapang dada.

Namun jika saban waktu kanak-kanak yang sama, situasi yang sama, dengan berkopiah atau bersongkok ataupun berkain pelikat ataupun berbaju kurung dengan tabung tertulis derma untuk maahad tahfiz, surau, masjid, sekolah rendah agama atau apa jua yang berunsur agama, bagaimanakah kedudukannya? Ikhlas atau tidak derma kita hanya Allah jua yang maha mengetahui.

Tidak dinafikan kita seringkali bertemu orang yang sama, atau hanya bertukar orang dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan berganti tahun di hadapan pintu masuk bank, di stesen minyak dan sebagainya. Maka kita mulai curiga ataupun ada invidivu yang menganggap bahawa ini satu profesion yang mudah, senang, ringkas dan lumayan.
Apakah ini tidak disedari oleh mana-mana pegawai yang berkaitan seperti baitulmal, pusat zakat, Jabatan lmigresen, penguat kuasa perbandaran, Jabatan Kebajikan Masyarakat? Tidakkah mereka cuba membuat intipan atau penyiasatan?
Justeru usaha beberapa jabatan di Negeri Sembilan bergabung tenaga baru-baru ini membuat serbuan dan tangkapan terhadap pihak yang memperalatkan anak-anak yatim ini wajar dipuji.

Adalah wajar dibuat siasatan terperinci kemungkinan ada sindiket yang menjadikan modus operandi ini sebagai taktik meraih keuntungan. Tidak sesiapapun mahu bertanya benar atau palsu. Bayangkan terdapat juga pemungut derma yang sanggup menunggu tabung sepanjang hari yang bagaikan tanpa menghirau makan, minum dan sara dirinya. Dari sumber manakah makan minumnya diperoleh?

Begitu juga modus operandi yang menggunakan kanak-kanak atau remaja lelaki dan perempuan atas nama anak-anak yatim yang berkeliaran di stesen-stesen minyak. Kononnya kita bersimpati dan prihatin tetapi sebenarnya kita telah menggalakkan kegiatan tidak bermoral menjatuhkan maruah umat lslam, penipuan dan eksploitasi!

Situasi ini termasuk juga menggunakan orang-orang kurang upaya (misalnya buta dan cacat anggota) meminta sedekah, menjual tisu. Tetapi tidak siapapun antara kita yang tahu apa yang terjadi di belakang tabir.

Seandainya kita bermurah hati dan ada sedikit lebihan rezeki apa kata kita terus masukkan di mana-mana tabung masjid atau rumah Allah. ltu jalan terbaik bagi mengelakkan pengemis moden kian berkeliaran dan berleluasa.

(Sumber :MAHNESSA A.KADIR, Utusan Malaysia, 02.02.2011)

01 Februari 2011

FACEBOOK: BAHAGIA DAN BAHAYA


TERIMALAH hakikat bahawa ranking masyarakat kita membuka akaun, melayari dan apa jua istilah laman sosial dalam alam maya seperti Facebook, Twitter, Myspace, Finder dan sebagainya antara yang tertinggi di dunia. Namun isunya apakah yang terjadi dengan teknologi Internet seperti Facebook?


Bukalah laman web Internet dan klik Facebook nama si polan bin/binti si polan dengan mudah kita dapat membelek foto manis, foto tampan, foto samaran atau apa jua kemungkinan yang boleh dieksploitasikan untuk tatapan awam bagai papan tanda di Bursa Saham! Tidak kira isteri orang, jejaka perasan, don juan, kasanova, pemimpin politik yang berkarisma dan apa jua jenis manusia yang mana yang membezakan mereka hanyalah nawaitu masing-masing. lronisnya ada isu fitnah, gosip dan tohmahan pula yang dipaparkan!


Justeru berlakulah seperti laporan konflik politik, pergeseran kaum, pergolakan rumah tangga dek keberanian dan keberahian yang tidak dapat dikawal.


Dan di sebalik tabir menerusi laman sosial seperti ini apabila hubungan dilayani kian bertambah intim dalam kes pasangan suami isteri maka kian parahlah hubungan kekeluargaan.


Si wanita meraih simpati, si lelaki pendengar/pelayan/pelayar yang empati maka hanya tembok malu sebagai benteng terakhir sama ada bertahan atau kecundang jua akhirnya.
Yang mendukacitakan lagi, cuba jengok-jengoklah pejabat kerajaan, baik di Putrajaya atau di mana jua, staf yang senior mahupun yang junior khususnya anak-anak muda begitu tekun dan asyik menghadapi papan monitor; seolah-olah menumpukan tugasan rasmi.


Ketua-ketua jabatan dari peringkat KSN, KSU, KP, TKSU, TKP dan seterusnya ke bawah akar umbi rajin-rajinlah cuba jengok dan pantau.


Jangan anggap bahawa anda generasi lama boleh dikelentong dengan silap mata ICT. Bukanlah mustahil asyik melayani dan chatting menyebabkan sepatutnya surat rasmi yang disiapkan dalam masa satu jam bertukar menjadi satu bulan. Bahkan ada yang ditunda tarikh ke belakang hampir sebulan.


Kepada mereka yang leka gila dengan pembaziran masa cuba hitung masa yang anda bazirkan dalam sehari seminggu atau sebulan semata-mata untuk bersembang-sembang kosong. Lihatlah mereka yang maju seperti anak-anak muda keturunan Cina, mereka terus berniaga dan bekerja gigih secara terus menerus menghargai masa ketika lapang pada usia muda.


Tanyalah diri kita sendiri; berapakah buah buku yang kita berjaya habis baca dalam seminggu atau bulan ini? Sudahkah kita membelai suami/isteri/anak-anak kita dengan bisikan kata-kata romantis pada hari ini; pagi, petang atau malam ini?
Sudahkah kita menyiapkan tugasan rasmi di pejabat? Kunci ada di tangan kita maka kitalah yang sendiri mahu membuka atau mengunci minda kita, terserahlah.


(Sumber: MAHNESSA A. KADIR,UM, 02 Februari 2011)

27 Januari 2011

Permata Negara campur urusan kementerian lain






Dr Rajiee Hadi   
DALAM bajet 2011 yang diumumkan Oktober lalu, PM Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini memberi peruntukan sebanyak RM111 juta daripada Perbendaharaan  kepada projek Permata Negara (PN)  2011 yang dipromosikan oleh isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.
Bayangkan seandainya RM111 juta itu diberikan bantuan kepada pelajar-pelajar bumiputera  dan pelajar-pelajar miskin di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), alangkah bagusnya mententeramkan jiwa generasi muda agar boleh menumpukan pengajian sepenuhnya tanpa memikirkan masalah kewangan yang boleh menjejaskan prestasi akademik mereka.
Projek PN disasarkan untuk  melatih kanak-kanak yang dikatakan pintar di peringkat prasekolah. Projek ini seolah-olah mempertikaikan atau memperlekehkan program prasekolah yang kini telah sedia diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM). Bahkan program prasekolah juga telah sedia diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga & Masyarakat (KPWKM) di bawah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas.
Program PN seolah-olah kelangsungan kelas lompat kanak-kanak pintar yang terpaksa dibatalkan pelaksanaannya setelah projek printisnya menemui kegagalan semasa Najib Razak selaku Menteri Pendidikan ketika itu. Apakah ini adalah manifestasi kelangsungannya semula?
Projek PN juga memberi impak pada jangka masa panjang. Apa tidaknya, ini melebarkan kelas sosial dalam struktur masyarakat. Walhal Falsafah Pendidikan Negara itu mahu merapatkan segala jurang perbezaan yang mana menuju ke arah perpaduan. Kita tidak mahu projek ini memisahkan dunia kanak-kanak dengan dunia realti sebenarnya.
Bahkan harus diingat; pendidikan itu proses sepanjang hayat. Pintar di tahap permulaan bukanlah bermakna penentu di penghujungnya. Jangan kerana nafsu besar golongan dewasa, anak-anak kecil diajar dengan taraf kelas sosial antara yang kaya dengan miskin, yang di bandar dengan luar bandar, anak-anak menteri dengan anak pembantu am rendah,yang pintar dengan yang lembam dan sebagainya.
Projek PN juga bagaikan mencampuri urusan pendidikan yang sepatutnya di bawah seliaan KPM. Kita tidak mahu kerana campur tangan banyak pihak, anak-anak kecil akan menjadi mangsa perlumbaan, pergelutan dan pergeseran dek politiking pihak atau individu yang berkepentingan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.
(Sumber : Harakahdaily, 27 Januari 2011)



KOMUNIKASI TUNJANG UTAMA KSSR


Oleh: DR. RAJIEE HADI


 TRANSFORMASI  kurikulum persekolahan merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke -21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat penandaarasan  dengan kurikulum negara  maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan global.

Melalui transformasi kurikulum ini Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR) diperkukuh serta ditambah baik dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR) yang mula dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 ini.


 Justeru  berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengekalkan prinsip KBSR maka penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR yang antara lain tunjangnya ialah aspek pengukuhan kemahiran komunikasi.


Bagi mengukuhkan kemahiran komunikasi, sandaran adalah berdasarkan teori psikologi pengajaran bahasa yang mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) lisan mestilah diutamakan sebelum mengajar aspek kemahiran bacaan dan penulisan. Kemahiran dalam lisan memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa para pelajar. Apatah lagi dari sudut psikolinguistik wujudnya perhubungan antara bahasa dengan pemikiran. Pemikiran melibatkan simbol tertentu. Kebiasannya simbol ini ialah lambang-lambang pertuturan tertentu yang merupakan perkataan. Maksudnya jika murid tidak dapat menguasai perbendaharaan kata yang luas maka mereka tidak dapat berfikir dengan jelas.

Oleh itu bersandarkan lisan adalah kemahiran asas bagi bahasa pertama yang dikuasai oleh murid normal.  Sebelum mempelajari kemahiran membaca dan menulis khususnya murid Tahun Satu di semua sekolah rendah seluruh negara wajar diberikan penekanan utama dalam kemahiran komunikasi lisan KSSR. Sementelahan pula kurikulum ini berpaksikan kepada prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk
semua murid dan berkonsepkan pendidikan seumur hidup.

Dalam komunikasi, penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi menjadi keutamaan guru ketika proses P&P berlangsung dalam bilik darjah. Sehubungan dengan ini guru sewajarnya berupaya menyampaikan isi pelajaran, pengetahuan, idea, maklumat, nasihat dan tunjuk ajar kepada murid dengan tepat tanpa menimbulkan salah faham, kekeliruan dan kekaburan.Yang nyata, sudah semestinya guru itu menggunakan bahasa yang betul, sesuai dan sempurna tatabahasanya.

Ketika kemahiran lisan difokuskan oleh guru dalam P&P, aspek kemahiran mendengar dan bertutur hendaklah diberikan penekanan utama. Dalam kemahiran mendengar guru hendaklah  sentiasa memastikan apa yang murid faham dan ingat dengan melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Manakala kemahiran bertutur ialah aktiviti melafazkan bunyi-bunyi yang dihasilkan daripada artikulator manusia dan merupakan kemahiran interaksi dalam suasana berbahasa.

Dalam hal ini aspek asas seperti sebutan, tekanan, mora (panjang-pendek),jeda (persendian), intonasi, nada, tatabahasa, kelancaran, kefasihan dan laras bahasa wajar diberikan penekanan oleh guru khususnya guru bahasa. Dalam erti kata lain, aktiviti lisan seperti perbualan, bercerita, lakonan, berpuisi, melaporkan berita, menyanyi, bacaan bersuara/lantang, bercakap berdasarkan gambar, perbincangan adalah aktiviti yang membolehkan murid mengamalkan bahasa dalam bidang komunikasi yang  mana paling hampir dengan kehidupan seharian mereka.

Kesimpulannya aspek komunikasi yang menjadi salah satu tunjang utama KSSR adalah wadah penting dalam transformasi pendidikan ini. Apatah lagi komunikasi ialah proses penyampian maklumat daripada satu pihak kepada satu pihak lain. Keberkesanannya bergantung kepada maklum balas dan seterusnya tindak balas antara guru-murid. Apa yang diharapkan komunikasi yang berkesan juga akan dapat mengubah cara berfikir individu terutamanya dalam perlakuan dan tindak-tanduk seseorang. Dengan ini natijahnya  akan memberikan impak positif dan menggalakkan penglibatan murid-murid secara aktif dan dinamik.
(Sumber : Majalah Pendidik , Januari 2011)



24 Januari 2011

BAGAIMANA TANGANI STRES DALAM RUMAH TANGGA


Stres satu tekanan adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan.  Menurut seorang pelopor teori tekanan Bruno Selye (1970-1980), stres boleh dilihat sebagai desakan atau tekanan yang dihadapi oleh individu berikutan peristiwa yang berlaku padanya.  Stres boleh berlaku dalam semua aspek kehidupan dan mempunyai kesan positif dan negetif.

            Adakalnya stres membawa kesan yang postif dan individu akan merasa lebih semangat untuk menghadapi kehidupan.  Tidak kurang juga stres yang membawa kesan negetif akan merasa amat tertekan  dan hilang kemampuan untuk berfungsi secara optima.  Stres, jika tidak diuruskan dengan bijak akan menghalang kejayaan diri dan merosakan kebahagiaan sesebuah rumah tangga dan keharmonian sesebuah masyarakat.

            Kehidupan kita di era globalisasi hari ini mengundang  banyak tekanan atau stres.  Tidak ada siapa yang boleh lari secara mutlak daripada mengalami stres  sama ada dari golongan pelajar hingga kepada ibu bapa , suami isteri, pekerja, golongan professional, ushawan , pemimpin dan rakyat jelata.

            Stres adalah istilah yang dikaitkan dengan tekanan, beban konflik, keletihan , ketegangan, perasaan gemuruh, anxitie, kemurungan  dan hilang daya.  Gajala stres ini terhasil apabila seseorang itu merasa yang keperluan melebihi dari keupayaan  atau sumber yang ada oada dirinya.  Stres menjadikan diri kita tertekan, produktiviti diri menurun, jiwa tidak tenteram dan tindakan menjadi tidak rasional.  Pada masa yang sama rimbul perasaan marah, geram, lemah dan hilang keyakinan diri.

DI ANTARA TANDA-TANDA ATAU SIMPTOM MENGALAMI STERSS DALAM RUMAH TANGGA

Simptom dari segi fizikal

            Perasaan gementar, berpeluh, rasa seram sejuk, tangan dan kaki rasa sejuk, sakit kepala atau rasa mual/nak muntah, bernafas laju, kerap buang air kecil/besar, cirit berit, kurang selera makan, gatal-gatal dan masalah penghadaman, sakit-sakit hubungan kelamin suami/isteri contohnya kurang minat melakukan hubungan seksual walaupun pasangan mempunyai hajat.

Simptom dari segi psikologi

            Timbul rasa kebimbangan, perasaan keliru dan kurang daya tumpuan, apabila menghadapi sesuatu masalah serta sukar kawal diri, berlaku perubahan emosi, tekanan  perasan, kekecewaan, mewujudkan permusuhan, rasa tidak berdaya , kurang sabar dan cepat marah walaupun hanya perkara yang kecil, mudah lemah semangat, susah nak tidur, mudah terpengaruh sehingga sanggup mengambil bahan yang terlarang seperti dadah dan arak untuk menghilangkan stres.

Simptom dari segi gangguan fikiran

            Sukar membuat keputusan dalam rumah tangga, kurang minat terhadap aktiviti harian, tidak merasa tercabar terhadap situasi yang sukar, sering berfikiran negetif, kurang memberi perhatian , kurang keyakinan diri, hilang tumpuan, menghadapi perasaan bingung, timbul perasaan takut, kecewa dan cepat marah.

Simptom dari segi tingkah laku:

            Bercakap dengan cepat dan kuat walaupun bukan satu keperluan, mudah menguap, suka gigit jari, mengetap bibir, kerap menggerakkan jari, letih, hilang selera makan walaupun masalah yang disedikakan sedap dan menyelerakan, menangis tanpa sebab, berperasaan negetif  (mudah tersinggung, terlalu bergantung kepada orang lain, suka memberi komen dan mengkritik orang lain, bertindak secara tidak logik, terlalu beremosi), kurang kecekapan diri (mudah lupa, kurang produktiviti kerja), dan menidakkan keupayaan diri sendiri.

            Tekanan ini memerlukan pasangan suami/isteri untuk menyeimbangi tuntutan perubahan dengan keupayaan yang ada pada dirinya.  Kegagalan untuk mencapai keseimbangan inilah yang akan menyebabkan stres berterusan.  Bila stres berada di peringkat tinggi, seseorang itu akan mengalami tekanan dan menunjukkan tanda-tanda stres seperti di atas. Stres di peringkat sederhana adalah yang paling baik kerana ia akan meningkatkan motivasi dan perkembangan hidup dalam sesebuah rumah tangga. 

Beberapa saranan untuk mengurangkan stres dalam rumah tangga
Pendekatan mengurus stres:

1.       Pengurusan masa  iaitu perancangan pengurus peribadi ahli kelaurga dan rumah tangga.  Tumpukan perkara betul, ikut keutamaan dan kepentingan.
2.      Mengendalikan dan mengurus kemarahan konflik hubungan interpersonal suami-siteri dan tolak ansur, berinteraksi secara berkesan dengan pihak suami isteri dan anak- anak.  Tunggu situasi tenang semula serta fikrikan bagaimana nak selesaikan masalah dihadapi dengan waras.
3.      Menyediakan stres diari bagi menentukan tahap keseronokan dan kecekapan.  Catat jenis peristiwa, bila dan di mana berlaku, factor tahap cabaran dan punca, analisis dan melakukan pelan tindakan.
4.      Belajar bertenang dan sabar.  Akui adanya konflik, semua pihak perlu memahami keadaan, elakan membesarkan isu serta konflik rumah tangga.
5.      Bersikap positif.  Mempunyai rasa membina diri suami-isteri, ada toleransi, bertenaga dan penuh minat menyelesaikan sebarang konflik rumah tangga.
6.      Nikmati keindahan alam.  Suami dan isteri masing-masing terlalu sibuk bekerja, luangkan sedikit  masa  contohnya di hari minggu untuk bersantai dengan menghayati keindahan alam ciptaan Allah bersama anak-anak atau rakan-rakan di tempat-tempat yang bebas dari kesibukan kota dan kerja.
7.      Bersukan/beriadah.  Bersukan dan bersenam adalah cara yang sangat penting dalam melegakan stres yang terkumpul serta banyak mendatangkan rasa kelegaan dan akan mengukuhkan semangat seseorang untuk meneruskan aktiviti fizikal itu.
8.      Rehat dengan tiduk sejenak (nap).  Tidak sejenak (melelapkan mata) buat seketika dalam lingkungan masa 30-40 menit mampu menyegarkan tubuh dan minda untuk kembali bekerja atau melakukan aktiviti lain seperti membaca majalah, menonton TV dan sebagainya. 
9.      Cuba gembirakan hati dengan ketawa.  Ketawa mampu mengurangkan stres yang membelenggu diri.  Luangkan masa seketika bergurau senda bersama suami/isteri dan anak-anak.
10.  Perlu realistik.  Tidak terlalu optimistik tetapi realistik.  Contohnya meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap pasangan dan akedamik anak-anak.  Tidak salah untuk mensasarkan sesuatu yang tinggi sebagai memotivasikan diri tetapi jangan sampai sasaran yang dibuat tidak berpijak di bumi nyata.
11.  Memulis diari stres setiap hari.  Walaupun agak kurang popular, cara ini akan membantu kita lebih peka akan pertalian pemikiran dan perasaan kita dan seterusnya  dapat memperbaiki bentuk-bentuk  pemikiran dan perasaan yang negatif.
12.  Teknik pernafasan.  Gunakan semua pancaindera untuk menikmati saat itu.  Semakin mendalam tumpuan  kita, maka semakin jauh sesuatu  masalah itu meninggalkan fikrian kita.  Tegangkan otot-otot dan tarik nafas sedalam-dalamnya, tahan pernafasan selama 4 hingga 8 saat (teruksan relaksasi tersebut selama 30 hingga 60 saat).
13.  Positifkan pemikiran.  Amalkan konsep muhasabah  diri sendiri (suami/isteri) dan teliti kembali apa kelebihan dan kekurangan  yang ada pada keluarga anda.  Kenal pasti kelemahan dan atasilah dengan baik.
14.  Mendengar alunan music/ nasyid.  Relaks dengan mendengar muzik-muzik yang bersifat sentimental dan lembut berupaya memberi ketenangan kepada minda.  Contohnya muzik kitaro, nasyid, balada, klasik dan sebagainya.
15.  Ekspresi diri/luahkan apa yang dirasakan.  Jika anda tidak berupaya menanagi stres dengan sendiri suami/isteri tidak dapat membantu , carilah rakan atau kaunselor yang benar-benar dipercayai untuk mendengar segala luahan hati.  Bukan mengharapkan respon atau penyelesaian tetapi sedia mendengar isi hati.
16.  Hubungan seks dengan pasangan.  Kajian menunjukkan hubungan seks dapat mengurangkan perasaan stres pasangan suami/isteri.  Serlahkan kasih-saynag dengan sepenuhnya dan tunjukan minat melakukan hubungan seksual terutama apabila pasangan mempunyai hajat yang tinggi dapat meningkatkan keharmonian dan mengurangkan bebanan stres.
17.  Solat, tadabur Al-Quran, zikir dan doa.  Sebagai seorang muslim, solat , membaca Al-Quran, zikir dan doa merupakan teknik terbaik mengatasi stres.  Amalan berzikir dan membaca Al-Quran merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menenangkan fikiran, emosi dan perasaan yang bercelaru.

Pandangan Islam mengenai stress

            Dalam masyarakat bahtera rumah tangga, suami-isteri kerap mengalami stres yang tidak kurang hebatnya.  Stres negetif dalam rumah tangga akan memalapkan api kemesraan dan mungkin akan memusnahkan perhubungan suami isteri dan anak-anak sekiranya tidak ditangani dengan segera dan berkesan.

(Sumber: Siasah 15-21 Mac 2009)