07 November 2010

DOA PERLINDUNGAN YANG DIAJAR KEPADA RASULULLAH

Bacaan doa yang diajarkan oleh Jibril kepada junjungan Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam kitab al- Muwatta’. Hadith ini juga dinukilkan oleh Imam Ahmad di dalam al-Musnad tanpa menyebut perkataan "Isra". 

Apa yang penting di dalam amalan ini ialah, ia menjadikan kita semakin berharap dan bergantung pada Allah. Dengan itu, Allah akan melindungi hidup kita walau di mana kita berada. Semoga ia memberi kebaikan pada kita semua


و حَدَّثَنِي عَنْ مَالِك عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ أَنَّهُ قَالَ أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَأَى عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ يَطْلُبُهُ بِشُعْلَةٍ مِنْ نَارٍ كُلَّمَا الْتَفَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَآهُ فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ أَفَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ تَقُولُهُنَّ إِذَا قُلْتَهُنَّ طَفِئَتْ شُعْلَتُهُ وَخَرَّ لِفِيهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَلَى فَقَالَ جِبْرِيلُ فَقُلْ 

أَعُوذُ بِوَجْهِ اللَّهِ الْكَرِيمِ
وَبِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ اللَّاتِي لَا يُجَاوِزُهُنَّ بَرٌّ وَلَا فَاجِرٌ
مِنْ شَرِّ مَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ
وَشَرِّ مَا يَعْرُجُ فِيهَا
وَشَرِّ مَا ذَرَأَ فِي الْأَرْضِ
وَشَرِّ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا
وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
وَمِنْ طَوَارِقِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
إِلَّا طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَنُ

Ia (Yahya) meriwayatkan kepadaku dari Malik dari Yahya bin Said, bahawa ia berkata, ketika Rasullullah saw, diisrakkan, baginda melihat Ifrit dari kalangan jin mengejarnya dengan sebuah obor api. Setiap kali Rasullullah saw menoleh, baginda selalu melihatnya. Maka Jibril berkata kepada baginda, "Mahukah kamu aku ajarkan kalimah yang dapat kau ucapkan. Jika engkau membacanya, maka obor itu akan padam dan dia (jin itu) akan jatuh dengan mulutnya (tersungkur), Rasullullah menjawab, "Ya", Jibril lalu berkata, bacalah :- 

Aku berlindung kepada Allah yang Maha Mulia dan dengan kalimah Allah yang sempurna yang tidak dapat dilampaui oleh orang yang baik dan pendosa, dari kejahatan apa yang turun dari langit, dan kejahatan yang naik padanya, kejahatan yang ditabur di bumi dan kejahatan yang keluar darinya, dari fitnah malam dan siang serta yang datang di malam dan siang kecuali yang datang dengan kebaikan, wahai Yang Maha Pengasih.


06 November 2010

BENCI MEMBAWA PADAH

RASULULLAH  SAW bersabda:" Awasilah diri kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam." (HR Abu Saif Al_Khurdi)

"Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan.  Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, saya tidak maksudkan itu mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah mengikis agama." (HR Al-Baihaqi)

     Contohilah sikap para Rasul, para Nabi, dan para Sahabat.  Beringat-ingatlah kita perasaan marah dan benci itu datangnya dari syaitan, dan perasaan sayang itu adalah dari rahmat Allah. Contoh dari hadis (Kisah) dibawah ini untuk dijadikan teladan.

     Abu Hurarah dan Said Al-Magburi meriwayatkan:" Ada seorang lelaki memarahi Syaidina Abu Bakar.  Ketika itu Rasulullah duduk disebelahnya.  Nabi diam sahaja, begitu juga Abu Bakar.  Selepas orang itu selesai memaki hamun  dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ.  Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: "Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam.  Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi."

     Rasulullah lantas menjawab:"Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan."

     Rasulullah kemudia bersabda lagi:"Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah."

UmmiNessa:  Sesungguhnya Allah dan juga rasulnya juga yang lebih mengetahui. bersama kita beramal seperti seorang muslim sehingga kita layak untuk melaungkan tanpa keraguan.

05 November 2010

SUASANA KELUARGA MEMPENGARUHI TINGKAHLAKU PELAJAR

PARA pelajar pada awal remaja sewajarnya didekati  seperti seorang sahabat dengan  kasih sayang yang bertegas;  baik di kalangan ibu bapa mahupun para pendidik.Sikap bertegas tidak salah namun alangkah baiknya kita melayani mereka sebagai teman di sisi, berkongsi suka duka agar mereka berasa disayangi dan dihargai seperti anak-anak atau pelajar yang lain.

Sebenarnya perubahan  pelajar pada awal remaja ke arah negatif  bukanlah menjadi masalah besar andainya guru/pendidik sedia berubah persepsi minda,   memahami tempoh tersebut adalah zaman pancaroba  pelajar dan adalah penting guru memahami  warna dan tona dalam kehidupan para pelajar. Justeru elakkan jangan terlalu mengawal atau membiarkan mereka sewenang-wenangnya hanyut dengan pelanggaran disiplin di sekolah.

 Guru sepatutnya berbincang aspek pro dan kontra akan  setiap perubahan tingkahlaku demi masa hadapan para pelajar. 0leh itu keupayaan guru memahami pengaruh dan lingkungan kehidupan ibu bapa pelajar, persekitaran psikologikal dan sosial adalah suatu kelebihan bernilai.Keupayaan guru boleh mempengaruhi perkembangan pelajar pada tempoh awal remaja yang mana tempoh penting  mencegah dan membimbing selaras dengan perumpamaan Melayu, melentur buluh biar daripada rebungnya. 

 Guru; sama ada guru kurikulum, guru kokurikulum, guru darjah/tingkatan/mentor, guru kaunseling dan guru disiplin yang memahami perbezaan didikan keluarga yang berbagai-bagai  latar, corak dan ragam boleh mengaplikasikan pelbagai pendekatan dan strategi dalam pengurusan bilik darjah, hal ehwal pelajar serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

a.       Keluarga Yang Autokratik

Menurut kajian  rumah tangga   autokaratik merupakan rumah tangga yang di dalamnya tidak ada penyesuaian,  sentiasa berkonflik, sering berlaku  perselisihan faham  antara ibu bapa dengan anak-anak  yang bagaikan berumah di tepi tebing. Walhal anak-anak atau pelajar ini sangat memerlukan perhubungan sosial yang baik, hubungan kekeluargaan yang sempurna serta lingkungan yang kondusif.  Dalam situasi begini  pelajar merasakan bahawa kepentingan dan minatnya tidak dipedulikan atau tidak dianggap penting.  Manakala pelajar berusaha untuk mendapatkan perhatian ibu bapa atau guru di sekolah dengan berusaha menonjolkan diri minta diberi perhatian walaupun terpaksa menerima hukuman atau denda kerana kesilapan akhlak yang dilakukannya.   Lantaran sikap ibu bapa yang tidak memberikan perhatian  untuk memahaminya,  mereka lebih cenderung tidak menghiraukan  keluarga dan sikap ini terbawa-bawa ke bilik darjah.

     Terdapat dua bahagian sikap autokratik ibu bapa terhadap pelajar. Pertama, autokratik  bersifat kekal:  iaitu ibu bapa yang mengamalkan sikap autokratik  sejak awal perkahwinan dan mereka tidak tidak mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya . Kedua, autokratik yang tidak mahu bertolak- ansur dengan segala keinginan  anak-anak mereka yang mana lebih bersikap tidak  mahu  
bekerjasama dengan anak-anaknya. Akibatnya,pelajar bersikap memberontak dan sering mempamerkan  gejala-gejala immoral. 

b.      Keluarga Yang Terlalu Toleransi

Keluarga yang terlalu toleransi adalah pelajar  yang mendapat perhatian berlebihan daripada keluarga. Bahkan kedapatan sikap ibu bapa menyamai perilaku  mereka.  Hal ini bertepatan dengan kajian yang  menunjukkan bahawa ibu bapa yang terlalu toleransi    mempengaruhi perkembangan  pelajar dari sudut kebebasan. Kesannya pelajar mengalami kesukaran penyesuaian dalam  bilik darjah, budaya sekolah, masyarakat dan lingkungannya . Pelajar lebih selesa mencari perhatian dan bantuan orang lain tanpa mahu berusaha dan berdikari. Pelajar begini  sangat bergantung kepada ibu bapa  sehingga impaknya  mendambakan kehidupan  setelah dewasa dan di alam perkahwinan  serta tidak mahu tinggal jauh daripada ibu bapa. Mereka  juga didapati kurang mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang
berkaitan dengan pembelajaran dan tugasan. 


c.
       Keluarga Yang Demokratik

Perhubungan  dan komunikasi yang baik mudah diperpolehi dalam keluarga yang mengamalkan demokratik. Ibu bapa lebih memahami  pelajar sebagai individu yang mempunyai keterampilan peribadi dan tidak mengarah pelajar secara autokratik. Pelajar lebih diberikan kebebasan berdikari dan pandai membuat keputusan sendiri. Dengan ini pelajar  berkesempatan mengupayakan kebebasan minda sendiri dengan kritis dan analitis.

Ada berberapa cara  merealisasikan rumah tangga  demokratik yang antara lainnya:

1.   Menghormati keperibadian pelajar dalam rumah tangga.
2.   Berusaha mengembangkan sahsiahnya dengan menganggap pelajar memiliki standard keunggulan,
kemampuan kendiri dan berbagai-bagai kecenderungan  tersendiri dan harus memberinya kesempatan untuk berkembang sejauh mungkin.
3.   Memberikan ruang seluas-luasnya aspek kemahiran berfikir secara kritis, berekspresi dan tahu hala tuju kerjaya masa hadapannya.   Namun demikian kebebasan itu masih dalam koridor kebaikan bersama dan tujuan-tujuan yang bersifat umum. Tegasnya di sini  kebebasan itu bukan tanpa batas tetapi masih dibatasi oleh ketentuan-ketentuan sosial.

      Keluarga  demokratik itu banyak mendatangkan kebaikan dalam hubungan kasih sayang . Manakala keluarga autokratik lebih memberi kesan elemen kekerasan, ketakutan dan pelanggaran disiplin.  Pelajar yang datang dari keluarga demokratik yang sihat mendorong  lebih bersifat  bertanggungjawab dalam kehidupan,  mempunyai idea yang mampu berfikir positif, bersedia saling membantu  dan bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.


 Kesimpulannya bahawa di samping memperoleh maklumat dan data daripada pihak Hal Ehwal Murid (HEM), guru yang bijaksana dan berhemah akan menyelidiki serba sedikit latar situasi para pelajarnya apabila penerapan gabung jalin dengan pelbagai aktiviti,kaedah,pendekatan dan teknik tatkala pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah. Dalam erti kata lain, sikap guru juga ada baiknya selaras dengan perkembangan psikologi dan persekitaran pelajar agar hubungan komunkikasi dua  antara guru dan pelajar  terjalin demi manfaat bersama.

 OLEH DR. RAJIEE HADI
MAJALAH PENDIDIK (NOV. 2010)


04 November 2010

MAKSIAT: 10 NASIHAT MENJAUHI DARIPADA IBNU QAYYIM

1.     Hendaklah menyedari betapa buruk, hina dan rendahnya perbuatan masiat.  Memahami dan menyedari bahawa Allah mengharamkannya serta melarangnya dalam rangka menjaga hamba daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang keji dan hina.


2.    Berasa malu kepada Allah kerana sesungguhnya apabila seseorang hamba menyedari pandangan Allah yang selalu mengawasi dirinya dan menyedari betapa tinggi kedudukkan Allah di matanya.  Apabila dia menyedari bahawa perbuatannya dilihat dan didengar Allah tentu sahaja dia akan merasa malu apabila dia melakukan perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah.


3.    Sentiasa menjaga nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kita dan mengingat sifat Pengasih-Nya kepada kita.  Baranga siapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah kepadanya, maka dia akan diseksa dengan nikmat itu sendiri.


4.     Berasa takut kepada Allah dan khuatir seandainya tertimpa hukuman Allah.


5.    Mencintai Allah, seseorang kekasih tentu akan mentaati segala kehendak yang disayanginya.  Sesungguhnya maksiat itu muncul akibat lemahnya rasa cinta.


6.     Menjaga kemuliaan dan kesucian diri serta memelihara kehormatan dan kebaikannya.


7.    Memiliki kekuatan ilmu tentang betapa buruknya kesan perbuatan maksiat serta hinanya akibat yang timbul daripadanya.  Ia terutama hati yang akan menyebabkan kemuraman wajah, kegelapan hati, sempitnya hati dan gundah gulana yang menyelimuti diri.  Dosa hanya akan membuatkan hati menjadi mati.


8.     Menghapuskan angan-angan yang tidak berguna.  Hendaklah setiap orang menginsafi bahawa mereka tidak akan tinggal selamanya di dunia.  Segala dosa yang dilakukan sebenarnya hanya membahayakan dirinya dan sama sekali tidak akan memberikan manfaat apa-apa.


9.     Hendaknya menjauhi sikap berlebihan dalam hal makan, minum dan berpakaian.  Sesunggunya besarnya dorongan untuk berbuat maksiat hanyalah muncul daripada sikap berlebihan dalam perkara-perkara berkenaan.


10.     Memiliki iman yang mantap dan tertanam kuat dalam hati seseorang individu.  Kesabaran seorang hamba untuk menahan diri dari perbuatan maksiat itu sangat bergantung dengan kekuatan imannya.

02 November 2010

TAUBAT: PERLUKAH MANUSIA BERTAUBAT?

ALLAH SWT menghapuskan dosa Adam a.s setelah baginda bertaubat dan tidak ada sebab dosanya berpindah kepada orang lain, begitu juga orang lain tidak akan memikul dosa yang telah kita lakukan.  Hal ini kerana Islam menyatakan bahawa setiap orang bertanggungjawab apa yang dilakukan.  Seseorang tidak munasabah memikul beban dosa orang lain, meskipun dosa itu telah dilakukan oleh bapanya yang pertama iaitu Adam a.s.

Kenyataan ini telah dijelaskan dalam surah al-Isra’ ayat 15, maksudnya:
“Dan sesungguhnya tidak memikul dosa yang dilakukan oleh orang lain”.

Ayat yang serupa makna dan tujuannya diulang-ulang dalam al-Quran sebanyak lima kali dan lima tempat yang berasingan. Dalam hal ini, Islam mengesahkan bahawa setiap  orang yang berdosa itu tidak menanggung dosa orang lain.

Antara ayat yang dimaksudkan:
“Dan bahawasanya tidak ada balasan bagi seseorang, melainkan balasan apa yang diusahakannya.  Dan bahawasanya, usahanya itu akan diperlihatkan kepadanya pada hari kiamat.”

Surah an-Najm ayat 39-40

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutlah akan hari kiamat yang padanya seorang ibu dan bapa tidak akan melepaskan anaknya daripada azab dosa, dan seorang anak tidak pula dapat melepaskan ibu dan bapanya daripada azab dosa masing-masing sedikit pun…”

Islam menganggap maunusia bertanggungjawab atas perbuatan yang dipertanggunjawabkan ke atas dirinya.  Dialah yang menjadi pengawas kepada dirinya supaya berusaha sedaya upaya menentang pengaruh yang mengarahkan kepada keburukan kerana takut akibat yang pasti dibalas pada hari kiamat. 

22 Oktober 2010

MEMASUKI KOTA SUCI-MU, MAKKAH AL MUKARAMMAH

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari tafsir jejak-jejak bebayang alpa,
menghitung manik tasbih kasih
selembut bayu menderu jauh
mendepani getir saujana sauh

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari leraikan lumut-lumut kemaca
kesumat dendam riak pesona
sehangat bara di rumah kencana
mendepani gerbang citra gelombang



Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari kecapi keasyikan syahdu malam
di situ kita sirami cemara takwa
sedingin salju munajat taubat
mendepani waktu detik bakal menanti
takwim hari datang dan pergi

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
sesayup saujana lapang di hadapan
seperkasa kejap mambu di perdu
sehangat bara cinta di pertemuan
searoma ijab mewangi di Jabbal Rahmah
semerdu kudus doa gemuruh pasrah
setulus bisik nasuha kecapi nurani
selembut tatap rindu lahir maknawi

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
di sini hidupkan nur kelam
di sini hilangkan resah rawan
di sini hindarkan taksub nanar
di sini hanyutkan nestapa alpa
di sini hamparkan takwa menghijau
di sini hasratkan lulur hakiki
di sini hanya pada-Mu Ya Rabbi

Memasuki kota suci-Mu Makkah al Mukarramah
maka cindur kasih pun bersatu
ketika deru perjalana ke Taif
menggelepar resah batini terpisah
palitan roda warna rona
bertaut ukhuwah di laut insani
Adam Hawa jauh menjana waktu
kapankah cinta abadiku kembali lagi?

DR. RAJIEE HADI
Makkah-Kuala Lumpur, 2002
(Sumber : Milenia: November 2010)

13 Oktober 2010

PERINGATAN : RIBUAN MATI DILANGGAR KENDERAAN!!!

Apa yang perlu diamalkan ketika berada di jalan raya:

1.     Memimpin tangan anak anda semasa melintas jalan
2.     Menggunakan lintasan pejalan kaki, lintasan berlampu isyarat
3.     Berjalan menghadap arah kenderaan
4.     Sentiasa memberi perhatian di jalan raya
5.     Memakai baju yang cerah supaya anak anda mudah dilihat oleh pemadu kenderaan
6.     Menggunakan lorong pejalan kaki di tepi jalan raya

Perkara yang perlu dihentikan ketika berada di jalan raya :

1.      Melintas jalan raya secara sembarangan
2.      Berjalan terlalu hamper dengan jalan raya
3.      Menyamakan kebolehan kanak-kanak dengan orang dewasa. Tingkah laku dan pemahaman mereka tidak seperti orang dewasa
4.      Melintas jalan raya dengan cara terburu-buru
5.      Bermain berhampiran jalan raya.

Lapan Petua Keselamatan Jalan Raya
1.      Rancang perjalanan anda.  Jika anda berasa letih, mengantuk, di bawah alkohol atau berada dalam keadaan yang tidak tenteram, tangguhkan perjalanan anda.
2.      Sentiasa ikut had laju yang ditentukan
3.      Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong.  Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.
4.      Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalagan yang serius.
5.      Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.
6.      Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong.  Jangan memotong jika teragak-agak.
7.      Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan.  Ia bukan sahaja biadab tetapi membahayakan semua pengguna.
8.      Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.

12 Oktober 2010

NASIHAT UNTUK KAUMKU….HAWA

“Wahai Tuhanku! Segala puji hanya bagiMu.  Tiada yang terpuji melainkanMu.  Hanya padaMu tempat bergantung segala makhluk!”

Suatu hari Ummu Mu’ashirah menasihati anak perempuannya dengan linangan air mata namun masih mampu untuk tersenyum.  Beliau berkata “Wahai puteriku!  Kelak kamu akan menempuh kehidupan baru.  Kehidupan yang tidak ada lagi tempat untuk ibumu, bapamu, juga adik-beradikmu! Disitu kelak kau akan menjadi isteri kepada suamimu.  Dia seorang yang tidak mahu berkongsi dengan sesiapa dalam bab memiliki dirimu, biarpun dengan  yang sedarang  dan sedaging denganmu”.

Nasihat beliau lagi, “Jadilah isteri baginya.  Dan jadilah ibu kepadanya. Jadikan dia berasa seolah-olah kau adalah segala-galanya di dunia ini.  Lelaki itu secara umumnya adalah bayi yang besar.  Sedikit sahaja kalimah yang manis, sudah cukup untuk mengembirakannya”

Jangan sekali-kali membuatnya berasakan pernikahannya denganmu sebagai penghalang baginya  terhadap keluarganya dan saudara-maranya.”  Sambung beliau lagi,”sesungguhnya perasaan begitu memang ada pada suamimu. Sebab dia juga telah meninggalkan keluarga dan sanak saudaranya keranamu.  Hanya yang membezakan antara dia dengan dirimu ialah perbezaan antara lelaki dengan perempuan.

Biasanya perempuan itu sentiasa merindui keluarganya dan rumah orang tuanya, iaitu tempat dia dilahirkan, dibesarkan dan mendapat didikan.  Bagaimanapun seseorang perempuan itu harus menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya.  Dia mesti membiasakan diri dengan suasana kehidupannya bersama lelaki yang telah dipilih sebagai suami, pelindung dan bapa kepada anak-anakmu! Dan , itulah dunia barumu!”

Nasihat Ummu Ma”ashirah yang terakhir ialah “Wahai puteriku! Demikianlah keadaanmu ketika itu dan seterusnya.  Itulah keluarga barumu yang dibentuk bersama suamimu.  Sesungguhnya ibu tidak meminta supaya melupakan ayahmu, ibumu dan adik-beradikmu! Mana mungkin seorang ibu boleh melupakan belahan jiwanya? Namun ibu memohon kepadamu agar mencintai suamimu dan hidup bersamanya dengan penuh bahagia dan harmoni!”

UMMINESSA: Hayati dan amalkan nasihat seorang ibu terhadap puterinya yang akan dimiliki oleh lelaki yang bernama suami. Ketaatan isterinya adalah suami selepas ketaatannya terhadap Allah dan Rasullulah. AMIN.

11 Oktober 2010

PENDEKATAN KASIH SAYANG DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

SECARA professional,kerjaya guru  berkait rapat dengan  konsep pendekatan pengajaran - pembelajaran (p-p) bagi  mencapai matlamat p - p dengan berkesan. Kamus Dewan (2010) menjelaskan bahawa pendekatan bermaksud perihal , mendekati atau mendekatkan bagi memulakan dan melaksanakan tugas. Dalam pengertian yang lebih luas, pendekatan juga boleh diertikan sebagai to come near to in any sense atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu  dengan arah atau hala yang diambil untuk menuju sesuatu sasaran.

Memandangkan pendekatan penting bagi mencapai semaksimum mungkin objektif p-p maka guru yang sentiasa kreatif kerapkali berusaha mengaplikasikan berbagai-bagai pendekatan bagi menambat minat dan hati pelajar terhadap pelajaran.

Justeru, dengan pendekatan humanistik yang  menekankan kasih sayang dan mengutamakan aktualisasi kendiri maka guru sentiasa merujuk kepada motivasi manusia untuk menggunakan potensi pelajar sepenuhnya.Apatah lagi pendekatan yang berpaksikan kasih sayang mengutamakan kepercayaan dan potensi semula jadi dan memperakui pengalaman unik setiap individu.   

Kendatipun ada segelintir masyarakat beranggapan guru kini mula terhakis nilai-nilai kasih sayangnya   lantaran tempias materialisme  namun  masih belum terlambat lagi andainya golongan pendidik/guru berusaha mengubah persepsi tersebut dengan jujur,telus dan ikhlas. 

Walau bagaimanapun  sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan disebabkan  sikap guru yang hanya bertindak sebagai pengajar bukan pendidik yang hanya menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang  dipertanggungjawabkan ke atasnya sahaja.

            0leh yang demikian  pendekatan bertunjangkan kasih sayang guru terhadap pelajar  dalam konteks p-p  bilik darjah  dan aktiviti kokurikulum meliputi:

1.   Guru  sentiasa kreatif dan inovatif  mewujudkan suasana ceria yang sesuai dengan bahasa badan, komunikasi lisan , komunikasi  bertulis, komunikasi isyarat yang pelbagai seperti: menggunakan kata-kata  sapaan yang lebih bersopan jika memberi teguran;  contoh perkataan:   jahat kepada nakal, menggunakan isyarat ibu jari  tangan  bukan jari telunjuk bagi menunjukkan arah atau sesuatu, tidak mencebikkan bibir atau membeliakkan mata dan tidak menghamburkan kata-kata jelek  yang mana boleh menggambarkan emosi guru tidak stabil dan kurang bijaksana.

  1. Guru sentiasa memberi semangat kepada pelajar sama ada yang lemah mahupun yang berpotensi kerana setiap pelajar mempunyai potensi diri tersendiri, kemahiran dan kelebihan masing-masing.

  1. Guru memberikan  ganjaran seperti kata-kata pujian kepada pelajar secara berterusan  demi meningkatkan keyakinan minda dan kebolehpercayaan  diri terhadap guru dan mata pelajaran yang dipelajari. Contoh perkataan:
    ”kamu bijak”, ”kamu cerdik”, ”tahniah kamu berjaya”, ”jawapan kamu betul cuma belum lengkap” dan sebagainya.

  1. Guru menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan terhadap pelajarnya dengan menyediakan  bahan bantu mengajar supaya menarik minat pelajar meningkatkan motivasi  dan  memudahkan proses p-p. Dengan ini pelajar merasakan  dirinya disayangi, dihargai dan diberi perhatian tanpa adanya perbezaan kasih sayang. Dengan ini dapat mengelakkkan  pelajar  mengambil kesempatan  bertemu  kaunselor sekolah  pada masa guru atau mata pelajaran yang kurang diminati.

  1. Guru bersikap terbuka dan  profesional kerana sedia menerima teguran atau cadangan positif sama ada daripada rakan sejawat mahupun pelajar demi kecemerlangan
proses p-p.

  1. Guru  sentiasa memberi peluang para pelajar  menunjukkan bakat dan kepemimpinan dalam aktiviti kokurikulum tanpa prasangka.  Dengan ini setiap pelajar akan berasa  diri mereka dihargai dan disayangi.

Kesimpulannya guru  perlu melengkapkan pujian dengan fitur paralinguistik, iaitu isyarat bukan bahasa yang mengiringi pertuturan seperti senyuman,  bermuka manis dan sentuhan tangan yang tidak melanggar batas-batas agama,etika dan budaya. Suara lembut tapi tegas dan berhemah  menunjukkan kasih sayang dan intonasi girang guru.  Dengan kasih sayang guru dalam p-p ini diharapkan mencapai matlamat untuk mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran  dan tingkah laku ke arah kecemerlangan emosi,jasmani, rohani dan intelek.

            Sesungguhnya matlamat wawasan pendidikan itu sendiri adalah usaha budaya penyayang yang merealisasikan matlamat masyarakat prihatin dan  penyayang .  0leh itu usaha golongan pendidik menggembleng tenaga mendukung  dan mencapai lunas-lunas tersebut adalah usaha yang murni dan disanjungi.  
Oleh : DR. RAJIEE HADI
(Sumber daripada Majalah PENDIDIK , Oktober 2010)


04 Oktober 2010

PANDULAH NAFSU SEBAIKNYA..........

Bagi mengendalikan nafsu perlulah diketahui terlebih dahulu pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu.  Iaitu:-
1.     Terlalu cinta kepada dunia sehingga tewas cinta pada Allah.
2.     Tamak haloba- hingga lupa kemahuan dan kemampuan diri.  Maknanya, walaupun tidak mampu,
        mereka tetap mahukannya.
3.     Hasad dengki-berasa senang apabila orang lain mendapat muusibah tetapi susah hati apabila orang lain
        mendapat kesenangan.
4.     Wanita- nafsu boleh rosak kerana wanita.  bagi lelaki, nafsu boleh jadi tidak terkawal apabila berdepan
        dengan wanita.
5.     Gopuh-gapah- Tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu.  disebut juga fanatik.

SELEPAS MENGETAHUI PINTU ATAU PUNCA NAFSU MENJADI JAHAT, KETAHUILAH PULA CARA UNTUK MENGAWAL DAN MENGELAKKAN DARIPADA BAHAYA NAFSU JAHAT TERBABATI, ANTARANYA: 

1.     Tutup pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu tadi rapat-rapat.
2.     Hapuskan segala sikap kotor, jangan dengki lagi, jangan bersikap tamak dan jangan terlalu mencintai
        dunia.
3.     Hancurkan gangguan syaitan iaitu dengan segala zikir yang diajarkan Rasul seperti 'ma'thurat' dan
        membaca al-Quran.
4.     Perbanyakkan solat sunat dan ranjin-rajinlah bangun solat malam (Qiamulail).
5.     Banyak bersedekah.
6.     Berkawan dengan orang miskin.
(Bahan dari I Luv U Islam)

22 September 2010

Memori Hati



(Daripada Dr. Rajiee Hadi)

Hidup tidaklah
Sentiasa indah
Tetapi keindahan
Dalam kenangan

Bengit kota
Dunia akademik
Demi kerjaya
Demi anak-anak

Di rumah desa
Sang ibu tua
Tahajud malam
Dinihari tenteram

Begitu kesunyian
Begitu kesepian
Idea positif
Sensitiviti kreatif

Mengolah puisi
Dr. Rajiee Hadi
Puisi dedikasi
Memori di hati!

15 Disember 2007
(Sumber daripada Antologi Gelombang Cengkerama dan Tsunami oleh Leo A. W. S, DBP 2010)

01 September 2010

APA KATA MEREKA TENTANG DR. RAJIEE HADI




(JIKALAU  ada yang bertanya tentang saya , yang baik-baik itu diucapkan secara terbuka oleh rakan kenalan ; yang buruk jelek diucapkan di belakang oleh musuh; tetapi kepada malaikat dan Tuhan saya tidak bisa berdusta – DRH)


“Membaca mendorong Rajiee Hadi menjadi sensitif terhadap alam dan persekitarannya.  Membaca dan terus membaca akhirnya menggerakkaan dirinya untuk menulis”.

Azizul Rahman. A. Rahman
(Utusan Malaysia, 10 Disember 1984)


“Rajiee Hadi yang memang anak jati Johor tetapi menetap di luar Johor, masih tetap menjadi ahli setia PPJ sehingga kini!”

Mohd. Ismail Zamzam (Zam Ismail)
(Jurnal PPJ. Bil, 11/1989)


“Pengalaman Rajiee Hadi sebagai guru dan menempuh pelbagai peristiwa pahit -maung di pedalaman memberi pendedahan kepadanya untuk menggarap beberapa tema yang sesuai dengan zaman ini…”

Zain Ariff
(Harian Metro, 9 Oktober 1991)


“Karya-karya Rajiee Hadi kebanyakannya mengutamakan unsur perjuangan dan kemanusiaan kerana baginya kedua-dua unsur berkenaan amat bermakna dalam kehidupan manusia….”

Siti Rohaya Attan
(Utusan Malaysia, 16 Julai 1994)


“Rajiee Hadi bukanlah penulis yang terlalu muda dan tidak pula terlalu tua.  Itu tidak penting. Yang penting cirri-ciri kematangan mula terpancar daripada karyanya.”

T. Alias Taib( Allahyarham)
(Mingguan Malaysia, 9 April 1995)


Saya bagi pihak Bahagian Pendidikan Guru mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Rajiee Hadi yang telah berusaha dan berjaya menerbitkan kumpulan puisi ‘Cinta Arafah’.

Datuk Razali bin Ismail( Allahyarham)
(Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru, Setitis Tinta Seribu Warna dalam Cinta Arafah 2003)/ Mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia KPM ) 

Dr Rajiee tidak disebut sebagai penulis semata-mata tetapi juga aktif dalam bidang akademik.
       
Imlan Adabi
(Berita Harian, 6 September 2003)

http://img1.blogblog.com/img/icon18_wrench_allbkg.png

30 Ogos 2010

RAJIEE UNGKAP CINTA KETUHANAN

Oleh Imlan Adabi
Berita Harian : 06/09/2003




DR RAJIEE Hadi, (gambar) pemenang Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen
Maktab Perguruan Bahasa (1977), Sayembara Penulisan Kreatif UPM (1984),
Sayembara Penulisan Puisi Sejarah Nasional (1992) dan Puisi Hari Guru
Wilayah Persekutuan (1994).

Ketua Unit Pembangunan Profesionalisme, Jabatan Penyelidikan dan
Pembangunan Profesionalisme, Maktab Perguruan Islam, mengungkap nikmat
cinta kepada Allah swt dan sesama insan lewat puisi. Ikuti wawancara IMLAN
ADABI bersama pengarang ini.

DR RAJIEE baru selesai menghasilkan antologi puisi Cinta Arafah. Kenapa
judulnya sedemikian?

Cinta Arafah mengandungi 95 sajak yang dihasilkan sejak dekad 70-an
hingga 2003. Keseluruhan sajak dipilih berdasarkan tema cinta. Cinta
kepada Tuhan, alam, manusia dan kehidupan. Puncak segala cinta adalah
cinta kepada Allah yang membentuk kehidupan insani.

Dr Rajiee sentiasa aktif menulis, tiada zaman menurun sejak dekad 70-an.
Apakah faktor rangsangan?

Saya sentiasa menulis dan menulis. Untungnya saya tidak terbabit dalam
sesuatu genre saja. Saya menulis puisi, rencana ilmiah dan umum serta
cerpen. Apabila kita mempelbagaikan hasil penulisan, kita tidak akan
menemui zaman pasang surut. Idea sentiasa ada dan ruang sentiasa terbuka.
Sebagai penulis kita akan sentiasa segar menghasilkan karya.

Kenapa ramai penulis sezaman dengan Dr Rajiee menghilangkan diri? Apakah
kerana tiada usaha berterusan atau faktor kehidupan yang mengikat?

Saya perasan ramai yang muncul bersama saya 30 tahun lalu dan kini
menghilang. Dulu ada Lokman Abdullah, Moechtar Awang dan ramai lagi. Nama
mereka sudah menghilang dengan alasan masing-masing dan tersendiri.
Tentunya persoalan hidup dan kehidupan mengikat mereka.

Apakah kebanyakan penulis kita tidak berdaya tahan atau tidak mempunyai
stamina yang panjang?

Sebagai penulis, kita perlu ada motivasi, perlu ada faktor dorongan
daripada luar dan dalam diri. Penulis tanpa motivasi akan segera hilang
apabila kehidupannya tidak membabitkan hal kesenian. Faktor dorongan
sering dikaitkan dengan latar belakang, kehidupan dan ruang. Penulis yang
komited lazimnya lahir daripada kemiskinan jiwa untuk menulis.

Barangkali penulis muda hari ini kurang kekuatan untuk bertahan lama
kerana ramai yang lahir tergesa-gesa dan akibatnya segera hilang?

Segala-galanya kerana komitmen. Menulis bukan kerana glamor atau
keseronokan sementara tetapi lebih kepada kesedaran mengungkapkan tema dan
persoalan. Penulis sejati mesti tahu matlamat penulisan. Penulis tidak
perlu menjadikan bidang sastera sebagai usaha sementara tetapi
mengungkapkan kesedaran sosial, agama dan puncak cintanya. Karya cinta
terbaik tentunya membabitkan insani dan Allah yang Maha Pencipta. Seniman
kerdil di sisi Allah kerana Allah yang lebih mencipta. Penulis sekadar
mencipta karya hasil daripada nikmat Allah.

Nama Dr Rajiee tidak disebut sebagai penulis semata-mata tetapi juga
akademik?

Sebagai tenaga pengajar saya menumpukan kepada kerjaya kerana itu bidang
saya. Ia tidak membataskan kerja kreatif. Saya sudah melahirkan kumpulan
cerpen Tirai Malam. Saya juga aktif dengan kesatuan guru. Kesibukan tugas
sebenarnya mengilhamkan, bukan memundurkan usaha berkarya. Walaupun saya
bertugas di Maktab Perguruan Islam, bukan pusat kegiatan sastera seperti
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya berjuang sendiri untuk menulis.
Alangkah baiknya jika tenaga pengajar sekali gus menjadi pencinta seni
kreatif. Justeru, saya terus menulis dan pada masa sama mengajar. Jangan
sekali-kali menjadikan alasan jika hanya bertugas di DBP baru boleh
berkarya. Kita sendiri yang harus mencorakkan bidang sastera sesuai dengan
kehendak semasa dan cita rasa peribadi.

Hari ini ramai penulis yang terlalu mendadak naik dan terlalu tergesa menghilang. Apa komen Dr Rajiee?

Ini satu fenomena yang luar biasa, lucu dan aneh. Penulis yang lahir
dengan cepat akan turun dengan lekas. Bukan satu dua, tetapi ramai.
Penulis harus membina karya dan membina namanya. Saya kagum dengan T Alias
Taib. Walaupun hanya genre puisi, dia terus bertahan hingga kini, sentiasa
segar dengan karya baru.

Khabarnya Dr Rajiee juga menulis novel?

Novel saya Menjaring Suria dalam proses di samping sebuah lagi kumpulan
puisi bakal diterbitkan. Saya berselang-seli menulis. Tidak menumpukan
kepada sesuatu genre pada satu masa.

Dr Rajiee pernah menulis sajak kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Apakah judul puisi itu dan apa motifnya?

Puisi Persoalan saya hasilkan pada 1992 di Universiti Putra Malaysia,
Serdang. Puisi ini sebenarnya secara sinis saya kaitkan dengan mitos
bangsa Melayu khususnya cerita jenaka mengenai Pak Kaduk, Lebai Malang,
Luncai dan Mat Jenin. Dr Mahathir adalah pemimpin besar berpandangan jauh,
pintar dan ada wawasan.

Dr Rajiee juga menulis puisi kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik
Aziz Nik Mat?

Puisi Tanpa Sebarang Pengertian secara sinis menilai Kelantan khususnya
Pantai Dasar Sabak sebagai wilayah terawal jatuh ke tangan Jepun. Hari ini
Kelantan masih begitu-begitu. Apakah kita tidak belajar daripada sejarah.
Perselisihan bangsa Melayu perlu diredakan. Kekuatan bangsa perlu
disemarakkan agar Melayu menjadi bangsa bermaruah.