25 Julai 2011

PSIKOLOGI : TIDAK BOLEH DIJADIKAN FAKTOR PENENTU JANTINA



MASYARAKAT khususnya umat Islam perlu melihat isu pertukaran jantina melalui pembedahan dengan merujuk kepada hukum yang sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu haram dari segi hukum syarak. 

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata fatwa mengenai pertukaran jantina sudah dibuat oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 1982.
Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-4 yang bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 memutuskan pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram.


Seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun ia berjaya ditukar jantinanya melalui pembedahan dan seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan. 

Bagaimanapun, seseorang yang dilahirkan ‘khunsa musykil’ iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan, diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai. 

“Hukum ini sudah jelas dan tidak perlu untuk kita mempertikaikannya lagi,” katanya sambil menambah perkara membabitkan hukum syarak tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi jika didorong oleh rasa simpati kerana umat Islam perlu meletakkan perkara agama mengatasi segala-galanya dan patuh kepada hak agama. 

Isu pertukaran jantina kembali diperkatakan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu baru-baru ini menolak permohonan seorang lelaki menukar nama dalam MyKad dan sijil kelahiran kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu. 
Permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman. 

Sheikh Ghazali berkata, mereka yang prihatin dengan isu berkenaan sepatutnya menilai keadaan melanda golongan menukar jantina dari kaca mata agama dan budaya hidup diamalkan di negara ini dengan pandangan terbuka. 

Beliau berkata, kesilapan yang dilakukan pihak berkenaan sepatutnya dijadikan pengajaran bukan sebab untuk mereka dicemuh dan bagi yang bersimpati, sepatutnya mengambil inisiatif untuk membawa kembali golongan berkenaan kepada keadaan asal. 

“Silap masyarakat kita suka mencemuh. Sepatutnya kita tarik mereka kepada asal kejadian. Itu kesilapan yang mereka lakukan tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh menjalani kehidupan mengikut jantina asal,” katanya. 

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin, berkata implikasi daripada isu penukaran jantina pada kad identiti akan memberi kesan besar bukan saja kepada individu tetapi juga masyarakat. 

Katanya, tujuan undang-undang ialah untuk memastikan kehidupan yang lebih teratur serta memelihara kesejahteraan kehidupan semua lapisan termasuk dalam hubungan antara individu, keluarga dan masyarakat. 

“Perlu kita faham, penukaran nama pada kad identiti hanya isu sampingan kerana masalah utama yang perlu diberi perhatian ialah implikasi dari aspek perundangan yang jauh lebih besar. Sebab itu isu ini tidak boleh selesai atas dasar memohon simpati atau restu ibu bapa saja,” katanya. 

Beliau berkata, melihat kepada kesan makro, Mahkamah Sivil di Malaysia dan di Barat pun masih berpegang kepada empat kriteria untuk penentuan jantina seseorang dan ada kes menambah satu lagi faktor iaitu faktor hormon. 

Berdasarkan analisis kes dari 1819 hingga sekarang, kesemua kes berkaitan yang didengar di Mahkamah Sivil menunjukkan bahawa empat kriteria utama penentuan jantina iaitu faktor kromosom, gonadal (kewujudan atau ketiadaan testis atau ovari), genital (termasuk organ seks dalaman) dan psikologikal. 

Kriteria itu sudah berkembang dalam dunia perubatan sejak kurun ke-19 sebagai panduan doktor perubatan untuk menyelaras pengetahuan dalam bidang berkenaan dan diguna pakai sebagai pendekatan sistematik kepada masalah kelainan seksual secara fizikal atau psikologikal. 

Prof Zaleha berkata, aspek psikologi turut dibincangkan pakar perubatan untuk membantu mahkamah seperti pandangan Dr Randell dalam kes Corbett v Corbett menunjukkan faktor psikologi tidak mengambil keutamaan jika kromosom, gonadal dan alat jantina dalam kategori yang sama. 

Contoh, seorang individu itu walaupun secara psikologi adalah seorang wanita, tetapi kromosomnya lelaki, organ seks dan gonadnya (anggota seks dalaman) lelaki, maka dianggap sebagai lelaki. 

Dalam banyak kes, mereka mengambil pil hormon wanita (estrogen) yang mudah didapati di pasaran untuk menonjolkan ciri kewanitaan, menghaluskan kulit, menyebabkan pembesaran buah dada dan pengurangan bulu. 

“Aspek psikologi tidak boleh dijadikan satu-satunya faktor penentuan jantina. Secara luaran dia boleh berlagak seperti wanita dan mahu menjadi wanita tetapi jika masyarakat menerimanya sebagai wanita, ia tidak akan menyelesaikan masalah kerana akan timbul banyak isu perundangan,” katanya. (sumber:bharian,25/7/11)

HANTARAN DAN BELANJA KAHWIN: USAH BAZIRKAN WANG ANDA

Mari kita hayati persoalan tentang belanja kahwin yang disiarkan di Harian Metro ini.


SAYA gadis berusia 24 tahun dan bertunang hampir setahun lalu. Tunang saya berusia 26 tahun. Kami ingin mendirikan rumah tangga secepat mungkin bagi mengelak perkara mungkar.
Namun masalah kewangan membelenggu kami. Status kewangan masing-masing tidak stabil, menyebabkan kami tidak yakin akan berkahwin dalam tempoh terdekat.

Setiap kali merancang menyimpan bagi tujuan itu, pasti ada masalah timbul. Antaranya duit yang diperuntukkan untuk belanja kahwin terpaksa dibelanjakan bagi tujuan lain. Malah lebih membebankan kami ialah keluarga kami merancang melangsungkan majlis pernikahan kami tahun depan. Sesungguhnya ini memberi tekanan lagi kepada kami kerana tempoh setahun adalah terlalu singkat.

Lebih tertekan, saya dan tunang terpaksa berdepan konflik keluarga tunang. Keluarganya kini bergolak gara-gara ayahnya mahu berkahwin lagi. Saya simpati dengan tunang yang kelihatan tertekan dan dia masih mencari pekerjaan yang lebih menjamin masa depan.

Manakala keluarga saya pula tidak memahami kedudukan kewangan saya. Adik beradik mengatakan saya terlalu bergantung kepada ibu (ibu tunggal). Ibu pula mengharap saya balik kampung setiap minggu, sedangkan perbelanjaan berulang alik memakan belanja besar.

Saya pun tidak mahu menyusahkan ibu, kadangkala kami terfikir adakah rezeki yang kami dapat ini tidak diberkati Allah SWT.

Saya bukan terdesak untuk berkahwin tetapi yang menjadi kebimbangan ialah saya khuatir gagal mengawal nafsu duniawi.

Jalan penyelesaian adalah mengambil pinjaman peribadi. Perlukah saya mengambil pinjaman peribadi untuk majlis perkahwinan?

AZWA
Mersing, Johor
Terus terang, Dang Setia kurang setuju jika adik mengambil pinjaman peribadi bagi mendirikan perkahwinan. Pada mulanya mungkin adik berasa masalah akan selesai tetapi Dang Setia bimbangkan kesannya kelak.
Keutamaan perkahwinan adalah pada rukunnya dalam mengesahkan ikatan halal antara perempuan dan lelaki. Majlis kenduri serta belanja kahwin hanya sunat dan tuntutan adat.

Ikatan perkahwinan perlu suci daripada segala anasir yang boleh dikatakan tidak baik kerana ia boleh memberi kesan kepada ikatan itu sama ada bahagia atau cacamerba. Bagi Dang Setia, hutang itu bukan perkara baik kerana ia boleh memberi kesan dan bebanan kepada adik dan tunang.

Kebimbangan Dang Setia berasas kerana Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut turut meluahkan kebimbangan sama dengan mengatakan trend kahwin hutang dikhuatiri menyebabkan sesebuah perkahwinan menjadi tidak berkat yang akhirnya membawa kepada perceraian.
Dalam melangsungkan perkahwinan, lebih memadai belanja mengikut kemampuan dan jangan melampaui batasan. Sebagai contoh, adik boleh renung pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah (kenduri kahwin) yang dilakukan beliau di mana Rasulullah menghadirinya, Abu Usaid menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya.

Ia bermakna, majlis kenduri kahwin hanya sebagai tanda hebahan kepada masyarakat satu ikatan pernikahan sudah berlangsung dalam keluarga dan biarlah ia dalam kesederhanaan dan bukan menjadi bebanan.
Adik tidak perlu bimbang jika sedia melangsungkan perkahwinan tanpa memerlukan belanja besar.
Paling penting, adik perlu memikirkan kehidupan selepas berkahwin berbanding majlis perkahwinan. Dengan berfikir demikian, adik sekurang-kurangnya tidak tertekan dan boleh merancang dengan baik.(Sumber:bharian-online.com, 24/7/11)

SEPULUH (10) SAHABAT IBLIS!

SUKACITA diingatkan kepada diri sendiri dan para pembaca yang budiman bagi mengenali 10 kategori mereka  yang tergolong dalam sahabat iblis laknatullah:-

1. Hakim yang tidak adil
2. Orang kaya yang sombong
3. Pedagang/peniaga yang tidak jujur
4. Peminum arak
5. Penghasut kepada orang lain
6. Orang yang beramal kerana inginkan nama (riak)
7. Orang yang makan harta anak yatim
8. 0rang yang mempermudahkan solat
9. 0rang yang tidak mahu berzakat
10.0rang yang suka termenung (mengelamun)

TB: Semoga kita saling ingat mengingati.Amin.(sumber:tiubbocor.blogspot.com)

KASIH SAYANG TERHADAP WANITA

KASIH sayang kepada wanita umpama bunga yang mekar. Apatah lagi wanita ibarat permata yang terkubur di lembah kejahilan.Kemudian kehebatan wanita lantaran kehidupannya kembali mewangi ibarat sekuntum mawar yang mekar mewangi disinari cahaya dek insan yang berbudi luhur.

Justeru Rasulullah S.A.W telah mengangkat darjat wanita ke tahap yang paling tinggi sehingga pengorbanan wanita sentiasa dikenang oleh setiap insan lantaran lagi kelembutannya yang luhur menyejukkan hati insan yang memandangnya.

Tiada seorang wanita pun yang ingin diseksa dengan kehinaan akibat dosa yang dilakukan.Namun wanita yang suka mendedahkan aurat dan 'bersahabat' dengan iblis serta melakukan dosa menyebabkan mereka menjadi penghuni neraka. Nahuzubillah.....

0leh itu wanita yang memahami hakikat kewanitaannya sahaja akan menghargai dirinya sendiri dan membimbing dirinya sendiri ke jalan yang diredai Allah S.W.T.

TB: amat merasakan betapa wanita amat perlu hadir dalam kehidupan seorang lelaki.Bahkan jikalau dari sudut positif ada dinyatakan kejayaan mercu  puncak hidup seorang lelaki (suami) boleh dinilai; siapa pendamping atau suri dalam kehidupannya.Teringat TB sebuah lagu nyanyian lto yang ada menyebut bahawa perempuan itu adalah penawar dan juga racun....perempuan itu adalah ibu,anak, isteri dan kekasih bagi seorang lelaki.....Sayangilah wanita ke arah kebaikan ke jalan Allah kerana Allah jua. (sumber:tiubbocor.blogspot.com)

24 Julai 2011

HARIMAU MALAYA: SKUAD YANG MESTI KUAT SEMANGAT


BAIK pemerhati,penganalisis,pengkritik mahupun pengulas dalam apa jua bidang pun sama ada bidang teater dan filem, politik, kebudayaan dan sukan; tidak semestinya mereka terlibat secara langsung di lapangan. Bahkan golongan ini dianugerahkan Tuhan mempunyai pandangan mata yang tajam dan daya akal yang tinggi untuk memberi tafsiran dan penambahbaikan yang membina.Begitu juga di arena bola sepak; golongan ini diperlukan selain pandangan jurulatih,koc dan mereka yang berada di sekeliling padang stadium ketika itu.

Justeru malam tadi, 23 Julai 2011 kita menyaksikan pasukan Harimau Malaya yang mewakili Malaysia kecundang 3-5 di tangan pasukan Singapura di pertandingan bola sepak kelayakan piala dunia pusingan pertama di Stadium Nasional, Singapura.Sebenarnya pasukan Malaysia tidak sewajarnya kalah memandangkan pendedahan lasak yang telah dialami termasuk menentang pasukan Taiwan dan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan luar negara Manchester United, Arsenal dan Chelsea. Wow... hebat pengalaman kalian!

TB percaya setiap pasukan mesti ada cara tersendiri untuk saling menumpaskan. Bagi TB fokuskan: TEKNIK dan TAKTIK (2T) dari segi sepak, bawa,hambat,lari dan tendang. TB tidak mahu mengulas panjang.TB mahu kita sama-sama berfikir.Ada masa penjaga gol perlu menendang jauh bola ke hadapan melepasi separuh padang. Ada masa penjaga gol melontar atau membaling bola ala kadar kepada rakan sepasukan yang berhampiran. Masihkah anda ingat, penjaga gol Malaysia asyik membaling bola kepada rakan yang berdekatan yang kekadang begitu mudah disambar pihak lawan. Kekerapan seperti ini wajar dikurangkan atau dijauhkan.

Apa yang patut difikirkan oleh pasukan Malaysia ialah pemberatan bola wajar berada di sebelah gawang musuh.Jangan biarkan bola sentiasa ada di kawasan Malaysia.lni membahayakan kerana keadaan kelam-kabut dan sarat dengan pemain-pemain boleh mengundang pelbagai kemungkinan.

Pemain Malaysia wajar bergerak pantas.Jikalau mahu memperlahankan rentak pun bagi tujuan mengatur strategi sebelum terus mengasak dan menyerang,menendang bola ke sasaran. Elakkan menendang bola tanpa tepat ke sasaran rakan.lni membuang masa dan memberi peluang musuh secara percuma.

Tekanan dan faktor psikologi sering menghantui pasukan Malaysia sejak zaman Ghani Minhat, Mokhtar Dahari, Zainal Abidin hingga kini. Adalah wajar jika pasukan Malaysia memanggil pakar motivasi yang bukan di kalangan mereka yang berijazah sains sukan atau psikologi sukan.Sesekali panggillah pakar motivasi di bidang sains sosial agar pemain-pemain ini didedahkan dengan semangat dan tanggungjawa kepada negara dari aspek kesan kepada sosial dan budaya, pendidikan dan patriotisme.

Tujuannya agar para pemain memperoleh input yang berbeza tetapi bermakna.kita mahu pasukan bola sepak kita konsisten dari segi semangat walau di mana mereka beraksi. Seperkara lagi adakah wajar pasukan yang paling terkuat yang menjuarai Piala Malaysia atau mana-mana piala bola sepak berprestij di Malaysia dicuba untuk mewakili pasukan negara. lni memudahkan keserasian antara mereka lantaran memilih mereka daripada pasukan berlaianan negeri atau kelab untuk mewakili pasukan kebangsaan menimbulkan masalah ketidakserasian, latihan dan kerenah birokrasi dan peribadi yang tenggelam timbul. Apakah FAM mahu mencubanya?sumber: tiubbocor.blogspot.com)

23 Julai 2011

SOLAT: JIKA DITINGGALKAN TUNGGULAH SIKSAANNYA...



KITA  sebagai hamba Allah s.w.t diwajibkan menunaikan solat wajib 5 waktu sehari semalam.  Jangan keran mengejar kenikmatan hidup dan kesenangan duniawi kita mengabaikan amanah Allah s.w.t yang paling utama ini.  

Keghairah mengejar kemewahan tidak ada kesudahan dan penghujungnya.  Tidak dinafikan ianya perlu demi melestarikan hidup dengan selesa.  Andai kewajipan yang bermakna sepeti solat tidak diabaikan dan ditinggalkan alangkah berganda hidup insan itu.

Hendaklah kita berpesan-pesan dan saling ingat-mengingatkan antara saudara-saudara seIslam kita janganlah leka dan alpa mengerjakan solat lima waktu. Di bawah ini adalah contoh balasan siksaan yang akan Allah S.W.T berikan kepada yang ingkar terhadap suruhanNya. Terdapat dalam hadith, sesiapa yang menjaga solahnya maka Allah swt akan mengurniakan lima keistimewaan.

Pertama, akan diangkat kesempitan hidup di dunia daripadanya.
Kedua, akan dihindarkan daripada azab kubur.
Ketiga, dia akan menerima buku catatan amalnya melalui tangan kanan.
Keempat, akan melintasi titian sirat sepantas kilat, dan,
Kelima, akan memasukki syurga tanpa hisab.

Cukup hebat sekali kepada sesiapa yang dapat menjaga solahnya secara sempurna disisi Allah swt. Ganjarannya cukup lumayan, bukan setakat ganjaran di akhirat sahaja tetapi di dunia dan di alam kubur juga.TAPI sesiapa yang meringan-ringankan solah, Allah swt akan menyeksannya dengan lima belas seksaan. Astagfirullah. Awas kita!Yang mana akan terbahagi kepada beberapa bahagian. Lima seksaan di dunia ini, tiga seksaan ketika meniggal dunia, tiga seksaan di dalam kubur dan tiga seksaan semasa dibangkitkan dari kubur.

Seksaan semasa di dunia ialah:
Pertama, dicabut keberkatan umurnya.
Kedua, dihapuskan tanda-tanda orang soleh daripada wajahnya.
Ketiga, Allah swt tidak mengganjari setiap amalan yang dilakukan olehnya.
Keempat, doanya tidak akan diangkat ke langit (doanya tidak akan diterima).
Kelima, dia tidak akan mendapat bahagian dalam doa orang soleh.


Seksaan yang menimpanya ketika mati ialah:
Pertama, dia akan mati dalam keadaan hina.
Kedua, dia akan mati dalam keadaan lapar, dan,
Ketiga, dia akan mati dalam keadaan dahaga, sehingga jika dia diberi minum air sebanyak lautan di dunia pun tidak akan dapat menghilangkan hausnya.

Seksaan yang akan menimpanya ketika di dalam kubur ialah:
Pertama, kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya berceragah antara satu sama lain.
Kedua, api akan dinyalakan di dalam kuburnya, dan dia akan dibalik-balikkan di atas bara api siang dan malam, dan,
Ketiga, seekor ular yang besar bernama Ashsyuja'ul-Aqra' akan dilepaskanke atasnya.
Kedua-dua mata ular itu dibuat daripada api dna kuku ular itu dibuat daripada besi. Panjang setiap kuku ular itu sejauh satu hari perjalanan. Ular tersebut akan berkata dengan suara yang gemuruh seumpama petir, "Aku Ashsyuja'ul-Aqra', Aku diperintah oleh Tuhanku supaya memukul kamu kerana kamu meninggalkan solah subuh sehingga naik matahari, kerana meninggalkan solah zohor hingga 'asr, kerana meninggalkan solah 'asr hingga maghrib, kerana meninggalkan solah maghrib hingga isyak, kerana meniggalkan solah isyak hingga subuh".

Setiap kali ular itu memukulnya, dia akan terbenam ke dalam bumi sejauh 70 hasta. Dia akan diazab berterusan di dalam kubur sehingga hari kiamat. Manakala seksaan yang menimpanya ketika dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat di padang mahsyar ialah:

Pertama, penghisabannya amat berat.
Kedua, dia dimurkai Allah swt, dan,Ketiga, dia akan dimasukkan ke dalam nerakaDalam satu riwayat yang lain disebut bahawa mereka yang melalaikan solah, pada hari kiamat akan datanag dalam keadaan pada muka mereka tertulis tiga baris tulisan.

Pertama, wahai orang yang mensia-siakan hak Allah swt.
Kedua, wahai orang yang pasti mendapat kemurkaan Allah swt, dan,
Ketiga, sebagaimana kamu di dunia mensia-siakan hak Allah swt, kini putuslah harapan kamu daripada rahmat Allah swt.

Gerun bila mendengar hadith ini dan oleh itu marilah sama-sama kita menghayati hadith ini dan beramal dengannya insyaallah. Dan berdoa agar Allah memelihara kita, memberikan kita kekuatan untuk menerima kita diantara mereka-mereka yang dikurniakan lima keistimewaan seperti yang disebutkan diatas.Kita sampai-sampaikan hadith ini kepada semua keluarga dan rakan-rakan kita supaya mereka juga dapat beramal melaluinya, insyaAllah.Waallahua'alam.(disesuaikan dengan Renung-Renungkan .blogspot.com)

INTERNET: BERHATI-HATILAH


SERINGKALI kita melihat pautan-pautan di laman web atau video yang menggunakan imej-imej seksi ketika melayari laman sosial kegemaran seperti Facebook.
Ayat-ayat yang digunakan pula berbaur seks dan sangat jelas untuk difahami bagi menambahkan lagi keinginan seseorang untuk melihatnya.
Terdorong oleh nafsu, butang diklik tetapi tiada apa yang berlaku. Sebenarnya tanpa disedari, anda telah diserang dengan aktiviti phishing.
Phishing adalah cubaan untuk mendapatkan maklumat sensitif pengguna yang dimasukkan ke dalam komputer peribadi tanpa disedari.
Aktiviti tersebut semakin kerap dapat dilihat di laman-laman sosial sejajar dengan kenaikan kadar penembusan Internet terutama laman sosial di Malaysia.
Menurut syarikat yang menjalankan kajian pemasaran Internet, comScore, Malaysia adalah negara kedua paling tinggi aktiviti penembusan rangkaian sosial di Asia Tenggara iaitu sebanyak 91 peratus selepas Filipina.
Link jahat
Tambahan pula, menurut Peneraju Perniagaan Norton rantau Asia Selatan, Symantec, Effendy Ibrahim, Laporan Jenayah Siber Norton 2010 menemui 65 peratus pengguna internet di Malaysia tidak meletakkan seting akaun laman sosial mereka kepada tahap paling tinggi.
“Ia menjadikan informasi lebih mudah dilihat pada bila-bila masa. Selain itu, kajian turut menemui kebanyakan penjenayah siber menggunakan laman sosial sebagai tempat menghantar link ringkas ke laman web yang berniat jahat,” ulasnya lagi.






Link-link ringkas itu dianggap berniat jahat kerana ia akan membawa pelayar Internet ke laman web yang berbeza seperti dipaparkan, manakala destinasi sebenar link tersebut disembunyikan daripada pengetahuan pelayar Internet.
Kebanyakan link tersebut menggunakan paparan dan imej yang seksi bagi menarik pelayar Internet supaya mengklik link ringkas tersebut.
Tambah Effendy, dalam tempoh masa tiga bulan pada tahun 2010, dua pertiga link-link jahat itu berada dalam paparan News Feed laman sosial, manakala 73 peratus daripadanya telah diklik sebanyak 11 kali atau lebih.
“Ia membuktikan penggunaan link-link yang dipos itu sangat efektif,” ujarnya ringkas.
Sehingga bulan Mac 2011, kata Effendy, CyberSecurity Malaysia telah mengenalpasti sekurang-kurang 900 laman phishing yang menyasarkan kepada institusi kewangan.
Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklumat perbankan dan laporan mendapati secara purata sebanyak 260,000 identiti telah didedahkan pada tahun 2010.
Dakwa Effendy lagi, dalam pemerhatian mereka, informasi kad kredit yang berharga itu didagangkan di pasaran gelap online pada harga serendah 30 sen perdata sahaja.
Jenayah siber secara dalam talian akan meningkat setiap tahun dan sukar dihapuskan sama sekali. Symantec telah mengesan sebanyak 286 juta ancaman baru pada tahun 2010.
Ia bersamaan sembilan ancaman baru untuk setiap saat sepanjang tahun.
Jenis link


DENGAN hanya satu klik, penjenayah siber mudah mencuri segala maklumat pelayar Internet.




Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP), Johary Mustapha, 33, berkata, terdapat dua jenis link yang sering dipapar dalam laman sosial atau sesawang seseorang itu.
“Kedua-duanya bersifat mengelirukan dengan paparan wanita seksi atau berbentuk soalan kuiz tetapi berbeza tahap bahaya.
“Salah satunya adalah semata-mata bertujuan untuk pengiklanan sahaja. Ia dapat dikesan apabila arahan akhir yang diberi adalah memasukkan nombor telefon sebagai pengesahan,” ulasnya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.
Menurut Johary, pautan itu dilakukan oleh syarikat-syarikat yang dianggap sebagai kreatif memanipulasi orang ramai supaya melawat laman web mereka.
Tambahnya, link sebegitu tidak akan merosakkan atau mendatangkan bahaya kepada pengguna jika ditekan berbanding dengan jenis pautan yang lagi satu.
Pautan kedua dianggap merbahaya kerana ia menyebabkan gangguan Adware walaupun masih menggunakan teknik yang sama sebagai tarikan.
Link tersebut boleh dikesan apabila setiap kali pelayar Internet menekan butang pautan untuk menonton video atau sebagainya tetapi, tiada apa yang berlaku.
Malah, dalam sesetengah pautan, ia mengkehendaki pengguna memuat naik perisian atau fail dengan alasan jika menonton video akan menjadi lebih cepat.


AKTIVITI phishing dilakukan bertujuan sama ada untuk membuat pengiklanan atau yang lebih berbahaya untuk mendapatkan maklumat penting anda.




“Serangan Adware sangat berbeza dengan virus, ia tidak akan memberi kesan kepada komputer atau telefon bimbit tetapi, berkemampuan mengumpul semua data yang pengguna masukkan,” katanya.
Data-data seperti kata laluan untuk Log In laman sosial, kata kunci, nombor akaun bank yang lebih dikenali sebagai Cookies boleh dikumpul dan dihantar kepada individu yang mencipta link tersebut.
Ujar Johary lagi, pengguna dinasihat supaya berhati-hati dengan arahan memuat naik fail yang mempunyai nama domain .exe dan .bat kerana apabila sesuatu perisian secara tidak sengaja dipasang, pengambilan data menjadi lebih mudah.
“Serangan Adware boleh dikesan apabila setiap kali laman web dibuka, amaran Pop-up akan muncul,” ulasnya lagi.
Bagaimanapun, Johary menambah bagi perbankan internet, tahap keselamatannya tinggi hingga ke tahap dua atau tiga seperti memerlukan pengguna membuat pengesahan melalui telefon bimbit.(sumber: kosmo,23/7/11)

LUCAH, CACI: ELAK MENGGUNAKAN BAHASA KASAR

ADA orang kata hidup tanpa gurau senda ibarat lauk tanpa garam, terasa tawar dan hambar saja serta kurang menyelerakan. Kata pakar psikologi, bergurau senda sedikit sebanyak akan dapat melepaskan tekanan pada mental. 

Islam tidak melarang umatnya bergurau senda kerana perasaan jiwa dan hati perlu ‘direhatkan’ dengan sesuatu yang santai. Namun, bergurau mestilah dalam kerangka batas yang sepatutnya dan tidak terkandung unsur mereka-reka cerita atau menggunakan perkataan bohong, lucah atau fitnah.
Untuk menghayati sedalam-dalam bagaimana unsur bergurau yang positif, rujukan terbaik ialah teladan yang ditinggalkan Rasulullah SAW kepada kita semua.


Dikisahkan bahawa pada suatu hari ada seorang wanita tua bertemu Rasulullah SAW lalu memohon kepada Baginda supaya dirinya dapat menjadi ahli syurga dan tinggal bersama Rasulullah SAW. 

Mendengarkan permohonan wanita tua itu, Rasulullah SAW mengatakan kepadanya: “Wahai hamba Allah. Sesungguhnya syurga itu tidak dimasuki oleh orang tua.” 

Mendengarkan yang demikian, maka wanita tua terus pergi dan menangis kerana berasa sangat sedih. Lantas Rasulullah SAW memanggilnya kembali sambil berkata: “Wahai hamba Allah, engkau tidak boleh masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah akan membangkitkan kembali wanita tua dalam usia yang masih muda. Tidakkah kamu membaca firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan mereka bidadari dengan langsung. Dan Kami jadikan mereka gadis perawan. Penuh kecintaan lagi sebaya umurnya.” (Surah al-Waqiah, ayat 35-37) 

Apabila mendengar kata-kata Nabi SAW, wanita tua tadi tersenyum sambil ketawa gembira. Diriwayatkan bahawa wanita tua itu sebenarnya ialah ibu saudara Baginda bernama Sofiyah. Gurauan Baginda mengandungi pengajaran, gurau senda dengan sisipan kebenaran dan pengajaran. 
Pendekatan bergurau akan menjadi mekanisme berkesan untuk mengeratkan hubungan dalam situasi harmoni. Namun, kita seharusnya berhati-hati supaya segala tutur kata ketika bergurau tidak menyinggung perasaan orang lain atau mengeluarkan kata kurang sopan berunsur caci nista terhadap seseorang lain. 

Hal itu untuk mengelak terjadinya titik hubungan yang keruh sekali gus akan melonggarkan hubungan ukhuwah. Jangan ada-adakan sesuatu cerita semata-mata untuk buat orang lain ketawa sedangkan perkara itu ternyata dusta. 

Diriwayatkan pada suatu hari seorang seorang wanita datang ke majlis Nabi SAW dengan tujuan mencari suaminya. Apabila melihat wanita itu datang lalu Nabi SAW bertanya: 
“Siapakah yang engkau cari? Wanita itu menjawab: Saya mencari suamiku, wahai Rasulullah. 

Kemudian Nabi SAW bertanya: “Apakah suamimu yang di matanya ada putih-putih itu? Wanita itu terdiam apabila mendengar pertanyaan Nabi SAW lalu bergegas balik semula ke rumahnya. 

Apabila bertemu suaminya, wanita itu memandang wajah suaminya dengan pandangan penuh teliti. Wanita itu juga memeriksa kedua biji mata suaminya. Melihatkan telatah pelik isterinya itu, suaminya terus bertanya untuk mendapatkan kepastian. 

Isterinya berkata: “Saya sedang memerhatikan apakah di matamu ada putih-putih atau tidak? Mendengar penerangan isterinya, dia pun berkata: Kau memang bodoh. Bukankah semua mata memang ada putihnya. Kini barulah wanita itu sedar bahawa kata-kata Rasulullah itu semata-mata bergurau saja. 

Inilah dikatakan bergurau, tetapi berfakta. Demikian dua kisah boleh kita hayati dan pelajari supaya gurauan kita tidak melencong ke lembah kelalaian dan dusta. Kisah itu juga membuktikan kehidupan Nabi bersama sahabat Baginda juga diwarnai pendekatan gurau senda. 

Gurauan Baginda tidak pernah melalaikan atau melampaui batas, sebaliknya tersirat penuh mesej pengajaran berguna. Apa dilakukan Baginda dalam batas yang meninggalkan impak positif. 

Mari kita jadikan kisah Baginda untuk membentuk seni bergurau senda yang betul demi mengelakkan diri dari terjerumus berkata yang dusta lagi melalaikan. (sumber: Mohd. Rizal Azman Rifin, 23/7/11)


'NAJIB RAZAK JANGAN LUPA CUEPACS MAHU BONUS DUA BULAN '


TB (tengah) diapit oleh Najib Razak dan Sabaruddin Chik dalam suatu majlis rasmi di Kuantan,Pahang DM tahun 1985 (gambar hiasan).

KONGRES  Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada seluruh penjawat awam tahun ini. Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu dan mengharapkan berita baik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet Oktober ini.

"Kami telah menghantar surat memohon dua bulan bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi keseluruhan penjawat awam, namun ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan."Penjawat awam harapkan sesuatu tahun ini kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ada yang mendapat sehingga lapan bulan bonus sedangkan kita penjawat awam yang betul-betul di bawah kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan hanya dapat bantuan khas RM500,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-24 ANULAE cawangan Majlis Perbandaran Kuantan di sini, 
hari ini.

Beliau berkata, pemberian bonus yang kali terakhir diberi pada dua tahun lepas perlu dipertimbangkan berdasarkan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini. – Bernama. TB: Sokong jangan hampakan kakitangan kerajaan lagi.....bahaya jika tiada bonus!(sumber:tiubbocor.blogspot.com)

22 Julai 2011

RAMADAN OH RAMADAN

BIASANYA umat Islam akan menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran kerana akan tibanya Hari Raya. Belum pun tiba Ramadan telah banyak promosi pakaian , jualan murah konon-kononnya  , iklan berbuka puasa dan penginapan hotel yang menjanjikan ketenangan.  Tetapi terfikirkah kita, perkara-perkara yang wajib dan sunat dilakukan sebelum Ramadan?  Disini saya ingin berkongsi beberapa perkara :

1.  Tanya pada diri adakah kita telah selesai menqadakkan puasa tahun lalu?
2.  Adakah kita telah membayar zakat pendapatan atau zakat harta?
3.  Usahlah  memikirkan hal-hal yang membazir seperti mengantikan lansir, permaidani , sofa, cadar dan sebagainya sedangkan ianya  masih boleh digunakan.
4.  Berhati-hati ketika berbelanja khususnya potongan harga , yang menyajikan pajek pelancongan dan
kereta.
5.  Mempersiapkan diri dengan amalan  dan kurangkan perbualan kosong dan boleh mengurangkan pahala.

UmmI nESSA mengucapan selamat menyambut kedatangan Ramadan  dengan penuh tawaduk dan memperbanyakkan amalan pahal.


PERKAHWINAN: ISTERI DERHAKA


ANAK-ANAKKU SAYANG : PERMATA HATI BONDA


(HARLINA FATIHA)
(ALEEYA FARHANA)


(KANAN: NUR QISTINA , AQILA AUNI DAN NUR QAIRUN NISSA)




NEGARA BERKEBAJIKAN: DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT KERANA RAKYAT

BUKU  negara berkebajikan ditulis Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awangakan dilancarkan pertengahan bulan depan ( Ogos 2011) dan ia akan menekan tiga aspek penting bagi menjawab kritikan pesaing politik parti itu.


Setiausaha Akhbar Hadi, Nasaie Ismail berkata, buku setebal 50 muka surat itu menekankan soal pentadbiran negara yang gagal dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sepanjang memerintah negara.
Jelas beliau, buku negara berkebajikan yang akan dilancarkan serentak dengan dokumen negara berkebajikan menekankan tiga aspek utama yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.
Jelas beliau, buku negara berkebajikan itu tidak mempunyai sebarang percanggahan dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Buku Jingga antara lain menggariskan program 100 hari pertama, yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.
“Kandungan buku (negara berkebajikan) lebih kepada untuk memahami konsep negara berkebajikan kerana ada dua persoalan yang orang tanya sekarang ini, yang pertama adakah negara berkebajikan ini sama dengan ‘welfare state’ dan yang kedua Umno kata dah buat negara itu tapi yang kita jawab dalam buku itu tidak sama dengan apa yang Umno buat dan yang ketiga yang menjadi persoalan bagaimana dengan Buku Jingga.
“Negara berkebajikan ini bukan satu tawaran sehala bagaimana Buku Jingga, Buku Jingga adalah perkara-perkara yang ada dalam negara berkebajikan tetapi negara berkebajikan adalah konsep bernegara yang kita nak tunjukkan sebab yang kita hendak betulkan ini bukan satu bab sahaja.

“Kalau dalam Buku Jingga adalah janji 100 hari (pertama) Pakatan Rakyat tapi negara berkebajikan ini, kita nak tunjukkan konsep bernegara sebab yang rosak bukan aspek ekonomi sahaja, negara ini dirosakkan BN dalam semua aspek. Jadi kita nak gantikan negara yang BN bina sekarang ini dengan negara apa, negara berkebajikan,” kata Nasaie kepada The Malaysian Insider.

“Negara berkebajikan ini ada tiga ciri yang pertama negara berkebajikan ini mesti dipimpin oleh pemimpin dan rakyat yang berintegriti, berwibawa kalau dalam Islam kita sebut yang beriman.
“Pemimpin kalau dalam sudut agamanya dia jaga kemudian amalan-amalan yang diterima oleh semua pemimpin yang tidak rasuah, pemimpin yang tidak jadikan negara ini kepunyaan dirinya dan sebagainya.
“Yang penting pemimpin mesti berintegriti, kalau rakyat berintegriti tapi pemimpin tidak, tidak ada gunanya... kalau pemimpin berintegriti tapi rakyat porak-peranda tak guna juga,” katanya.

Panel pelaksana konsep negara berkebajikan dipengerusikan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.
Difahamkan dokumen negara berkebajikan sudah berada di peringkat akhir perincian.
Panel khas itu akan mengadakan mesyuarat pertama hari ini untuk memperincikan konsep negara berkebajikan, yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS pada 3 Jun lalu.
Ucapan dasar itu bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nasaie yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan berkata, konsep negara berkebajikan turut memberi penekanan terhadap pengagihan ekonomi yang adil kepada keseluruhan rakyat.
“Yang kedua agihan ekonomi yang adil, di situ termasuk Buku Jingga tapi Buku Jingga untuk 100 hari jadi tiada pencanggahan di situ. Keadilan ekonomi yang kita nak beri bukan bermakna ada satu pihak didahulukan dan ada satu pihak di kemudiankan, maknanya sama rata.

“Yang ketiga, negara yang berakhlak, negara yang berakhlak ini dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai ciri seperti tepati janji terutamanya dengan orang bukan Islam dan golongan minoriti, bersikap adil kepada semua, kalau mengenai ‘welfare state’, kita lihat pada hari ini, banyak yang sudah jatuh dari segi ekonomi tapi konsep yang kita nak bawa ini adalah konsep bernegara daripada pemimpin, rakyat dan agihan ekonomi,” katanya.


Selain itu, beliau berkata kandungan buku negara berkebajikan itu turut menyentuh agar pemerintah turut memberi tumpuan kepada hak minoriti dan rakyat kebanyakan yang diketepikan dalam pentadbiran BN.
“Negara berkebajikan juga memberi keutamaan kepada hak-hak minoriti sama ada ia berasaskan kaum atau etnik seperti di Sabah dan Sarawak atau Orang Asli ataupun jantina.

“Yang selama ini diketepikan adalah hak kebanyakan seperti petani, nelayan . . . mereka tiada slip gaji tapi perlukan rumah, nak kahwin dan golongan ini yang kerajaan perlu bagi inisiatif dalam negara berkebajikan.


Kita nak buat lain daripada apa yang Umno dah buat, lawan kepada negara berkebajikan adalah negara keangkuha, ini adalah dalam buku itu,” katanya.
Kata Nasaie, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam tulisannya turut membuat perbandingan antara negara berkebajikan iaitu negara keangkuhan.
“Negara keangkuhan ini contohnya Firaun, Namrud dan sebagainya kalau dalam sejarah tapi zaman sekarang Umno ini kita sebut negara keangkuhan,” katanya. (sumber : TMI,21/7/11)

TB sarankan pembaca budiman menambahkan bacaan lanjut dengan merujuk jurnal PEMIKIR ,Julai-September 1997 tulisan Dr Chandra Muzaffar yang berjudul 'Negara Kebajikan'. 

(sumber: Tiubbocor.blogspot.com)