06 Disember 2010

Perceraian punca kerosakan generasi muda


SEBUAH keluarga seumpama satu blok yang tersusun menjadi bangunan dalam masyarakat. Keluarga adalah tempat hidup kita bermula dan kita terikat kepadanya. Jika perasaan sayang dan rasa terikat antara ahli keluarga utuh, semakin tenang serta bahagia sesebuah keluarga. 

Malaysia juga tidak terkecuali daripada turut menyaksikan perubahan nilai terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Perceraian kini menjadi perkara biasa, diterima umum dan dianggap lumrah. Ia berlaku dalam semua masyarakat sehingga tanpa sedar memberi nilai rendah kepada satu akad nikah yang perlu dipertahankan.
Dalam satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, ‘The Social Scientific Data on the Impact of Marriage and Divorce on Children’, Dr Patrick F Fagan menyatakan apabila wujud rasa terbuang antara pasangan suami isteri sehingga membawa kepada pertengkaran, bergaduh, apatah lagi bercerai, maka seluruh isi keluarga terutama anak berasa sangat sengsara.

Kajian beliau turut disokong oleh pakar sosiologi keluarga membuktikan bahawa graf tertinggi sikap positif adalah terhasil dari keluarga yang ahli keluarganya berhubungan baik, saling terikat dengan perasaan kasih sayang.
Anak daripada keluarga sebegini mendapat gred lebih tinggi, mempunyai sikap yang baik, lebih ceria dan bagus dalam hubungan sosial. Mereka juga kurang terbabit dengan penyakit kejiwaan seperti kemurungan, kecewa keterlaluan dan sebagainya. 

Apabila ayah dan ibu tidak lagi mempunyai rasa terikat dan saling membuang, seperti ayah meninggalkan ibunya kerana wanita lain atau ibu meminta cerai kerana lelaki lain atau anak diberitahu dia adalah anak zina dan sebagainya. Dr Fagan mendapati anak ini mempunyai kesamaan dalam urusan kejiwaan mereka. Kekuatan dalaman anak itu tidak terbentuk dengan baik.

Banyak perkara negatif memenuhi jiwa dan memberi kesan langsung dengan tumbesaran mereka. Mereka kecewa dengan hidup, murung, suka membuli, melakukan keganasan, gagal dalam akademik dan juga gagal dalam hidup.
Apabila bilangan perceraian semakin bertambah dan anak mangsa cerai yang mengalami ‘tekanan kejiwaan’ bertambah ramai, mereka membesar dan berkahwin, mengulangi kesilapan ibu bapa mereka, maka masyarakat umum akan turut menerima kesan negatif daripada gejala itu. 

Kajian itu walaupun membabitkan masyarakat di Amerika, tetap wajar menjadi iktibar kepada kita di Malaysia terutama berkaitan keutuhan ikatan kekeluargaan. Jika Malaysia ingin maju pada masa depan, blok terpenting yang perlu dijaga adalah keluarga dan anak dalam sesebuah keluarga itu.

Kita perlu menanam dan menyuburkan rasa keterikatan antara pasangan suami isteri sehingga perceraian dilihat sebagai jalan terakhir selepas semua usaha mengalami kegagalan. Kepatuhan kepada agama, taat kepada Allah, memegang tanggungjawab sebagai pasangan dan ibu bapa kerana perintah agama perlu diterapkan.


sumber dari : PROF MADYA NURHIDAYAH MUHD HASHIM, 
Melbourne, Australia. 

03 Disember 2010

CERPEN: AMISON BTN OLEH RAJIEE HADI


AMISON BTN
Oleh
RAJIEE HADI

AMISON sudah lama bercita-cita mahu merebut jawatan Yang Di Pertua BTN alias Badan Tonjol Nama.  Sejak pembukaan, BTN yang diketuai oleh Lahabun lulusan Sarjana University of Oversea.  Amison kurang cocok dengan kepimpinan Lahabun yang masih bertarikan kuda sarkis, berentakan zimbomba zimbomba zimbomba.

Justeru adalah menjadi tugas Amison untuk menerajui dan sekaligus mengepalai hala ke mana BTN mahu diperjuangkan menjelang tahun 2000 nanti.

Amison sedar; dia memerlukan kesabaran, ketekunan dan kerajinan.  Dirasakannya dialah yang benar-benar memiliki sifat-sifat itu.  Dirasakannya juga setiap ruang kepalanya tersumbat dengan kalimah-kalimah yang berselirat dengan strategi  dan perancangan untuk bangsanya yang bukan sahaja terabai oleh sisa-sisa penjajah  bahkan bangsanya kini kian tercabar dan dicabar, getus hati Amison.

Biar apa pun tentangan yang dihadapi,  api wira yang berkobar-kobar  dalam sangkar dada Amison, tidak mudah luntur.  Bahkan suara batin yang berkepul-kepul dalam dirinya, meraung-raung bagaikan gempita sang guntur lakunya.

Biarlah mati hidup Amison bersama BTN.  Biarlah sorak sepinya bersama BTN.  Dia rela bergelumang dalam arus perjuangan BTN.  Biarlah. Biarlah segala-galanya, biarlah.  Amison sudah nekad.  Amison sudah bulatkan hasrat.

Sebenarnya, telah bertahun-tahun dia mengumpulkan sekalian kekuatan hati dan keyakinan diri untuk menempuhi segala risiko yang menghalangi.  Walauapa pun cabatan mendalangi, dia gigih menentangi hingga ke titisan darah terakhir.  Dan teringatkan sajak AKU peninggalan akhir Almarhum Chairil Anwar tiba-tiba bola mata Amison berkaca.

Sudah kerap benar Amison menyakinkan segunung harapan pada Farion; satu-satunya teman rapat yang dipercayainya, sekaligus lelaki harapan terkanan yang bakal menggantikan tempatnya.  Selain Farion, Amison menggantungkan harapannya kepada Jawatankuasa BTN seperti Syahnestum, Superior, Jafiro, Zahibon , Unan dan Kadamun yang bergelar Tuk Imam Swasta.

MULUK

Amison menginsafi yang bukan sedikit tentang bangsa dan tanah airnya.  Selama ini dalam tengkorak bangsanya telah berserabut dengan akar umbi hal-hal yang muluk.  Ya, bangsanya terlah berabad-abad dijajah pemikiran dan sosio-budayanya.  Bukan sesuatu yang aneh.  Orientalis barat mengecap bangsanya hina-dina di atas bumi pusaka turun-temurun ini, fikir Amison waras.

Amison menggertap bibirnya.  Dia teringatkan betapa bangsanya dituduh keturunan malaun pemalas.  Tidak tahu berdikari. Rendah martabat. Pengamuk.  Dan macam-macam tomahan yang menyebabkan Amison sekali lagi menggenggam penumbuk ke udara.  Amison merasakan dirinya hilang kesabaran lalu ingin membuka langkah ke gelanggang memegang ulu Taming Sari.

“Apakah kita selama ini sanggup dimomokkan dengan sikap menghina diri?” tanya Amison kepada para hadirin di Majlis Ulangtahun Kesepuluh penubuhan BTN.

“Tidak.  Tidak sama sekali! Tidak! Tidak!!!” gemuruh pekikan sekata sekalian tamu itu menambahkan  sari yakin dalam dada Amison yang meruap.

Amison semakin galak.  Obor dalam dadanya terus membara.  Ghairahnya tidak dapat dibendung. Seolah-olah dia merasakan perjuangannya mengembalikan maruah bangsanya yang hampir sirna, terpancar kembali.  Amison menatap girang.

“Tuan-tuan dan puan-puan.  Fikirlah.  Apakah sikap berani menegakkan kebenaran dengan idea-idea jitu tidak diperlukan lagi oleh bangsa kita?” soal Amison sambil mengelus-ngelus lembut janggutnya yang meruncing ke bawah.  Sesekali disuaknya jurai-jurai rambut yang menutup sulah dahinya yang berkilat kehitaman.

“ Apakah kita patut pupuskan sikap egoistik bangsa kita? ” Apakah suara lantang menuntut hak-hak kemanusiaan yang ada dalam diri bangsa kita wajar dipunahkan?  Bagaimana sikap kurang ajar tetapi tidak terlebih ajar yang mula bertunas di tapak kaki bangsa kita sekarang:” soal Amison lagi bertalu-talu tanpa menunggu respons pendengar di hadapannya.

Para hadirin mula terpukau.  Konsep perjuangan BTN yang pada mulanya samar-samar di hati masing-masing mula menampakkan maksud dan matlamatnya.  Dan ada di antara mereka mula mencongak nasib nenek moyang terdahulu, dan nasib anak cucu terkemudian.  Amison memerhati gelagat mereka.  Dan Amison dapat menduga sesuatu.  Ya, semuanya berhubung-kait dengan harga diri.  Nama bangsa. Dan jati diri bangsa, fikir mereka,  cetus hati Amison memutuskan teka-teki hatinya.

HARMONIS

Amison puas.  Gumpalan rasa hati yang membuak-buak selama ini sukses diletuskan dalam situasi yang harmonis sekali.  Sebagai bakal pemimpin harapan nusa bangsa menjelang tahun 2000 nanti.  Amison tidak tergamak menyaksikan sebuah letusan yang memuntahkan bahang lahar seperti Sang Karakatoa pada  abad ke-19 lampau yang melanda rumpun bangsanya.  Amison insaf.

Atas sebab-sebab menanti tirai hari depan gemilang, BTN yang diimpikan Amison, mahu  digerakkan dengan lebih dinamik, progresif lagi sofisikated.  Dan Amison tersenyum sendirian apabila mengingatkan kejayaan yang bakal diraih BTN pimpinannya kelak.

Dalam kotak fikir Amison, membayangkan kejayaan itu akan menjulangkan namanya sebagai Tokoh Penegak Bangsa.  Nama Amison akan tercatat lalu didirikan tugu memorial  di setiap kota negara ini.  Namanya terpahat sebagai pejuang unggul maruah dan martabat bangsa sarwajagat.  Dan mengingatkan keagungan namanya,  sekali lagi bibir Amison mengorak riang.  Dalam diam-diam dia mengumpulkan segala kekuatan untuk mempertahankan keunggulan namanya.

“Apalah ada pada nama Amison? usik Kadammun, sewaktu selesai solat Maghrib,  Amison duduk bersimpuh  membetul kopiah lusuhnya.

Amison yang keletihan kerana petang itu mengikuti kursus intensif  “Latihan Daya Kreativiti anjuran sulung BTN di Bukit Merbuk cuma membisu.  Tanpa berkata, Farion mencelah
“Nama memang penting Mun.  Nama ‘kan agen utama dalam komunikasi harian kita” ujar Farion singkat tapi bernas.  “Sebab itu kita patut menonjolkan nama kita, sampuk Jafiro pula yang turut tumpang sekaki.  “Kerana itulah BTN ini patut aku pimpin.  Ya kau pimpin watak untuk kembalikan nama harum bangsa kita seperti zaman gemilangnya dalam  abad ke-15 silam,”  celah Amison yang tampak bersemangat untuk berkempen.  Sahabat-sahabat seusrah mengangguk akur.

“Kita perlu mebina nama Kadamun,”bisik Amison lagi memberi keyakinan. 
“Tolong jelaskan’” pinta Kadamun kebodohan.  Sementara Kadamun, Superior, Zahibun dan Unan serta Syahnestum hanya melopong dengan rasa ingin tahu yang mendalam.

GIRANG

“Kalian nak tahu? Baiklah” Amison tersengeh girang melihatkan minat yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabatnya.

“Kerana namalah yang membina peribadi.  Nama mengembalikan maruah.  Bahkan mengembalikan tenaga  lahir dan batin!”  Amison terhenti.  Dia mengalih sandar untuk menghilangkan lenguh.  Sementara kawan-kawannya tergelak.  Amison turun merasakan dirinya adanya kelucuan.

“Kalian harus faham.  Nama melambangkan identiti. Nama sumber dihormati.  Nama juga punca komersial,” kata Amison galak sambil mengaru-garu siku kirinya.  Dan Amison menyambung lagi:
“Sebab itu, siapa kata nama tak ada apa-apa.  Nama baik akan disanjung. Dan… dan…”
“Dan nama juga akan dilaknat!”  sahut Farion. 
“Justeru  tonjolkan nama kalian agar tidak dilaknat!” bentak Amison sepontan.

Setelah mendengar hujah Amison, mereka merendahkan pelupuk mata masing-masing tanda setuju.  Pada malam itu detik hati masing-masing menyetujui Amison mengambil alih bahtera BTN kali ini.  Farion secara terbuka mengakui kepintaran dan kebijaksanaan Amison.  Amison pemimpin nombor wahid BTN, desis hati Farion.

Terasa lapang dada Amison, kerana kali ini mempunyai barisan orang-orang yang kuat yang berdiri kukuh di belakangnya .  Mereka inilah yang diharapkan Amison akan menyebarkan amanat perjuangannya ke pelosok kota dan desa.

Jauh di dasar hati Amison bercambah rasa mahu merubah pemikiran manusia mutakhir.  Manusia menjelang tahun 2000 ni bodoh terpelajar, bentak hati kecilnya.  Dalam tempurung benak hati Amison tergambar, garis strategi dan cabar pimpinannya akan dapat mengalahi Hitler dan Yamashita ataupun Napoleon Bonarparte.

“Ah! Orang semua gila kerana tidak mahu menilai ketokohanku sepuluh tahun lalu”. Rasa kesal itu masih bersarang dalam ingatan Amison.  Pada jarak waktu itulah Amison  memendam impian dengan seribu tekanan yang menyeksa jiwanya.  Namun Amison tetap bersabar.

Amison diam. Berfikir. Panjang. Manusia itukah yang bersalah?  Dia bertanya sendiri dalam hati.  Kadang-kadang Amison hairan melihat manusia menjelang tahun 2000 rela dibelenggukan.  Mengejar wang? Jadi robot? Diburu? Terburu? Memburu? Amison bertanya sendiri lagi dalam hatinya.

Lama juga Amison berdiri di kaki lima itu.  Tubuh lusuhnya tegak lurus pada langit petang yang tampak bening.  Lorong Merpati amat lengang.  Hanya seekor anjing kurus dan kotor di hujung lorong. Dia nampak anjing itu mengais-ngais tong sampah.  Di udara burung bayang-bayang menghampirinya.  Dan dia pun terpana.

(tersiar dalam akhbar  WATAN, Sabtu 30 – 1 April 1985)



Sidang pembaca yang budiman sila hayati dan tafsirkan apa yang tersurat dan tersirat daripada cerpen di atas yang telah ditulis oleh pengarang lebih daripada 25 tahun yang lalu yang masih dirasakan relevan hingga kini.- UMMINESSA

30 November 2010

HIBURKANLAH HATI SUAMIMU YANG SEDANG GUNDAH

"Dari Khadijah r.a., ia berkata:Wahai Rasulullah, anak bapa saudaraku, sanggupkah tuan menceritakan kepadaku tentang teman tuan yang datang kepada tuan jika ia datang? Beliau bersabda : Dapat.  Ia berkata: Kalau ia datang lagi kepada tuan, beritahukanlah kepadaku kedatangannya.  Lalu Jibril datang sebagaimana kebiasaannya, lalu Rasulullah SAW  berkata kepada Khadijah: Wahai Khadijah, ini ada Jibril datang kepadaku. Ia berkta: Ya, wahai anak bapa saudaraku.   Duduklah tuan diatas peha kiriku.  Rasulullah SAW pun berdiri dan duduk di atas peha kirinya.  Ia berkata: Adakah tuan masih melihatnya? Beliau bersabda: Ya. Ia berkata: Pindahlah dan duduklah tuan di atas peha kananku.  Lalu Rasulullah SAW pindah dan duduk di atas peha kanannya.  Ia berkata: Apakah tuan masih melihatnya? Sabdanya: Ya.  Ia berkata: Lalu ia mengambil dan memakai kerudungnya, tetapi Rasulullah SAW tetap duduk di atas pangkuannya, kemudian (Khadijah) berkata: Adakah tuan masih melihatnya? Sabdanya: Tidak .  Ia berkata : Wahai anak bapa saudaraku, tenanglah dan tetaplah bergembira hati.  Demi Allah, sesungguhnya orang itu adalah malaikat dan sama sekali bukan syaitan”
 (Hadis riwayat Ibnu Najjar)

KHADIJAH, isteri baginda Rasulullah Saw, semasa melihat suaminya dalam keadaan gundah kerana turunnya wahyu pertama kali kapadanya merasa sedih melihat keadaan suaminya. Oleh kerana itu Khadijah selalu menghiburkan Rasulullah SAW dengan kata-kata manis dan mengembirakan.  Khadijah berkata:”Wahai anak pakcikku, tenanglah dan tetaplah bergembira hati.  Demi Allah , sesungguhnya orang itu adalah malaikat dan sama sekali bukan syaitan.”  Ucapan seumapama ini dimaksudkan untuk menghilangkan perasaan sedih dan gundah Rasulullah SAW sehingga beliau dapat merasa gembira dan tenang kembali seperti hari-hari biasanya.

Para isteri sesungguhnya dapat melakukan perkara yang serupa kepada suami bila melihat suami murung atau gundah.  Isteri seharusnya memahami dan cuba menggali isi hati suaminya untuk mengetahui apa yang sedang dihadapinya dan berusaha untuk menghiburkannya agar tidak hanyut oleh persoalan yang dihadapinya.  Begitu juga para suami hendaklah sentiasa menghiburkan hati isterinya apabila melihat isteri dalam keadaan murung atau sedih.  Carilah punca dan sebab-sebab yang membuat isteri bersedih mahupun gundah.

Hendaklah suami dan isteri berusaha agar saling membesarkan hati pasangannya di kala pasangannya menghadapi kesusahan dan kesedihan.  Dengan sikap ini dapat menambahkan kemesraan antara keduanya.


19 November 2010

Kahwin muda punca penceraian, Daud

Perkahwinan awal di kalangan pasangan muda merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan kadar perceraian pasangan Islam di Sarawak meningkat.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di bandar besar seperti Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu meningkat dengan banyak.
“Jumlah pasangan Islam yang berkahwin meningkat setiap tahun. Malangnya, jumlah perceraian juga meningkat.
“Faktor utama yang menyumbang kepada perceraian di negeri ini ialah pasangan berkahwin terlalu awal dan terlalu cepat.
“Pada awalnya, mereka rasa mereka sesuai untuk satu sama lain tetapi selepas beberapa ketika mereka mendapati mereka tidak sesuai. Selepas itu mereka ucap selamat tinggal dan bercerai. Malah ada sesetengahnya menghilangkan diri,”
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban di Surau Nur Hidayah di Kampung Kolong 2 Wetan di sini hari ini.
Daud berkata Majlis Agama Islam negeri (Jais) menawarkan sesi kaunseling untuk pasangan yang bermasalah dalam usaha menyelamatkan sesebuah perkahwinan itu.
“Kaunselor kami dari Jais akan menasihatkan mereka. Biar mereka cari kemungkinan untuk bersatu kembali sebelum membuat keputusan bercerai. Pasangan akan diberi masa untuk menenangkan diri. Kadar mereka yang menerima nasihat kami agak tinggi,” katanya.
Minggu lepas Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi negeri Datuk Seri William Mawan Ikom berkata kementerian akan mengadakan kajian mengenai kehidupan berkeluarga dan perceraian, yang dijangka siap Julai depan, bagi memahami kenapa pasangan kahwin awal dan cepat bercerai.
Kadar perceraian di Sarawak meningkat sehingga 50 peratus daripada jumlah perkahwinan yang didaftarkan di negeri ini.
Sementara itu, Daud berkata tidak ada kejadian perkahwinan melalui sindiket yang berlaku di negeri ini.
“Kami memantau perkara itu dan sehingga kini Jais tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian seumpama itu,” katanya. — (Sumber daripada BERNAMA)

18 November 2010

MASALAH SEKS PUNCA PENCERAIAN – PGSM

Perkara-perkara yang berkaitan dengan seks menurut Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menjadi antara punca utama menyebabkan perceraian di kalangan pasangan beragama Islam.
Timbalan Presidennya Musa Awang mengakui pemerhatian mereka terhadap kes-kes yang dibawa ke mahkamah menunjukkan masalah berkaitan dengan seks menjadi antara punca mengapa pasangan mengemukakan permohonan mahu mengakhiri rumah tangga mereka.

Musa menjelaskan perkara itu berlaku kerana kurang keinginan seks sama ada daripada pihak suami atau isteri. Selain itu jelas beliau, ketiadaan zuriat juga menjadi masalah besar dalam rumah tangga.
“Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi,” katanya.

Sebenarnya punca masalah adalah kecil tapi bila masing-masing tidak duduk berbincang, ia sukar untuk dipulihkan, kata Musa ketika ditemui media baru-baru ini. Katanya, antara punca besar keretakan rumah tangga ialah hubungan seksual yang hambar. Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan perangkaan pecahan punca yang membawa kepada masalah bercerai.

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 menunjukkan faktor utama perceraian mendapat peratusan tertinggi ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan. Faktor lain kerana tidak bertanggungjawab, campur tangan mentua atau ipar duai, disebabkan ketagihan dadah atau alkohol, masalah kewangan, terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan serta didera.

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), punca krisis rumah tangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.
Kajian dibuat syarikat Pfizer pada 2008 menunjukkan 57 peratus lelaki dan 64 peratus wanita tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka. Kajian dilakukan di 13 negara dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Malaysia dengan taburan responden sebanyak 328 lelaki dan 250 wanita. Di negara ini, kajian mendapati 73 peratus wanita Malaysia tidak puas dalam hubungan seks mereka, 62 peratus lelaki turut dikatakan tidak puas.

Laporan pada tahun sama memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Muhammad Ramli Nuh, berkata bau badan, adegan seks dan baju tidur membosankan dikenal pasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri itu.
Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin antara suami isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin, termasuk menjemput syarikat kosmetik memperkenalkan bau-bauan eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah, mencadangkan suami isteri lebih kerap mandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra.

Mengulas lanjut isu ini, Musa berkata apabila masalah tersebut tidak diselesaikan ia boleh menyebabkan pasangan terjerumus dalam fenomena berlakunya curang. “Bila pasangan gagal mencari jalan penyelesaian ia boleh menjurus kepada berlakunya curang yang mana mempunyai kekasih gelap.
“Jadi apabila pasangan berlaku curang sudah tidak ada kepercayaan dan ia menjurus kepada penceraian.
“Selain itu, hubungan seks hambar itu juga disebabkan berlakunya berikutan kebanyakan lelaki dan wanita di negara ini lebih mengutamakan kerjaya daripada kehidupan berkeluarga,” katanya.
Justeru, Musa berharap pelantikan dua hakim wanita syarie oleh Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya baru-baru ini dapat membantu dalam menyelesaikan kes-kes yang melibatkan kekeluargaan dan cerai.

“Saya melihat pelantikan kedua-dua hakim wanita itu bagus untuk membawa kes-kes yang melibatkan kekeluargaan dan juga cerai. “Ini kerana mereka mempunyai banyak pengalaman memandangkan mereka sebenarnya sudah lama bertugas sebagai pegawai penyelidik di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). “Jadi sudah pasti mereka mempunyai pengalaman yang luas,” katanya.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM Suraya Ramli, 31, dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. (The Malaysian Insider/AK)

07 November 2010

DOA PERLINDUNGAN YANG DIAJAR KEPADA RASULULLAH

Bacaan doa yang diajarkan oleh Jibril kepada junjungan Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam kitab al- Muwatta’. Hadith ini juga dinukilkan oleh Imam Ahmad di dalam al-Musnad tanpa menyebut perkataan "Isra". 

Apa yang penting di dalam amalan ini ialah, ia menjadikan kita semakin berharap dan bergantung pada Allah. Dengan itu, Allah akan melindungi hidup kita walau di mana kita berada. Semoga ia memberi kebaikan pada kita semua


و حَدَّثَنِي عَنْ مَالِك عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ أَنَّهُ قَالَ أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَأَى عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ يَطْلُبُهُ بِشُعْلَةٍ مِنْ نَارٍ كُلَّمَا الْتَفَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَآهُ فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ أَفَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ تَقُولُهُنَّ إِذَا قُلْتَهُنَّ طَفِئَتْ شُعْلَتُهُ وَخَرَّ لِفِيهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَلَى فَقَالَ جِبْرِيلُ فَقُلْ 

أَعُوذُ بِوَجْهِ اللَّهِ الْكَرِيمِ
وَبِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ اللَّاتِي لَا يُجَاوِزُهُنَّ بَرٌّ وَلَا فَاجِرٌ
مِنْ شَرِّ مَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ
وَشَرِّ مَا يَعْرُجُ فِيهَا
وَشَرِّ مَا ذَرَأَ فِي الْأَرْضِ
وَشَرِّ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا
وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
وَمِنْ طَوَارِقِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
إِلَّا طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَنُ

Ia (Yahya) meriwayatkan kepadaku dari Malik dari Yahya bin Said, bahawa ia berkata, ketika Rasullullah saw, diisrakkan, baginda melihat Ifrit dari kalangan jin mengejarnya dengan sebuah obor api. Setiap kali Rasullullah saw menoleh, baginda selalu melihatnya. Maka Jibril berkata kepada baginda, "Mahukah kamu aku ajarkan kalimah yang dapat kau ucapkan. Jika engkau membacanya, maka obor itu akan padam dan dia (jin itu) akan jatuh dengan mulutnya (tersungkur), Rasullullah menjawab, "Ya", Jibril lalu berkata, bacalah :- 

Aku berlindung kepada Allah yang Maha Mulia dan dengan kalimah Allah yang sempurna yang tidak dapat dilampaui oleh orang yang baik dan pendosa, dari kejahatan apa yang turun dari langit, dan kejahatan yang naik padanya, kejahatan yang ditabur di bumi dan kejahatan yang keluar darinya, dari fitnah malam dan siang serta yang datang di malam dan siang kecuali yang datang dengan kebaikan, wahai Yang Maha Pengasih.


06 November 2010

BENCI MEMBAWA PADAH

RASULULLAH  SAW bersabda:" Awasilah diri kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam." (HR Abu Saif Al_Khurdi)

"Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan.  Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, saya tidak maksudkan itu mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah mengikis agama." (HR Al-Baihaqi)

     Contohilah sikap para Rasul, para Nabi, dan para Sahabat.  Beringat-ingatlah kita perasaan marah dan benci itu datangnya dari syaitan, dan perasaan sayang itu adalah dari rahmat Allah. Contoh dari hadis (Kisah) dibawah ini untuk dijadikan teladan.

     Abu Hurarah dan Said Al-Magburi meriwayatkan:" Ada seorang lelaki memarahi Syaidina Abu Bakar.  Ketika itu Rasulullah duduk disebelahnya.  Nabi diam sahaja, begitu juga Abu Bakar.  Selepas orang itu selesai memaki hamun  dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ.  Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: "Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam.  Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi."

     Rasulullah lantas menjawab:"Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan."

     Rasulullah kemudia bersabda lagi:"Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah."

UmmiNessa:  Sesungguhnya Allah dan juga rasulnya juga yang lebih mengetahui. bersama kita beramal seperti seorang muslim sehingga kita layak untuk melaungkan tanpa keraguan.

05 November 2010

SUASANA KELUARGA MEMPENGARUHI TINGKAHLAKU PELAJAR

PARA pelajar pada awal remaja sewajarnya didekati  seperti seorang sahabat dengan  kasih sayang yang bertegas;  baik di kalangan ibu bapa mahupun para pendidik.Sikap bertegas tidak salah namun alangkah baiknya kita melayani mereka sebagai teman di sisi, berkongsi suka duka agar mereka berasa disayangi dan dihargai seperti anak-anak atau pelajar yang lain.

Sebenarnya perubahan  pelajar pada awal remaja ke arah negatif  bukanlah menjadi masalah besar andainya guru/pendidik sedia berubah persepsi minda,   memahami tempoh tersebut adalah zaman pancaroba  pelajar dan adalah penting guru memahami  warna dan tona dalam kehidupan para pelajar. Justeru elakkan jangan terlalu mengawal atau membiarkan mereka sewenang-wenangnya hanyut dengan pelanggaran disiplin di sekolah.

 Guru sepatutnya berbincang aspek pro dan kontra akan  setiap perubahan tingkahlaku demi masa hadapan para pelajar. 0leh itu keupayaan guru memahami pengaruh dan lingkungan kehidupan ibu bapa pelajar, persekitaran psikologikal dan sosial adalah suatu kelebihan bernilai.Keupayaan guru boleh mempengaruhi perkembangan pelajar pada tempoh awal remaja yang mana tempoh penting  mencegah dan membimbing selaras dengan perumpamaan Melayu, melentur buluh biar daripada rebungnya. 

 Guru; sama ada guru kurikulum, guru kokurikulum, guru darjah/tingkatan/mentor, guru kaunseling dan guru disiplin yang memahami perbezaan didikan keluarga yang berbagai-bagai  latar, corak dan ragam boleh mengaplikasikan pelbagai pendekatan dan strategi dalam pengurusan bilik darjah, hal ehwal pelajar serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

a.       Keluarga Yang Autokratik

Menurut kajian  rumah tangga   autokaratik merupakan rumah tangga yang di dalamnya tidak ada penyesuaian,  sentiasa berkonflik, sering berlaku  perselisihan faham  antara ibu bapa dengan anak-anak  yang bagaikan berumah di tepi tebing. Walhal anak-anak atau pelajar ini sangat memerlukan perhubungan sosial yang baik, hubungan kekeluargaan yang sempurna serta lingkungan yang kondusif.  Dalam situasi begini  pelajar merasakan bahawa kepentingan dan minatnya tidak dipedulikan atau tidak dianggap penting.  Manakala pelajar berusaha untuk mendapatkan perhatian ibu bapa atau guru di sekolah dengan berusaha menonjolkan diri minta diberi perhatian walaupun terpaksa menerima hukuman atau denda kerana kesilapan akhlak yang dilakukannya.   Lantaran sikap ibu bapa yang tidak memberikan perhatian  untuk memahaminya,  mereka lebih cenderung tidak menghiraukan  keluarga dan sikap ini terbawa-bawa ke bilik darjah.

     Terdapat dua bahagian sikap autokratik ibu bapa terhadap pelajar. Pertama, autokratik  bersifat kekal:  iaitu ibu bapa yang mengamalkan sikap autokratik  sejak awal perkahwinan dan mereka tidak tidak mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya . Kedua, autokratik yang tidak mahu bertolak- ansur dengan segala keinginan  anak-anak mereka yang mana lebih bersikap tidak  mahu  
bekerjasama dengan anak-anaknya. Akibatnya,pelajar bersikap memberontak dan sering mempamerkan  gejala-gejala immoral. 

b.      Keluarga Yang Terlalu Toleransi

Keluarga yang terlalu toleransi adalah pelajar  yang mendapat perhatian berlebihan daripada keluarga. Bahkan kedapatan sikap ibu bapa menyamai perilaku  mereka.  Hal ini bertepatan dengan kajian yang  menunjukkan bahawa ibu bapa yang terlalu toleransi    mempengaruhi perkembangan  pelajar dari sudut kebebasan. Kesannya pelajar mengalami kesukaran penyesuaian dalam  bilik darjah, budaya sekolah, masyarakat dan lingkungannya . Pelajar lebih selesa mencari perhatian dan bantuan orang lain tanpa mahu berusaha dan berdikari. Pelajar begini  sangat bergantung kepada ibu bapa  sehingga impaknya  mendambakan kehidupan  setelah dewasa dan di alam perkahwinan  serta tidak mahu tinggal jauh daripada ibu bapa. Mereka  juga didapati kurang mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang
berkaitan dengan pembelajaran dan tugasan. 


c.
       Keluarga Yang Demokratik

Perhubungan  dan komunikasi yang baik mudah diperpolehi dalam keluarga yang mengamalkan demokratik. Ibu bapa lebih memahami  pelajar sebagai individu yang mempunyai keterampilan peribadi dan tidak mengarah pelajar secara autokratik. Pelajar lebih diberikan kebebasan berdikari dan pandai membuat keputusan sendiri. Dengan ini pelajar  berkesempatan mengupayakan kebebasan minda sendiri dengan kritis dan analitis.

Ada berberapa cara  merealisasikan rumah tangga  demokratik yang antara lainnya:

1.   Menghormati keperibadian pelajar dalam rumah tangga.
2.   Berusaha mengembangkan sahsiahnya dengan menganggap pelajar memiliki standard keunggulan,
kemampuan kendiri dan berbagai-bagai kecenderungan  tersendiri dan harus memberinya kesempatan untuk berkembang sejauh mungkin.
3.   Memberikan ruang seluas-luasnya aspek kemahiran berfikir secara kritis, berekspresi dan tahu hala tuju kerjaya masa hadapannya.   Namun demikian kebebasan itu masih dalam koridor kebaikan bersama dan tujuan-tujuan yang bersifat umum. Tegasnya di sini  kebebasan itu bukan tanpa batas tetapi masih dibatasi oleh ketentuan-ketentuan sosial.

      Keluarga  demokratik itu banyak mendatangkan kebaikan dalam hubungan kasih sayang . Manakala keluarga autokratik lebih memberi kesan elemen kekerasan, ketakutan dan pelanggaran disiplin.  Pelajar yang datang dari keluarga demokratik yang sihat mendorong  lebih bersifat  bertanggungjawab dalam kehidupan,  mempunyai idea yang mampu berfikir positif, bersedia saling membantu  dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.


 Kesimpulannya bahawa di samping memperoleh maklumat dan data daripada pihak Hal Ehwal Murid (HEM), guru yang bijaksana dan berhemah akan menyelidiki serba sedikit latar situasi para pelajarnya apabila penerapan gabung jalin dengan pelbagai aktiviti,kaedah,pendekatan dan teknik tatkala pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah. Dalam erti kata lain, sikap guru juga ada baiknya selaras dengan perkembangan psikologi dan persekitaran pelajar agar hubungan komunkikasi dua  antara guru dan pelajar  terjalin demi manfaat bersama.

 OLEH DR. RAJIEE HADI
MAJALAH PENDIDIK (NOV. 2010)


04 November 2010

MAKSIAT: 10 NASIHAT MENJAUHI DARIPADA IBNU QAYYIM

1.     Hendaklah menyedari betapa buruk, hina dan rendahnya perbuatan masiat.  Memahami dan menyedari bahawa Allah mengharamkannya serta melarangnya dalam rangka menjaga hamba daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang keji dan hina.


2.    Berasa malu kepada Allah kerana sesungguhnya apabila seseorang hamba menyedari pandangan Allah yang selalu mengawasi dirinya dan menyedari betapa tinggi kedudukkan Allah di matanya.  Apabila dia menyedari bahawa perbuatannya dilihat dan didengar Allah tentu sahaja dia akan merasa malu apabila dia melakukan perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah.


3.    Sentiasa menjaga nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kita dan mengingat sifat Pengasih-Nya kepada kita.  Baranga siapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah kepadanya, maka dia akan diseksa dengan nikmat itu sendiri.


4.     Berasa takut kepada Allah dan khuatir seandainya tertimpa hukuman Allah.


5.    Mencintai Allah, seseorang kekasih tentu akan mentaati segala kehendak yang disayanginya.  Sesungguhnya maksiat itu muncul akibat lemahnya rasa cinta.


6.     Menjaga kemuliaan dan kesucian diri serta memelihara kehormatan dan kebaikannya.


7.    Memiliki kekuatan ilmu tentang betapa buruknya kesan perbuatan maksiat serta hinanya akibat yang timbul daripadanya.  Ia terutama hati yang akan menyebabkan kemuraman wajah, kegelapan hati, sempitnya hati dan gundah gulana yang menyelimuti diri.  Dosa hanya akan membuatkan hati menjadi mati.


8.     Menghapuskan angan-angan yang tidak berguna.  Hendaklah setiap orang menginsafi bahawa mereka tidak akan tinggal selamanya di dunia.  Segala dosa yang dilakukan sebenarnya hanya membahayakan dirinya dan sama sekali tidak akan memberikan manfaat apa-apa.


9.     Hendaknya menjauhi sikap berlebihan dalam hal makan, minum dan berpakaian.  Sesunggunya besarnya dorongan untuk berbuat maksiat hanyalah muncul daripada sikap berlebihan dalam perkara-perkara berkenaan.


10.     Memiliki iman yang mantap dan tertanam kuat dalam hati seseorang individu.  Kesabaran seorang hamba untuk menahan diri dari perbuatan maksiat itu sangat bergantung dengan kekuatan imannya.

02 November 2010

TAUBAT: PERLUKAH MANUSIA BERTAUBAT?

ALLAH SWT menghapuskan dosa Adam a.s setelah baginda bertaubat dan tidak ada sebab dosanya berpindah kepada orang lain, begitu juga orang lain tidak akan memikul dosa yang telah kita lakukan.  Hal ini kerana Islam menyatakan bahawa setiap orang bertanggungjawab apa yang dilakukan.  Seseorang tidak munasabah memikul beban dosa orang lain, meskipun dosa itu telah dilakukan oleh bapanya yang pertama iaitu Adam a.s.

Kenyataan ini telah dijelaskan dalam surah al-Isra’ ayat 15, maksudnya:
“Dan sesungguhnya tidak memikul dosa yang dilakukan oleh orang lain”.

Ayat yang serupa makna dan tujuannya diulang-ulang dalam al-Quran sebanyak lima kali dan lima tempat yang berasingan. Dalam hal ini, Islam mengesahkan bahawa setiap  orang yang berdosa itu tidak menanggung dosa orang lain.

Antara ayat yang dimaksudkan:
“Dan bahawasanya tidak ada balasan bagi seseorang, melainkan balasan apa yang diusahakannya.  Dan bahawasanya, usahanya itu akan diperlihatkan kepadanya pada hari kiamat.”

Surah an-Najm ayat 39-40

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah akan hari kiamat yang padanya seorang ibu dan bapa tidak akan melepaskan anaknya daripada azab dosa, dan seorang anak tidak pula dapat melepaskan ibu dan bapanya daripada azab dosa masing-masing sedikit pun…”

Islam menganggap maunusia bertanggungjawab atas perbuatan yang dipertanggunjawabkan ke atas dirinya.  Dialah yang menjadi pengawas kepada dirinya supaya berusaha sedaya upaya menentang pengaruh yang mengarahkan kepada keburukan kerana takut akibat yang pasti dibalas pada hari kiamat. 

22 Oktober 2010

MEMASUKI KOTA SUCI-MU, MAKKAH AL MUKARAMMAH

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari tafsir jejak-jejak bebayang alpa,
menghitung manik tasbih kasih
selembut bayu menderu jauh
mendepani getir saujana sauh

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari leraikan lumut-lumut kemaca
kesumat dendam riak pesona
sehangat bara di rumah kencana
mendepani gerbang citra gelombang



Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari kecapi keasyikan syahdu malam
di situ kita sirami cemara takwa
sedingin salju munajat taubat
mendepani waktu detik bakal menanti
takwim hari datang dan pergi

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
sesayup saujana lapang di hadapan
seperkasa kejap mambu di perdu
sehangat bara cinta di pertemuan
searoma ijab mewangi di Jabbal Rahmah
semerdu kudus doa gemuruh pasrah
setulus bisik nasuha kecapi nurani
selembut tatap rindu lahir maknawi

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
di sini hidupkan nur kelam
di sini hilangkan resah rawan
di sini hindarkan taksub nanar
di sini hanyutkan nestapa alpa
di sini hamparkan takwa menghijau
di sini hasratkan lulur hakiki
di sini hanya pada-Mu Ya Rabbi

Memasuki kota suci-Mu Makkah al Mukarramah
maka cindur kasih pun bersatu
ketika deru perjalana ke Taif
menggelepar resah batini terpisah
palitan roda warna rona
bertaut ukhuwah di laut insani
Adam Hawa jauh menjana waktu
kapankah cinta abadiku kembali lagi?

DR. RAJIEE HADI
Makkah-Kuala Lumpur, 2002
(Sumber : Milenia: November 2010)

13 Oktober 2010

PERINGATAN : RIBUAN MATI DILANGGAR KENDERAAN!!!

Apa yang perlu diamalkan ketika berada di jalan raya:

1.     Memimpin tangan anak anda semasa melintas jalan
2.     Menggunakan lintasan pejalan kaki, lintasan berlampu isyarat
3.     Berjalan menghadap arah kenderaan
4.     Sentiasa memberi perhatian di jalan raya
5.     Memakai baju yang cerah supaya anak anda mudah dilihat oleh pemadu kenderaan
6.     Menggunakan lorong pejalan kaki di tepi jalan raya

Perkara yang perlu dihentikan ketika berada di jalan raya :

1.      Melintas jalan raya secara sembarangan
2.      Berjalan terlalu hamper dengan jalan raya
3.      Menyamakan kebolehan kanak-kanak dengan orang dewasa. Tingkah laku dan pemahaman mereka tidak seperti orang dewasa
4.      Melintas jalan raya dengan cara terburu-buru
5.      Bermain berhampiran jalan raya.

Lapan Petua Keselamatan Jalan Raya
1.      Rancang perjalanan anda.  Jika anda berasa letih, mengantuk, di bawah alkohol atau berada dalam keadaan yang tidak tenteram, tangguhkan perjalanan anda.
2.      Sentiasa ikut had laju yang ditentukan
3.      Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong.  Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.
4.      Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalagan yang serius.
5.      Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.
6.      Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong.  Jangan memotong jika teragak-agak.
7.      Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan.  Ia bukan sahaja biadab tetapi membahayakan semua pengguna.
8.      Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.