27 Ogos 2010

WAWANCARA EKSKLUSIF : SEJENAK BERSAMA DR. RAJIEE HADI



Suatu petang yang santai Ummi Nessa (UN) telah mewawancara Dr. Rajiee Hadi (DRH) seorang tokoh pendidik yang juga mantan aktivis kesatuan guru serta terlibat secara langsung dalam bidang penulisan,kesenian,kebudayaan dan kemasyarakatan. Beliau ialah mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia(KKGBMS),mantan Ahli Majlis Jawatankuasa Agung (AMJA)Kongres Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia(KONGRES),mantan Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia,mantan Ahli Jawatankuasa lnduk Hari Guru Kebangsaan dan mantan Pengerusi PIBG salah sebuah sekolah menengah agama di Selangor. Beliau kini ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) atau Malaysia of Education Practiotioners Association,Reg.1561. . Semoga dapatan wawancara ini menjadi sumber inspirasi kepada semua para pendidik dan para pejuang kemanusiaan.







UMMI NESSA
Assalamualaikum,apa khabar Dr?

DR. RAJIEE HADI

Waalaikumussalam wbkt. Alhamdulillah,khabar baik.

Selamat bertemu dan  terima kasih kerana sudi membuat sesi wawancara bersama UN  dalam bual bicara motivasi pendidikan.  Boleh saya panggil Dr  sahaja?

Boleh, saya selesa dengan panggilan itu.  Mahu panggil cikgu pun   boleh.

Saya memilih Dr berdasarkan kepada kejayaan kerjaya pada suatu ketika dan sehingga kini.  Boleh Dr ceritakan pekerjaan  ataupun bidang apakah yang telah Dr diceburi?

Begini…Jika hendak diceritakan panjang ceritanya  dalam hal pengalaman  ini.  Maklumlah pelbagai  tempat dan suasana tempat bertugas  khususnya  berkaitan dengan pendidikan. Semasa kanak-kanak dan remaja saya pernah berniaga buah-buahan di hadapan pasar di sebuah pekan kampung kelahiran saya.Saya seronok bersama-sama rakan-rakan keturunan Tionghua. Kami bersaing tetapi tetap bekerjasama. Kemudian mengambil upah bekerja di kebun getah, menjadi buruh di ladang kelapa sawit dan bekerja di kilang memproses getah. Dalam perkhidmatan pendidikan, saya menjadi guru terlatih ketika berusia 22 tahun. Saya telah berkhidmat di empat buah negeri;Johor,Negeri Sembilan,Wilayah Persekutuan dan Selangor.  Saya pernah berkhidmat sebagai guru pelatih di Selangor,Kuala Lumpur dan Johor. Kemudian sebagai guru terlatih di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan.  Pendek kata, dari sekolah harian hingga ke sekolah berasrama penuh, dari kelas peralihan hinggalah mengajar tingkatan enam selama 17 tahun. Kemudian sebagai pensyarah dan Ketua Unit Pembangunan Profesionalisme Jabatan Penyelidikan di salah sebuah  institusi perguruan di Malaysia sekitar sepuluh tahun dan bakinya sebagai pensyarah kanan di  salah sebuah universiti luar negara. Saya juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di samping beberapa buah kolej swasta. Kegiatan lain sebagai penulis bebas dan wartawan sambilan,  perunding motivasi dan psikologi.

Hmm..hmmm..  Rupa-rupanya  Dr  ni orang yang hebat ya...  Tak salah saya memilih Dr  dalam sesi ini.

Oh, ye ke? Saya rasa, sama seperti orang lain. Cuma saya merasakan mahu mengisi peluang bagi menimba pengalaman yang tidak saya perolehi semasa di bangku sekolah dahulu. Maksud saya dalam soal kepemimpinan.

Nampaknya Dr  ni lebih ke arah bidang yang  berkaitan pendidikan, iaitu mendidik dan menyuntik motivsi.  Sejak bilakah  Dr mula berminat dalam profesion ini?

Kalau hendak diceritakan memang panjang. Saya mulakan dari aspek membaca yang menjadi hobi saya sejak zaman kanak-kanak dan awal awal remaja. Sejarah bermula apabila saya berjinak-jinak dengan buku. Beginilah sebenarnya…sejak kecil saya suka sangat membaca.  Seingat saya usia 5 tahun saya sudah masuk   tadika  atau dahulu dipanggil “sekolah tumpang” kerana sudah boleh membaca.  Bahan bacaan saya tidak setaraf dengan usia saya .  Contohnya pada usia 6-12 tahun, saya sudah mula membaca buku-buku karangan penulis terkenal seperti karya Hamka, Shakepeare, Abdullah Hussein, Abdul Moes, A.Samad Ahmad  dan ramai lagi.  Saya juga sering membaca akhbar New Strait Times yang dilanggan oleh bapa saudara saya yang akan menduduki peperiksaan LCE pada pertengahan tahun 1960-an.Sewaktu saya pulang dari Sekolah Rendah Agama sesi petang, saya sering singgah di kedai kopi hailam sambil minum ais kepal sambil baca akhbar Utusan Melayu edisi jawi.  Justeru, kesannya sehingga sekarang, saya masih minat membaca. Tidak kiralah sama ada; buku, jurnal atau artikel.  Setiap pagi saya mesti membaca akhbar dan sekurang-kurangnya 1 buku setiap hari.Hahaha..sekarang sudah tentulah saya   melayari berita-berita dalam internet termasuk blog. Saya suka bahan bacaan seperti autobiografi, motivasi dan pembangunan kendiri serta  politik semasa.   Jika tidak membaca bagai ada sesuatu yang tidak kena pada hari itu. 

Elok benar minat sebegitu diamalkan sehingga kini.  Suatu amalan yang patut dipuji. 

Terima kasih.  Minat  itu memang datang dalam diri bukan perlu paksaan sebenarnya.Ya..lah faktor persekitaran, latar dan zaman banyak mempengaruhi juga dalam kehidupan saya.

Saya setuju dengan Dr.

Memang patut dipupuk minat itu dari awal sebenarnya.Walau ketika itu tiada dorongan sesiapa tetapi bagi saya membaca ketika itu sebagai suatu escapism atau pelarian daripada kesunyian. Manalah banyak hiburan alternatif ketika zaman saya membesar.Tambahan pula saya jenis tidak suka berhibur bersama rakan-rakan sebaya. Lebih gemar menyendiri.

Bagaimana dengan zaman persekolahan Dr.

Zaman persekolahan saya tidak banyak kemudahan dan kelengkapan walaupun tahap minimum. Maklumlah sekolah rendah di estet zaman kolonial;tiada guru bahasa lnggeris. Saya mula belajar bahasa lnggeris semasa darjah lima. Saya masih ingat, gurunya Cikgu Mohamad Nor.  Kemudian sekolah rendah di kampung yang terpaksa berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan.  Kekadang seorang guru terpaksa mengajar dua buah kelas pada suatu masa yang sama.  Terpaksa berkejar ke sana sini mengawal bilik darjah yang berdinding kadbod.  Kengan yang tidak dapat dilupakan apabila belajar di sekolah menengah atas, guru bahasa lnggeris saya berbangsa lnggeris dari England.  Namanya Miss Kim Davis, cantik orangnya.  Lucunya... saya telah mengambil peperiksaan English MCE Sylabus X tetapi hanya sekadar lulus sahaja. Justeru, kebanyakannya saya  sendiri memotivasikan diri saya berdasarkan kepada penelitian dan pemerhatian  dan kepekaan saya terhadap pengaruh  persekitaran tempat tinggal dan keluarga .  Apatah lagi sejak kecil seusia 10 tahun saya berdikari tidak tinggal bersama ibu bapa tetapi tinggal bersama datuk yang mempunyai ramai cucu lain.  Minat membaca yang mendalam sejak kecil  banyak membentuk peribadi dan jiwa saya misalnya semasa saya di sekolah rendah, dan menengah rendah saya telah membaca karya penulis tersohor seperti Hamka, Arenawati, Acdiat K.Mihardja, Pramoedya Ananta Toer, Abdullah Hussin, A.Samad lsmail,A.Samad Ahmad, A. Samad Said dan lain-lain lagi.  Dan saya telah membaca kesemua novel yang memenangi hadiah utama dan saguhati Peraduan Menulis Novel 10 tahun merdeka anjuran DBP.  Novel-novel itu saya pinjam daripada ldris (sebenarnya milik abangnya) yang dikenali ”Apah”iaitu rakan zaman kecil saya.  Sebenarnya abang sulung  ldris, Asaha Abong (kini Dato’) menjadi idola di kampung saya kerana menjadi pelajar pertama menjejaki kaki ke menara gading, Universiti Malaya,Kuala Lumpur pada awal 1960-an.

Seronok mengikuti pengalaman persekolahan Dr.  Apakah yang memotivasikan Dr  membaca?

Membaca adalah hobi saya. Pada mulanya, saya melihat banyak buku, kitab lama dan majalah klasik di atas loteng rumah datuk saya . Saya ambil kemudian membelek-belek sehingga timbul minat untuk mengetahui isi buku yang saya temui itu.  Jadi saya membacanya satu persatu.  Sehinggalah habis buku dan majalah yang ada saya baca semuanya.  Bahan-bahan kritikan masyarakat tulisan Abdul Rahim Kajai saya baca walhal bukan label kanak-kanak seusia saya ketika itu.

Bermakna Dr lebih matang berbanding usia...  betul begitu?.

Saya tidak menafikannya.  Memang pemikiran saya lebih matang daripada usia.  Contohnya saya suka bergaul dan membincangkan topik-topik semasa dengan orang dewasa.  Sebenarnya menyeronokkan.  Kadang-kadang lucu pun ada.

Lucu?. Maksud Dr?

Lucu bila saya membicarakan tetang isu –isu semasa.  Misalnya ketika saya berusia 14-15 tahun saya sudah kritis tentang kemudahan jalan yang tidak berturap,parit yang tersumbat. Walhal bukan setaraf dengan usia saya. Dan saya terus menulis di ruangan forum pembaca akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu lalu disiarkan.  Gembiranya bukan kepalang! Kadang-kadang kena marah juga bila menyampuk perbualan orang dewasa.  Itulah yang melucukan saya. Saya dapat berbahas dengan orang yang lebih tua daripada saya.  Hahaha..tapi tidaklah sehebat Hang Nadim!

Baiklah… Tadi Dr  beritahu saya.. banyak bidang yang telah diceburi.  Apakah  jawatan mutakhir Dr ?

 Pensyarah Kanan di salah sebuah IPTA di Negara Brunei Darussalam.

Hebatnya Dr .  Oklah .. tentu banyak pengalaman yang dapat Dr perolehi semasa menjawat jawatan Pensyarah Kanan di sana ya…  Boleh Dr  ceritakan sedikit? 

Bekerja di tempat orang tidak sama dengan di negara sendiri.  Banyak birokrasi.  Saya sejujurnya tidak berhasrat ’mahu menonjolkan diri, siapa saya di sana. Kena faham-fahamlah.  Nanti mereka  menyangka   kita hendak melobi atau hendak menunjuk-nunjuk pandai.  Namun saya tetap berpegang kepada prinsip jika membabitkan hal-hal akademik.  0leh itu saya hanya bekerja rutin mengikut apa yang ditawarkan  atau diarahkan sahaja.  Di samping memberi kuliah, menyelia praktikum mengajar mahasiswa perguruan, saya juga membuat penyelidikan, menulis esei dan membuat kerja-kerja terjemahan bahasa Melayu ke bahasa lnggeris.  Tapi pengalaman lain adalah; seperti dapat melihat sejauh mana kesungguhan pelajar di sana dalam mengejar ilmu...bak kata bidalan ’lain padang,l ain belalang.’   

Apabila saya amati, Dr  lebih suka berkhidmat dan berbakti untuk orang lain. 

Maksud puan?.

Ya.. lah..berdasarkan bidang  yang Dr ceburi sebutkan tadi, menunjukkan Dr  berminat berinteraksi  dengan orang ramai.  Sebagai guru atau  pendidik ... ’kan selalu bertemu dan memberikan tarbiyah  kepada orang lain.

Betul puan.  Saya memang suka bidang yang ada interaksi dan komunikasi dua hala yang positif . Yalah.. antara pensyarah dengan pelajar contohnya. …

Emmm…….. Baiklah Dr.  Boleh Dr jelasakan perkara yang paling tidak disukai terutamanya membabitkan kerjaya Dr?

Berbicara tentang perkara yang paling saya tidak suka dalam kerjaya ini banyak berkaitan soal peribadi.  Misalnya, kedudukan  saya ketika saya berkhidmat di Malaysia  hanya staf biasa. Walaupun ada perkara-perkara yang saya rasakan patut berubah tetapi cepat-cepat saya beralah dan tidak perlulah  terlalu berat untuk memikirkannya. Kerana tidak ada apa-apa perubahan pun kalau saya mencadangkan atau mengesyorkan sesuatu idea.  Saya paling tidak suka apabila ada individu atau pihak luar yang tidak berkaitan tetapi berkepentingan mencampuri urusan  kerja. Maksudnya yang nyata, mereka  yang tidak berkemahiran. Mereka hanya pandai berkata dan mengarahkan sahaja tapi tidak ada kemahiran untuk menunjukkan bukti apa yang diperkatakan kepada saya atau stafnya.  Saya pernah juga bersuara  mengenainya tetapi tiada apa tindakan yang   diambil. 

Maksudnya Dr. rasa tidak puas hati dengan birokrasi ?.

Saya tidak kata aspek birokrasi sahaja. Tetapi banyak pihak yang memberi pelbagai alasan ’red tape’.  Sebab saya ’ni memang aktif dalam beberapa persatuan dan kesatuan guru. Banyak perkara dalam Perintah Am Kerajaan saya tahu. Jadi nampaklah di situ berberapa kelemahan kerana ada ketua yang tidak tahu banyak prosedur terutama soal peruntukan kewangan.  Sehingga pada satu tahap, saya merasakan  tidak ada guna bersuara kerana tidak ada keadilan di situ.

Nampaknya Dr. memang begitu komitmen dalam karier.

Memang itu adalah amanah yang diberikan kepada saya.  Saya kena melaksanakan yang terbaik walaupun ada ketikanya dianggap seperti suatu persaingan.

Maksud Dr tidak mendapat bantuan mana-mana pihak itu bagaimana?


Maksud saya  semasa saya melanjutkan pelajaran di IPT di peringakat ijazah lanjutan sehingga PhD, saya tidak pernah mendapatkan biasiswa dari mana-mana pihak  baik dari pusat mahupun dari negeri.  Bermakna saya bebas dan mandiri.  Saya menjual aset untuk menampung perbelanjaan pengajian ijazah lanjutan.

Saya sungguh teruja dengan kesungguhan dan keteguhan Dr untuk mencapai kejayaan tanpa mana-mana bantuan kewangan.  Jadi, apa rahsia Dr sehingga berjaya kini.

Tidak dinafikan semasa di tingkatan enam, maktab perguruan dan ijazah sarjana muda pendidikan saya dibiaya ala kadar sahaja oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Walau tidak mencukupi saya berusaha bekerja sambilan mencari sumber rezeki tambahan. Selain sebagai penulis dan wartawan sambilan, saya menjual buku secara jualan langsung ke sekolah-sekolah.  Sebab itu saya berkeyakinan bahawa kejayaan saya adalah hasil usaha sendiri dan tidak mengharapkan orang lain untuk mencapai impian dan cita-cita. Allah telah mengurniakan semangat yang tinggi kepada saya di samping sokongan dan seluruh isi keluarga  yang mendoakan kejayaan.

Berdasarkan  pengalaman  Dr,  minat membaca  agak mendalam .  Boleh Dr terangkan apakah perkara yang paling diminati selain 
membaca  dilakukan ketika lapang?

Sebenarnya saya  minat dalam seni...drama dan  teater. Dahulu semasa awal perkhidmatan saya dalam bidang perguruan saya pernah berlakon teater ,mendeklamasi puisi, berpengakap dan   masa terluang saya suka membaca. Saya sasarkan membaca buku atau novel, sebuah naskah setiap hari.  Itu adalah amalan saya sejak dahulu lagi. Selain itu saya juga minat menulis puisi.  , menyanyi , berenang , jogging dan aktiviti kembara. Bagi saya masa itu adalah emas dan sangat berharga.    Alhamdulillah telah menghasilkan 20 buah buku kreatif dan akademik. Buku terkini (2003) ialah kumpulan puisi perseorangan CINTA ARAFAH yang telah diterbitkan oleh Dwiwangsa Publication&Distributor.

Apakah Dr pernah memenangi sebarang sayembara penulisan?.

Hahaha.  Ada ’tu adalah dalam genre puisi dan cerpen dalam beberapa sayembara di peringkat maktab,universiti,negeri dan kebangsaan..  Antaranya pada sekitar  tahun 90-an saya merangkul tempat pertama, hadiah RM3ribu dan mengalahkan  beberapa sasterawan terkemuka yang lain waktu itu...dalam sayembara menulis Puisi Bosnia anjuran PENA .Saya menggunakan nama seorang wanita.  Hahaha...ramai yang tidak tahu rahsia ini.  Seperkara yang tidak dilupai saya adalah salah seorang daripada sepuluh pemenang sagu hati dan memperoleh hadiah RM3 ribu menamakan kereta nasional, Proton Saga,1985. Selain itu,  saya suka menulis cerpen dan  puisi yang seringkali disiarkan di akhbar-akhbar dan majalah tempatan dan luar negara  termasuk di Brunei , lndonesia dan Singapura.  Tetapi kini aktiviti agak minimum kerana kesibukan dengan kerja hakiki saya. Namun kini saya kembali menulis esei  ilmiah dan kreatif semula.  Saya berazam menulis buku-buku ilmiah dalam bidang pendidikan khususnya metodologi dan pedagogi.

Tampaknya Dr agak arif dari segi ilmu pendidikan dan mendalami bidang kesusasteraan dan linguistik.

Bukan apa saya meminati semua  jurusan ilmu tapi yang paling minat psikologi bahasa dan sastera iaitu yang berkisar kognitif dan pemikiran.

Dr ada menyebutkan tentang perkara yang paling diminati iaitu membaca , menulis cerpen, puisi dan lain-lain. Macam mana pula 
dengan perkara yang paling tidak disukai.

Perkara yang paling saya tidak suka semasa kanak-kanak dahulu ialah  terpaksa berjauhan  ibu bapa kerana tinggal dengan datuk. Ini kesan masa lalu saya.  Saya menyendiri, sensitif tetapi memiliki daya sensitiviti yang tinggi.  Saya terpaksa tinggal dengan datuk sebab di kawasan kuarter ibu bapa,  lokasi sekolah agak jauh dan tidak bersesuaian.  Bapa memutuskan  menghantar  saya dan dua adik saya ke rumah datuk  yang berhampiran bandar. Sangat sedih masa itu. Terasa macam anak   terbuang saja.  Tapi apabila bapa saya menerangkan sebab mengapa saya  dihantar ke kampung barulah  hati saya tenang walau kerap kesayuan. Sehingga sekarang walaupun sudah lebih 40 tahun berlalu  saya masih dapat merasainya perit perpisahan dengan keluarga.

Benar apa yang dikatakan bapa  Dr . Bapa Dr sebenarnya memandang masa depan Dr . Dan apa yang terhasil sekarang, Dr agak kuat kini melawan perasaan dalam setiap perjuangan kesan   pengorbanan perasaan Dr berpisah daripada  keluarga pada masa silam.  Dan kini bagaimanakah Dr mengisi masa senggang ?

Masa senggangg saya biasanya saya membaca dan menulis artikel atau mengarang cerpen dan puisi.  Beberapa tahun yang lalu saya pernah juga berkhidmat sebagai fasilatator dan Ketua Fasilatator PLKN iaitu Program Latihan Khidmat Negara.  Pada awal 1990-an saya pernah memberi sumbangan bakti kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi Ketua Pos Pusat Pilihan Raya Umum bagi Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.  Selain itu menjadi guru tiusyen percuma kepada murid-murid miskin kawasan setinggan di Kampung Selamat, Sungai Besi Kuala Lumpur. Kini Kampung Selamat telah tiada; bertukar menjadi Bandar Tasik Selatan. Selain itu menjadi Ketua Pengawas   Peperiksaan SRP/PMR dan SPM. Syukur, saya belajar memimpin secara praktik hasil daripada pengalaman sebenar.

Kehidupan sosial Dr?

Saya suka berpersatuan dan aktif dalam  NGO.  Ehemmmm tidak keterlaluan saya katakan bahawa saya turut berarak bersama-sama para pejuang bahasa Melayu sewaktu menentang PPSMI (Pengajran & Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris). Kebetulan saya juga terlibat ketika penubuhan  Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).  Saya merasakan ada sesuatu yang tidak betul dalam pelaksanaan PPSMI itu.  Saya ini sensitif sikit dengan isu-isu semasa yang sedang berlaku.  Kadang-kadang saya akan bersuara melalui online contohnya apabila ada isu yang dibincangkan tidak benar dari segi fakta maka saya akan menghubungi langsung dan berdialog dengan ahli panel sama ada di televisyen,radio mahupun dalam majlis-majlis  dialog   terbuka.  Saya memang minat berjuang tentang perkara-perkara yang tidak betul dan  harus diperbetulkan.Ya, saya kritis tapi analitis...  Saya tidak suka duduk diam sahaja.  Ha..ha..ha..sekarang sesiapa boleh melayari blog saya....tiub bocor blogspot.com

Bermakna masa-masa luang Dr diisi dengan perkara yang bermanfaatlah ya...  Jadi tiada istilah rehat nampaknya.

Hmmm... ’Dah minat dan menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan perkara yang saya kurang senang..yelah..mesti ada KBKK...kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif!

Berdasarkankan pernyataan Dr tadi, dapat saya ambil kesimpulan bahawa Dr seorang yang berdikari . Maksud saya semasa menuntut di universiti sehingga ke peringkat PhD walau  Dr tidak mendapatkan   mana-mana biasiswa pun atau tajaan kerajaan.  0leh itu apakah prinsip Dr sebenarnya?

Saya berpegang kepada prinsip berdikari tanpa ’ ”tongkat ’ jika tongkat itu tidak membantu kita. Sebenarnya saya belajar dan menyelidik berdasarkan kemahuan dan minat sendiri bukan mengikut acuan pihak lain. ltu adalah  prinsip saya. Hasil daripada pengamatan positif saya sendiri. . Itulah prinsip mandiri  saya.  Saya berpegang kepada prinsip seperti mana semasa mesyuarat permuafakatan pengurusan KPM  bagi  penentuan PPSMI dahulu saya dan KKGBMS berterus terang menyatakan tidak setuju  berhubung pelaksanaan PPSMI.  Saya mengemukakan hujah-hujah akademik   di meja mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu. 

Dalam erti kata lain, bermakna kita tidak boleh mengharapkan mana-mana pihak untuk menempa kejayaan? Maksudnya berusaha sendiri. Tetapi   pernahkah Dr bergantung dengan mana-mana individu atau pihak; hatta dengan keluarga?

Kami daripada keluarga yang sederhana.  Boleh dikatakan kais pagi makan pagi.  Saya tidak bergantung dengan keluarga kerana kerana datuk saya juga terpaksa memelihara 9 cucunya yang yatim piatu.   Saya lebih memandang kepada adik beradik saya.  Biarlah ibu bapa saya memberikan tumpuan kepada mereka.  Saya tidak bergantung dengan mana-mana pihak pun.  Ada juga   frust sebab beberapa kali mohon biasiswa peringkat sarjana dan doktor falsafah diketepikan.  Mungkin ketika itu kegawatan eknomi negara.  Atau mungkin ada faktor-faktor lain.  Namun kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ialah kejayaan saya memperoleh ijazah sarjana (M.A) secara separuh masa cuma dua semester atau satu tahun  sahaja di UKM.  Kemudian saya ditawarkan terus melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di universiti yang sama. Bagi saya itu adalah hikmah yang tidak terhingga kerana saya tidak terikat dengan mana-mana agensi atau menggunakan wang rakyat. Saya  bebas.

’Bebas’.  Seronok bunyinya ya Dr.

Memang seronok saya tidak terikat, tidak terasa termakan budi, tidak rasa bersalah kepada masyarakat dan tiada masalah dengan mana-mana  pihak.  Hahaha..jika saya mahu melibatkan diri dalam politik aktif  lebih baik saya bertanding sebagai calon bebas.

Berdasarkan   keceriaan Dr ,memang saya dapat lihat Dr menikmati erti kebebasan ini.

Dapat dizahirkan dengan keceriaan saya sekarang.  Bukan apa puan, saya telah mengalami pelbagai kisah  pahit duka menempuh kejayaan yang saya perolehi sekarang.  Kena banyak bersabar.  Sebab ramai yang mencemburui kejayaan saya.  Saya tidak suka pula untuk bersaing.  Apabila  ada persaingan saya lebih suka  mengalah dan angkat kaki dulu sebelum apa-apa berlaku.  Tetapi bukan bererti saya mengalah begitu sahaja tetapi saya akan terus bersemangat menempa kejayaan seterusnya.  Maksudnya saya berfikiran positif.

Adakah Dr seorang yang suka melihat kebahagiaan orang lain daripada kebahagiaan sendiri?

Ya. Emmm betul...apa pun bergantung kepada sikon.(situasi dan kondisi)

Bagaimana dengan kehidupan rutin Dr?

Dahulu  ada perancangan jangka pendek mahupun jangka panjang.  Saya ada syarikat konsultans sendiri yang pernah mengendalikan beberapa seminar tetapi tidak aktif.  lnsya-Allah, saya akan menggerakkan sepenuh masa pada masa yang sesuai kelak. Maklumlah kita sebagai hamba Allah hanya mampu merancang dan berusaha.  Kenalah banyak menempuhi cabaran dengan penuh kesabaran yang banyak.

Betul Dr...  kita kena banyak bersabar dalam setiap perjalanan kehidupan in.  Harapan UN kepada  Dr yang secekal ini  yang betah dengan pelbagai kesulitan dan cabaran agar mendorong motivasi kepada guru-guru muda hari ini.

Bagi saya senang atau sukar kita mesti  sentiasa yakin diri berpaksikan keyakinan kepada Allah dan banyak bersabar.  Biar orang menganiaya kita, jangan kita menganiaya orang lain.  Ada ubi ada batas... Bagi guru-guru muda banyaklah bersabar. Jangan mudah naik angin.  Berkhidmatlah dengan ikhlas tanpa sebarang prejudis dengan penuh kasih sayang.  Jagalah cara kita   berkomunikasi dengan pelajar.  Guru  

adalah cermin para pelajar selepas ibu bapa mereka..

Benar...  Tentu  ada kekuatan dalam diri Dr  .
Kekuatan dalam diri saya ialah yakin, berdikari dan ada motivasi pembangunan diri sendiri.  Saya suka melihat ke hadapan dan menoleh ke belakang untuk membuat penambahbaikan. Mesti ada 
wawasan!

Dr sudah lama berkecimpung dalam profesion pendidikan . Kalau tidak silap lebih  30 tahun.  Apakah sumbangan yang telah Dr berikankan?

Pengalaman dalam bidang pendidikan selama 30 tahun. Penglibatan dalam NGO dan organisasi persatuan selama 20 tahun. Penglibatan dalam penulisan sama ada penulisan deskritf dan kreatif.  Pengalaman menghadiri dan terlibat dalam seminar di dalam dan luar negara termasuk mengembara  ceruk rantau dalam negeri dan luar negara. Pengalaman yang digarap ini biasanya secara gabung jalin dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dalam kuliah saya kongsikan untuk para pelajar saya.Tujuannya meningkatkan motivasi mereka.  Selain itu saya garapkan ke dalam karya-karya kreatif. 

Walau banyak kejayaan yang Dr perolehi, tentu ada bentuk-bcabaran dan halangan yang terpaksa Dr hadapi.  Adakah begitu Dr?.

Biasalah puan, kita bekerja dengan manusia dan persekitaran.  Ada interaksi dan komunikasi.  Tentu ada halangan-halangannya. Tentu ada yang tidak senang dengan apa yang kita miliki.  Ramai yang cemburu dengan kejayaan kita dan orang lain.  ltu lumrah kehidupan.  Bagi saya  halangan  perlu saya ditatangi dengan merangka pelan A,pelan B dan seterusnya. Sikap cemburu, dengki dan khianat orang lain  anggaplah suatu persaingan sihat.K ita jangan putus-asa. Dalam diam kita boleh bertindak. Umpama menarik tepung dalam rambut. Rambut tidak putus, tepung tidak tumpah.  Apa salahnya kita berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pengalaman baru dan menyebarluaskan kepada ilmu pada orang lain.  Berhubung dengan halangan-halang birokrasi, tidak perlulah saya bercerita panjang. Ada yang bersifat personal.  Namun peraturan yang sedia ada tidak silap tetapi manusia yang melaksanakannya tidak cekap, tidak amanah.   Yang paling mengecewakan saya ialah apabila bertemu ketua majikan yang opurtunis, hipokrit dan tidak ada pendirian; bagai lalang ditiup angin. 

Wah, macam tidak puas hati luahan Dr?

Tidak puas hati adalah fitrah. Saya manusia hamba-Nya yang serba lemah dan kekurangan. Sebenarnya saya jenis kakitangan yang  bertindak atau menegur mengikut peraturan sedia ada. Perintah Am Kerajaan.  Saya akan merujuk Perintah Am bagi penambahbaikan dalam sesebuah organisasi. Bukan menyembunyikan habuk di bawah karpet. Selain itu perkara yang berkaitan penilaian prestasi yang ada elemen ketidakadilan kerana tidak mematuhi prosedur penilaian. Misalnya semasa zaman penilaian SSB  masih banyak   kedapatan Ketua Pejabat yang tidak memanggil staf mereka bagi melaksanakan prosedur penilaian secara telus. Mereka menilai pada padangan luaran dan emosi tetapi bukan kepada sumbangan dan penghasilan kerja kita seperti yang digariskan dalam  panduan skema.  Ini membuatkan saya tidak berpuas hati dan berasa kecewa serta hilang kepercayaan!

Baiklah Dr.  Saya rasa bual bicara  kita sudah  ke penghujungnya.  Saya ingin membuat kesimpulan dengan apa yang diperkatakan.  Beginilah Dr.. Pada padangan saya, Dr adalah seorang cekal menerokai  bidang akademik .  Banyak buku Dr telah diterbitkan pada suatu masa dahulu.. begitu juga dengan cerpen dan    puisi.  Penglibatan Dr dalam NGO banyak membawa implikasi positif sehingga hari ini.  Kekuatan Dr adalah prinsip hidup tidak bergantung dengan sesiapa tetapi tidak malu bertanya kepada mereka yang tahu dan berilmu.  Sejarah hidup Dr banyak membantu Dr untuk mengecapi kejayaan di samping pengorbanan ahli keluarga yang sanggup berkongsi suka duka sepanjang kerjaya Dr.  Itu adalah kekuatan dalaman Dr.  Bagi saya Dr orang yang tabah dan kuat menghadapai cabaran dan dugaan  kerana Dr berpaksikan keyakinanan kepada Allah.  Bagaimana Dr? Adalah Dr setuju dengan kesimpulan saya.

Tidak ada salahnya puan membuat kesimpulan ini.  Tapi saya ingin melengkapkan lagi rumusan puan ni .  Bagi saya setiap pekerjaan mesti ada perancangan, setelah dirancang lakukan pelaksanaan dengan teratur dan buatlah pemantauan dari semasa ke semasa bagi menentukan perancangan dan pelaksanaan dapat  dilaksanakan dengan bersistemetik.  lnsya-Allah jika dikurniakan kesihatan diri yang sihat walafiat saya akan membuat penyelidikan untuk ijazah Ph.D dalam bidang lain pula.

Syabas dan didoakan Dr terus berketrampilan   dan berdaya saing dalam kerjaya dan beroleh kejayaan dengan cita-cita Dr yang tidak pernah luntur,tidak kunjung padam itu.Baiklah Dr.  Saya sangat-sangat bertuah dapat mewawancara  dalam sesi bual bicara motivasi   ini.    Terima kasih.

Saya pun bertuah kerana dapat berkongsi apa yang saya miliki dan pernah miliki sebelum ini dalam kerjaya saya.  Bolehlah yang baik diambil sebagai panduan dan yang tidak elok dijadikan sempadan. Yang baik datangnya daripada Allah S.W.T, yang kurang daripada saya sendiri.Sama-sama.



TOLONG! AKU SANGAT CEMBURU……

Jam 2 pagi telefon bimbit suami atau isteri sesekali bergetar menandakan adanya pesanan masuk.  Bagaimanakah perasaan anda pada ketika itu?.  Pasti anda berasa kurang senang dengan bunyi tersebut dengan selamba anda berkata biarkanlah mungkin dari syarikat telekomunikasi atau orang tersalah nombor atau tertanya-tanya dari siapa dan mengapa ia berbunyi pada jam begini atau  cemburukah kita?. 

Menurut Kamus Dewan edisi ke-4,2010, cemburu bermaksud iri hati, kurang percaya atau syak wasangka dan berhati-hati atau berjaga-jaga. Adakah ciri-ciri ini ada dalam diri kita?  Tidak dinafikan cemburu itu juga perlu. Contoh cemburu bersaing dalam pelajaran atau kerjaya.  Cemburu melihat kejayaan orang lain menambahkan keghairahan kita untuk bersaing dengan cara yang sihat.  Ini dinamakan cemburu yang dibolehkan dalam Islam.  Berbeza dengan cemburu seorang isteri ketika terlihat suaminya berjalan beriringan wanita yang dikenali atau tidak dikenalinya sehingga sanggup menyerang wanita tersebut.  Di dada-dada akhbar sering  memaparkan kisah  suami atau isteri cemburu yang berakhir dengan pembunuhan.  Isteri yang cemburu terhadap suaminya yang ada teman wanita wanita lain sanggup mencederakan suaminya dan pelbagai tindakan yang merugikan.  Seorang bekas suami sanggup mengakhiri nyawa bekas isterinya gara-gara cemburu buta.  Baru-baru ini , berita tentang teman lelaki yang akhirnya ke tali gantung didapati bersalah membunuh kekasihnya kerana cemburu.  Pelajar lelaki menikam temannya berpunca daripada cemburu.

Jika diamati betapa hebatnya kuasa cemburu yang menafikan akal menapis setiap perlakuan atau tindakan yang berkhir dengan pembunuhan atau penganiayaan kejam.  Di manakah letaknya akal?. Adakah dengan selamba kita menjawab INI SUDAH DITAKDIRKAN. Adakah mahu menyalahkan Tuhan? Sia-sialah Allah S.W.T melebihkan manusia dengan akalnya jika kita tidak dapat menggunakan sepenuhnya khidmat akal.   


Iblis ialah mahkhluk Allah S.W.T pertama yang mempunyai hasad dengki atau cemburu.  Cemburu kerana penghormatan yang diberikan kepada Nabi  Adam A.S menyebabkan iblis enggan dan ingkar kepada arahan Allah agar sujud kepada manusia pertama itu.  Iblis merasakan dirinya hebat  berbanding Adam A.S. Lantaran cemburu dan keengganan yang dimilikinya itu menyebabkan iblis keluar dari syurga ke neraka serta kekal di dalamnya selama-lamanya.

Manakala kisah cemburu pertama berlaku di kalangan manusia berlaku dalam kisah anak Nabi Adam A.S iaitu Habil dan Qabil.  Qabil tidak berpuas hati  terhadap Habil kerana dinikahkan kepada Iqlima (saudara kembar Qabil). Iqlima jauh lebih rupawan berbanding Labuda (saudara kembar Habil).  Qabil telah dinikahkan kepada Labuda.  Akibat perasaan cemburu terhadap Habil, terjadilah pertumpahan darah yang  pertama di atas muka bumi.  Habil telah dibunuh oleh Qabil kerana persaaan cemburu dan sakit hati yang melampau.  Begitulah dahsyatnya kesan perasaan cemburu yang tidak bertempat tanpa mempertimbangkan sesuatu perkara dengan menggunakan akal yang bersih.

Daripada dua kisah yang dinyatakan di atas, ternyata cemburu buta dan hasad dengki hadir seiring.  Maka berulangkali kita boleh renungkan tujuh langkah untuk mengelakkan berlakunya cemburu buta.

1.         Sentiasa ingat, cemburu tidak bertempat sering membawa keburukan berbanding 
            kebaikan.
2.                  Sentiasa menambahkan nilai diri melalui ilmu.  Ilmu adalah penyuluh hidup dan cemburu hanya memusnahkan hidup.
3.                  Mengingati segala perintah Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.  ini kerana Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi umat Islam khasnya dan manusia sejagat amnya.
4.                   Menjaga kualiti solat.  Allah telah menegaskan solat itu  adalah pencegah perbuatan keji dan mungkar.
5.                  Meningkatkan nilai kejujuran dan komunikasi dalam hubungan agar terhindar daripada sikap curiga mencurigai.
6.                  Menjaga kesucian hati kerana daripada kekotoran seperti mengelakkan memakan makanan haram agar tidak timbul penyakit dalam hati.
7.                  Memantapkan keimanan, pengetahuan agama dan pelaksanaannya.  Tanpa iman,manusia mudah terlupa hakikat arahan agama.

UMMI NESSA: Manusia ialah makhluk Allah S.W.T yang sempurna kejadiannya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Jika difikirkan bertapa  hebatnya Allah S.W.T menyimpan banyak rahsia dalam diri manusia untuk difikirkan . Allah S.W.T menciptakan manusia dengan kelebihan  akal.  Maka dengan akallah manusia itu dapat dibezakan  di antara makhluk Allah S.W.T yang lain.  Oleh itu hendahlah manusia memikirkan sesuatu perbuatan itu dari sisi baik dan buruknya menurut hukum  syarak dan hukum alam.  JANGAN TERBURU-BURU  MENGIKUT HAWA NAFSU CEMBURU KERANA KAMU PASTI AKAN LESU.  YANG NYATA, CEMBURU TANDANYA HATI TIDAK SUCI DAN KELAK MEROSAKKAN DIRI SENDIRI JUA.   

23 Ogos 2010

HAK-HAK IBU BAPA: DI MANAKAH KASIH SAYANG KITA?

Wahai anak-anakku…, Ketahuilah bahawa betapa pun kesusahan menimpa dirimu disebabkan ayah dan ibumu maka hak kedua-duanya atas dirimu lebih daripada yang telah engkau korbankan. Oleh itu di dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman (surah al-Isra’: ayat 23 dan 24) “ Maka janganlah kamu katakana kepada kedua-duanya perkataan ‘ah; dan janganlah mengherdik kedua-duanya.  Dan katakanlah kepada kedua-duanya ucapan yang mulia, merendah dirilah di hadapan kedua-duanya dengan menunjukkan kasih sayang dan katakanlah, “oh Tuhanku, kasihanilah kedua orang tuaku, sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu kecil”.

Wahai anak-anakku, perhatikanlah bagaimana kasih dan sayang ibu bapa kepada anak-anaknya yang kecil.  Lihatlah betapa mereka mengambil berat tentang kesihatannya, makanannya, minumannya, tidurnya pada waktu malam dan siang serta sakitnya.   Tahukah kamu betapa banyak sudah ibu bapamu korbankan demi mendidikmu dari kecil hinggalah kamu dewasa?

Wahai anak-anakku, sesunguhnya kamu pada ketika ini dalam pemeliharaan Allah.  Pada kesempatan ini diberi taufik oleh Allah untuk dapat menunjukkan kita  pula.  Adalah kerana ayah mu bermurah hati telah memberikan perbelanjaan yang cukup untukmu sekuat kemampuannya.  Ayahmu tidak pernah berkira kepadamu, selagi ada hal yang di dalam kemampuannya.  Kalau bukan kerana ibu bapamu, nescaya kamu tidak mungkin dapat melangkah berjaya  menuntut ilmu yang mulia.


Wahai anak-anakku, semua orang ingin memperolehi pangkat yang tinggi, dihormati serta dikasihi oleh Allah dan manusia.  Masing-masing sibuk bersaing siapa lebih tinggi daripada yang lain.  Tetapi seseorang yang bernama ayah ingin supaya anaknya lebih tinggi, lebih berjaya serta lebih mulia daripada dirinya sendiri.  Oleh kerana itulah, maka kamu wajib berbuat baik dan  berlaku hormat kepada ibu bapamu.  Sebab, dialah orang yang mendahulukan kepentingan dirimu daripada dirinya.

Dari itu, wahai anak-anakku , berhati-hatilah agar kamu tidak sampai memarahi ayah atau ibumu.  Sesungguhnya kemarahan Allah bersama dengan kemarahan kedua ibu bapa.  Sedangkan orang yang mendapat kemarahan Allah akan rugi dunia dan akhirat.

Wahai anak-anakku, patuhlah kepada ayah dan ibumu, janganlah kamu menyalahi keduanya dalam apa jua perkara, melainkan apabila keduanya menyuruh kamu melakukan maksiat kepada Allah.  Kerana, dalam hal seperti ini telah dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

“Tidak boleh patuh kepada makhluk yang menyuruh maksiat terhadap Tuhan (Allah)”(HADIS RIWAYAT AHMAD DAN HAQIM)).

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 14-15 bermaksud:
“ Dan kami wajibkan semua manusia berbuat baik  kepada kedua ibu bapanya: ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukan), dan tempoh menceraikan daripada menyusunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibubapamu ; dan (ingatlah) kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan)”


“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan –Ku sesuatu yang engkau, dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya, maka jangalah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka dunia dengan cara yang baik.  Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh).  Kemudian kepad Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.”(surah Luqman)


Wahai anak-anakku, sesungguhnya orang yang paling mencintaimu ialah ayahmu, yang telah berusaha mendidikmu dari kecil lagi.  Lalu dia pula menyuruh kamu masuk ke sekolah sehingga kamu menjadi salah seorang yang mulia (ilmu agama).

Oleh itu, berusahalah untuk menerima nasihatnya kerana ayahmulah yang lebih tahu tetang apa yang sesuai dengan dirimu.  Ayahmulah yang lebih faham apa yang memberi manfaat kepadamu dan yang memberi mudarat ke atasmu; sedangkan Allah yang memberi hidayah serta petunjuk demi kebaikanmu. (adaptasi dari buku Akhlak dan Jiwa Remaja oleh S. Muhammad Syakir) 



Ummi Nessa: Ingatalah anak-anakku, sesungguhnya ayah dan ibumu tempat kamu bermanja dan mencurahkan kasih setia.  Beradab sopanlah terhadap mereka. 

22 Ogos 2010

PERSEPSI PELAJAR TERHADAP PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling amat diperlukan oleh setiap pelajar kerana mereka tidak terlepas dari menghadapi pelbagai permasalahan samada berkaitan dengan masalah peribadi mahupun masalah akademik.  Namun demikian, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat juga perlu memandang serius mengenalpasti keberkesanan perkhidmatan tersebut supaya ianya dapat dilaksanakan  dengan lebih berkesan dalam menangani masalah pelajar khusunya bermasalah disiplin.

Pelbagai usaha mengenalpasti berhubung persepsi atau pandangan pelajar terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling khususnya mengadakan penyelidikan atau kajian.  Menurut Mazlan Osman(1986) dalam kajiannya mendapati sebahagian besar pelajar tidak menggunakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dengan sepenuhnya.  Didapati 98.1 peratus daripada pelajar-pelajar tidak pernah mendengar tentang perkhidmatn bimbingan dan kaunseling, 95.2 peratus tidak mengenali guru bimbingan dan kaunseling, 99.3 peratus tidak tahu kedudukan bilik kaunseling dan akbatnya tikda pernah ke bilik bimbingan kaunseling.  Rakan-rakan lebih popular untuk dijadikan tempat mencurahkan masalah berbanding mendapatkan perkhidamatan bimbingan dan kaunseling.

Kajian mengenai sikap pelajar terhadap peranan kaunselor dan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dalam negara ini telah banyang dilakukan.  Di antara kajian yang telah dilakukan ialah kajian  Ng Lay Hoon (1979), Ang Huan Bing (1985), dan Zulkifley Hamid (1986).  Kajian Ang Huan Bing (1985) ke atas 144 pelajar tingkatan 4,5,6 Atas dan 10 guru terhadap fungsi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling mendapati 65% klien menganggap peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling amat penting, mana kala 25% tidak pasti dan 10% tidak bersetuju dengan kewujudan perkhimatan ini. 

Sementara itu kajian Nordin Mohd. Nor (1986) ke atas tanggapan 140 pelajar terhadap  peranan utama kaunseling dalam menghadapi disiplin sekolah  ke atas tujuh buah sekolah di bandar Seremban mendapati majoriti klien (95.72%) bersikap positif terhadap peranan perkhidmatan kaunseling dalam mendisiplinkan diri mereka.

Kajian Norhayati (1997) juga mendapati pelajar yang telah mengikuti sesi kaunseling atau bimbingan telah memperlihatkan perubahan yang positif ke atas tingkah laku mereka.  Perubahan yang ketara ialah mereka yang pendiam menjadi peramah dan dapat bertindak balas dengan cepat jika ditegur  oleh guru di dalam bilik darjah.  Bahkan mereka lebih seronok dan ingin terlibat lagi dengan sesi kaunseling individu, kelompok, bengkel-bengkel yang dijalankan, sedia menawarkan diri sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). 

Ini menunjukkan bahawa pemahaman dan kepercayaan terhadap unit meningkat  dan pelajar bersedia bila-bila masa mengikuti program yang diadakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling.  Mereka dapat meningkatkan kemahiran sosial dengan bersedia untuk bersefahaman, berbincang, berinteraksi dengan rakan-rakan atau individu lain. 


Manakala kajian Mohd. Noh Murli (2001) pula menunjukkan bahawa  sikap positif  sebahagian besar pelajar terhadap unit ini disebabkan kepercayaan pelajar (komponen kognitif) bahawa perkhidmatan ini  baik dan mendatangkan faedah kepada mereka.  Kepercayaan mereka tentang kebaikan perkhidmatan ini akan menyebabkan mereka mempunyai perasaan (afektif) yang suka pada perkhidmatan ini dan mempunyai kecenderungan untuk bertingkah laku positif (komponen tingkah laku) terhadap program-program yang berkaitan dengan kaunseling.

Dapatan kajian Rosenburg dan Halloran (dalam Mohd. Noh Murli, 2001) yang mengkaji tentang sikap pelajar terhadap peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menunjukkan nilai skor sikap setiap pelajar adalah lebih tinggi dari nilai penengah iaitu 100.  Hanya 11 pelajar iaitu 12.5% sahaja yang mempunyai skor sikap yang kurang dari 100.  Ini bermakna 87.5% pelajar menunjukkan sikap positif terhadap pekhidmatan ini.  Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa kebanyakan pelajar mempunyai sikap yang positif terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.  Hasil kajian ini selaras dengan kajian yang dijalankan oleh Form (1953), Arbuckle (1970), Johnson (1977), Mohd. Seni Hussin (1981), Ismail Mat Nasir (1983), Ang Huat Bin (1985), Mohamed Soder Radmad (1985), Zulkifley Hamid (1986) dan Sallehuddin (1991).

Menurut Sidek  (  2002 ),  terhadap  perkhidmatan kaunseling mendapati bahawa   96.6 % responden pernah mendengar tentang perkhidmatan kaunseling dan 92.7 % responden pula tahu peranan pekhidmatan tersebut.  Namun begitu menurut beliau, hanya 32.4% sahaja benar-benar pernah menggunakan perkhidmatan kaunseling tersebut. 

Hasil kajian Norhana Othman (2004) mendapati bahawa keperluan pelajar adalah tinggi terhadap keempat-empat aspek iaitu penerangan atau maklumat berkaitan pemilihan mata pelajaran, kemahiran belajar penyebaran maklumat pendidikan dan kerjaya, dan kemahiran mengahadapi masalah.  Kesemua keperluan yang dinyatakan itu tidak dapt dirumuskan sebagai bidang perkembangan kerjaya, bidang perkemabangan akademmik dan bidang perkembangan diri dan sosial.

            Kajian tentang sikap pelajar perkhidmatan bimbingan dan kaunseling (Zulkifli 2000) dan kajian ekspektasi pelajar terhadap kaunseling (Lai Kuen Choo, 1996) .  Dalam kajian oleh Lai Kuen Choo (1996) , didapati bahawa pelajar keseluruhannya, mempunyai jangkaan positif terhadap bimbingan dan kaunseling .  93 % menyatakan pengalaman mengikuti kaunseling memuaskan, walaupun pada umumnya tidak memahami apa sebenarnya kaunseling.  Kajian Zulkifli Husain (2000) pula mendapati bahawa secara keseluruhannya pelaja mempunyai sikap positif terhadap unit bimbingan dan kaunseling di sekolah mereka.  Mereka juga faham dan memberikan komitmen yang amat baik terhadap aktiviti yang dijalankan oleh unit ini.

Kajian tentang penilaian 170 pelajar tingkatan empat aliran sains, teknik dan sastera terhadap aktiviti bimbingan dan kaunseling sekolah menengah telah dijalankan oleh Fatimah (1999).  Kajian bertujuan mengkaji persepsi pelajar terhadap pelaksanaan aktiviti bimbingan dan kaunseling di sekolah menengah.  Aktiviti-aktiviti yang dikaji ialah pemilihan mata pelajaran, kemahiran belajarm penyebaran maklumat dan kemahiran menyelesaikan masalah.  Penilaian terhadap persepsi pelajar ini dilihat dari sudut sudut keperluan aktiviti, kekerapan aktiviti dijalankan, sejauhmana aktiviti membantu memenuhi keperlan pelajar, tahap kepuasan terhadap aktiviti dan cukup atau tidaknya aktiviti.

            Keberkesanan perkhidmatan ini bukan hanya terletak di bahu guru kaunseling atau kaunselor sahaja, tetapi dari pihak sekolah dan ibu bapa juga perlu untuk memberikan sokongan padu terhadap perkhimatan ini .

Ummi Nessa: Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling jika diamati sebenarnya dapat membantu pelajar dalam menghadapi cabaran atau permasalahan yang dihadapi mereka.  Namun demikian, perlu diingat, salah guna masa mengadakan sesi kaunseling dapat memberi kesan terhadap pembelajaran.  Contohnya, terdapat juga guru yang sengaja mengadakan sesi kaunseling pada masa pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung akhirnya pelajar terpaksa keluar berjumpa dengan guru kaunseling dan meninggalkan kelas. Kesannya pelajar akan ketinggalan pembelajaran tersebut. Nah! Di sini letaknya kesilapan yang perlu difikirkan kita bersama.   Ummi Nessa harap mana-mana pihak tertentu perlulah memantau sejauh mana keberkesanan perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

20 Ogos 2010

TUNGGU TEDUH DULU… Oleh Faisal Tehrani


Ummi Nessa baru sahaja habis membaca novel TUNGGU TEDUH DULU karya Faisal Tehrani.  Menurut Ummi, novel ini sememangnya layak menerima Anugerah Seni Negara
Kisah kegigihan seorang wanita bernama Salsabila yang  melaksanakan  amanat ayahnya untuk mengusahakan sebidang tanah di kaki bukit menjadikan Salsabilah lebih kuat dan gigih.  Kesungguhan Salsabila dibantu oleh temannya Teh Sofia di samping Kamil, Syaifullah dan S… (akhirnya menjadi suaminya ) menjadikan Salsabila tidak bersendirian mengusahakan tanaman betiknya. Pelbagai liku-liku  kehidupan dilalui Salsabilah menguatkan lagi keimanannya terhadap Maha Pencipta. Dalam novel ini juga mengetengahkan  watak Salsabila yang terpaksa mengharungi kehidupan yang mencabar tanpa lupa memohon kepada Allah sebagia tempat mengadu yang paling hakiki.  Salsabila sentiasa kembali kepada Allah dalam apa jua kedaan dapat menyedarkan pembaca betapa Allah adalah tempat yang seharusnya diadukan segala kemelut suka duka seorang insan.  Apa yang menariknya kegigihan muslimah ini menunjukkan kekuatan iman seorang wanita yang tidak lekang daripada cubaan dan dugaan sehingga akhirnya ia berjaya menjadi usahawan di samping sokongan teman-teman seiman dengannya. 

UMMI NESSA:  Segala usaha yang gigih tidak lepas daripada  cubaan dan dugaan untuk dinilai sejauhmana keimanan mereka.

04 Ogos 2010

BENARKAN MURID SEKOLAH BERKAHWIN : PADAH ATAU IBADAH?.

PERKAHWINAN adalah sunnah Rasulullah S.A.W. melalui perkahwinan, lahirlah zuriat hasil perhubungan yang suci. Dan zuriat menjadi pewaris kepada generasi seterusnya. Dan ia tidak diwajibkan mengadakan satu majlis secara besar-besaran hingga membebankan pasangan. Seelok-eloknya majlis itu hanyalah untuk mengkhabarkan sekeliling untuk mengelakkan terjadinya fitnah. Hukum perkawinan :

1.Perkahwinan yang wajib.
0rang yang mampu untuk berkahwin dalam erti kata mampu dari segi zahir dan batin, sedang ia khuatir terhadap dirinya akan melakukan perbuatan zina.

2. Perkahwinan yang sunat
0rang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang.

3. Perkahwinan yang haram
0rang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan tidak ada rasa tanggungjawab lagi tetapi kalau ia berkahwin diduga akan menimbulkan kemudaratan terhadap pihak yang lain seperti orang gila, orang yang suka membunuh atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain dan sebagainya.

4. Perkahwinan yang makruh
0rang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan melakukan perkahwinan) tetapi ia dikhuatiri tidak dapat mencapai tujuan perkahwinan. Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.

Demikian huraian hukum-hukum perkahwinan yang boleh dijadikan panduan dan juga pengajaran yang baik kepada sesiapa yang hendak berkahwin. Apa yang penting ialah memikirkan kehidupan selepas perkahwinan kerana cabarannya lebih hebat selepas itu. Jadi seeloknya lakukan majlis mengikut kemampuan diri.
Kini kerap terjadi selepas berkahwin hutang perkahwinan bertimbun-timbun; hinggakan membabitkan ahli keluarga yang turut menanggung beban. Jika tidak bijak menguruskannya boleh menjadi masalah yang membawa kepada kecelaruan rumah tangga. Satu perkara yang harus diingat mengecapi kebahagiaan alam rumah tangga itu adalah saat indah bagi pasangan yang berkahwin. Jika tumpuan perhatian kepada corak hidup selepas mendirikan rumah tangga adalah lebih baik daripada memikirkan sehebat mana majlis hendak dilakukan.

Tidak salah seandainya mempunyai kemampuan. Tetapi sekiranya melampau-lampau, takut dikatakan riak dan bongkak. Perancangan dan keinginan , harus seiringkan dengan matlamat diadakan sesebuah majlis itu. Seandainya dilakukan kerana ia satu ibadah, maka tidak perlu sesuatu yang hendak dipandang secara ‘gah’. Apa yang penting keberkatan dan kemakmuran rumah tangga itu sendiri.

UMMI NESSA:TIDAK SEHARUSNYA MENGADAKAN MAJLIS GILANG-GEMILANG HINGGA MENYESAKKAN FIKIRAN UNTUK MENCARI SUMBER KEWANGAN DAN APABILA SI LELAKI SUDAH ADA KERJAYA TETAP TAHU BERTANGGUNGJAWAB MAKA LAYAKLAH BERKAHWIN.

03 Ogos 2010

GULA NAIK, APA TINDAKAN KITA?

Gula merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan seharian. Kekerapan kenaikan harga gula ini kalau tidak dibendung akan mendatangkan masalah besar kepada masyarakat dan negara. Bayangkanlah oleh kerana untuk menaikkan harga gula pemborong sanggup menyorok gula untuk menaikkan harga gula. Akibatnya ada peniaga kuih tidak dapat berniaga kerana tidak mendapat bekalan gula.

Kenaikan harga gula yang berterusan ini pula menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan lain di pasaran seperti minyak, beras dan sebagainya. Bayangkanlah sekiranya harga barangan terus naik; sedangkan pendapatan atau gaji rakyat hanya setahun sekali sahaja naik. Apakah akibatnya kepada rakyat dan masyarakat?
Ada orang yang pandang sebelah mata berhubung kenaikan harga gula. Tetapi kesannya amat besar kepada kenaikan semua barangan termasuk barang keperluan, tambang kenderaan awam,sara hidup dan lain-lain lagi. Akibatnya, kalau tidak dibendung akan menyebabkan inflasi. Apakah akibatanya kepada rakyat dan masyarakat? Menderita!

Ummi Nessa: Apa kata kita berkempen kurangkan atau tidak makan atau minum di luar rumah? Jom…kita jimat dan simpan wang!!!!Mudah-mudahan bertambah rezeki untuk kita bersama-sama ke Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.

02 Ogos 2010

PELUKLAH ANAK ANDA DENGAN KASIH SAYANG:

Berikan anak anda pelukan setiap hari. Ada kajian yang menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk. Apabila kita peluk anak setiap hari terutamanya seorang ibu atau bapa, anak tahu yang kita menyayangi dia. Anak akan tahu kita sentiasa menjadi penyokong paling kuat. Anak akan sedar bahawa kita sentiasa ada jika dia kurang berjaya. Emosinya akan terbela dan terpelihara.




-UMMI NESSA: Alhamdulillah Ummi Nessa dianugerahkan sembilan anak.

01 Ogos 2010

BARAH DENDAM YANG TERPENDAM…

Berdendam itu tidak elok. Kita yakin kebanyakan orang mengetahui perkara ini. Cuma sayangnya tidak semua yang mahu menerapkannya ke dalam jiwa. Sebab itu wujud segelintir anak yang enggan pulang ke kampung berjumpa emak dan ayah. Ada isteri yang memusuhi suami , ada adik yang tidak bertegur -sapa dengan abangnya dan ada jiran yang tidak tahu menjaga hati jirannya. Bahkan ada pula ibu bapa yang berkeras tidak mahu mengaku anak. Semuanya gara-gara dendam kesumat di dada.



Memang tidak susah untuk menyimpan dendam. Namun, semakin lama disuburkan ke dalam jiwa, bertambah lara pula jadinya. Kadang-kadang ia bukan sahaja memakan diri sendiri, tetapi member kesan pula kepada individu lain yang ada di sekitar mereka.. Lebih buruk lagi secara beransur-ansur akan menyebabkan si pendendam semakin hilang rasa tenang dan bahagia.



Apabila kita berfikiran positif, kita sebenarnya sedang membawa diri kita ke lorong bahagia. Tetapi, kalau minda kita sentiasa disogok dengan perkara-perkara negatif, sudah tentu kita tidak nampakperkara-perkara yang baik di hadapan kita.



Benar, manusia tidak dapat lari daripada rasa marah. Tambahan pula sebagai manusia biasa, tiada seorang pun yang terlepas membuat kesalahan. Namun , sampai bila hendak dilayan amarah menggila itu? Apatah lagi jika berlaku dalam keluarga sendiri. Bukankah lebih baik jika masing-masing saling berdamai dan bermaafan? Ya,bermaafan dan jernihkan minda dengan positif adalah jalan terbaik dan terpuji.Justeru hal ini bukan sahaja menenangkan jiwa, tetapi turut membahagiakan keluarga sekali gus mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

 
-UMMI NESSA: Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W saling memaafkan apatah lagi kita sebagai hamba Allah yang kerdil ini.



CEMBURU TANDANYA HATI TIDAK SUCI…????

Cemburu? Ada yang mendatangkan kebaikan dan ada cemburu yang mendatangkan keburukan. Jadi kita seharusnya pandai mengawal perasaan cemburu kita. Sekiranya kita cemburu dengan kejayaan orang lain dan kita berusaha untuk sampai kejayaan seperti orang yang kita cemburukan itu dengan menggunakan cara yang betul, cemburu itu bagus kerana ia membawa kira ke arah kebaikan buat diri kita. Menjadikan kita lebih kuat berusaha untuk mencapai kejayaan. Tetapi, sekiranya kita cemburu pada seseorang dengan kelebihan yang mereka ada atau dengan apa yang mereka ada, seterusnya bertindak menzalimi orang tersebut, itu dikira sebagai cemburu yang tidak baik dan mendatangkan keburukan. Yang nyata..jikalau cemburu yang keterlaluan dan bersifat amarah yang melampau,kelak merosakkan diri sendiri. Bahkan tiada apa jua faedah yang dapat kita perolehi……

-Ummi Nessa berdoa agar kita sama-sama mengambil ikhtibar..”yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan..”

30 Julai 2010

PERANAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

PERANAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEKOLAH

Oleh Ummi Nessa


PERANAN perkhidmatan bimbingan dan kaunseling ialah merancang aktiviti atau program bimbingan, mengadakan sesi kaunseling, menjalankan penafsiran dan penilaian, sebagai koordinator, kerjaya dan temuduga, kaunseling keluarga, khidmat nasihat kepada guru dan pentadbiran serta terlibat dalam penyelidikan.

Kementerian Pelajaran Malaysia (1993) telah menetapkan objektif am perkhidmatan bimbingan dan kaunseling seperti berikut:

1. Memberikan khidmat penyuburan dan pengayaan meliputi
semua aspek perkembangan diri pelajar dengan menyediakan peluang semua kemudahan dan pengalaman yang selaras dengan kemampuan dan fikiran pelajar.

2. Memberikan khidmat pencegahan iaitu menghindarkan pelajar daripada terlibat dalam perbuatan salah
laku seperti tingkah laku tidak berdisiplin, penggunaan dadah, merokok, laku musnah, peras ugut,
menyertai pertubuhan haram dan tingkah laku sosial yang lain.



3. Memberikan khidmat bersifat pemulihan dengan tujuan meorientasikan semua pelajar yang bermasalah peribadi, pelajaran, kerjaya dan sosial supaya pelajar mampu untuk menghadapi dan mengatasi masalah mereka.



     Menurut Suradi Salim (1996) kaunseling ialah satu perhubungan yang dicirikan oleh keyakinan, saling mempercayai dan kemesraan yang membolehkan pelajar memperolehi kestailan intelek dan emosi yang dengannya dia boleh menyelesaikan masalah atau kemusykilan, membuat rancangan dan memperoleh kepuasan kendiri yang lebih tinggi .



     Kesedaran untuk melahirkan para pelajar berdisiplin merupakan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979), iaitu penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini. Usaha ini dilakukan salah satunya dengan cara meningkatkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.



     Peranan dan tugas kaunselor dari persepsi pengetua,guru besar, guru-guru dan ibu bapa tidak lebih sebagai pembimbing kerjaya, perundingan, kaunseling, pengujian dan penilaian ,melaksanakan program kemahiran dan aktiviti pelajar. Sehubungan ini didapati lebih 70-90 % menyokong penuh dan membantu tugas-tugas kaunselor di sekolah. Dengan itu kaunselor/pegawai psikologi sekolah kini berkhidmat sepenuh masa waktu pejabat; asalkan sesi kaunseling tidak dilakukan pada sesi pengajaran-pembelajaran. Bahkan tugas-tugas tersebut relevan dan bermakna kepada para pelajar dalam perkembangan diri mereka di sekolah.



     Amaluddin dan Norlina (2010) berpendapat kepentingan peranan kaunselor di sekolah sememangnya tidak dapat dinafikan. Antara tumpuan kaunselor sekolah adalah terhadap perkembangan individu dan pencegahan tingkah laku bermasalah. Secara umumnya, terdapat tiga aspek utama yang boleh diberikan oleh kaunselor dalam membantu remaja ialah memberi kemahiran atau kebolehan atau pengetahuan untuk mengurus kehidupan seharian, maklumat tentang kerjaya dan plan realistik setelah tamat persekolahan.



     Peranan kaunselor bertambah mencabar berdasarkan banyak hasil kajian lalu yang menekankan bahawa masalah pelajar di Malaysia bersangkutan dengan masalah penyesuaian diri, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah dan kelas, penyesuaian dengan sekolah, kesihatan, kemajuan, jantina dan sebagainya. (Fatanah, 1988, Asmah Bee, 1979 dan Hassan Langgulung, 1975).



     Seterusnya Sallehudin Abdul Wahab, (1991) mendapati bahawa pelajar akan menemui kaunselor apabila menghadapi masalah belajar, masalah dadah, masalah disiplin dan masalah sosial. Kajian yang dijalankan oleh Karla dan Sue (1991) ke atas 160 orang kaunselor pelajar telah mendapati bahawa 41% daripada kaunselor tersebut sangat kerap diminta untuk menjalankan sesi kaunseling individu kepada pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Sebanyak 54% telah diminta oleh pengetua sekolah dan sebanyak 62% diminta oleh guru-guru. Ini menunjukkan kaunselor sekolah sangat diperlukan bagi membantu mengatasi permasalahan tersebut. Dan kaunseling individu adalah bentuk kaunseling yang sering digunakan untuk membantu menangani tingkah laku bermasalah di kalangan pelajar.



     Dalam kajian Amla (2003), melalui program kerjaya sehari yang dijalani bersama pelajar-pelajar berpencapaian rendah, didapati program tersebut telah berjaya meransang motivasi belajar mereka. Ini selaras dengan Program Career Academy yang melibatkan seluruh negara Amerika didapati berkesan setelah ianya berjalan hampir dua dekad. Antara kesan yang jelas ialah di kalangan mereka yang berisiko tinggi Program Career Academy didapati berjaya meningkatkan kehadiran ke sekolah, tidak berhenti sekolah walau pun ianya tidak mengesani pencapaian akademik (Amla 2003).



     Selain itu terdapat bukti yang menunjukkan pendidikan kerjaya dan teknikal boleh memainkan peranan mengurangkan bilangan mereka yang tercicir dari sekolah, terutama di kalangan mereka yang berisiko tinggi. Bukti menunjukkan bahawa apabila pendidikan kerjaya dan teknikal diberi penekanan ke atas pembelajaran akademik serta pengetahuan ianya berjaya mengurangkan keciciran di kalangan mereka yang berisiko tinggi (Wonaccot, Michael, 2000 dalam Amla 2003).



     Dalam menjalankan peranan sebagai kaunselor, Zulkhairi (2004), telah menunjukkan bahawa kaunselor yang dipertanggungjawabkan di sekolah-sekolah sudah mampu memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu pelajar menyelesaikan masalah mereka dan mengendalikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah dan seterusnya secara tidak langsung dapat membantu negara menangani gejala salah laku sosial di kalangan remaja.



     Kesimpulannya, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bertujuan mengenal pasti bidang yang diperlukan pelajar, menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan sekolah, menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan utama antara pelajar bandar dan luar bandar; dan menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan yang berbeza kaum.Yang nyata perkhidmatan ini membimbing perkembangan kemahiran belajar dan pelajaran,sosial,kerjaya dan pemahaman diri.



BIBILOGRAFI

Amla, Zuria & Salleh. 2003. Kaunseling Sekolah. Siri Penerbitan Fakulti Pendidikan UKM. Bangi.


Amaluddin bin Ab. Rahman & Norlina Omar. 2008. Kaunseling Remaja: Tip dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur: Utusan Publication dan Distributor Sdn. Bhd.

Asmah Bee Mohd. Noor. 1979. Tingkah laku dan masalah seks di kalangan kaum remaja. Widya, 23 Julai.

Chiam Heng Keng. 1977. Problem of urban adolescent : Peninsular Malaysia. Journal of Sosiology and Antropology. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

Fatanah Mohamad. 1988. Kajian terhadap masalah peribadi pelajar sekolah menengah berasrama penuh dan tidak berasrama penuh di Pengkalan Chepa, Kelantan. Tesis Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. (Tidak diterbitkan)

Hassan Langgulung. 1975. Perkhidmatan pelajar sekolah-sekolah di Malaysia. Jurnal Pendidikan. 2 : 1 – 9

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1996. Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah: Bimbingan dan Kaunseling.

Mitchel , T.R. 1978. People In Organization Understanding Their Behavior, United State of America.Mc-Graw-Hill,Inc

Sallahuddin Abd. Wahab. (1991). Sikap pelajar-pelajar sekolah menengah terhadap kaunselor , peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta kesediaan mereka untuk menemui kaunselor. Tesis Sarjana. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Suradi Salim. 1996. Bimbingan dan Kaunseling. Kuala Lumpur . Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Zulkhairi Roslan. 2004. Pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di SMK Jalan Reko, Kajang, selangor. Tesis Sarjana. UKM, Bangi

GERIMIS PETANG INI

GERIMIS PETANG INI
Oleh: RAJIEE HADI

Tiba-tiba gerimis memberhentikan langkahku
Lalu-lalang yang suram
Bas yang tidak kunjung datang
Sepi di tanah perkuburan
Menceritakan segala tertib kunjungan
Ke dunia abadi yang menanti



Deretan kereta yang kaku
Antara batasan air dan daratan
Tradisi dan moden
Bersilih ganti di kampung tamoi ini



Muazin melaungkan azan
Antara dua persimpangan
Kehidupan dan kematian
Yang terus berkumandang
Tentang bahasa alam.


Jalan Laksamana Abdul Razak,
Bandar Seri Begawan.
28 Mac 2008.

Lesen perguruan untuk guru

Lesen perguruan untuk guru


KENYATAAN AKHBAR: PERSATUAN PENGAMAL PENDIDIKAN MALAYSIA (PENDIDIK).

(Utusan Malaysia:22 Mei 2010)

Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen keguruan oleh sebuah organisasi professional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam.

Sehubungan itu pihak PENDIDIK bersetuju pandangan Timbalan Menteri Pelajaran Dr.Mohd Puad Zakarshi bahawa dengan adanya lesen ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti,imej dan martabat guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut.

Namun pihak persatuan suka mengingatkan bahawa kaedah seperti lesen ini pernah dipraktikkan oleh Kementerian Pelajaran sebelum era l980-an yang mana setiap guru terlatih yang baru ditempatkan mengajar di sesebuah sekolah diwajibkan mendaftar dan memohon buku pendaftaran sebagai guru terlatih daripada Pendaftar Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran. Dengan memiliki buku pendaftaran yang bagaikan seperti lesen guru-guru tersebut secara rasmi diterima sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan/pelajaran. Buku pendaftaran yang diperbaharui setiap tahun itu juga berfungsi bagi membatalkan atau menggantungkan lesen mengajar seseorang penjawat itu. Soalnya, adakah prosedur ini masih diparktikkan? Jika tidak diparktikkan mengapa dimansuhkan?



Walau bagaimanapun persatuan berpandangan bahawa apa yang penting sesorang guru itu wajib memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang keguruan sama ada di peringkat sijil, diploma atau sarjana muda pendidikan. Memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang pendidikan adalah kriteria wajib bagi memperoleh lesen mengajar. Justeru sudah tiba masanya kaedah ini diperluaskan juga di sekolah-sekolah persendirian dan kelas-kelas tiusyen. Dengan ini profesion keguruan tidak sewenang-wenangnya disandang oleh guru sandaran/sementara/gantian. Seperti mana profesion kedoktoran atau guaman yang tidak ada ada label sandaran, sementara atau gantian maka pihak persatuan berpendapat sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran bertegas dalam soal ini demi memartabatkan profesion keguruan agar terus dihormati oleh masyarakat sepanjang masa.

DR. RAJIEE HADI,

Presiden,

Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK),

Kuala Lumpur.