4.1 ISU MORAL MASA KINI
Secara umumnya isu moral
merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa
sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang
diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara. Dan kebelakangan ini terlalu
banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah moral yang melibatkan
remaja. Dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan
adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka
masih di alam persekolahan. Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada
separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah
yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak.
Data dan statistik banyak
menunjukkan keruntuhan akhlak di kalangan remaja di negara ini adalah semakin
serius. Tindak tanduk mereka yang agak liar dan ganas memberi gambaran
seolah-olah wujud satu penentangan untuk meminggirkan nilai dan norma generasi
tua. Banyak kejadian dan kes yang melibatkan remaja berlaku dan mendapat
liputan meluas daripada pelbagai pihak, namun pelbagai usaha yang dilakukan
masih belum mendatangkan hasil.
4.1.1 KONFLIK REMAJA MASA
KINI
Faktor-Faktor Keruntuhan
Moral Remaja
Terdapat pelbagai faktor yang
menyebabkan berlakunya fenomena keruntuhan moral di kalangan remaja. Antaranya
ialah :
1. Kurangnya asuhan dan
didikan agama/kepercayaan oleh keluarga
Ibubapa adalah model kepada
anak-anak dalam apa jua aspek kehidupan tetapi dalam soal keagamaan ianya
seolah-olah diabaikan. Justeru itu, akan lahirlah generasi baru yang bertindak
liar dan bersikap individualistik.
2. Pengaruh suasana dan
persekitaran yang mendesak
Kebanyakan remaja yang tinggal
di bandar mengamalkan kehidupan individualistik dan materialistik. Oleh itu,
dalam mengejar kemewahan mereka sanggup berbuat apa sahaja tanpa menghiraukan
baik buruknya sesuatu perkara itu. Akibatnya, terjadilah kejadian mencuri,
melacur, samun dan peras ugut untuk mendapatkan wang yang tidak mereka perolehi
daripada ibubapa mereka.
3. Tekanan perasaan yang
dialami remaja
Sesetengah remaja mengalami
tekanan perasaan ketika di rumah akibat perceraian atau pergaduhan ibubapa yang
menyebabkan anak-anak merasa tidak selesa berada di rumah dan membuatkan mereka
lebih suka berada di luar dengan melepak dan bergaul dengan kawan-kawan tanpa
menimbang baik buruknya.
4. Gagal dalam pelajaran
Remaja yang terkandas dalam
pelajaran mempunyai masa lapang yang banyak. Oleh itu, mereka bergaul dengan
rakan-rakan yang juga tidak bersekolah, dan bermula dari situlah mereka
berkenalan dengan rokok, dadah, pil ecstasy, pusat-pusat hiburan dan aktiviti
lumba haram serta berjudi. Kegiatan tersebut memerlukan wang yang akan
mendorong mereka melakukan kegiatan haram seperti mencuri, samun, merompak dan
menculik.
5. Pengaruh Media Massa
Remaja merupakan golongan yang
mudah dipengaruhi. Tayangan televisyen ataupun filem-filem di pawagam mempunyai
pengaruh yang amat besar kepada mereka. Filem atau drama yang dihasilkan
mengikut cara hidup Barat menggambarkan seolah-olah kehidupan rakyat negara ini
dengan masyarakat Barat mempunyai persamaan. Ini menyebabkan remaja mudah
terpengaruh kerana beranggapan bahawa gaya hidup remaja Barat yang lebih
menjerumus kepada individualistik dan tidak menghormati orang tua adalah tidak
salah dari segi agama dan budaya Malaysia.
6. Perkembangan teknologi
moden
Perkembangan teknologi moden
seperti penggunaan komputer, ipad, ipod, smartphone dengan internet
memudahkan remaja mendapat hiburan yang tidak sesuai dengan jiwa mereka.
Malahan mereka boleh memperolehi maklumat berhubung bahan-bahan lucah melalui
cakera padat dan video yang tidak ditapis di pasaran gelap atau melalui
rakan-rakan.
Cadangan Untuk Mengatasi
Gejala Keruntuhan Moral Remaja
Di dalam menangani permasalahan
remaja ini, adalah tidak wajar untuk kita menyalahkan mana-mana pihak secara
total. Oleh yang demikian, seluruh masyarakat tidak kira siapa sahaja harus
memainkan peranan dalam memastikan remaja masa kini memiliki nilai moral yang
terpuji, bertanggungjawab dan berdedikasi.
Pihak-pihak yang patut
memainkan peranan adalah :
1. Ibubapa
Golongan remaja dianggap
sebagai kumpulan individu yang sedang berada di dalam zaman yang penuh dengan
keributan dan tekanan perasaan. Kedudukannya adalah pada tahap memikirkan
tujuan kehidupan. Maka, ibubapa seharusnya memahami keadaan ini dan
menyesuaikan diri dengan pengaruh emosi anak-anak mereka. Mereka haruslah
membina hubungan yang mesra dengan anak-anak untuk melahirkan sebuah keluarga
bahagia yang akan membentuk masyarakat penyayang seperti yang dihasratkan dalam
Wawasan 2020. Di samping itu, ibubapa juga perlu menjadi model kepada anak-anak
mereka. Didikan agama dan duniawi yang seimbang boleh menjadi pedoman dalam
hidup mereka agar mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara yang akan
mereka lakukan.
2. Guru
Guru ialah pihak kedua yang
paling hampir dengan remaja. Mereka hendaklah menekankan nilai-nilai murni
dalam pengajaran supaya pelajar-pelajar dapat diasuh dan dibimbing ke arah
keperibadian tinggi dan mempunyai sifat-sifat mulia.
3. Masyarakat
Setiap ahli masyarakat mempunyai
tanggungjawab untuk membanteras masalah sosial yang berlaku. Masyarakat yang
bertindak sebagai pemerhati harus peka dalam memberikan nasihat yang sepatutnya
kepada remaja kita yang bertindak liar. Sikap individualistik yang ada pada
diri kita perlulah dikikis, dan sikap penyayang perlu ditanamkan dalam diri
setiap anggota masyarakat.
4. Media Massa
Pihak media perlu memainkan
peranannya baik media cetak ataupun elektronik. Akhbar dan majalah hendaklah
memperbanyakkan bahan-bahan yang lebih bercorak ilmiah. Begitu juga dengan
televisyen hendaklah lebih banyak menayangkan filem-filem yang boleh merangsang
pembinaan insan yang baik.
5. Remaja sendiri
Remaja perlu mengubah pandangan
dan sikap mereka supaya lebih prihatin dan dapat menyesuaikan diri dengan nilai
dan norma yang ditetapkan oleh agama dan masyarakat. Kebebasan tetap ada tetapi
harus pandai menyesuaikannya dengan nilai-nilai dan norma-norma yang baik.
4.1.2 GEJALA LEPAK
Gejala lepak
ialah amalan berkumpul tanpa arah tujuan, berbuat sesuatu yang tidak
mendatangkan faedah oleh golongan remaja. Kita dapat memperhatikan ramai remaja
suka berlepak di kawasan-kawasan seperti pusat membeli-belah, pusat permainan
atau lebih popular dengan nama Kafe Siber. Kegiatan ini bukan sahaja dilakukan
oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan.
4.1.3 MASALAH PERGAULAN
BEBAS
Pergaulan bebas merujuk kepada
gaya pergaulan tanpa batas di antara lelaki dan perempuan yang menimbulkan
banyak masalah sosial dan keruntuhan akhlak. Ia juga merupakan segala bentuk
perlakuan manusia yang bertentangan dengan nilai-nilai moral masyarakat dan
agama serta akal murni kemanusiaan. Pergaulan yang melampaui batas-batas yang
telah ditetapkan akan mengundang perkara-perkara yang tidak baik atau maksiat.
Ia merupakan penyebab utama kepada pelbagai bentuk keruntuhan akhlak dan
masalah sosial yang terjadi dalam masyarakat seperti fenomena kehamilan dan
kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi, pelacuran, bohsia, bohjan, lesbian,
gay dan sebagainya.
a. Bersekedudukan
Bersekedudukan bermakna lelaki
dan perempuan yang tinggal bersama seperti suami isteri tetapi tanpa ikatan
perkahwinan secara sah.
Kajian menunjukkan bahawa kes
bersekedudukan banyak berlaku di kalangan generasi muda di kawasan bandar
berbanding dengan di luar bandar. Konsep ‘tinggal bersama tanpa nikah’ diterima
oleh ramai pasangan muda dan menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan
ini kerana memberi peluang kepada mereka mencuba keserasian kedua-dua pihak
untuk tinggal bersama sebelum menjadi suami isteri yang sah. Jika wujud
ketidakserasian antara mereka yang mungkin menjejaskan keharmonian untuk hidup
bersama, mereka dapat berpisah tanpa sebarang ikatan.
Namun demikian, bersekedudukan
dianggap tindakan yang tidak bermoral dan perlu dijauhi kerana ia tidak
mematuhi prinsip moral yang bersifat mutlak dan sejagat. Kebanyakan agama
melarang pengikutnya bersekedudukan, sebaliknya menggalakkan perkahwinan dan
berkeluarga. Malahan, perbuatan ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita
yang berpegang pada agama sebagai tunjangnya.
Secara keseluruhan,
bersekedudukan akan menyebabkan berlakunya :
1.
Keruntuhan akhlak
2. Wujudnya anak luar nikah
3.
Pembuangan bayi akibat perzinaan
4.
Merebaknya pelbagai penyakit merbahaya
5.
Banyaknya andartu serta lelaki yang terus membujang
6. Berlakunya keruntuhan
rumahtangga kerana perkara-perkara yang remeh
b. Sumbang Mahram
Sumbang Mahram atau inses
merujuk kepada perbuatan zina yang dilakukan antara ahli-ahli keluarga yang ada
pertalian darah / nasab (keturunan) dengan mangsa. Sumbang mahram boleh berlaku
antara saudara yang sama jantina mahupun berlainan jantina. Ia juga boleh
berlaku antara saudara kandung, ibu bapa dengan anak-anaknya, serta antara
saudara-saudara dewasa. Sebagai contoh ayah merogol anak, datuk merogol cucu,
abang merogol adik dan seumpamanya.
Dalam kebanyakan dunia Barat,
sumbang mahram secara amnya merujuk kepada hubungan seks yang dilarang dalam
keluarga. Bagaimanapun, takrif tentang keluarga berbeza-beza. Di dalam Amerika
Syarikat, perkahwinan antara sepupu diharamkan di sesetengah negeri, tetapi
adalah sah di sisi undang-undang di negeri-negeri yang lain. Manakala bagi
sesetengah masyarakat timur, seperti kaum Cina yang sangat mementingkan adat
dan adab, sumbang mahram dikira terjadi meskipun perbuatan zina dilakukan
bersama ahli keluarga angkat.
Golongan Yang Menjadi
Sasaran
Dengan peningkatan kadar
penceraian, lebih ramai kanak-kanak terdedah kepada risiko yang lebih tinggi
bagi mengalami sumbang mahram. Jika seseorang ibu berkahwin semula, anak
perempuan yang tinggal serumah akan terdedah kepada risiko yang lebih tinggi
untuk penganiayaan seksual oleh bapa tiri berbanding bapanya sendiri.
Faktor-Faktor Sumbang Mahram
1.
Tahap iman / pegangan agama yang lemah
2.
Batas pergaulan dan hubungan dalam keluarga
3.
Hilang kawalan diri dengan mengikut hawa nafsu (seperti ketagihan dadah atau
alkohol)
4. Pakaian yang mengghairahkan
/ seksi semasa berada di rumah
Kesan Sumbang Mahram
Terhadap Mangsa
Ramai mangsa sumbang mahram
tidak melaporkan perbuatan ini kerana khuatir ayah/saudara mereka mendapat
kesusahan, contohnya dipenjarakan. Kadangkala terdapat juga ibu-ibu yang tidak
menyokong anak mereka jika pesalah adalah orang yang menyara keluarga.
Sebilangan besar mangsa
mengalami kesan-kesan negatif yang serius sehingga memerlukan terapi apabila
mereka meningkat dewasa. Sumbang mahram boleh mengakibatkan kerosakan psikologi
yang serius kepada saudara kandung yang lebih muda. Sumbang mahram boleh juga
merosakkan atau memusnahkan sama sekali ikatan saudara kandung.
Antara kesan-kesan negatif :
1.
Hilang kepercayaan pada orang lain
2.
Takutkan hubungan intim
3.
Murung
4.
Rasa ingin bunuh diri
5.
Tingkah laku yang merosakkan diri sendiri
6.
Keyakinan diri yang rendah
7.
Rasa bersalah dan marah
8.
Rasa terasing dari keluarga / masyarakat
9.
Penyalahgunaan dadah
10.
Masalah pemakanan
11. Masalah personaliti
Kesan negatif yang serius
biasanya terjadi jika mangsa:
tidak meminta bantuan
tidak mendapatkan sokongan dan kaunseling
dianiaya dalam jangka masa
yang lama
c. Hubungan Sejenis
Maksud hubungan sejenis iaitu
amalan seks sejenis antara lelaki ataupun perempuan (gay atau lesbian), di mana
hubungan tersebut menjadi sangat rapat batin walaupun tidak sepenuhnya.
Sebelum ini kita hanya sering
mendengar berita atau laporan mengenai pasangan sejenis di negara barat. Kita
juga sering kali mengeji, mengecam dan mengutuk perbuatan menjijikkan itu,
kerana kita tidak dapat menerimanya dengan logik akal. Namun, apa yang kita
dengar selama ini sudah sampai ke negara kita, Malaysia.
Hubungan sejenis bukan sahaja
menyalahi undang-undang negara kita, malah dalam agama Islam dan agama-agama
lain. Perbuatan ini dipandang sebagai gejala yang sangat dikeji dan dosa besar
kerana menentang fitrah. Justeru, peranan institusi keluarga khususnya ibubapa
perlu diperkukuh supaya gejala seperti ini tidak merebak dan memastikan
anak-anak tidak terjerumus dalam aktiviti songsang seperti ini.
Terdapat beberapa faktor yang
menjadi sebab terjadinya gejala ini, di antaranya:
1.
Semakin kurangnya didikan agama yang diberikan oleh ibubapa, sehingga remaja tidak
mampu membezakan kebaikan dan keburukan suatu perkara.
2.
Hubungan yang terlalu rapat dan akrab di antara dua perempuan / lelaki,
sehingga menimbulkan rasa kasih sayang di antara keduanya dan menyalahgunakan
tali persahabatan, lantas mencapai tahap lesbian ataupun gay.
3.
Kurang pengawasan dan curahan rasa kasih sayang dari keluarga, sehingga remaja
mencari kasih sayang di luar melalui saluran-saluran yang salah.
4.
Perempuan yang bersikap tomboy ataupun
lelaki yang agak lembut, sekiranya kurang pegangan iman yang kuat akan menaruh
perasaan terhadap teman sejenis, sehingga akan menimbulkan gejala penyakit
songsang tersebut.
5. Sikap ibubapa yang terlalu
menginginkan anak lelaki, tetapi mendapat anak perempuan (atau sebaliknya).
Lantas diberikan layanan dan perhatian selayaknya anak yang diinginkan, secara
tidak sedar boleh mempengaruhi mental dan naluri anak tersebut apabila nanti
menjadi dewasa.
6. Remaja yang kecewa di dalam
percintaan, sehingga hilang keyakinan terhadap lawan jenisnya. Dalam hal ini
wujud teman sejenis untuk menenangkan dan sebagai tempat mencurahkan perasaan,
sehingga timbul rasa kasih sayang antara satu sama lainnya.
Hubungan sejenis adalah
penyakit sosial yang sukar diatasi dan dihapuskan apabila sudah terjebak dan
terperangkap di dalamnya. Penyakit ini bukan saja menyerang dan melanda
golongan remaja saja, malah mampu menembusi golongan dewasa yang profesional
dan berpendidikan tinggi. Tanpa campur tangan pemerintah dan pihak-pihak
tertentu dalam memberikan bantuan dan kesedaran kepada golongan ini, gejala
penyakit ini akan sukar dibanteras dan ditangani.
4.1.4 PENGGUGURAN HARAM DAN
PEMBUANGAN BAYI
Kes pengguguran haram dan
pembuangan bayi sama dengan penyakit sosial lain, akan membelenggu negara kita
daripada menjadi masyarakat penyayang. Pembangunan dari segi kerohanian pasti
terbantut jika nilai kemanusiaan diketepikan.
Pengguguran haram bermaksud
penamatan proses kehamilan manusia sebelum cukup 9 bulan yang mengakibatkan
kemusnahan janin. Manakala pembuangan bayi adalah perbuatan mencampakkan atau
menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke tempat yang tersembunyi tanpa
rasa belas kasihan. Undang-undang negara kita seperti kebanyakan negara lain
turut mengharamkan pengguguran dan pembuangan bayi kerana ia adalah satu
jenayah. Malah, mereka yang terbabit dalam kes berkenaan boleh didakwa.
Pendedahan seks dan bahan yang
tidak berfaedah kepada remaja oleh media elektronik, di samping berleluasanya
penyebaran video pornografi dan gambar lucah dalam masyarakat menjadi punca
utama mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada
gejala pengguguran haram atau pembuangan bayi.
Lazimnya, mereka yang sanggup
membuang bayinya membabitkan kes kehamilan di luar nikah. Ada yang mengambil
jalan mudah dengan menggugurkan kandungan sebelum perut membesar bagi
mengelakkan maruah tercalar.
Pengguguran haram boleh memberi
implikasi besar kepada kesihatan individu berkenaan kerana biasanya dilakukan
oleh pihak yang tidak bertauliah atau tanpa prosedur perubatan yang wajar.
Mereka terbabit berisiko tinggi menghadapi kematian berikutan pendarahan dan
jangkitan pada rahim atau bahagian peranakan. Mereka juga terdedah kepada
kesakitan pada saluran pembiakan sekaligus boleh mengakibatkan kemandulan. Itu
kesan pada diri sendiri, tetapi ia boleh juga memberi kesan pada mental dan
emosi selepas mendirikan rumah tangga. Individu berkenaan juga boleh mengalami
masalah psikologi khususnya kemurungan terutama apabila sudah berumur kerana
sering terfikir mengenai kandungan yang pernah dibuang itu.
Kes pembuangan bayi semakin
meningkat dari hari ke hari dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan
yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup.
Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti
masjid dan taman rekreasi dan sebagainya menjadi tempat di mana bayi-bayi
malang ini ditemui. Kanak-kanak kecil ini dibuang merata-rata demi untuk
menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukannya.
Islam dan agama utama lain di
Malaysia mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan
masyarakat. Ianya boleh dianggap satu dosa yang besar kerana membunuh dengan
niat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melakukan banyak usaha untuk
membasmi gejala berkenaan, seperti menganjurkan kempen, pertunjukan, mengenakan
hukuman seperti yang lebih berat kepada sesiapa yang didapati bersalah
melakukan jenayah ini, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya
semakin berleluasa.
Hakikatnya, diri remaja itu
sendiri sahaja yang mampu mengubah segalanya, sama ada mereka ingin memilih
jalan yang betul atau tidak. Sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada
penghujungnya sekiranya tiada kesedaran di kalangan generasi muda untuk
mengubah sikap mereka.
4.1.5 GENGSTERISME DAN
VANDALISME
Gengsterisme
Gengsterisme atau gejala
samseng adalah sejenis salah laku di kalangan generasi muda yang tidak pernah
selesai semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Ini adalah kerana golongan remaja
mudah terdedah dengan keadaan persekitaran dengan syarat mereka dapat
memperolehi keseronokan dalam kumpulan mereka. Majoriti daripada gengster
merupakan lelaki dan ahlinya mempunyai latar belakang etnik yang sama. Kini isu
gengsterisme menjadi bertambah serius apabila semakin ramai pelajar perempuan
dikesan terlibat dengan gejala ini.
Gengster merujuk kepada mereka
yang bergerak dalam suatu kumpulan, kelompok yang biasanya terbabit dalam
aktiviti haram yang membawa kepada penyelewangan tingkah laku dan kerosakan
akhlak seperti peras ugut, memukul orang dan jenayah bersenjata. Hubungan yang
pada mulanya tidak sehaluan akan menukar menjadi ikatan yang lebih erat
ditambah dengan semangat setia kawan serta mengamalkan tradisi kumpulan.
Punca-punca
1. Kawasan persekitaran dan
tempat kediaman yang tidak kondusif
Kawasan kediaman yang sesak,
tidak teratur dan tidak selesa untuk pembesaran dan perkembangan diri remaja
mudah menimbulkan perasaan tidak selamat. Hal ini menyebabkan segelintir remaja
lebih suka menghabiskan sebahagian besar masanya di luar rumah. Tempat kediaman
seperti rumah pangsa, perkampungan dan penempatan terancang seperti FELDA,
didapati terdapat pembabitan remaja dalam akiviti gengsterisme yang timbul dari
pergaulan sesama sendiri.
2. Ibubapa gagal memberikan
bimbingan dan perhatian
Kesibukan ibubapa mencari
rezeki untuk menampung kehidupan yang semakin mendesak mengakibatkan sesetengah
remaja hidup dalam keadaan terbiar. Terdapat ibubapa yang menyerahkan
sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada guru dan pihak sekolah. Sesetengah
ibubapa langsung tidak mengambil tahu tentang kegiatan dan rakan anak. Keadaan
ini secara tidak langsung mendorong anak-anak mereka bergaul dengan kumpulan
rakan sebaya yang tertentu sahaja, seperti kumpulan gengster untuk mendapatkan
sokongan moral atau berkongsi masalah.
3. Pencapaian akademik yang
rendah
Didapati bahawa pelajar yang
lemah dalam bidang akademik mempunyai risiko yang tinggi untuk menyertai
kumpulan gengster. Sesetengah pelajar tersebut cuba untuk mendapatkan
perhatian, pengiktirafan, status dan mempunyai “kuasa”. Mereka
menggabung diri dengan kumpulan gengster untuk membolehkan diri mereka berasa
mempunyai identiti yang tersendiri.
4. Pengaruh media massa
Maklumat dan informasi sama ada
positif atau negatif dari media massa berbentuk bercetak ataupun elektronik
yang kini semakin sukar untuk dikawal pengedarannya. Pengaruh negatif yang
dibawa oleh media massa dalam kalangan pelajar memang sukar dikawal. Remaja
terpengaruh dengan filem yang tidak bermoral dan ganas yang diimport dari
negara-negara lain.
5. Pengaruh rakan sebaya
Pengaruh rakan sebaya yang kuat
ketika zaman remaja menjadikan sebilangan kecil menjurus kepada pembentukan
kumpulan geng. Pembentukan kumpulan ini secara umumnya telah membawa kepada
pembentukan budaya sendiri dalam kalangan remaja, di mana mereka ingin
memelihara budaya khususnya ciri-ciri kumpulan masing-masing. Perkara ini
menjadi faktor yang membawa kepada wujudnya gengsterisme dan kumpulan samseng.
Kesan – Kesan Gengsterisme
1. Membawa kesan negatif
kepada sekolah
Kewujudan kumpulan-kumpulan
gengster dalam kalangan remaja memberi impak dan pengaruh negatif kepada
sekolah. Ahli-ahli kumpulan gengster sering melakukan kegiatan-kegiatan ganas
di sekolah sehingga ia boleh mengganggu dan melemahkan seluruh perjalanan
sekolah. Ada sekolah dijadikan pusat aktiviti gengster untuk pengambilan
ahli-ahli baru. Mereka juga memberikan perlindungan kepada ahlinya dan
menakut-nakutkan pelajar lain serta melibatkan diri dalam perlakuan-perlakuan
jenayah. Ini seterusnya menjadikan iklim di sekolah tidak selamat dan pihak
pengurusan, guru-guru dan pelajar-pelajar sering berada dalam keadaan ketakutan
kerana ada yang tidak bersalah menjadi mangsa ganas gengster.
2. Mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran
Salahlaku pelajar memberi impak
secara langsung ke atas kualiti pendidikan yang diberikan di sekolah. Aktiviti
gengsterisme yang wujud di sekolah-sekolah, jika tidak dikawal akan menimbulkan
gangguan terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam sekolah. Unsur-unsur
gengsterisme itu juga memesongkan kumpulan pelajar dari terlibat secara aktif
dan bersungguh-sungguh dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kegagalan
menangani masalah ini secara segera dan berkesan boleh menggagalkan usaha
mencapai matlamat pendidikan negara.
VANDALISME
Vandalisme adalah membuat
sebarang perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan, mengotorkan
harta benda awam atau harta peribadi orang lain. Lazimnya perbuatan ini
dilakukan oleh golongan remaja kerana mereka mudah terpengaruh dengan kegiatan
vandalisme.
Kegiatan vandalisme telah
dilakukan oleh beberapa kategori remaja iaitu:
1.
Remaja yang hanya ingin mengecapi keseronokan berbuat demikian. Mereka mungkin
berbuat demikian sekadar untuk menghabiskan masa lapang
2. Remaja yang mengalami
konflik jiwa yang hebat. Remaja yang hidup tidak puas hati dengan keadaan diri
dan masyarakat merasakan dunia ini tidak
bermakna.
Kekosongan jiwa dan kesunyian menyebabkan mereka melakukan vandalisme untuk
menarik perhatian orang ramai
3. Golongan remaja yang dilamun
cinta. Vandalisme yang dilakukan oleh golongan ini bertumpu di taman-taman,
tepi pantai dan tempat rekreasi. Golongan ini dikuasai dorongan emosi diri
Faktor-Faktor Berlakunya
Vandalisme Dalam Kalangan Remaja
i. Pengaruh Rakan Sebaya
Pengaruh rakan sebaya boleh
menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan
terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap,
nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan
menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme
merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila
berkumpul timbullah pelbagai idea, termasuklah melakukan vandalisme.
ii. Ibubapa dan Keluarga
Ibubapa ialah pendorong kepada
sifat vandalisme di kalangan remaja. Sesetengah remaja yang terjebak dalam
gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang
mengamalkan budaya hidup negatif. Contohnya, ketika memandu ibubapa membuang
sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau dari kereta.
iii. Pengaruh Media Massa
Media massa mempunyai pengaruh
dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan
adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai
unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan
vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut apa yang dilihat
di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar
sewajarnya.
iv. Sikap Apati (tidak
peduli), Individualistik dan Materialistik Masyarakat
Remaja adalah produk sistem
sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk
yang pincang. Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan
dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah
yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar.
Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang
berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka
bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab
terhadap masyarakat.
Kesan Vandalisme
1.
Walaupun perbuatan vandalisme tidak memudaratkan dan membawa kerosakan yang
kekal, perbuatan ini mencemarkan tempat tumpuan orang ramai dan akan
menjejaskan nama baik negara kita
2.
Kos yang tinggi diperlukan untuk membersihkan tempat yang telah diconteng /
dirosakkan. Semua usaha pembersihan dan pemulihan ini memerlukan tenaga yang
bukannya sedikit
3. Vandalisme juga boleh
mencetuskan ketegangan antara kaum. Sekiranya didapati kedai orang Cina
diconteng oleh remaja Melayu atau India, berkemungkinan ia akan menimbulkan
konflik dan pergaduhan antara kaum. Ini akan menyukarkan lagi usaha mewujudkan
perpaduan kaum dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, sekaligus mengancam
keselamatan dan kestabilan negara
Langkah – Langkah Mengatasi
1. Kuasa Pihak Sekolah
Pihak sekolah perlu diberikan
peruntukan kuasa yang lebih besar untuk mengambil tindakan yang setimpal
terhadap kesalahan gengsterisme atau vandalisme yang dilakukan oleh pelajar.
Gejala berkenaan sangat mencabar kesabaran dan kecekalan pihak pengurusan
sekolah. Malahan cabaran juga dihadapi dari segi kebolehan guru dalam
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, kebolehan kaunseling dan
pengawalan oleh guru-guru disipilin di sekolah.
2. Pemantauan ibubapa
Peningkatan kes tersebut
memerlukan ibubapa melakukan pengawalan, pengawasan dan pemantauan terhadap
gerak-geri anak-anaknya. Ibubapa perlu mengambil berat tentang segala aktiviti
yang dilakukan di sekolah dan di luar sekolah. Ibubapa hendaklah mengambil inisiatif
untuk mengetahui tingkah laku anak-anak di sekolah melalui perjumpaan dengan
guru-guru dan pengetua sekolah.
3. Kerjasama semua pihak
Kerjasama semua pihak termasuk
ibubapa dan para pelajar sekolah serta tidak terkecuali media massa dan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) diperlukan untuk sama-sama mewujudkan satu persekitaran
pembelajaran dan pengajaran yang bebas daripada unsur-unsur keganasan dan
gengsterisme. Walaupun masalah gengsterisme belum lagi menjadi satu sindrom
yang membudaya di sekolah, namun, fenomena yang berlaku ini tetap membimbangkan
dan memerlukan pencegahan serta penyelesaian oleh semua pihak.
4. Mengetatkan undang-undang
Walaupun selama ini perbuatan
vandalisme tidak dianggap sebagai jenayah dan tidak ada peruntukan undang-undang
untuk mendenda atau menangkap para pelakunya, remaja yang didapati melakukan
vandalisme seharusnya dikenakan hukuman kompaun. Kompaun ini dapat memberi
pengajaran kepada mereka yang ingin melakukan vandalisme, setidak-tidaknya
mereka akan berfikir dahulu sebelum berbuat demikian.
Akta Mahkamah Juvana 1947 perlu
dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat ke atas pesalah juvana. Hukuman
seperti penjara dan rotan perlu diberikan pertimbangan olah pihak yang
berkuasa. Walaupun hukuman penjara tidak boleh menyelesaikan sepenuhnya kes
yang berkaitan dengan gejala tersebut, tetapi sekurang-kurangnya hukuman ini
boleh dijadikan sebagai salah satu alat kawalan untuk mengurangkan pembabitan
pelajar.
Pendidikan
Moral
AB202
90
5. Iklim persekolahan yang
tenang dan kondusif
Sekolah hendaklah mewujudkan
iklim persekolahan yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Pentingkan pengukuhan disiplin dalam kalangan pelajar di semua peringkat
persekolahan. Cara-cara untuk melahirkan keadaan yang kondusif termasuklah
konsep sekolah penyayang, amalan “zero-defect”, penerapan nilai-nilai
murni dan sebagainya. Pelajar-pelajar juga dikawal secara tertutup pada waktu
sekolah dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah. Pihak sekolah perlu
menerapkan kesedaran untuk membentuk remaja berjiwa sihat dan berfikiran matang
sebelum melangkah ke alam dewasa.
4.1.6 PENYALAHGUNAAN DADAH
Maksud Penyalahgunaan Dadah
Penyalahgunaan dadah adalah
penggunaan bahan yang bertentangan dengan kepentingan rawatannya, yang
merangkumi alkohol, tembakau, kokain, marijuana (ganja), dadah-dadah
perangsang, LSD dan inhalan (bahan yang disedut). Penyalahgunaan dadah atau
bahan terlarang melibatkan perlakuan yang berulang-ulang atau penggunaan dadah
yang berlebihan. Pada kebiasaannya ia akan mendatangkan perasaan gembira
melampau atau ketagih bertujuan lari daripada kenyataan yang akhirnya boleh
mengganggu kehidupan seharian.
Sebarang dadah boleh digunakan
secara sah dari segi perubatan sekiranya ia dipreskripsikan atau diberikan oleh
doktor. Contohnya pesakit kanser yang dirawat dengan morfin untuk menghilangkan
penderitaan sakit kansernya hingga beberapa tahun, tetapi ia tidak mendatangkan
kesan ketagihan padanya. Penyalahgunaan dadah ditakrifkan sebagai satu perlakuan
yang tidak berfaedah dan tidak diterima oleh masyarakat umum. Penggunaan bahan
yang tidak sah (sama ada dadah atau alkohol) untuk mengubahsuai atau mengawal
emosi atau keadaan minda secara membahayakan diri sendiri dan orang lain
dianggap sebagai salahguna.
Faktor - Faktor
Penyalahgunaan dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan
masalah yang berlaku dalam setiap lapisan masyarakat. Ia juga melibatkan
golongan berpendidikan tinggi, ahli-ahli
Pendidikan
Moral
AB202
91
profesional di samping mereka
yang tidak berpendidikan dan penganggur. Di antara dadah-dadah yang sering
disalahgunakan termasuklah kanabis (ganja), morfin, candu, kokain, amfetamin,
ekstasi, heroin, nikotin dan daun ketum.
Terdapat pelbagai faktor yang
boleh meningkatkan risiko penyalahgunaan dadah:
1. Faktor biologi
Salah satu tanggapan yang salah
mengenai konsep kehidupan moden ialah, jika anda sakit, terdapat pelbagai pil
atau ubat-ubatan yang mampu 'memulihkan' anda. Malangnya pil tidak boleh
menyelesaikan semua masalah anda. Selalunya, perubahan dalam pengambilan diet,
gaya hidup, pergaulan dengan rakan gaulan ataupun etika kerja boleh membawa
kepada perubahan yang positif dan kelainan yang berpanjangan berbanding dengan
ubat-ubatan.
2. Faktor psikososial
Kehidupan moden sangat sibuk dan
merumitkan. Kadangkala arus kehidupan yang terlalu pantas menyebabkan ramai
yang kurang mampu untuk menanganinya. Bagi kanak-kanak dan golongan remaja,
tekanan untuk membesar dengan cara yang mereka rasakan betul adalah amat
mencabar. Tiada siapa yang memiliki imuniti terhadap tekanan atau stres dan
kerungsingan. Tekanan yang biasa dihadapi termasuklah tekanan dari sekolah,
tekanan untuk berjaya di dalam permainan dan sukan, tekanan untuk memuaskan
hati orang lain dan juga tekanan untuk sentiasa diterima ramai.
3. Faktor sosial
Masyarakat zaman ini disogokkan
dengan imej yang ditonjolkan oleh media seperti televisyen, radio, video dan
internet. Adalah amat mustahak untuk menyedari bahawa apa yang ditonjolkan di
dalam media ini hanyalah imej rekaan semata-mata dan tidak melambangkan
kehidupan yang sebenar. Gaya hidup mereka yang mewah dan terkenal seperti yang
ditonjolkan dalam dunia hiburan mampu menggoda kita semua untuk mengecapi
populariti sedemikian rupa.
Pendidikan
Moral
AB202
92
Tekanan untuk menjalani
kehidupan yang dikatakan 'berarus deras' ini sangat menggoda kepada kebanyakan
masyarakat zaman ini. Walaupun pengiklanan mahukan kita minum minuman yang
tertentu serta memakai seluar berjenama seperti yang diiklankan, pilihannya masih
lagi terletak di tangan kita sebagai pengguna. Begitulah juga keadaannya dalam
memilih untuk menjadi perokok ataupun peminum arak.
Tanda- Tanda Dan Gejala
Berikut merupakan ciri-ciri
penyalahgunaan dadah dikesan:
a. Gejala fizikal :
Berpeluh berlebihan
Meremang bulu roma
Mata merah
Pening kepala
Loya dan muntah
Kerap menggosok hidung
Mengantuk
Menggigil (tremor)
Mengetap gigi dan rahang
Penurunan berat badan
b. Gejala psikologi :
Keresahan
Kerisauan
Kemurungan
Insomnia - tidak dapat tidur
Hilang selera makan
Gangguan emosi dan perasaan
c. Gejala perlakuan :
Sentiasa ponteng sekolah /
kerja
Penurunan prestasi pelajaran
/ kerja
Mabuk semasa memandu
Ditahan kerana mengganggu
ketenteraman awam
Aktiviti jenayah
Tidak dapat mengimbang diri
Peningkatan tenaga
Punca Pengambilan Dadah :
Ingin mencuba
Terikut-ikut
Suasana semasa
Tekanan / cabaran dalam
kumpulan
Bagi tujuan merawat
Meningkatkan kawalan diri dan
prestasi
Kesan penyalahgunaan dadah yang
berterusan akan merosakkan :
Kebersihan dan kesihatan diri
Kesihatan mental
Prestasi pelajaran / kerja
Hubungan sosial
Status kewangan
Rawatan
Ketagihan adalah bersifat
psikologi. Mereka yang telah kronik dalam penyalahgunaan dadah sukar
disembuhkan. Oleh demikian, pertolongan dari mereka yang profesional amat
diperlukan. Rawatan untuk ketagihan boleh didapati di hospital, klinik atau
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Rawatan termasuk :
1. Detoksifikasi
• Menghilangkan kesan dadah di
dalam badan
2. Terapi kelakuan
• Menggalakkan sikap yang baik
dan menghilangkan rasa pergantungan
3. Kaunseling
• Memberi motivasi dalam
menangani masalah dadah dan kembali menagih
KEADAAN yang boleh
mempengaruhi permulaan atau penyudah tabiat penyalahgunaan dadah
a.
Status sosioekonomi
b.
Pengaruh rakan sebaya
c.
Pengaruh ibu bapa
d.
Motivasi untuk berjaya / takut pada kegagalan
e.
Pengasingan sosial
f.
Percaya diri sendiri
g.
Kemahiran menyesuaikan diri
h.
Kemampuan bangkit dari kegagalan
i.
Keupayaan mengasah kekuatan diri
j.
Kematangan fikiran
k. Sokongan keluarga
4.2 MEMAHAMI ISU-ISU
KEMANUSIAAN SEJAGAT
4.2.1 Isu-Isu Kemanusiaan
Sejagat
Globalisasi yang menjadikan
dunia tanpa sempadan telah mengundang pelbagai masalah yang menggugat
kestabilan umat manusia. Apabila pengetahuan dan teknologi disalahguna, maka
kehancuran yang bakal menanti. Dunia pada hari ini berhadapan dengan
berbagai-bagai isu yang boleh menggugat dan mengancam populasinya. Isu-isu
seperti penderaan, peperangan dan perlumbaan senjata di kalangan negara-negara
berteknologi tinggi terutamanya boleh mengancam alam benua ini. Di sesetengah
negara, terutamanya negara-negara dunia ketiga, isu kemiskinan dan kebuluran,
pemerdagangan manusia, pendatang asing menjadi antara permasalahan utama.
a. Penderaan
Penderaan berkait rapat dengan
keganasan rumah tangga. Ia melibatkan serangan, hentaman, ancaman, gangguan,
ketidakadilan, kezaliman fizikal atau mental, penderaan seksual atau apa-apa
perbuatan curang. Penderaan juga dikatakan berlaku apabila seseorang individu
telah menyalahgunakan atau menggunakan kuasa secara sewenang-wenangnya.
Kebiasaannya kekejaman ini berlaku satu hala dan dituruti oleh tindak balas
yang lain.
Selain daripada itu, terdapat
juga penderaan dalam bentuk lisan dan meninggalkan kesan yang mendalam seperti
mencaci, mengeluarkan kata-kata yang kesat dan tidak sedap didengar, mengejek
dan mencerca.
Penderaan Terhadap
Kanak-Kanak
Penderaan kanak-kanak merupakan
satu masalah sosial yang berlaku di seluruh dunia. Ia bermaksud dera ataupun
satu perbuatan zalim yang dilakukan kepada golongan kanak-kanak. Biasanya
ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun.
Penderaan fizikal dan
seksual kanak-kanak
Penderaan kanak-kanak secara
fizikal merupakan sesuatu yang kejam yang dilakukan oleh orang dewasa dengan
tujuan menyakiti agar kanak-kanak tersebut patuh, atau pendera tersebut
mengalami masalah mental, ataupun disebabkan bagi memuaskan diri mereka secara
psikologi.
Kebiasaannya, penderaan seksual
kanak-kanak yang berlaku merujuk kepada aktiviti seksual yang tidak dikehendaki
dan dipersetujui. Penderaan seksual berlaku sama ada melalui sentuhan
sehinggalah melibatkan hubungan seksual. Disamping itu penderaan seksual juga
berlaku secara lisan, visual, audio atau sebarang cara yang memaksa mangsa
untuk terlibat dengan kontak seksual. Ini termasuklah rogol dan cubaan merogol,
pencabulan (molestation), penyakit intai, exhibitionism dan
sumbang mahram.
Punca Penderaan Kanak-Kanak
Penderaan sering berlaku
apabila ibubapa kurang mendapat sokongan sosial terutamanya dalam suasana
kekeluargaan yang pincang, seperti mempunyai pendapatan dan pendidikan rendah
serta suasana persekitaran yang tidak stabil. Begitu juga apabila ibubapa
merupakan penjaga tunggal yang tidak mempunyai kemudahan untuk menjaga anak.
Kesan penderaan kanak-kanak
Kesan daripada penderaan
fizikal biasanya mengakibatkan mangsa sukar untuk mempercayai orang dewasa,
menjalin persahabatan yang tidak mendalam dan sering meninggalkan kawan baru
jika ia merasakan bahawa ia tidak diterima. Di sekolah pula, mereka merupakan pelajar
lemah, kesepian dan tidak mempunyai kawan. Penderaan emosi kerap terjadi dengan
tidak ketara tetapi kesannya terhadap perkembangan fizikal dan mental di
kalangan kanak-kanak sangat jelas sehingga memerlukan rawatan perubatan.
Penderaan Terhadap Wanita
Keganasan terhadap wanita bukan
sahaja tertakluk kepada penderaan fizikal, tetapi meliputi juga:
i. Penderaan psikologi dan
emosi
Ugutan, penghinaan, menjatuhkan
maruah wanita boleh meninggalkan kesan buruk sama seperti penderaan fizikal
kerana ianya boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan
keupayaan beliau mengawal kehidupan sendiri.
ii. Penderaan fizikal
Memukul, menumbuk, menampar,
menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan
menggunakan senjata adalah contoh jelas penderaan seumpama ini. Menghalang
keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan juga
merupakan salah satu bentuk penderaan fizikal.
iii. Penderaan seksual
Memaksa melakukan atau melihat
sesuatu bentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita
ketika melakukan hubungan seks.
iv. Penderaan sosial
Penderaan ini sering berlaku di
dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan
masing-masing dan diasingkan daripada mendapat sokongan luar .
v. Penderaan kewangan
Seseorang wanita yang dihalang daripada
mencari pekerjaan atau yang tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau
menyimpan wang pendapatannya sendiri sebenarnya menghadapi penderaan dari aspek
kewangan.
Faktor Yang Menyebabkan
Berlakunya Penderaan
1. Dadah dan alkohol
Kajian yang dibuat mendapati
terdapat hubungan antara pengambilan alkohol dengan penderaan dalam
rumahtangga. Individu yang mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak mempunyai
kecenderungan menjadi agresif dan secara tidak langsung mendera pasangannya.
Kebanyakan wanita menyebut alkohol dan dadah sebagai faktor penyebab keganasan
dalam keluarga. Faktor alkohol boleh menyebabkan individu melakukan sesuatu
yang bukan merupakan tingkah lakunya yang sebenar.
2. Latar belakang keluarga
Latar belakang keluarga dan
pengalaman semasa kecil turut mempengaruhi sikap seseorang individu. Keadaan
yang sama juga berlaku ke atas suami yang sering menganiaya dan bertindak ganas
ke atas isteri mereka. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa fenomena
penganiayaan isteri dikaitkan dengan pendedahan awal terhadap kekejaman dalam
keluarga.
3. Masalah sosial
Hasil daripada penyelidikan ke
atas 100 orang suami (pendera), suami yang sering menganiaya isteri tidak suka
bergaul dengan orang lain. Mereka berasa kurang senang dan tidak selesa apabila
berada dalam kalangan sahabat handai yang lain. Mereka juga berhati-hati untuk
memilih kawan rapat. Di samping itu, mereka juga mempunyai sifat tidak
mempercayai orang lain dan selalu dianggap berseorangan. Suami dalam kategori
ini juga tidak suka dikawal oleh orang lain, terutamanya isteri. Mereka tidak
suka orang lain membuat keputusan bagi pihak diri mereka dan orang lain tidak
boleh menguasai diri mereka.
4. Panas baran
Kajian yang dilakukan, seperti
yang dilaporkan melalui Woman Aids Organisation mendapati salah satu sebab
berlakunya penderaan adalah sikap suami yang tidak dapat mengawal rasa marah.
Pendera tidak dapat mengawal emosi marahnya
walaupun atas sebab-sebab yang
kecil. Faktor kecewa dan tekanan perasaan boleh menyebabkan berlaku penderaan
isteri apabila suami hilang kawalan emosi.
5. Cemburu
Faktor cemburu dianggap sebagai
penyebab berlakunya penderaan dalam keluarga. Kadangkala suami cemburukan
isteri terutamanya apabila isteri bekerja. Lelaki yang bersifat cemburu
sentiasa mengawal kehidupan pasangannya, tidak boleh melihat isteri yang
berpakaian cantik terutama di hadapan orang lain. Mereka juga tidak suka isteri
bercakap dengan lelaki lain yang memuji atau menggoda isteri mereka. Mereka
akan marah dan akan bertindak di luar dugaan. Lelaki seperti ini selalu
menyimpan prasangka dan tidak mempercayai isteri mereka sendiri. Ini
menyebabkan timbul suasana tegang, krisis dan tekanan perasaan yang seterusnya
menjadikan individu tersebut pemarah, bengis, kasar dan mungkin bertindak kejam
terhadap pasangannya.
Penderaan Terhadap Lelaki
Penderaan bukan sahaja berlaku
ke atas kanak-kanak ataupun wanita, lelaki juga boleh menjadi mangsa penderaan
oleh isteri mereka. Kelemahan identiti maskulin lelaki akibat tercabar hebat
oleh isteri juga boleh menimbulkan potensi suami ditindas isteri secara
psikologi mahupun fizikal. Apabila peranan suami sebagai ketua keluarga
terus-terusan dicabar, akibat pelbagai faktor antaranya kuasa dan kewangan
seperti isteri memegang jawatan lebih tinggi serta menyumbang lebih
pendapatannya kepada keluarga. Jurang status ekonomi dan sosial antara suami
isteri itu boleh menjejaskan fungsi institusi keluarga terbabit jika gagal
ditangani dengan bijak.
Kesan
Penderaan domestik merupakan
antara jenayah yang paling sukar ditangani kerana lazimnya mangsa enggan
membuka pekung dan mendedahkan keburukan suami atau isteri. Sedangkan ramai di
antara mereka terpaksa menanggung kesan teruk akibat perlakuan ganas ke atas
mereka, seperti trauma dan gangguan mental sehingga tidak dapat memberi
perhatian di tempat kerja.
Di samping itu, mangsa
penderaan selalunya berasa gelisah, takut, bimbang keluar rumah dan berjumpa
rakan-rakan atau saudara atau Post Traumatic Stress Disorder (gangguan
tekanan selepas trauma). Ini membuatkan mangsa sentiasa teringat dan terbayang
kejadian penderaan terhadap mereka berulang-ulang kali sehingga mengakibatkan
mangsa mengambil pil tidur, dadah dan alkohol untuk melupakannya.
b. Kemiskinan Dan Kebuluran
Agensi Makanan dalam Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa 166 juta orang di 22 buah negara
di dunia ini menghadapi kebuluran atau kesukaran untuk mendapatkan makanan yang
mencukupi. Peperangan, bencana alam dan pengurusan yang lembap telah
menyebabkan kekurangan makanan dan zat yang berterusan di negara-negara
tersebut, termasuk Afghanistan, Haiti, Iraq, Somalia dan Sudan.
Negara-negara yang berhadapan
dengan krisis yang berterusan ini memerlukan bantuan bagi menghadapi masalah
ini. Fokusnya tidak hanya pada bantuan kecemasan tetapi juga pada bantuan
jangka masa panjang, seperti menyediakan makanan untuk sesi persekolahan atau
melaksanakan program makanan untuk pekerjaan.
Negara lain yang turut
mengalami krisis makanan adalah : Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah,
Chad, Congo, Korea Utara, Republik Demokratik Congo, Eritrea, Ethiopia, Guinea,
Pantai Gading, Kenya, Liberia, Sierra Leone, Tajikistan, Uganda dan Zimbabwe.
Kebuluran adalah natijah
kemiskinan, tetapi adalah benar juga bahawa kebuluran menyebabkan kemiskinan
(Dr. Jacques Diouf, Ketua FAO). Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO)
menyamakan bahawa kebuluran ialah manifestasi kemiskinan paling kritikal.
Adalah dianggarkan kira-kira 1.5 bilion individu hidup dengan pendapatan kurang
daripada AS$1 dolar (RM3.70) sehari.
Makanan ialah keperluan asasi
manusia yang paling utama. Setiap yang bernyawa sama ada manusia atau binatang
memerlukan makanan. Bagi manusia, ia memerlukan hak asasi ini untuk
mengekalkan tenaga, bekerja, belajar dan terus hidup. Tetapi malangnya, setiap
tiga saat, pasti ada seorang yang mati kerana faktor kebuluran (Utusan, 2006).
FAO mengatakan pada bulan September 2010, jumlah orang yang mengalami kebuluran
di seluruh dunia telah menurun daripada 1 bilion kepada 925 juta orang.
Punca
Soal kemiskinan seringkali
berkait rapat dengan luar bandar dan pertanian. Di negara membangun,
sekurang-kurangnya 60 peratus penduduknya bergantung kepada tanah untuk
mendapatkan makanan mereka. 70 peratus mereka yang miskin dan kebuluran ini
tinggal di luar bandar. Apabila begitu banyak isu bersabit dengan hak-hak tanah
dan kualiti tanah bumi timbul, maka bermakna berjuta-juta orang akan kebuluran.
Kesan
Kebuluran merupakan
satu-satunya ancaman yang paling asas terhadap kewujudan manusia dan juga
merupakan isu moral untuk masyarakat. Kebuluran mengancam kehidupan, kesihatan,
dan fungsi-fungsi kognitif. Kebuluran juga merupakan ancaman utama kepada
keselamatan dan keamanan untuk kita semua, masa kini dan juga masa hadapan.
Kebuluran menyumbang lebih dari separuh daripada semua kematian yang disebabkan
oleh penyakit-penyakit yang berjangkit di kalangan kanak-kanak yang berumur di
bawah lima tahun.
Kebuluran bukan sahaja meragut
nyawa, lebih buruk daripada itu ia ‘mengambil bersama’ semangat serta keupayaan
untuk bekerja dan belajar. Menurut FAO lagi, masalah kebuluran boleh
merencatkan keamanan dan kemakmuran sesebuah negara selain memerangkap individu
itu dalam kitaran kemiskinan yang sukar diatasi. Akibat kebuluran juga akan
membawa kepada tahap kesihatan memburuk. Paling tidak diingini, kebuluran dan
kelaparan diwarisi dari satu generasi ke generasi lain.
Cara membasmi kemiskinan dan
kebuluran
Laporan ekonomi yang terkandung
dalam kajian terbaru FAO bahawa satu-satunya cara efektif untuk membasmi
kemiskinan ialah dengan menghapuskan kebuluran.
FAO menegaskan bahawa pelaburan
kerajaan dan swasta kini diperlukan di kawasan luar bandar jika dunia
benar-benar mahu mencapai sasaran untuk mengurangkan kebuluran menjelang tahun
2015.
Setiap tahun pada 16 Oktober,
dunia meraikan hari makanan. Perlu diingatkan bahawa 17 Oktober pula disambut
sebagai Hari Membasmi Kemiskinan Sedunia dalam kalendar Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dalam pada itu, Hari Makanan Sedunia bukan sahaja
disambut kerana pentingnya makanan buat kita semua. Ia juga sebenarnya menjadi
landasan dan matlamat bagi meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai masalah
kebuluran yang kini membelenggu dunia.
Kira-kira 30 buah negara
menyertai projek pendidikan global bagi memberi kesedaran kepada kanak-kanak
mengenai masalah kebuluran dan kelaparan. Sebagai contoh program yang dinamakan
Feeding Minds, Helping Hunger, melibatkan gabungan bersama beberapa rakan antarabangsa
termasuk UNESCO, Bank Dunia dan majalah Newsweek.
Tabung Kanak-kanak Persatuan
Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Program Makanan Sedunia (WFP) telah
mewujudkan “Inisiatif untuk menghentikan kebuluran dan malnutrisi kanak-kanak”
pada tahun 2006. Dalam hal ini, kita perlu membina dan meluaskan lagi
perkongsian dengan pelbagai agensi yang boleh menyokong tindakan yang praktikal
di peringkat kebangsaan, daerah dan masyarakat. Badan-badan organisasi sivil,
NGO, institusi-institusi teknikal, sektor swasta serta pihak media harus
melibatkan diri dengan pihak kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan
Milenium 1 dan 2, yang bertujuan untuk menurunkan kadar populasi yang terpaksa
menghadapi kebuluran dan malnutrisi menjelang tahun 2015.
Ia mestilah menjadi
tanggungjawab dan objektif utama kita untuk memastikan bahawa setiap
kanak-kanak, wanita dan lelaki, tidak kira di mana mereka menetap di dunia ini,
mempunyai hak terhadap makanan. Hak terhadap makanan tidak patut hanya dapat
memberi manfaat kepada sesetengah pihak sahaja. Ia perlulah menjadi hak dan
memberi manfaat kepada kepada semua orang.
c. Pemerdagangan manusia
Menurut Jabatan Imigresen
Malaysia, pemerdagangan orang bermaksud segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan
atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan, dan
termasuklah perbuatan merekrut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau
menerima seseorang bagi maksud eksploitasi.
Eksploitasi adalah segala
bentuk eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan
yang menyerupai perhambaan, pengabdian, apa-apa aktiviti yang menyalahi
undang-undang atau pemindahan organ manusia. (Seksyen 2, Akta Antipemerdagangan
orang dan Antipenyeludupan Migran 2007). Eksploitasi yang dimaksudkan di sini
termasuk penggunaan ancaman atau penggunaan bentuk tekanan lain, penculikan,
penipuan, penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko dan memberi atau menerima
pembayaran.
Aktiviti pemerdagangan manusia
merupakan kegiatan jenayah terancang merentas sempadan. Kegiatan ini berlaku
hampir di seluruh dunia dan banyak melibatkan negara maju. Kajian pada tahun
2006 yang dibiayai Kerajaan Amerika Syarikat menunjukkan, kira-kira 800,000
orang dibawa melepasi sempadan negara setiap tahun. Jutaan orang yang
diperdagangkan dalam negara sendiri tidak direkodkan. Kira-kira 80 peratus
mangsa kajian ini terdiri daripada wanita dan gadis muda, dan 50 peratus adalah
di bawah umur. Majoriti mangsa adalah wanita yang diperdagangkan bagi tujuan
eksploitasi seks komersil. Jumlah ini tidak termasuk jutaan mangsa lelaki dan
wanita di seluruh dunia yang diperdagangkan dalam lingkungan sempadan negara
sendiri dan kebanyakannya bagi tujuan buruh paksa atau buruh tebus hutang.
Kegiatan pemerdagangan orang
dianggap sebagai suatu industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu
negara untuk beroperasi. Malaysia juga tidak terkecuali daripada aktiviti yang
diaplikasikan sebagai perbuatan ‘perhambaan alaf baru’. Keunikan negara ini
yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara menjadikan penyeludup memilih
negara ini sebagai negara transit bagi lelaki, wanita dan kanak-kanak dari
Afghanistan, Pakistan, Myanmar dan lain-lain negara berhijrah ke beberapa buah
negara Eropah.
Kesedaran masyarakat Malaysia
tentang isu pemerdagangan manusia masih lagi rendah malah masih ramai yang
tidak memahami definisi sebenar yang dimaksudkan dengan pemerdagangan orang.
Istilah pemerdagangan manusia dan penyeludupan orang membawa dua maksud yang berbeza
walaupun kedua-duanya kelihatan sama.
Penyeludupan orang membawa maksud mengatur, memudahkan atau
merancang secara langsung atau tidak langsung, kemasukan seseorang secara tidak
sah ke dalam atau melalui atau pengeluaran seseorang secara tidak sah dari
mana-mana negara yang orang itu bukan warga negara atau pemastautin tetap sama
ada dengan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kemasukan
atau pengeluaran orang itu tidak sah. Ini juga membawa maksud mengangkut,
memindahkan, menyembunyikan, melindungi atau menyediakan apa-apa bantuan atau
perkhidmatan bagi tujuan melaksanakan perkara di atas. Namun begitu tidak
dinafikan aktiviti penyeludupan orang menjadi punca kepada akiviti
pemerdagangan manusia kerana kebiasaannya penyeludupan orang berpotensi menjadi
sebahagian aktiviti pemerdagangan manusia.
Masalah Pemerdangan Manusia
Di Malaysia
Perkembangan ekonomi dan
kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh
dunia dan ini membuka peluang kepada kerancakan aktiviti penyeludupan dan
pemerdagangan manusia. Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara
Asean, menjadikannya antara lokasi strategik sama ada sebagai negara destinasi
atau transit bagi penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kedatangan pelancong
dan pekerja asing di Malaysia menambahkan lagi sindiket yang membawa masuk
wanita atau gadis muda bagi tujuan pelacuran dan buruh domestik.
Bukan hanya wanita, lelaki
dewasa turut diperdagangkan terutama untuk pengeksploitasian buruh atau
dijadikan buruh paksa. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia,
Bangladesh, Nepal dan Vietnam menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan
dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu.
Kanak-kanak dan bayi juga
mendapat permintaan yang tinggi untuk diperdagangkan terutama bagi aktiviti
meminta sedekah atau dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai
zuriat sendiri.
Tindakan Malaysia Dalam Isu
Pemerdagangan Manusia
Menurut statistik Majlis Anti
Pemerdagangan Orang (MAPO), sejak 28 Feb 2008 hingga 21 Dis 2010, sebanyak 304
kes dilaporkan membabitkan pelbagai jenis eksploitasi dan 434 orang ditahan
kerana terbabit dalam jenayah berkenaan. Daripada jumlah itu, 1,930 mangsa
mendapat perintah perlindungan sementara (IPO) manakala 708 lagi perintah
perlindungan yang mana kebanyakan mangsa terbabit terlibat dalam eksploitasi
seks (189 mangsa), perkhidmatan paksa (58), penyeludupan manusia (24) dan
penjualan bayi (11).
Hal ini telah menjejaskan
reputasi negara dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk menjaga
imej negara. Menyedari masalah itu, Malaysia telah meluluskan Akta
Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) bagi menangani isu tersebut. Kewujudan akta
ini telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan mengenakan
hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga
RM500,000. Sejajar dengan pengenalan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan
Majlis Antipemerdagangan Orang (MAO) yang berfungsi untuk menyelaraskan dasar
dan melaksanakan ATIP. Langkah serius kerajaan menangani isu pemerdagangan
manusia telah menaikkan taraf Malaysia ke Tahap (Tier) 2 daripada Tahap 3 dalam
Laporan Senarai Pemerhatian Pemerdagangan Malaysia (TIP) 2010.
Akta Anti Pemerdagangan Orang
2007 telah dipinda bagi memasukkan kesalahan penyeludupan migran untuk
dijadikan akta baru yang kini dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang
dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 yang dikuatkuasakan pada 15 Nov 2010.
Pindaan itu bagi menangani sindiket antarabangsa yang menjadikan negara ini
sebagai negara transit pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk membawa
mangsa ke negara ketiga terutama Australia. Kebanyakan mangsa adalah dari
Afganistan, Pakistan dan Myanmar yag dibawa masuk ke Malaysia terlebih dahulu
sebelum ke Indonesia dan seterusnya ke Australia.
Lebih ramai anggota polis akan
ditempatkan di kawasan panas sindiket itu seperti di perairan negara di Selat
Melaka dan Laut China Selatan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk utama sindiket
itu sebelum mangsa diperdagangkan ke negara destinasi.
Selain itu, kerajaan juga turut
mengambil tindakan yang lebih teratur melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Anti
Pemerdagangan Orang yang menetapkan hala tuju dan fokus dalam usaha mencegah
dan membanteras gejala pemerdagangan orang. Pelan yang dirangka bagi tempoh
lima tahun (2010-2015) adalah antara usaha dan komitmen kerajaan dalam
membanteras masalah pemerdagangan orang.
d. Pendatang asing
Pendatang asing ialah orang
mendatang iaitu orang asing yang datang atau memasuki sesebuah negara lain
secara sah atau tidak sah (pendatang haram).
Di Malaysia kebanjiran
pendatang asing terutamanya di sektor pembinaan dan perindustrian bermula
sekitar tahun 1970-an. Selain implikasi demografi yang jelas, penghijrahan ini
mempunyai kesan ke atas pertumbuhan ekonomi dan hubungan antarabangsa.
Pada dasarnya penghijrahan ini
dilihat sebagai satu proses yang membawa faedah ekonomi bersama atau sebagai
suatu masalah ekonomi dan perubahan
sosial kepada kedua-dua negara.
Sejauh mana keadaan ini tercapai adalah bergantung kepada cara dan jenis
penghijrahan, status buruh asing dari segi undang-undang dan juga tempoh
tinggal di negara terbabit.
Buruh asing yang terdapat di
negara kita sekarang boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu :
1. Golongan bukan warganegara
Malaysia yang telah menetap di sini serta mempunyai kad pengenalan warna merah.
Mereka ini terdiri daripada berbagai-bagai keturunan dari berbagai-bagi negara
seperti Indonesia, Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, China dan lain-lain.
Di bawah Akta Sekatan Kerja
1968, mereka tidak dibenarkan bekerja makan gaji, melainkan mempunyai permit
kerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Buruh. Undang-undang yang membenarkan
mereka ini mendapat pas kerja adalah tertakluk kepada alasan tertentu.
2. Golongan bukan warganegara
yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport yang sah. Golongan ini
dibenarkan bekerja dalam jangka masa tertentu (dua tahun) dalam bidang
pekerjaan yang memerlukan kemahiran yang tidak ada pada pekerja tempatan.
Apabila habis tempoh, pas atau permit mereka tidak akan disambung kecuali atas
sebab-sebab yang munasabah.
3. Buruh asing yang masuk
secara haram dan kebanyakan mereka bekerja di sektor perladangan, perindustrian
dan pembinaan.
Faktor-Faktor Yang Mendorong
Pendatang Asing Datang Bekerja Di Malaysia
Terdapat beberapa faktor yang
menyebabkan pendatang asing terutamanya dari negara jiran berminat untuk datang
bekerja di Malaysia iaitu :
1.
Pendapatan yang tinggi
2.
Peluang pekerjaan yang banyak - rakyat Malaysia terlalu memilih pekerjaan
3. Sistem politik yang stabil
dan ekonomi yang berkembang
4.
Budaya dan kehidupan sosial yang lebih dekat kepada negara asal mereka
5.
Persisiran pantai yang panjang dan luas – mudah untuk menyusup masuk
6. Undang-undang yang tidak
ketat – hanya dihantar balik ke negara asal.
Di samping itu, terdapat pula
faktor pendorong dari negara asal mereka seperti :
1.
Keadaan politik yang tidak stabil
2.
Ekonomi yang tidak berkembang dan kadar pengangguran yang tinggi
3.
Peluang pekerjaan yang terdapat di negara mereka adalah rendah
4. Kemudahan untuk datang
secara haram ke Malaysia melalui orang tengah.
Kesan Kedatangan Pendatang
Asing
Kedatangan pendatang asing ke
negara ini memberikan kesan-kesan yang positif dan negatif kepada kita
antaranya :
Kesan-kesan Positif
Pendatang Asing
1.
Membantu pembangunan negara
2.
Menjayakan projek-projek mega (KLIA, Bakun)
3. Menyelesaikan masalah
kekurangan pekerja
Kesan-kesan Negatif
Pendatang Asing
Dari Segi Sosial:
1. Masalah
pengangguran rakyat
2. Mewujudkan
pelbagai kegiatan tidak sihat
3.
Merebaknya pelbagai jenis penyakit
seperti Aids, batuk kering dan hepatitis B.
Dari Segi Ekonomi :
1.
Pengaliran wang keluar negara
2.
Kejatuhan upah buruh negara - persaingan akan menyebabkan kadar upah pekerja
tempatan menjadi rendah
3. Beban ekonomi kepada negara
- kerajaan terpaksa menyediakan tempat perlindungan dan lain-lain
Kesan Dari Segi Politik :
1.
Boleh mengakibatkan krisis antara kedua-dua negara terbabit
2. Kerajaan terpaksa
menyediakan peruntukan yang khusus untuk pembiayaan pendatang asing
Langkah-Langkah Mengatasi
Isu Pendatang Asing
1.
Menyekat kemasukan pendatang asing dari persisiran pantai
2.
Menetapkan cukai yang sewajarnya supaya pendatang asing tidak menggunakan
kemudahan awam tanpa bayaran dan mengambil hak asasi rakyat Malaysia
3.
Mengetatkan undang-undang kemasukan pendatang
4. Mengenakan hukuman yang
berat ke atas pendatang yang melakukan jenayah
e. Peperangan
Peperangan adalah berpunca
daripada pertikaian di antara manusia. Satu tanggapan biasa peperangan ialah
suatu siri kempen tentera antara sekurang-kurangnya dua belah pihak yang
melibatkan satu pertikaian mengenai kedaulatan, kawasan, sumber, agama atau
banyak lagi isu-isu lain. Suatu peperangan untuk mendapat kemerdekaan dari
penjajahan kadang kala dipanggil sebagai satu "peperangan
pembebasan", sementara suatu peperangan dalaman bagi negeri yang sama
dipanggil "perang saudara". Dengan demikian matlamat perang adalah
untuk menawan secara kekerasan sekelompok manusia. Nyawa terpaksa dipertaruhkan
kerana setiap pihak tidak mahu mengalah.
Biasanya yang terkorban dalam
perang ialah mereka yang terbabit secara langsung dalam peperangan iaitu
anggota tentera. Ia juga boleh memusnahkan sejumlah besar harta benda sama ada
milik tentera atau orang awam. Bagi tentera, antara harta yang boleh musnah
dalam peperangan ialah senjata, kapal pejuang dan kereta perisai, sementara
orang ramai akan kehilangan tempat tinggal dan harta.
Peralatan peperangan kini
semakin canggih dari hari ke hari selaras dengan kemajuan sains dan teknologi.
Berbagai-bagai bentuk senjata dicipta yang menggunakan tenaga nuklear, biologi
dan kimia yang boleh mendatangkan kemusnahan yang besar kepada nyawa manusia
dan alam ini. Sebagai contoh, pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki
dalam Perang Dunia Kedua telah mengorbankan banyak jiwa dan mendatangkan kesan
yang amat teruk kepada persekitaran hinggalah ke hari ini.
Terdapat beberapa bentuk
peperangan di dunia ini iaitu :
Bil
|
Bentuk Peperangan
|
Keterangan
|
1
|
Perang Kimia & Biologi
|
Peperangan yang
menggunakan bahan kimia dan biologi untuk dijadikan senjata atau menghasilkan
senjata.
|
2
|
Perang Saraf
|
Bentuk peperangan tanpa
berlaku pertempuran, hanya di peringkat gertak-menggertak antara satu sama
lain dalam usaha untuk melemahkan moral pihak musuh.
|
3
|
Perang Ekonomi
|
Permusuhan atau
persengketaan yang melibatkan pengambilan langkah dan tindakan ekonomi
seperti penyekatan eksport dan import barangan dengan tujuan hendak menghancurkan
pihak musuh.
|
4
|
Perlumbaan Senjata
|
Merujuk kepada sikap
menghasilkan senjata canggih dan dibuktikan kecanggihannya melalui
ujian-ujian tertentu bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya kepada pihak
lain.
|
Faktor-Faktor Berlaku Peperangan
1.
Keinginan untuk menjadi sebuah negara yang kuat, digeruni dan mahu dunia tunduk
di bawah telunjuknya
2.
Permusuhan antara agama, kaum dan bangsa
3.
Memenuhi keperluan dalam negara seperti memperolehi bahan-bahan mentah
4.
Ingin menjadi jaguh dan polis antarabangsa
5.
Cemburu dan iri hati dengan persenjataan canggih negara-negara lain
AB202
Pendidikan
Moral
110
Kesan-Kesan Peperangan
Kesan Peperangan Terhadap Manusia
1.
Manusia yang tidak terlibat akan kehilangan nyawa
2.
Mengundang pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser, kecacatan keturunan
akibat radiasi
3.
Kebuluran, kemiskinan, kematian dan kecederaan global menyerang umat manusia
4.
Pelarian perang akan tersebar di merata-rata dunia
5.
Kehidupan manusia menjadu huru-hara dan tiada lagi keamanan
Kesan Peperangan Terhadap Alam
1.
Memusnahkan tumbuhan, haiwan dan sistem alam
2.
Berlaku perubahan iklim, ekosistem dan kerosakan sistem cakerawala alam ke arah
kemusnahan
3.
Lapisan ozon dan atmosfera akan menjadi nipis yang menyebabkan suhu dunia
bertambah panas
4.
Kebakaran hutan secara besar-besaran
5.
Ruang udara tercemar dengan partikel-pertikel yang beracun
Jelaslah
bahawa peperangan membawa pelbagai kesan negatif kepada manusia dan alam
sekitarnya. Peperangan bukanlah penyelesai masalah. Oleh itu peperangan perlu
dielakkan. Setiap pihak haruslah bertolak ansur untuk menyelesaikan sebarang
pertikaian melalui saluran sah antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) telah ditubuhkan untuk menjamin keamanan dunia. Oleh yang demikian pihak
atau negara yang bertikai haruslah menggunakan pertubuhan tersebut untuk
menyelesaikan masalah masing-masing.
Cadangan Langkah-langkah pencegahan dan pengawasan
peperangan :
1.
Undang-undang persenjataan Global hendaklah digubal dan mengetepikan
kepentingan mana-mana pihak
2.
PBB sebagai badan bertanggungjawab dalam urusan global perlu menubuhkan badan
pengawasan tertinggi untuk mengawas danmenghakimi
jenayah perang dan senjata tanpa mengikut telunjuk mana-mana pihak.
3.
Memupuk dan menyemai budaya cintakan keamanan dan bencikan peperangan
diperingkat kanak-kanak dan orang ramai melalui program-program tertentu
4.
Media massa perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha menyedarkan
rakyat tentang kesan-kesan buruk peperangan
f. Pemeliharaan Alam Sekitar
Alam
sekitar merupakan tautan antara tanah, angin, api dan air. Ia merupakan
hubungan kitar dalam proses kesemulajadian yang berterusan. Penggondolan bukit
akan menyebabkan hilangnya tunggak bumi dan penghadang banjir. Banjir lumpur
pula akan mengalirkan air lumpur dan apabila pohonan kayu di tepi pantai
dibuang, maka tanah pantai akan terhakis.
Malaysia
sememangnya sebuah negara yang berkembang pesat serta maju dalam pelbagai
bidang. Namun dalam kepesatan pertumbuhannya itu, ramai yang tidak menyedari
bahawa kegiatan pembangunan juga akan membawa kesan sampingan terhadap alam
sekitar. Kegiatan-kegiatan perusahaan atau perkilangan telah menyebabkan
pencemaran udara dan pembuangan toksik yang menjadi punca pencemaran air.
Selain itu, kegiatan pembangunan dan penerokaan hutan telah mengganggu sistem
ekologi bumi dan mengakibatkan hakisan tanah. Terdapat punca-punca lain yang
menyebabkan pencemaran alam, seperti kegiatan pengangkutan yang mencemarkan
udara dan air, kegiatan perladangan dan sebagainya.
ebenarnya,
punca utama kemusnahan alam sekitar adalah sikap manusia yang tidak mempunyai
nilai peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat, rasa sayang pada alam
sekitar, patuh kepada undang-undang, bertanggungjawab, boleh membuat
pertimbangan.
AB202
Asas pemeliharaan alam sekitar perlu ditinjau dari
sudut berikut:
1.
Memahami persekitaran dan keperluannya.
2.
Penglibatan segenap peringkat masyarakat dalam peranan pemeliharaan alam
sekitar
3.
Membina kempen kesedaran dengan pengenalan subjek nyata berkaitan alam sekitar
di peringkat rendah, menengah, universiti dan juga masyarakat dewasa.
4.
4.Mengetat dan menguatkuasa undang-undang berkaitan pemeliharaan dan
pemuliharaan alam.
Kempen Amalan Kitar Semula
Kitar
semula bukanlah satu perkara baru, malah banyak negara telahpun lama
melaksanakannya. Namun demikian, dalam pemikiran ramai rakyat Malaysia, kitar
semula mungkin hanya terhad kepada tong-tong kitar semula semata-mata.
Sebenarnya kitar semula adalah jauh daripada itu, ia adalah satu cara hidup
yang berkait rapat dengan nilai-nilai murni seperti tidak boros, sederhana dan
menghargai nilai sesuatu benda. Sesungguhnya pemikiran kitar semula harus
menjadi sebahagian daripada kebiasaan kita, baik di peringkat pembelian,
penggunaan ataupun pembuangan.
Terdapat
banyak faedah yang dapat diperolehi jika rakyat Malaysia dapat menerapkan
amalan kitar semula dalam rutin harian mereka. Dari segi ekonomi misalnya,
negara kita terpaksa membelanjakan lebih daripada 400 juta ringgit setahun
untuk menguruskan sampah yang dihasilkan oleh penduduk negara. Sekiranya negara
berjaya mencapai sasarannya, iaitu untuk mengitar semula sekurang-kurangnya 22
peratus daripada jumlah janaan sampah negara, adalah dijangka kita boleh
menjimatkan sekurang-kurangnya 88 juta ringgit setiap tahun. Jumlah ini boleh
disalurkan kepada projek-projek pembangunan lain yang lebih diperlukan oleh
rakyat.
Program
kitar semula memainkan peranan yang penting untuk menyokong dasar strategik
kerajaan bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semulajadi yang
mapan. Secara spesifik, ia bertujuan untuk mengurangkan intensiti pencemaran dan
sisa daripada aktiviti perbandaran dan perindustrian, di samping memastikan
alam sekitar bersih dan sihat supaya dapat memenuhi keperluan dan aspirasi
rakyat.
Sebahagian
besar daripada usaha kita untuk meningkatkan amalan kitar semula bergantung
kepada penerapan nilai-nilai, sikap dan amalan pro-alam sekitar dalam kalangan
rakyat Malaysia supaya kekal dengan pemikiran dan budaya negara maju,
sebagaimana yang kita idamkan dalam wawasan 2020.
Di
samping itu, untuk menyokong dan mempermudahkan penjiwaan amalan kitar semula
dalam diri setiap rakyat Malaysia, pihak-pihak berkuasa hendaklah bekerjasama
dengan rakyat dan memastikan bahawa perkhidmatan yang diberi dan kemudahan
infrastruktur yang disediakan adalah mencukupi, efisyen, konvenien, dan
konsisten. Kementerian perumahan dan kerajaan tempatan perlu mengkaji
aspek-aspek polisi dan perundangan yang boleh membantu mempertingkat amalan
kitar semula dalam negara. Hal ini, termasuklah langkah-langkah untuk memberi
galakan yang bersesuaian, terutama bagi penggunaan teknologi dalam aktiviti
kitar semula.
Kerajaan
persekutuan, kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa tempatan haruslah
bekerjasama antara satu sama lain supaya dapat memberi perkhidmatan yang
berkualiti dan responsif kepada pelanggan, termasuk dari segi pengurusan sisa
buangan. Selain itu, kita boleh mengambil langkah-langkah berjimat cermat dalam
penggunaan sumber-sumber di pejabat atau rumah kita. Dalam hal ini semua
kementerian, jabatan dan agensi kerajaan digalakkan penggunaan pencetakan
komputer dwi-muka dan penggunakan bahagian belakang muka surat yang telah
digunakan untuk menulis atau mencetak draf-draf dokumen bukan rasmi.
Perlaksanaan
program kitar semula ini mesti diteruskan secara berpanjangan, bukannya
bermusim. Usaha untuk memastikan program ini berjayaperlu
diterapkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal
mewarisi teraju kepimpinan negara kelak.
(Sumber: http://guruselamanya.wordpress.com/)
Langkah-langkah Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam
Sekitar
i. Penghutanan semula
Penghutanan
semula ialah kegiatan menanam semula hutan yang telah ditebang dengan spesies
pokok yang cepat tumbuh dan bermutu. Tujuan utama penghutanan semula adalah
untuk memastikan bekalan kayu yang bermutu dapat dibekalkan berterusan. Kaedah
ini dijalankan secara terancang dan sistematik. Contoh penghutanan semula yang
telah dilaksanakan adalah seperti di Hutan Simpan Kemasul, Pahang dan Hutan
Simpan Paya Laut, Perak.
ii. Mewartakan hutan simpan dan taman negara
Hutan
simpan dan taman negara dapat memberi perlindungan kepada flora dan fauna yang
hampir pupus. Kegiatan pembalakan, penerokaan hutan, dan pemburuan binatang
tidak dibenarkan dilakukan di kawasan tersebut. Contoh hutan simpan dan taman
negara yang telah diwartakan adalah seperti :
۞ Hutan Simpan Hulu Gombak, Selangor
۞ Hutan Simpan Sepilok, Sabah
۞ Hutan Simpan Bukit Lama, Sarawak
۞ Taman Negara Kinabalu, Sabah
۞ Taman Negara, Pahang
iii. Penanaman berteres
Kaedah penanaman berteres telah dijalankan di kawasan cerun
bukit untuk menanam pelbagai jenis tanaman seperti getah, kelapa sawit, dan
teh. Tujuan utama langkah ini adalah untuk mencegah kejadian hakisan tanah dan
tanah runtuh di kawasan cerun bukit.
iv. Tanaman tutup bumi
Tanaman
tutup bumi seperti tanaman kekacang dan rumput ditanam di lereng bukit antara
barisan-barisan getah dan kelapa sawit. Kaedah ini adalah bertujuan untuk
mengurangkan kejadian hakisan tanah dan mengekalkan kesuburan tanah.
v. Penggunaan baja organik
Petani-petani
digalakkan supaya menggunakan baja organik atau baja asli daripada najis haiwan
dan sisa tanaman untuk menggantikan penggunaan baja kimia. Selain menambahkan
kesuburan tanah, baja organik adalah lebih murah, tidak perlu diproses, dan
tidak mencemarkan alam sekitar. Contohnya, peladang lada hitam di Sarawak
menggunakan guano, iaitu campuran najis burung dan kelawar sebagai baja.
vi. Kaedah biologi
Peladang
kelapa sawit di negara kita menggunakan kaedah biologi untuk mengawal makhluk
perosak. Kaedah biologi ini dapat mengurangkan penggunaan racun serangga dan
racun rumpai yang akan mencemarkan alam sekitar. Contohnya, di ladang kelapa
sawit, ular, burung hantu, dan burung helang digunakan untuk menangkap tikus,
burung, dan tupai yang merosakkan buah kelapa sawit.
vii. Pertanian tetap
Kerajaan
menggalakkan petani-petani tradisional yang mengamalkan pertanian pindah supaya
mengubah cara penanaman mereka kepada pertanian tetap. Langkah ini bertujuan
untuk mengelakkan kemusnahan kawasan hutan yang berharga dan mengurangkan
hakisan tanih.
viii. Melandaikan cerun dan membuat tarahan
Pembinaan
jalan raya dan lebuh raya di kawasan cerun curam kini dilakukan dengan lebih
terancang untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Kawasan cerun bukit
yang curam akan dilandaikan untuk mengurangkan hakisan tanah dan kejadian tanah
runtuh. Kawasan tebing curam kaki bukit pula akan ditarah untuk mengurangkan
kecerunan jalan raya yang dibina melalui kawasan tanah tinggi.
ix. Pembinaan tembok konkrit dan longkang konkrit
Tembok
konkrit dibina di kawasan cerun bukit yang telah ditarah untuk mengurangkan
hakisan tanah. Aliran air di kawasan cerun yang telah ditarah pula diperbaiki
melalui pembinaan longkang konkrit untuk mengelakkan air bertakung dan
seterusnya gelongsoran tanah dapat dielakkan di kawasan tersebut.
(Sumber: http://annursubject.blogspot.com)
Pemeliharaan
alam sekitar bukanlah isu bersifat sementara tetapi bersifat sejagat. Ia
berlaku kini dan akan terus berlaku. Jadi kita perlu sedar dan bertanggungjawab
untuk pelbagai peristiwa ini. Hubungan langsung anggota masyarakat dengan alam
sekitar terbukti jelas kerana di mana-mana pun, kita tidak boleh lepas dari
pengaruh alam sekitar, bahkan kitalah perencana baik buruknya. Jadi masyarakat
manusia keseluruhannya perlu mengambil peranan sebagai pembela alam sekitar
yang murni.
Cara Untuk Memelihara Alam Sekitar
· Bawa beg sendiri untuk membeli belah
· Berbasikal atau berjalan kaki untuk perjalanan yang dekat
· Tutup peralatan elektrik jika tidak digunakan
· Amalkan 3R (mengurangkan, menggguna semula dan mengitar
semula)
· Praktiskan dan sokong pekebunan secara organik
· Gunakan tenaga dan bahan api secara efisyen
· Jalankan projek-projek atau aktiviti bertemakan alam
sekitar di rumah, tempat kerja dan juga kawasan kediaman
· Dinginkan rumah anda secara bijak dengan menanam pokok di
sekitar rumah
· Beli barangan tempatan. Selain kita dapat menjimatkan
wang, ia turut menyokong ekonomi tempatan serta mengurangkan pembebasan karbon
disebabkan pengangkutan barangan jarak jauh
AB202· Kurangkan atau hentikan menggunakan barangan pakai buang. Ia hanya
menghasilkan sisa pepejal
· Gunakan air secara bijak kerana ia juga merupakan sumber yang semakin
berkurangan
· Belilah barangan mesra alam yang di iktiraf. Produk-produk ini dapat
mengurangkan kesan kepada alam sekitar